Kesepakatan politik mesti berasaskan al-birr wa at-taqwa, bukan pragmatisme – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Kesepakatan politik antara parti-parti tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan manfaat, strategi atau keperluan untuk mendapatkan kekuasaan, sebaliknya wajib diukur berdasarkan hukum syarak. Demikian antara penegasan Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Kesepakatan Politik: Pragmatisme Tanpa Peduli Hukum?” pada Jumaat (25/09/2026).
Mengulas fenomena kerjasama politik yang semakin menjadi-jadi dalam sistem demokrasi kebelakangan ini, beliau menjelaskan bahawa pelbagai istilah pernah digunakan sejak dulu seperti tahaluf siyasi, ta‘awun siyasi dan tafahum siyasi. Walaupun istilahnya berubah-ubah dan pelbagai justifikasi diberikan ketika membentuk kerjasama tersebut, menurut beliau, kesemua kerjasama tersebut hanya berasaskan satu tujuan iaitu untuk menang pilihan raya dan berkuasa, tidak ada yang lain.
Beliau memfokuskan perbincangan kepada parti yang mendakwa diri mereka sebagai parti Islam, walaupun dari segi hukum syarak, semua Muslim tanpa mengira parti adalah terikat dengan hukum yang sama. Ini kerana, menurut beliau, parti Islamlah yang sering menjustifikasi tindakan mereka dengan nas, padahal mereka sebenarnya telah menginterpretasi dan mengaplikasikan nas dengan cara yang salah. Di sinilah kita perlu fahami duduk perkaranya dan melakukan pembetulan.
Parti sekular, kata beliau, memang tidak berpegang kepada nas, sebab itu mereka tidak pernah peduli halal-haram dalam membentuk kerjasama politik. Pertimbangan mereka hanyalah manfaat. Malangnya, parti Islam yang mendakwa berpegang kepada nas, ternyata hanya “memanipulasi” nas untuk menghalalkan kerjasama dengan parti sekular dan parti kafir, demi meraih manfaat yang sama seperti parti sekular, demi memenangi pilihan raya dan memperoleh kekuasaan.
Dalam menghuraikan perkara tersebut, Ustaz Abdul Hakim membincangkan enam dalil dan peristiwa yang menurut beliau sering digunakan untuk membenarkan kesepakatan politik, antaranya konsep himayah (perlindungan), thalab al-nusrah (mencari pertolongan), perjanjian Hudaibiyah, Sahifah (Piagam) Madinah, peristiwa Perang Khandaq serta peristiwa Hilf al-Fudhul. Beliau menegaskan bahawa setiap peristiwa itu mesti difahami berdasarkan realiti dan konteksnya, bukannya terus disamakan dengan pakatan antara parti dalam sistem demokrasi, demi menghalalkan suatu yang haram.
Beliau kemudian menjelaskan satu per satu perbezaan antara kesepakatan politik yang berlaku dalam sistem demokrasi, dengan nas atau peristiwa-peristiwa tersebut. Amat jelas yang kesemuanya tidak sama, kata beliau, yang menjadikan tindakan parti Islam bekerjasama dengan parti sekular/kafir sebagai sebuah keharaman, kerana ternyata tidak ada nas yang membenarkannya.
Selepas membahaskan keenam-enam hujah tersebut, beliau membawa perbincangan kepada ukuran asas bagi sesuatu kerjasama, iaitu firman Allah (swt) mengenai kewajipan saling membantu dalam kebajikan dan ketakwaan serta larangan saling membantu dalam dosa dan pelanggaran.
Bukan tak boleh untuk melakukan kesepakatan politik, tetapi kesepakatan itu mesti diasaskan kepada al-birr wa at-taqwa, jelasnya. Ini perintah dalam al-Quran. Menurut beliau lagi, istilah yang digunakan — sama ada tahaluf siyasi, ta‘awun siyasi, tafahum siyasi atau selainnya — walaupun bunyinya Islamik, ia tidak secara automatik menjadikan kerjasama tersebut diperbolehkan, kerana apa yang mesti dilihat ialah tujuan dan kandungan kesepakatan tersebut. Jika ia membawa kepada al-ism wa al-‘udwan (dosa dan pelanggaran), maka ia tetap haram, walaupun dibungkus dengan istilah Islam.
Dalam konteks politik demokrasi, Jurucakap HTM itu mempertikaikan kesepakatan politik yang terjadi, yang bertujuan untuk meraih kemenangan dan kekuasaan di mana ia akhirnya membawa parti Islam menyertai pemerintahan dan mempertahankan sistem serta undang-undang kufur demokrasi. Beliau menyifatkan keadaan tersebut bukan sebagai kerjasama atas al-birr wa at-takwa, sebaliknya kerjasama yang hanya memperpanjangkan umur sekularisme dan kebatilan.
Ketika ditanya apakah bentuk pemerintahan yang ditawarkan oleh Hizbut Tahrir, Ustaz Abdul Hakim menjawab bahawa Hizbut Tahrir menawarkan sistem Khilafah, satu-satunya sistem pemerintahan Islam yang diwajibkan ke atas kita semua. Beliau turut menyatakan bahawa Hizbut Tahrir telah pun menyediakan sebuah perlembagaan yang mengandungi 191 fasal dan mengeluarkan kitab yang menjelaskan bagaimana gambaran struktur pemerintahan yang diperjuangkannya.
Di akhir program, beliau menegaskan bahawa persoalan kesepakatan politik bukan perkara kecil kerana ia berkaitan dengan jalan yang ditempuh untuk mencapai kekuasaan. Ia bukan persoalan strategi semata-mata tetapi membawa kepada dosa dan pahala. Perjuangan kita bukannya nak menang dengan cepat, tapi kita nak menang atas dasar kebenaran yang datangnya daripada Allah (swt). Persoalan cepat atau lambat itu merupakan kehendak Allah,” ujarnya.