Ketika Umat Islam Indonesia Menangis Presidennya Masih Sempat Merakamkan Album

altPresiden Indonesia rakam lagu pop romantik

JAKARTA 25 Jan. – Presiden Indonesia, Susilo bambang Yudhoyono telah ‘menghentikan’ usaha menangani gejala rasuah dan pemberontakan rakan parti komponen buat sementara waktu untuk menerbitkan sebuah lagi album lagu-lagu pop romantik.  Album Ku Yakin Sampai Di Sana yang merupakan lagu gubahan Susilo turut memuatkan penyanyi-penyanyi dan ahli muzik terkenal Indonesia.  Seperti dua album terdahulu bekas jeneral berusia 60 tahun itu, Ku Yakin banyak berkisar tentang percintaan, kesetiaan dan patriotisme.  “Dalam waktu terluang saya selain memenuhi mandat rakyat sebagai presiden, saya juga gemar melahirkan apa yang saya rasa melalui hasil kerja-kerja seni,” kata presiden yang dikenali sebagai SBY melalui tulisannya di dalam album itu yang memaparkan imej kanak-kanak sedang berlari sambil membawa bendera Indonesia. 

“Lagu-lagu di dalam album itu ditulis bersandarkan kepercayaan bahawa tiada apa yang boleh merubah nasib sebuah negara kecuali rakyatnya sendiri dan untuk tujuan-tujuan yang mulia,” katanya.   Pemenang rancangan pencarian bakat Indonesian Idol, Vidi Adiano, Rio Febrian dan Joy Tobing merupakan antara bintang yang merakamkan lagu-lagu ciptaan presiden itu selain mempersembahkannya pada pelancaran semalam yang tidak dihadiri oleh Yudhoyono.   “Presiden itu melahirkan rasa hatinya melalui muzik. Dalam album ini, beliau mahu rakyat mempunyai impian besar dan berusaha keras untuk mencapainya,” kata jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha kepada AFP hari ini.  “Lagu-lagunya adalah berkaitan kehidupan. Ketika berada di dalam kereta, beliau akan memperhatikan keadaan sekitarnya dan menulis lirik dan membaca apa yang dimaksudkannya,” katanya.   Album sulung gubahan Susilo berjudul Rinduku Padamu diterbitkan pada tahun 2007 dan kemudian diikuti dengan Evolusi pada tahun 2009. – AFP

Sumber: Utusan Malaysia 26/01/10

Ketika Umat Islam Indonesia Menangis Presidennya Masih Sempat Merakamkan Album

Lihatlah bagaimana seorang presiden yang mengetuai umat Islam yang paling ramai di dunia masih sempat merakam lagu pop romantik di kala jutaan penduduknya menderita dengan pelbagai masalah. Suatu perkara yang biasa dalam dunia kapitalisme hari ini. Pemimpinnya bersuka ria di saat rakyatnya derita. Nampaknya SBY lupa dengan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin yang wajib mengurus urusan rakyatnya. SBY terus alpa dengan kewajibannya untuk menerapkan Islam di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Apakah kerana sudah terlampau banyak masalah yang bertimpa-timpa maka SBY cuba untuk mengalihkannya dengan cara berhibur? Lupakah beliau akan sabda Rasulullah SAW: ” Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu  akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang pemimpin adalah pemerintah dan akan ditanya dari apa hal yang diperintahkan kepadanya. Seorang suami adalah pemimpin  terhadap ahli keluarganya dan akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya. Seorang khadam (pembantu) adalah pemimpin terhadap harta tuannya dan dia akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya dan kesimpulannya Setiap kamu adalah pemimpin  dan setiap kamu akan ditanya dari hal apa yang kamu pimpinkan. [Riwayat Bukhari dan Muslim] “. Apakah SBY terlupa dengan kisah Khalifah Umar al-Khatab yang pernah menangis apabila mendengar penjelasan seorang ibu yang terpaksa membohongi anaknya yang kelaparan dengan merebus batu bagi menidurkan anak-anaknya yang kelaparan? Sampai bila lagi kita harus menunggu sosok seperti Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar Al-Khattab, Khalifah Uthman, Khalifah Ali dan seumpamanya yang semasa pemerintahaan mereka, hidupnya semata-mata untuk mengurusi seluruh urusan kehidupan rakyatnya?

Wahai Umat Islam! Mengapa kalian masih lalai dalam mengembalikan kemuliaan Islam? Mengapa kalian masih lalai dalam mengembalikan kehidupan Islam sedangkan kalian sendiri yang terus menderita akibat ketiadaannya? Mengapakah kalian masih lalai menghidupkan al-Khilafah sedangkan kerosakan para pemimpin kalian sudah jelas di hadapan mata? Bangunlah wahai umat!!