Komitmen Amerika Amat Penting Untuk Kehancuran Ekonomi Sejagat

altNajib digelar ‘Pemimpin Reformis Ekonomi’

DATUK Seri Najib Razak semalam diperkenalkan sebagai ‘Pemimpin Reformis Ekonomi’ pada Sidang Kemuncak Ketua Eksekutif (CEO Summit) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) susulan kejayaannya membendung kesan krisis global dan usahanya dalam merangka pelan transformasi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Jolokan diberikan oleh moderator sesi dialog sidang itu, Datuk Timothy Ong yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei dan mendapat tepukan gemuruh lebih 1,000 delegasi terdiri tokoh perniagaan global, ketua bank pusat, pegawai kanan kerajaan dan menteri negara anggota Apec yang hadir pada persidangan itu.

CEO Summit adalah dialog perniagaan paling utama bagi rantau Asia Pasifik yang mengumpulkan ketua korporat dan penggubal dasar untuk membincangkan mengenai peluang ekonomi, hala tuju pertumbuhan dan menilai pelbagai bidang kerjasama.

Selain Najib, turut menjadi ahli panel sesi soal jawab itu di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Suntec di sini semalam ialah, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick; Ketua Eksekutif MEC Group Global, Madhu Konera; Presiden Inter-American Development Bank, Dr Luis Alberto Moreno; Pengerusi Dewan Perniagaan Antarabangsa, Victor Fung dan Pengerusi PricewaterhouseCoopers International Ltd, Dennis M Nally.

Ketika ditanya mengenai keberkesanan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi, Perdana Menteri berkata, dua pakej bernilai RM67 bilion diperkenalkan pada November 2008 dan Mac lalu itu, mewakili kira-kira sembilan peratus daripada KDNK, justeru menjadikannya antara yang tertinggi di dunia.

“Kami menambah perbelanjaan kerajaan kira-kira RM1 bilion setiap bulan sejak pakej itu diperkenalkan. Pada masa sama, kami juga melaksanakan liberalisasi 27 sektor kecil perkhidmatan, kewangan, penawaran lesen bank komersial baru kepada syarikat asing, mengukuhkan kedudukan sektor kewangan Islam dan melonggarkan Garis Panduan Pelaburan Asing.

“Tanpa pakej itu, kita mungkin tidak dapat mencapai pertumbuhan tiga peratus tahun depan. Ia mesti berjaya, jika tidak anda tidak akan dapat melihat saya bertahan terlalu lama,” kata Najib secara terus terang dan disambut gelak ketawa perwakilan.

Menjawab pertanyaan delegasi sama ada krisis global semasa sudah berakhir, Najib berkata: “Ya, tetapi dua persoalan perlu diperhati iaitu sama ada pemulihan itu akan berterusan atau adakah kita mampu menjana pertumbuhan sama seperti sebelum berlakunya krisis.”

Secara umumnya, katanya, walaupun negara pasaran besar seperti India dan China serta Indonesia akan menjana pertumbuhan baik tahun depan dan seterusnya, namun negara yang lebih terdedah kepada pasaran luar seperti Malaysia adalah seumpama “mangsa kejayaan sendiri.”

“Saya letakkan Malaysia dalam kategori ini kerana jumlah perdagangan luarnya adalah dua kali ganda daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Saya rasa Singapura juga dalam kategori sama,” katanya.

Justeru, Najib berkata, adalah penting rundingan Pusingan Doha Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dalam menghapuskan halangan perdagangan dapat dimuktamadkan.

“Saya ingin menjadikan forum Apec di Singapura ini untuk membuat kenyataan politik bahawa kami sama sekali menolak aktiviti perlindungan pasaran dan kami mahu rundingan Pusingan Doha dimuktamadkan.

“Saya juga berharap ketua negara Apec mempunyai pendirian sama dalam hal ini. Dalam perkara ini, komitmen Amerika amat penting,” katanya.

Sumber: Berita Harian 14/11/09

Komitmen Amerika Amat Penting Untuk Kehancuran Ekonomi Sejagat

Najib Oh Najib, sampai bilakah kamu akan terus lena dibuai mimpi? Perhatikanlah ucapan kamu yang menganggap komitmen sebuah Negara kufur-Kapitalis-Amerika amat penting bagi sebuah kesejahteraan ekonomi dunia:

“Saya juga berharap ketua negara Apec mempunyai pendirian sama dalam hal ini. Dalam perkara ini, komitmen Amerika amat penting” (Petikan ucapan Najib dalam Sidang Kemuncak Ketua Eksekutif (CEO Summit) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Singapura)

Dengan kenyataan ringkas ini, jelas menunjukkan kepada kita bagaimana sikap dan pendirian pemimpin no. 1 Malaysia terhadap sebuah negara kafir yang jelas memusuhi dan memerangi kaum Muslimin di seluruh dunia (kafir harbi fi’lan). Sungguh, ia sangat menyedihkan dan mengaibkan!

Wahai Najib, penting dari sudut manakah peranan Amerika untuk membangun sebuah peradaban ekonomi yang sejahtera di seluruh dunia? Bukankah krisis demi krisis yang selama ini menimpa dunia, adalah akibat diterapkannya sistem kapitalis dan kerana kebergantungan dunia kepada dolar Amerika sebagai sandaran mata wang? Ketahuilah, secara faktanya, bahawa usaha apa pun yang dilakukan oleh para pemimpin di seluruh dunia, khususnya para pemimpin Islam untuk meningkatkan ekonomi negara masing-masing, ia tetap tidak akan berjaya. Ini adalah kerana, sistem ekonomi yang di diterapkan oleh mereka masih menggunakan sistem yang bersandarkan kepada akal-akal manusia yang bersifat lemah dan selalu berubah-ubah. Walau Najib telah melakukan sedikit pembaharuan dan lebih berani dengan menyuntik RM1 bilion setiap bulan untuk pakej rangsangan ekonomi dan telah melakukan liberalisasi ekonomi tehadap 27 sektor kecil, namun ia masih belum mampu untuk menzahirkan kehidupan yang benar-benar sejahtera bagi rakyat Malaysia. Secara faktanya, kadar pendapatan rakyat Malaysia masih di paras yang rendah dengan kuasa membeli yang sangat terhad.

Cukuplah predikat ’canggih’ yang dilontarkan oleh sang aktor para pengamal sistem Kapitalis, yang selama ini telah membuat bencana kepada dunia. Tidak kisahlah dengan gelaran ’reformis ekonomi’ yang disandang oleh Najib. Selagi mana Najib dan para pemimpin dunia Islam yang lain tidak berhukum dengan hukum Allah SWT, selagi itulah kemurkaan Allah SWT akan menimpanya dan kepada orang-orang yang berpegang teguh kepada sistem thagut tersebut. Tidak usahlah bermain silap mata untuk mengabui mata masyarakat dengan jumlah perdagangan luar yang nilainya dua kali ganda daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini kerana, semua itu tidak akan menjamin sama sekali kesejahteraan bagi umat manusia selagi mana yang memegang kepentingan ekonomi hanyalah golongan pemodal (kapital) semata.

Umum mengetahui, bahawa Sistem kapitalisme merupakan sistem ekonomi yang lahir dari aqidah sekularisme; aqidah yang mengenepikan peranan Allah sebagai As-Syaari’ atau pembuat hukum. Ia merupakan aqidah yang mengagungkan akal sebagai ‘arbitrator’, yang melahirkan segenap pemikiran dan sistem kehidupan manusia. Sistem ekonomi kapitalisme merupakan sistem yang hanya mementingkan keperluan materialistik manusia sebagai dasar permasalahannya. Dalam membincangkan permasalahan ini, pendukung sistem ini meletakkan 3 perkara sebagai asas perbincangan mereka.

1. Kekurangan relatif komoditi dan perkhidmatan (services) di dalam dunia berbanding dengan keperluan manusia yang terus meningkat.

2. Penekanan ke atas nilai produk (komoditi atau perkhidmatan) dalam pengkajian dan pengamatan mereka.

3. Harga dan peranannya dalam aspek pengeluaran, pengagihan dan penggunaan produk.

Masalah kenaikan harga minyak yang kita hadapi hari ini misalnya, adalah suatu yang pasti berlaku dan akan terus berlaku selama mana sistem kapitalisme ini menjadi asas kepada kehidupan kita. Sebarang ‘penyelesaian’, selama mana ia tetap diasaskan kepada idea-idea kapitalisme, tidaklah ia layak digelar penyelesaian. Kita sebenarnya telah pun terperangkap di dalam lubang kapitalisme yang akan terus mewujudkan ketidakstabilan dan kenistaan di dalam kehidupan kita. Satu-satunya jalan keluar hanyalah dengan mengembalikan sistem Islam melalui penegakkan semula entiti politik Islam yang universal, yakni, Al-Khilafah.

Keadilan dan kesejahteraan sistem kehidupan Islam telah terbukti secara empirik – dan tiada siapa yang mampu menolaknya – melalui penerapan Deen Al-Islam selama lebih 1300 tahun. Dalam aspek ekonomi, Islam meletakkan masalah pengagihan kekayaan sebagai masalah utama yang perlu diselesaikan. Islam juga memastikan kepemilikan kekayaan diperhatikan dengan hukum-hukum yang khusus. Sebagai contoh, kepemilikan dibahagikan kepada 3 jenis; kepemilikan individu, kepemilikan umum dan kepemilikan negara. Minyak, yang banyak menimbulkan pelbagai persoalan sejak kebelakangan ini diletakkan di bawah kepemilikan umum di mana segala kekayaan yang berkaitan dengan kepemilikan ini adalah milik rakyat, bukannya syarikat atau individu. Syarikat dan individu boleh dikontrak untuk membantu proses carigali, pemprosesan dan pengagihan hanya sebagai ‘pekerja’ dan bukan ‘pemilik’ kekayaan ini. Dalam masalah kewangan, Islam mengasaskan wangnya kepada emas dan perak. Ini pasti akan mencipta suasana kewangan yang stabil dan menghapuskan inflasi. Kekayaan diukur dalam nilainya yang sebenar. Tiada lagi kekayaan yang boleh hilang dalam sekelip mata.

”Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan”. [TMQ Al-A’raf(7): 96]

Inilah sistem Islam. Sistem yang mewajibkan manfaat dan kemaslahatan ditumpahkan ke atas setiap individu yang hidup di bawah naungannya. Sistem yang menjanjikan kestabilan, kesenangan dan kerahmatan Allah SWT.

”Dan tidaklah kami mengutuskan engkau kecuali sebagai rahmat bagi sekelian alam”. [TMQ AL-Anbiya’:107]