Malaysia perlu rombakan sistem, bukan hanya kabinet

Tindakan Perdana Menteri Malaysia merombak dan menyusun semula kabinet kali ini telah mengundang perbincangan yang sangat panas. Antara yang menjadi kecaman dan pertikaian ialah pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan baru, yang telah diberikan kepada bukan Melayu.
Demikian juga dengan pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dikatakan bukan sahaja tidak layak, malah terlibat dalam aktiviti penggelapan dana dan ajaran yang kontroversi.
Manakala pelantikan Timbalan Menteri Pendidikan yang baru turut menjadi sindiran kerana sosok berkenaan pernah menentang kerajaan untuk menghapuskan PTPTN suatu waktu dahulu. Ramai yang mahu melihat janji dikota walaupun dalam keadaan tidak yakin sosok berkenaan akan melakukannya.
Tidak kira apa pun tujuan, agenda atau alasan PMX untuk merombak dan menyusun semula kabinetnya, apa yang pasti ialah sistem sekular demokrasi tetap dipertahankannya. Maka, hasilnya akan tetap sama. Sebuah pesawat yang sudah usang tidak akan dapat memastikan keselamatan para penumpangnya walau berganti kapten dan anak-anak kapal yang hebat sekali pun, apatah lagi jika kapten dan anak-anak kapalnya tidak punya kelayakan.
Sebagai Muslim, dan sebagai rakyat, kita berhak mempertikaikan apa yang dilakukan oleh pemerintah. Cumanya, apakah asas atau standard yang ingin kita gunakan dalam menyuarakan pendapat, bantahan atau muhasabah kita kepada pemerintah?
Di sinilah kesilapan dilakukan banyak pihak apabila mempertikaikan apa yang dilakukan PMX dengan menjadikan faktor perkauman, emosi, kelayakan akademik, janji reformasi dan lain-lain sebagai asas, dengan meninggalkan “agama” yang seharusnya dijadikan satu-satunya asas dan sandaran.
Menjadikan Islam sebagai standard
Ramai yang berpendapat bahawa PMX tunduk kepada DAP dalam melantik menteri daripada DAP, apatah lagi pelantikan tersebut berlaku tidak lama setelah parti majoriti Cina itu mengugut akan meninggalkan kerajaan disebabkan beberapa isu yang dibangkitkan.
Sentimen kaum tidak seharusnya dijadikan asas oleh seorang Muslim untuk menolak pelantikan pemimpin. Kita wajib menolak seseorang daripada menjadi pemimpin atas dasar akidah, kerana akidah Islam yang kita imani tidak membenarkan orang kafir untuk memegang jawatan pemerintahan.
Jika kita tidak setuju dengan pelantikan yang dilakukan, ukuran kita bukanlah kerana bangsa, tetapi kerana agama. Kita perlu faham bahawa Islam tidak pernah menghalang orang Cina daripada menjadi pemimpin jika agamanya ialah Islam. Dalam masa yang sama Islam mengharamkan orang Melayu daripada menjadi pemimpin, jika agamanya bukan Islam. Ukuran kita ialah akidah/agama, bukannya bangsa. Firman Allah (swt):
وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا
“Sekali-sekali Allah tidak akan pernah memberikan jalan kepada kaum kafir untuk menguasai kaum Mukmin.” [An-Nisa’ (4): 141]
Begitu juga dengan kelayakan akademik, walaupun penting, tetapi tidak seharusnya dijadikan asas oleh seseorang Muslim untuk menolak mana-mana pemimpin. Ini kerana amanah, tugas dan tanggungjawab seseorang pemimpin ialah menerapkan hukum Allah, tanpa mengira apakah latar belakang akademiknya.
Ukuran kelayakan seseorang pemimpin itu harus dinilai dari segi keilmuan dan kedalaman ilmu agamanya yang akan digunakannya untuk mengatur negara. Tidak ada guna sekiranya kepimpinan diserahkan kepada seorang yang mempunyai PhD dalam bidang syariah sekali pun apabila dia mengguna pakai hukum sekular dalam mengatur negara.
Lebih tidak berguna apabila kepimpinan diserahkan kepada seorang yang memiliki PhD dalam ekonomi kapitalis, lalu dia mempraktikkan ekonomi kufur itu dalam mengatur negara.
Persoalan di sini ialah pemimpin itu akan “memimpin dengan apa”, bukannya kelayakan akademik seseorang pemimpin. Jika dia memimpin dengan hukum Allah, maka dia benar, walau tidak memiliki kelayakan akademik sekali pun. Namun jika dia memimpin dengan hukum kufur, maka dia tidak berguna sedikit pun di sisi Allah, walau dia memiliki ijazah setinggi gunung sekali pun.
Inilah pertentangan Islam dengan demokrasi kerana dalam demokrasi, siapa pun boleh menjadi pemimpin kerana tidak ada pertimbangan agama dalam demokrasi. Atas dasar itu, seorang kafir boleh menjadi pemimpin, begitu juga dengan seorang murtad, sesat, fasiq, jahil, malah golongan LGBT sekali pun tidak ada halangan untuk dilantik menjadi pemimpin.
Dalam konteks ini, perlu diingat bahawa Islam bukan sahaja mengharamkan orang-orang kafir daripada menjadi pemimpin, bahkan Islam turut mengharamkan seorang Muslim yang memerintah dengan sistem dan undang-undang kufur. Firman Allah (swt):
فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ … وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ
“Putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu…Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah Allah turunkan Allah, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka, dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [Al-Ma’idah (5): 48-49].
Maka, tidak ada beza sedikit pun dari sudut keharaman sama ada orang-orang kafir menjadi pemimpin, atau orang Islam yang memimpin dengan kekufuran. Inilah ukuran (Islam) yang seharusnya ada pada umat Islam apabila ingin menilai sesuatu kepimpinan, bukannya dengan bangsa, emosi, kelayakan akademik dan lain-lain.
Kesimpulan
Sesungguhnya dua malapetaka yang menimpa umat ini sejak runtuhnya Khilafah ialah penguasa yang buruk dan juga sistem yang buruk. Umat ini masih belum dapat keluar daripada kedua-dua malapetaka ini sejak sekian lama, antaranya ialah kerana parti-parti yang mereka bertaut untuk melakukan perubahan, hanya berjuang untuk mendapatkan kekuasaan semata-mata tanpa merubah sistem. Sedangkan jalan keluar daripada kedua-dua malapetaka ini ialah dengan menukar kedua-duanya, bukan hanya menukar salah satunya.
Wallahu a’lam.