Masih berbangga dengan bendera asabiyah?
Kejayaan penjajah Barat menanamkan perasaan asabiyah di kalangan umat Islam jelas terserlah. Ini dapat dilihat apabila munculnya rasa kecewa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek terhadap kurangnya sambutan rakyat dalam Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Hari Kemerdekaan ke-56.
Daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri tersebut, ia menggambarkan seolah-olah satu dosa bagi rakyat jika tidak mengibarkan bendera asabiyah tersebut. Malah, beliau ingin mencadangkan untuk diperkenalkan satu undang-undang khas berkenaan isu ini dengan mengatakan, “saya ingin mencadangkan satu kajian dibuat sebelum mewujudkan apa-apa undang-undang di bawah pihak berkuasa tempatan, yang boleh memastikan semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang, terutama pada bulan kemerdekaan”. Lihatlah, betapa jauhnya umat Islam hari ini daripada syariat dan syiar Islam itu sendiri. Mereka sudah tidak mengenal yang manakah bendera Islam dan yang manakah bendera asabiyah. Mereka sudah tidak rasa berdosa untuk memperjuangkan dan mengibarkan bendera syiar kufur berbanding bendera dan panji Islam yang dikenali sebagai al-Liwa’ dan ar-Rayah.
Umat Islam terdahulu tidak pernah mengenal bendera dan panji lain dalam Islam selain daripada al-Liwa’ dan ar-Rayah. Ar-Rayah dan al-Liwa’ inilah yang menjadi salah satu daripada syiar Islam yang telah berjaya menyatukan kaum Ansar dan Muhajirun di bawah kepimpinan Rasulullah SAW di Madinah serta diteruskan oleh para Khalifah seterusnya sehingga menyebarluas ke dua pertiga dunia. Syiar inilah yang telah terbukti dapat menyatukan seluruh umat Islam tanpa mengira warna kulit, bahasa dan kawasan geografi di bawah naungan seorang pemimpin yang bergelar Khalifah. Ia bermula dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah kepada kekhilafahan yang terakhir iaitulah Khilafah Uthmaniyah. Malangnya, umat Islam pada hari ini sebaliknya berbangga dengan seruan yang diharamkan oleh Islam iaitu seruan kufur asabiyah. Kebanyakan umat Islam berbangga dengan negara bangsa masing-masing. Ini telah mengakibatkan negeri-negeri umat Islam menjadi lemah dan terus melemah dan kesannya adalah amat mudah bagi negera-negera penjajah seperti AS dan Britain untuk meratah dan menjajah dunia Islam sebagaimana yang dapat kita saksikan di depan mata. Barat dengan liciknya telah memberikan hadiah bendera asabiyah kepada seluruh umat Islam dan secara sedar ataupun tidak sedar, umat Islam hari ini telah menyerahkan negara dan diri mereka kepada musuh-musuh Islam untuk diteruskan cengkaman penjajahan mereka. Apakah kita masih belum sedar tentang perkara ini?
Sila baca: sautun-nahdhahbendera kita
Sumber : mstar.com.my