Mentera Semerah Padi Najib?
KUANG 1 Sept. — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, 1Malaysia merupakan satu gagasan yang bersifat keislaman terutamanya dari segi pengisian dan matlamatnya yang bercirikan Perlembagaan Madinah. Perdana Menteri berkata, apabila 1Malaysia diamalkan ia mampu menjadikan negara lebih aman dan kehidupan rakyat lebih harmoni. Katanya, Perlembagaan Madinah merupakan perlembagaan Islam pertama yang mengutamakan dan mempertahankan Islam, memberi keadilan kepada semua kaum dan melindungi kaum minoriti serta kebebasan mengamalkan agama dan prinsip-prinsip ini terangkum di dalam 1Malaysia. “Oleh itu kita sama-sama melakukan yang terbaik kepada umat Islam dan berlaku adil kepada bukan Islam. Mudahan-mudahan dengan cara ini kita akan lebih bertakwa kepada Allah dan inilah sebenarnya terangkum dalam gagasan 1Malaysia,” katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama Badan Perhubungan UMNO Selangor di Kampung Setia di sini hari ini.
Najib Dah Mula Membuka Menteranya?
Perbandingan yang dibuat oleh Najib ibarat membandingkan babi dan lembu. Babi berkaki empat, ada ekor, ada bulu, ada telinga…. Lembu juga berkaki empat, ada ekor, ada bulu, ada telinga…. maka babi sama dengan lembu….halal untuk dimakan. Bukankah ini adalah suatu kesalahan yang sangat besar dalam membandingkan dua realiti yang berbeza? Begitu mudah sungguh perbandingan yang dibuat oleh Najib untuk mengiyakan dakwaan bahawa 1Malaysia itu bercirikan Perlembagaan Madinah. Di manakah para penasihat agama PM yang gaji mereka ribuan ringgit setiap bulan berada disaat Najib mengeluarkan kenyataan ini? Adakah mereka tertidur kerana kelaparan dibulan Ramadhan ataupun tertidur kerana perut mereka kekenyangan diisi dengan juadah berbuka puasa? Di mana teguran mereka sehinggakan dengan begitu mudah Najib membuat perbandingan antara 1Malaysia dengan Perlembagaan Madinah – perbandingan yang pada hakikatnya sangat berbeza bagaikan langit dengan bumi!
Wahai Najib! Apakah kamu sedar bahawa Perlembagaan Madinah itu sumbernya adalah wahyu Allah SWT?
“Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”. [TMQ An-Najm (53) :4-5].
Bagaimana pula dengan konsep 1Malaysia. Berasaskan pemikiran manusia dan beraspirasikan perlembagaan manusia, mana bisa kita dapat bandingkan dengan wahyu Allah??? Perbandingan yang salah mulai dari asasnya hinggalah kepada cabang-cabangnya!! Hanya mereka yang mendapat taufiq dan hidayah sahaja yang akan dapat melihat bahawa kebatilan itu sebagai kebatilan dan kebenaran itu sebagai suatu kebenaran. Semoga Najib mendapatkan “kekuatan” ini dicelah-celah kebesaran Ramadhan kali ini.