Palestin: Bumi Isra’ dan Mi’raj yang masih terjajah

Tanggal 27 Rejab kembali mengunjungi kita buat ke sekian kalinya. Tarikh ini mempunyai nilai yang cukup bermakna dalam lipatan sejarah umat Islam, kerana pada tarikh inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj ke atas junjungan mulia Rasulullah (saw). Peristiwa ini sangat signifikan bagi seluruh umat Islam kerana ia bukan sahaja menguji dan mengukuhkan keimanan kaum Muslimin, malah melalui peristiwa inilah solat fardhu lima waktu mula diperintahkan ke atas umat yang mulia ini.

Siri perjalanan yang dialami oleh baginda (saw) seharusnya sentiasa segar di ingatan setiap individu Muslim, kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj tidak pernah putus disampaikan dari satu generasi ke satu generasi. Bahkan ibrah (pengajaran) daripada peristiwa tersebut sentiasa diingatkan oleh para penyampai  saban tahun setiap kali tibanya tanggal 27 Rajab.

Namun, dalam kita mengenang peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, sebahagian daripada kita seringkali terlupa akan nasib umat Islam di Palestin, di mana terletaknya Masjid al-Aqsa yang menjadi saksi peristiwa Isra’nya Rasulullah (saw) dari Masjidil Haram, dan kemudiannya diMi’raj’kan baginda (saw) ke Sidratul Muntaha.

Realitinya kini, semakin besar tanah Palestin telah dirampas oleh puak Yahudi bagi memperbesarkan penempatan sekali gus negara haram mereka, manakala sisa tanah yang berbaki yang diduduki oleh warga Palestin, pun tetap berada dalam cengkaman rejim kufur tersebut.

Semenanjung Gaza, yang menempatkan lebih 1.8 juta penduduk dalam kawasan seluas hanya 365 kilometer persegi kini telah memasuki tahun ke-13 pengepungan oleh rejim Yahudi. Kepungan yang bermula dari tahun 2007 ini menyaksikan penduduk Gaza berhadapan dengan sekatan pergerakan dan catuan bekalan dan keperluan harian.

Bahkan nyawa mereka seringkali terancam dek serangan dan pengeboman udara oleh jet-jet pejuang entiti haram Yahudi sebagaimana yang berlaku pada 2009 dan 2014. Di sepanjang tempoh tersebut juga, mereka mengalami keperitan hidup akibat sekatan ekonomi serta kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi.

Keadaan diburukkan lagi apabila Mesir turut sama bersekongkol dengan entiti Yahudi dalam pengepungan tersebut apabila kawalan diketatkan ke atas laluan di Rafah, yang sekali gus menunjukkan pengkhianatan rejim diktator negara berkenaan ke atas umat Islam.

Sungguhpun dalam keperitan hidup sedemikian, warga Palestin tidak lupa untuk mendoakan keselamatan umat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia, dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang sedang melanda. Bayangkan jika warga Malaysia sudah mulai risau dan resah dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang baru dikuatkuasakan bagi membendung penularan Covid-19, warga Palestin telah lama berhadapan dengan pengepungan yang jauh lebih teruk dan buruk.

Justeru, tidak seyogia jika ada dalam kalangan umat Islam yang melupakan Palestin dan warganya, apatah lagi jika ada yang menganggap konflik yang melanda Palestin sebagai isu tempatan. Lebih malang jika ada yang mempertikaikan mengapa kita perlu mengambil tahu atau mempedulikan isu Palestin, sedangkan isu dalam negara masih banyak yang belum selesai.

Manakala dari sudut politik, Palestin masih terjebak dengan penyelesaian dua-negara (two-state solution) yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) dengan sokongan PBB. Sungguh malang apabila hampir keseluruhan penguasa umat Islam bersetuju dengan penyelesaian tajaan Amerika ini, yang membuktikan secara jelas akan pengkhianatan mereka ke atas tanah Palestin dan umat Islam.

Pengisytiharan Presiden AS, Donald Trump yang menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara entiti haram Yahudi itu juga jelas menunjukkan keangkuhan dan kebenciannya kepada Islam dan umatnya dalam isu Palestin. Apa yang lebih menyedihkan ialah adanya segelintir umat Islam yang masih berharap kepada Amerika dan PBB dalam menyelesaikan konflik Palestin.

Umat Islam seharusnya sedar bahawa bumi Palestin yang diberkati, bumi yang menjadi saksi peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang agung, merupakan bumi milik umat Islam yang telah dirampas dan sedang dijajah oleh musuh Islam. Menjadi kewajipan bagi penguasa dan tentera umat Islam untuk membebaskan bumi Palestin dengan jalan jihad fi sabilillah, tetapi malangnya mereka tidak berbuat demikian. Justeru, setiap dari kita wajib berusaha untuk membebaskan Palestin dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan kembali Khilafah Rasyidah, yang dengannya tentera umat Islam akan digerakkan oleh Sang Khalifah bagi membebaskan tanah yang diberkati itu insya Allah.

Editor