Palestin Perlukan Pembelaan Khilafah
Kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin ketika ini sukar untuk dibayangkan. Dunia yang luas seolah-olah menjadi sempit bagi mereka. Hampir semua jalan-jalan masuk ditutup oleh rejim Zionis Yahudi. Bekalan makanan dan ubat-ubatan semakin berkurangan. Lebih memilukan apabila mendengar khabar anak-anak kecil yang terpaksa menanggung kesakitan dan kelaparan sehingga ada sebahagiannya yang dilaporkan telah meninggal dunia. Jelaslah, kekejaman entiti Yahudi dan Barat tiada batas kemanusiaan.
Rakyat Palestin dilihat seperti sedang dihukum oleh Barat kerana memilih Hamas di dalam pilihanraya yang lalu. Akibatnya, Parti Fatah, yang dianggap gagal untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin telah dipaksa untuk duduk di bawah pemerintahan Hamas. Amerika kemudiannya telah mengambil keputusan untuk menghentikan bantuan kewangan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) pimpinan Hamas sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh rakyat Palestin. Tindakan yang jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi yang mereka laungkan itu kemudiannya telah diikuti oleh negara-negara Eropah.