Pejuang Wanita Yang Keliru
IPOH: Pergerakan Wanita UMNO mahu 30 peratus daripada calon parti itu pada pilihan raya umum akan datang adalah dari kalangan wanita, kata Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat Wanita UMNO Gopeng, di sini, sebentar tadi.
Sumber : Berita Harian Online, 30/04/2011
Pejuang Wanita Yang Keliru
Tidak cukup dengan gesaan agar masyarakat menerima kepemimpinan wanita di Malaysia, kali ini Shahrizat semakin spesifik dengan menggesa agar diperuntukkan 30% daripada kerusi yang akan dipertandingkan oleh UMNO, calonnya adalah dari kalangan kaum hawa.
Boleh dikatakan bahawa beliaulah wanita yang akan pertama kali melenting sekiranya terdapat mana-mana isu yang seolah-olah “merendahkan” martabat wanita. Aduh, sungguh hebat jagoan wanita ini!
Dalam isu pepemimpinan wanita, Islam dengan jelas telah mengharamkan wanita memegang tampuk kepimpinan/ pemerintahan. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Bakrah, dengan ia menuturkan bahawa: “Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa penduduk Parsi telah mengangkat putri Kisra sebagai ratu (ketua) mereka, baginda lalu bersabda, ‘Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada wanita” [HR Bukhari].
Hadis ini dengan jelas melarang wanita daripada memegang jawatan yang melibatkan urusan pemerintahan. Melalui pilihanraya demokrasi sekarang, Ahli Parlimen atau ADUN yang dipilih bakal memegang tampuk kekuasaan. Oleh itu, gesaan daripada Shahrizat ini merupakan satu gesaan yang menuju kepada keharaman. Ini belum ditambah lagi dengan keharaman sistem demokrasi yang akan diamalkan dan dipertahankan oleh mereka yang terpilih. Namun begitu, untuk jawatan yang bukan tergolong daripada urusan pemerintahan seperti pentadbiran, maka ia merupakan suatu perkara yang mubah bagi wanita untuk menjawatnya. Oleh itu, diharap “pejuang” wanita ini agar segera bertaubat, serta membawa “perjuangan wanita” beliau ini ke haluan yang diredhai oleh Allah. [Bacaan lanjut : SN246 -WANITA SEBAGAI WAKIL RAKYAT, APA HUKUMNYA?]