Ancaman Penjara: Antara senjata Firaun untuk membungkam pembawa kebenaran

Para pencinta demokrasi pada hari ini seharusnya sedar bahawa sistem ini hanyalah sebuah sistem yang digunakan oleh para penguasa untuk mengekalkan kekuasaan mereka melalui jalan yang sama yang digunakan oleh si diktator. Demokrasi tidak lebih daripada sebuah istilah lunak untuk menutup sebuah kediktatoran.
Di saat slogan suci demokrasi – dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat dilaungkan, berserta dengan segala laungan lainnya seperti “suara rakyat suara keramat”, “kebebasan bersuara”, “hak asasi” dan sebagainya, realitinya ancaman penjara sentiasa dijadikan senjata politik paling ampuh oleh para penguasa demokrasi untuk membungkam mulut rakyatnya yang menyuarakan kebenaran.
Apabila kita menelusuri al-Quran, kita akan mendapati bahawa taktik kotor ini bukanlah satu inovasi moden. Ancaman sebegini telah pun digunakan oleh bapa kepada segala taghut, iaitu Firaun. Allah (swt) merakamkan keangkuhan Firaun ketika dia buntu berhadapan dengan hujah Nabi Musa (as):
﴿قَالَ لَئِنِ ٱتَّخَذۡتَ إِلَٰهًا غَيۡرِي لَأَجۡعَلَنَّكَ مِنَ ٱلۡمَسۡجُونِينَ﴾
“Firaun berkata: “Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan selain daripadaku, sudah tentu aku akan jadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan” [ASy-Syu’ara (26): 29] .
Ancaman penjara oleh Firaun ini menyingkap satu senjata politik yang sangat penting bagi seorang penguasa diktator iaitu kekerasan sebagai perlindungan terakhir bagi penguasa yang telah bankrap hujah, dalam usahanya menyelamatkan takhtanya.
Apabila Nabi Musa (as) datang membawa kebenaran yang nyata, Firaun tidak mampu mematahkan hujah tersebut secara intelektual. Dia tidak mampu berhujah secara rasional kenapa dia layak disembah. Seharusnya hujah dilawan dengan hujah. Namun, apabila “logik akal” Firaun tewas di hadapan “wahyu”, dia beralih kepada kekuatan (kuasa) yang dimilikinya dengan mengancam penjara orang yang membawa kebenaran.
Penguasa berwajah Firaun
Walaupun Firaun telah mati ribuan tahun yang lalu, namun Allah (swt) menyelamatkan jasadnya untuk menjadi pengajaran kepada umat manusia. Malangnya berapa ramai daripada penguasa sejak dulu hingga sekarang, baik Muslim mahu pun bukan, yang tidak mengambil pengajaran daripada kisah Firaun, walaupun mereka boleh melihat jasad Firaun di depan mata.
Kita lebih mudah memahami sekiranya penguasa kafir yang meniru perangai Firaun, namun malangnya kita turut melihat para penguasa Muslim yang “berwajahkan” Firaun. Lihatlah para penguasa dunia Islam pada hari ini, baik yang jauh mahu pun dekat, baik yang terkenal diktator mahu pun yang bertopengkan demokrasi, berapa ramai yang sedang meneladani “sunnah” Firaun ini.
Mereka terkenal gila kuasa, dan memegang tampuk kekuasaan dengan menerapkan sistem sekular yang rosak. Apabila para pendakwah, pejuang syariah, ulama yang ikhlas, hatta rakyat biasa pun yang cuba memuhasabah kezaliman mereka, dan mengkritik kerosakan sistem yang mereka terapkan, lalu apabila mereka sudah ketandusan hujah untuk mempertahankan diri, maka apakah jawapan mereka? “Diam atau aku humbankan dalam penjara”!
Maka, dikerahkanlah segala jentera keselamatan mereka dan digunakanlah segala undang-undang drakonian mereka, dan mahkamah mereka, untuk menangkap, mendakwa dan memenjarakan penyampai kebenaran. Siapa sahaja yang mengkritik mereka dianggap sebagai penggugat keamanan dan pengancam keselamatan negara. Malah, tidak sedikit daripada golongan pendakwah yang menyeru kepada kebenaran dan penyatuan, dilabel oleh mereka sebagai sesat, ekstremis dan pemecah-belah masyarakat.
Maka tidak pelik apabila kita melihat penjara di seluruh dunia pada hari ini bukan sahaja dihuni oleh penjenayah, tetapi turut dihuni oleh para pejuang kebenaran yang telah dihumban oleh penguasa diktator ke dalamnya.
Para penguasa yang zalim lagi angkuh ini lupa atau buat-buat lupa akan kesudahan kisah Firaun yang mana tembok penjara dan bala tenteranya tidak mampu memadamkan cahaya kebenaran yang dibawa oleh Musa (as). Firaun menyangka yang penjara dan bala tenteranya mampu mengekalkan kekuasaannya. Namun, Allah (swt) berkehendak sebaliknya:
﴿وَأَنجَيۡنَا مُوسَىٰ وَمَن مَّعَهُۥٓ أَجۡمَعِينَ ثُمَّ أَغۡرَقۡنَا ٱلۡأَخَرِينَ﴾
“Dan Kami selamatkan Musa serta orang-orang yang bersama dengannya semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (Firaun dan tenteranya)” [Al-Syu’ara (26): 65-66].
Demikianlah berakhirnya riwayat penguasa sombong yang mahu menghumban Musa ke dalam penjara. Dia dan tenteranya ditenggelamkan oleh Allah (swt), dan dihina oleh Allah dan sekalian makhluk sampai kiamat, dan pada hari berbangkit azab yang lebih besar menanti mereka disebabkan kekufuran dan kesombongan mereka.
Kesimpulan
Sekiranya penguasa Muslim yang mengikuti sunnah Firaun ini mempunyai sedikit kesedaran dan ketakutan, nescaya mereka segera bertaubat kepada Allah dan kembali kepada-Nya dengan menerapkan keseluruhan hukum-Nya. Namun, berapa ramai daripada mereka yang tidak pernah sedar dan tidak pernah takut kepada azab Allah (swt), sehingga terus melakukan kezaliman demi mempertahankan kerusi empuk mereka, yang sebenarnya sudah reput dan menunggu masa untuk roboh. Sesungguhnya kezaliman mereka hanyalah akan mempercepatkan lagi ajal kekuasaan mereka, dan sesungguhnya Allah (swt) tidak pernah lalai daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim.
﴿وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ﴾
“Dan janganlah sekali-kali kamu (wahai Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu mata (mereka) terbeliak” [Ibrahim (14): 42]
Wallahu a’lam.