Perbicaraan 4 anggota HTM ditangguh lagi
BANDAR BARU BANGI 18 Okt – Perbicaraan yang melibatkan empat orang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat yang sepatutnya bersambung hari ini, telah ditangguhkan akibat hakim bercuti kecemasan.
Perbicaraan hari ini sepatutnya diteruskan dengan hakim baru, dengan sambungan soalan utama ke atas Saksi Pendakwaan ke-10 iaitu pegawai penyiasat (IO).
Dalam sebutan di hadapan hakim pengganti hari ini, pendakwa cuba menjelaskan bahawa permohonan yang ingin dibuat oleh OKT sebelum ini untuk menukar hakim adalah tidak perlu kerana kes tetap boleh diteruskan dengan hakim baru kerana masih di peringkat prima facie.
OKT menjelaskan bahawa mereka tidak berhasrat untuk menukar hakim, tetapi dalam sebutan sebelum ini hanya bertanyakan hakim baru tersebut sama ada wujud peruntukan untuk menukar hakim dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor.
Hakim asal yang mengendalikan kes ini telah dipindahkan ke Melaka dengan jawatan baru sebagai Ketua Pendakwa Syarie.
Mahkamah membenarkan permintaan pendakwa untuk menangguhkan kes ke 31 Januari 2023.