Politik dan sistem sekular bukan perlu direset, tapi direject dan replace

Sebahagian pemimpin pembangkang dilihat mendabik dada dengan pengisytiharan sebuah parti baru yang kini bergabung dalam blok mereka. Bertemakan “reset”, parti serpihan itu cuba mengetengahkan idea mereka sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia. Parti baru ini muncul hanya dalam masa lebih kurang sebulan setelah kemunculan sebuah parti serpihan lain sebelum ini.

Ketua parti baru itu menyatakan yang satu “reset” (penetapan semula) diperlukan sebagai langkah permulaan ke arah pembetulan dan penambahbaikan negara. Sekali dengar semacam agenda “reset” ini cukup menarik untuk diperhatikan. Namun, jika dilihat secara jernih, ia sebenarnya tak ubah sebagaimana agenda “reformasi” yang pernah dibawa dan ditawarkan oleh sebuah parti suatu waktu dahulu yang kini menjadi parti pemerintah.

Pemilihan tema sangat penting bagi parti-parti politik demokrasi, kerana itulah modal mereka untuk dijaja ke hulu-hilir. Ia penting sebagai gambaran perjuangan mereka untuk ditanam di benak rakyat agar parti-parti mereka kelihatan hebat dan bakal membawa perubahan yang selama ini didambakan oleh rakyat.

Hakikatnya, tidak ada apa pun yang baru yang parti-parti ini tawarkan kepada rakyat kecuali permainan istilah dan kata-kata sahaja. Idea “reset” itu sendiri hanya muncul setelah orang itu ditendang oleh partinya, sedangkan semasa memegang kuasa dan pernah menjadi menteri kanan, tidak ada apa-apa “reset” pun dalam politik dan pemerintahan negara ini yang dilakukannya.

Inilah mainan mulut orang-orang politik apabila telah hilang kuasa. Dalam usaha mendaki semula ke takhta kekuasaan, pelbagai istilah dan janji manis yang keluar di mulut, seolah-olah agenda yang dibawa mereka adalah agenda yang terbaik untuk negara. Padahal ketika berkuasa, merekalah yang sebenarnya telah merosakkan negara.

Demikianlah dengan agenda “reformasi” yang pernah dibawa oleh seorang ahli politik suatu waktu dahulu, satu agenda yang dilihat begitu hebat, besar dan menyeluruh untuk membawa negara ini kepada perubahan. Bahkan agenda tersebut dilihat suci oleh pengikut-pengikutnya dan diperjuangkan bermati-matian sehingga sanggup bergolek-golek di jalan raya, masuk penjara dan sebagainya. Namun, ternyata agenda tersebut akhirnya hancur lebur apabila orang tersebut menaiki takhta.

Justeru, apa sangatlah yang boleh rakyat harapkan dengan agenda “reset”, apabila agenda reformasi yang dibawa oleh orang yang jauh lebih karismatik, pun akhirnya dikuburkan hidup-hidup oleh pembawanya sendiri di hadapan rakyat dan di hadapan pengikut-pengikutnya sendiri.

Tidak dinafikan yang rakyat memang pada awalnya akan bersemangat apabila munculnya seseorang yang kelihatan hero, yang diharap boleh melakukan perubahan dan menyelamatkan mereka daripada politik cacamerba dan negara yang haru biru ini.

Namun, sejarah sudah banyak kali membuktikan yang hero ini, apabila sudah berjaya mencapai impiannya, maka topengnya tertanggal sedikit demi sedikit sehingga akhirnya menampakkan wajahnya yang sebenar – wajah yang cakap tak serupa bikin, penipu, hipokrit, zalim dan lebih buruk daripada pemegang takhta sebelumnya. Rakyat menjadi pihak yang sentiasa tertipu dan terpedaya. Ini dari satu sisi.

Dari sisi lain, agenda “reset” sebenarnya tidak ada beza sedikit pun dengan agenda “reformasi”. Kedua-duanya hanyalah usaha, jika pun bukan retorik kosong politik, untuk memperbaiki atau memulihkan suatu yang rosak dengan suatu yang juga rosak – umpama usaha membaiki jalan yang pecah akibat tar yang tidak berkualiti, dengan menampalnya menggunakan tar baru dari jenis yang sama atau lebih rendah kualitinya; atau mungkin perumpamaan yang lebih tepat ialah sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang tokoh suatu ketika dahulu – umpama membersihkan najis dari dalam tong najis!

“Reset” Dalam Wadah Sekular: Mengekalkan Sistem Kufur dan Kerosakan

Demokrasi merupakan sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat yang penuh dengan kerosakan. Negara ini telah terbukti rosak akibat menggunakan sistem ini, yang jelas bertentangan dengan Islam. Justeru, apa jua usaha untuk memperbaiki sistem ini dengan menggunakan apa sahaja jenama – baik jenama “reset” atau “reformasi”, ia tidak lebih daripada sekadar usaha tambal sulam atau kosmetik yang tidak pernah menyentuh akar umbi permasalahan sebenar umat dan negara pada hari ini.

Usaha memperbaiki sistem sekular dari dalam tidak lebih umpama usaha menutup kebusukan sebuah kubangan sampah menggunakan bedak atau minyak wangi. Jika dulu jenama minyak wangi tersebut ialah “reformasi”, kini ada penjual baru mengeluarkan minyak wangi baru dengan jenama “reset”. Sebagai minyak wangi, ia sudah pasti mengeluarkan bau yang menyenangkan dan memikat sebahagian orang, namun hakikatnya ia tidak akan sama sekali menghilangkan bau busuk kubangan sampah-sarap yang cuba ditutupnya.

Dalam rangka menjadi hero baru untuk menggantikan hero lama, ahli politik sekular sering kali mengalih perhatian umat dengan mendakwa bahawa masalah negara berpunca daripada kelemahan atau kesalahan individu dan juga salah urus tadbir. Sedangkan, krisis multidimensi dan penderitaan yang dihadapi oleh umat adalah impak langsung daripada penerapan sistem demokrasi-sekular yang korup.

Masalah umat Islam dan masalah negara tidak akan pernah selesai dengan hanya menukar wajah-wajah pemimpin, atau wajah-wajah ahli parlimen atau mengadakan pilihan raya demi pilihan raya. Selagi sistem demokrasi-sekular ini diterapkan dengan undang-undang buatan manusia (bukannya undang-undang Pencipta manusia), mengatur hidup manusia, maka segala agenda yang dibawa, baik namanya “reformasi” atau “reset”, hanyalah sebuah agenda politik untuk meraih sokongan rakyat demi kuasa sahaja, bukannya penyelesaian masalah rakyat atau negara.

Agenda untuk mereset apa pun dalam sistem sekular ini, hakikatnya akan terus mengekalkan sistem sekular, sebuah sistem kufur yang telah terbukti rosak dan merosakkan.

Jalan Penyelesaian: Reject and Replace Sistem Demokrasi-Sekular

Apa yang diperlukan oleh umat Islam bukannya “reset” sistem demokrasi-sekular sedia ada, tetapi “reject and replace” (tolak dan ganti) sistem tersebut dengan sistem Islam. Umat Islam wajib reject sistem kufur yang datangnya dari penjajah ini, serta amalan politik kotor yang hanya mahu mempertahankan sistem ini, dan seterusnya replace (menggantikannya) dengan sistem Islam.

Siapa pun yang berpolitik dalam sistem ini, dengan agenda apa pun yang cuba dibawanya, baik “reformasi” atau “reset”, hanya akan mengekalkan lagi sistem ini, sekali gus bermaksud memilih untuk hidup di bawah naungan hukum selain daripada apa yang diturunkan oleh Allah. Ini semua bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, bahkan hanya mengundang murka Allah. Na’uzubillah min zalik.

Justeru, sistem sekular yang rosak ini wajib direject, bukannya direset, dan seterusnya direplace (ganti) secara total dengan sistem Islam (Khilafah) berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Hanya melalui usaha ini (reject sistem sekular dan replace dengan sistem Islam), barulah negara ini akan mengalami perubahan yang hakiki.

Apa yang pasti, perubahan hakiki tidak akan tercapai melalui parti-parti politik demokrasi, kerana tujuan parti-parti politik demokrasi hanyalah untuk berkuasa dengan mengekalkan sistem sedia ada, bahkan lebih buruk, sanggup menghalalkan segala cara demi meraih kuasa.

Sesungguhnya umat Islam, dan negara ini, memerlukan perubahan total, perubahan yang menukar (taghyir) sistem kufur demokrasi kepada sistem Islam, bukannya perubahan yang hanya memperbaiki (islah) sistem kufur, yang kesannya (islah) bukan sahaja tidak ke mana, bahkan boleh membawa dosa.

Umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan apa jua idea, jenama atau slogan yang dibawa oleh parti politik demokrasi kerana gagasan yang mereka bawa langsung tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, sebaliknya hanya memberi talian hayat kepada sistem sekular yang sedang mereput ini.

Sejarah negara ini seharusnya sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada kita bahawa parti-parti politik demokrasi akan terus menipu umat demi meraih kuasa. Telah terbukti bahawa mereka sanggup melakukan apa sahaja demi takhta, bahkan hingga ke tahap menunggang agama. Atas dasar itulah politik demokrasi ini mesti direject, bukan direset.

Wallahu a’lam.