PRK KKB: Apa beza menang atau kalah?
Pesta kecil demokrasi di Kuala Kubu Baharu sudah pun menutup tirai dengan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kemenangan, mengalahkan tiga calon lain dan dua daripadanya telah hilang wang pertaruhan.
Walaupun pestanya kecil, tetapi “kemeriahan” dan kepanasannya luar biasa kerana hampir seluruh kekuatan jentera pihak-pihak yang terlibat dikerah ke tapak pesta berkenaan. Bagi yang menang, setidaknya mereka boleh menarik nafas lega kerana telah terbukti sokongan terhadap mereka masih utuh. Bagi yang kalah, walaupun terpaksa akur tetapi nampaknya tidak berdiam diri selagi boleh merendah-rendahkan kemenangan pihak lawan, atau selagi boleh berusaha membatalkan kemenangan pihak lawan tersebut.
Sama ada menang atau kalah, seperti biasa kedua-dua pihak akan melakukan pelbagai analisis bagi mengenal pasti punca kemenangan dan kekalahan. Analisis yang dilakukan biasanya tidak akan simple, tetapi cukup mendalam dengan mengkaji segenap sudut. Pendek kata mereka akan melihat kepada setiap faktor kekuatan dan kelemahan dalam rangka untuk memperbaikinya di masa depan.
Semua analisis itu sudah menjadi “kewajipan” bagi parti-parti yang bertanding, kerana walaupun menang atau kalah satu kerusi sahaja, tidak kira kerusi negeri atau parlimen, ia memberi kesan yang cukup besar kepada parti.
Tolak ke tepi analisis mereka, persoalannya apakah pula “analisis” yang perlu dilakukan oleh kita sebagai seorang Muslim? Terbalik daripada parti-parti yang bertanding, kita sebenarnya tidak perlu melakukan analisis yang mendalam dan cukuplah untuk kita menjawab beberapa persoalan yang simple sahaja.
Persoalannya ialah, apakah akan wujud apa-apa perubahan yang didambakan oleh umat Islam dengan kemenangan pihak mana pun? Apakah selesai isu kos sara hidup dan lain-lain masalah yang begitu banyak yang sedang dihadapi oleh umat Islam, dengan kemenangan si A atau si B? Apakah akan berlaku perubahan pada undang-undang yang akan berpihak kepada rakyat?
Apakah sistem perbankan ribawi yang “diwarisi” dari kaum Yahudi di negara ini akan terhapus? Apakah pusat-pusat kegiatan syaitan (judi) dan kilang-kilang air kencing syaitan (arak) yang berdiri megah selama ini akan roboh? Apakah segala jenis cukai, termasuk tol, yang menindas rakyat sejak puluhan tahun akan lenyap? Apakah segala hasil bumi seperti minyak, gas asli, emas, bauksit dan lain-lain akan dikembalikan keuntungannya kepada rakyat?
Pokok persoalan ialah, siapa pun yang menang atau parti mana pun yang menang, apakah kebaikannya untuk Islam dan umatnya? Adakah hukum sekular yang mendominasi kita semua pada hari ini akan terhapus? Apakah hukum Allah akan terlaksana secara kaffah? Apakah negara ini akan menjadi negara yang diredhai oleh Allah sebagai sebuah negara yang baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur?
Bukti apa lagi yang umat Islam di negara ini mahu lihat, setelah berkali-kali pilihan raya diadakan, terkadang si A menang, terkadang si B menang, terkadang si C menang dan begitulah seterusnya. Malah, kerajaan telah pun bertukar beberapa kali baik melalui pintu depan atau pintu belakang, dan ternyata semua itu tidak membawa apa-apa perubahan pun.
Analisis demi analisis juga dilakukan selepas setiap kali pilihan raya, namun keadaan di Malaysia tidak juga berubah, tidak juga berbeza, malah dalam banyak keadaan menjadi lebih buruk daripada sebelumnya. Ini kerana parti-parti yang bertanding hanya melakukan analisis dalam rangka mengkaji faktor-faktor kemenangan atau kekalahan semata-mata, tanpa melihat kepada semua persoalan “simple” di atas.
Sebagai Muslim, kita seharusnya meletakkan persoalan dalam konteksnya yang benar, bukannya dalam konteks bagaimana untuk memenangi kerusi, atau dalam konteks ingin berkuasa semata-mata. Apa gunanya menang satu, dua, tiga bahkan jika menang kesemua kerusi sekali pun, sekiranya undang-undang dan sistem daripada kafir penjajah terus dikekalkan di negara ini? Apa gunanya berkuasa sekiranya hukum Allah tidak dijadikan hukum bagi negara ini?
Begitulah pesona demokrasi yang sudah lebih 60 tahun berlangsung di Malaysia, yang menawarkan kemenangan dan kekuasaan bagi para pemainnya. Habuan duniawi yang ditawarkan oleh demokrasi sungguh menggiurkan dan memukau setiap pemain. Akhirnya, ramai Muslim dan parti Islam yang terlibat dalam demokrasi, walaupun terkadang niatnya ialah untuk memartabatkan Islam, ternyata akhirnya kecundang dengan pesona demokrasi yang melalaikan.
Sesungguhnya umat ini tidak akan menjadi baik selagi mereka terus larut dalam pesta anjuran penjajah. Sesungguhnya mereka sedang bermain dalam game ciptaan penjajah. Mereka menyangka bahawa mereka sedang bermain dalam satu permainan yang boleh memberi kemenangan kepada mereka, tanpa menyedari bahawa hakikatnya mereka sedang dipermainkan.
Umat ini hanya akan kembali baik apabila ia kembali kepada apa yang telah menjadikannya baik suatu waktu dahulu, iaitu dengan mengikuti thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw), yang berdakwah dengan jalan wahyu sehingga tegaknya Daulah Islam, yang kemudian diwariskan oleh baginda (saw) kepada Sahabatnya, dan seterusnya diwariskan pula kepada generasi selepasnya dan selepasnya sehinggalah kepada keruntuhannya pada tahun 1924.
Inilah kewajipan utama umat Islam sekarang iaitu berusaha untuk mendirikan kembali Negara Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah, iaitu sebuah negara yang diwariskan oleh Rasulullah (saw) dan dijanjikan oleh baginda akan kembali tegak untuk kali yang kedua di akhir zaman nanti, dan insya Allah kita kini sedang berada di zamannya.
Wallahu a’lam.