SN031 – JEREBU….JEREBU…

PDF

SN Keluaran 2005

alt
 

[SN031] Ketika Sautun Nahdhah ini ditulis, keadaan jerebu di ibukota Kuala Lumpur telah hampir pulih. Bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) Kuala Lumpur menurun dari 276 ke 73. Begitu juga dengan dua tempat yang diisytiharkan darurat oleh kerajaan, Pelabuhan Kelang dan Kuala Selangor, bacaan IPU turun mendadak kepada sekitar 80. Dengan penurunan ini, perintah darurat ditarik balik oleh Majlis Keselamatan Negara pada 13hb Ogos 2005 [Mingguan Malaysia 14hb Ogos 2005]. Meskipun keadaan jerebu bertambah baik di kawasan selatan negara, angin monsun telah meniup jerebu ke kawasan utara negara pula. Pada 14hb Ogos, 2005, bacaan IPU di Perai, Pulau Pinang pula mencecah ke paras tidak sihat. Lebih membimbangkan lagi, pihak Jabatan Alam Sekitar memberi amaran bahawa keadaan baik di Lembah Kelang mungkin tidak akan kekal lama kerana tompokan-tompokan panas masih lagi dikesan di Pulau Sumatera. Mengikut laporan terbaru pada 14hb Ogos 2005, masih terdapat 141 tompok panas yang mungkin akan menyebabkan masalah jerebu berpanjangan hingga bulan Oktober 2005. Untuk pertama kalinya, bacaan IPU yang semenjak tahun 1997 menjadi rahsia kerajaan, telah dimaklumkan kepada umum lanjutan dari mesyuarat kabinet pada 10hb Ogos 2005.

Hasil dari mesyuarat yang dihadiri oleh Datuk Peter Chin di Medan dengan pihak berkuasa Indonesia, beliau mengatakan bahawa 70% dari pembakaran dikatakan berpunca dari pekebun-pekebun kecil manakala 30% yang lain berpunca dari ladang-ladang yang dimiliki oleh syarikat-syarikat perladangan. Memburukkan lagi keadaan, terdapat kemungkinan bahawa syarikat-syarikat Malaysia juga terlibat dengan pembakaran hutan di Sumatera yang menjadi punca jerebu di Semenanjung Malaysia. Malah pihak berkuasa Indonesia telahpun mengeluarkan senarai 8 syarikat Malaysia yang mungkin terlibat dengan pembakaran terbuka di Sumatera [Buletin Utama TV3, 15hb Ogos 2005].Walaubagaimanapun terdapat laporan di mana salah seorang pengurus syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Sumatera menolak tuduhan kerajaan Indonesia bahawa mereka terlibat dengan pembakaran tersebut [The Star, 13hb Ogos 2005].

Berdasarkan kepada keadaan yang masih tidak menentu ini, isu jerebu mungkin akan terus memenuhi dada-dada akhbar buat beberapa waktu lagi. Laporan TV dan akhbar sudah cukup memberikan informasi dan perkembangan semasa masalah jerebu yang membimbangkan ini. Sautun Nahdhah tidak ingin memanjang-lebarkan perbincangan fakta mengenai isu ini, namun ingin mengajak para pembaca yang budiman memikirkan masalah jerebu ini dari perspektif yang agak berbeza; perspektif yang menyoroti sifat dan pemikiran manusia yang tidak pernah lekang dari memenuhi keinginan-keinginan naluriah mereka, yang kadangkala, membawa akibat yang amat buruk.

Jerebu – perbuatan manusia

Mengapakah isu jerebu ini masih menjadi permasalahan sedangkan ia pernah menimbulkan masalah yang besar suatu masa dahulu? Tanggal 26hb September, 1997 menyaksikan kejadian jerebu teruk dikatakan menjadi punca kecelakaan pesawat Airbus A300 B4-220 milik Garuda Indonesia yang membunuh kesemua 234 orang penumpang dan anak kapal di Medan, Indonesia apabila jarak penglihatan dilaporkan sekitar 600-800 meter sahaja. Jerebu juga merupakan punca perlanggaran sebuah kapal kargo dan kapal tangki di Selat Melaka pada tahun yang sama. Dikatakan juga bahawa akibat dari jerebu ini, kerugian yang disebabkan oleh turunnya kadar pelancongan dan hasil pertanian dianggarkan mencecah berbilion dolar! Mengapakah kejadian ini masih tidak menjadi pelajaran bagi kita agar tidak mengulanginya lagi?

Meskipun jerebu tahun 1997 dikaitkan dengan fenomena El-Niño yang memburukkan lagi keadaan, punca utamanya adalah pembakaran terbuka yang dilakukan oleh para pekebun dan syarikat-syarikat perladangan untuk melapangkan hutan bagi tujuan pertanian. Pada tahun 2005, perkara yang sama berlaku, seolah-olah manusia tidak pernah belajar dari kesilapan. Jerebu yang pernah berlaku pada tahun 1997 dan yang sedang berlaku hari ini adalah antara episod pencemaran alam buatan manusia yang terburuk. Ramai berpendapat, yang sepatutnya dipersalahkan adalah mereka yang memulakan pembakaran terbuka, samada pekebun kecil mahupun konglomerat perladangan yang beroperasi di kawasan yang terlibat. Namun begitu, apakah wajar kita menuding jari tanpa terlebih dahulu mengkaji sebab-sebab mengapa masalah ini terus berulang?

SN berpendapat bahawa dalam menangani isu ini, permasalahan yang muncul haruslah dilihat dalam konteks yang lebih luas – yang meliputi sifat manusia dan dominasi pemikiran yang bersandarkan nafsu dan keinginan manusiawi yang tidak terkawal.

Kedua-dua pihak yang memulakan pembakaran ini pada hakikatnya memanifestasikan naluri yang sama – naluri mempertahankan diri (survival instinct), untuk terus hidup. Walaubagaimanapun, apa yang membezakan kedua-dua golongan ini adalah tujuan pemenuhan naluri ini. Bagi pekebun-pekebun kecil, mereka membakar hutan untuk sesuap nasi, namun bagi syarikat-syarikat kapitalis ini, mereka membakar hutan untuk keuntungan dan manfaat. Sungguhpun begitu, perbezaan tujuan ini bukanlah satu justifikasi bagi golongan pekebun kecil untuk membakar hutan demi mencari sesuap nasi. Hakikatnya, adalah merupakan tangungjawab pihak berkuasa di sana untuk memastikan bahawa keperluan asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal) bagi setiap individu diperhatikan dengan teliti. Pihak berkuasa seharusnya membantu pekebun-pekebun ini dalam merancang dan mengatur aktiviti penanaman mereka supaya tidak menimbulkan kemudaratan kepada pihak lain. Yang jelas, ini tidak berlaku dan jerebu berulang untuk kesekian kali. Begitu juga dengan konglomerat perladangan yang menjalankan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengurangkan kos penanaman ataupun penanaman semula. Pihak berkuasa sewajarnya mengenakan kawalan yang cukup ketat melalui penguatkuasaan undang-undang dalam memastikan pembakaran terbuka tidak dijalankan. Nampaknya ini juga tidak berlaku. Berulangnya kejadian jerebu kali ini juga menimbulkan kembali kritikan keatas Indonesia yang sehingga hari ini masih gagal menandatangani perjanjian pengawalan jerebu negara-negara ASEAN yang dicadangkan pada tahun 1997/98.

Bukan setakat jerebu….

Jerebu, sebagai bentuk pencemaran alam yang amat membimbangkan hanyalah merupakan sebahagian kecil dari manifestasi negatif pemenuhan naluri mempertahankan diri manusia. Meskipun golongan pekebun-pekebun kecil di Indonesia juga bersalah di dalam masalah ini, kesalahan mereka adalah lebih merupakan akibat dari suatu keperluan yang seharusnya diperhatikan oleh negara. Apa yang lebih membimbangkan adalah ketamakan golongan kapitalis yang terus mengeksploitasi sumber alam dan tenaga manusia tanpa rasa tanggungjawab. Sebagai contoh, berdasarkan laporan Indigenous Rainforest People, dianggarkan 20 juta hektar hutan lupus setiap tahun dan sekiranya ini tidak ditegah kita akan kehilangan hutan menjelang 2040 yang bermakna dunia akan kehilangan sumber oksigen yang amat penting.

Di Malaysia sendiri, kerapkali persoalan pencemaran akibat ketamakan dan kelalaian pengusaha-pengusaha yang hanya memikirkan keuntungan didedahkan. Meskipun ada undang-undang yang memestikan kajian kesan ke atas persekitaran (Environmental Impact Assessment – EIA) sebelum sesuatu projek dimulakan, ia kerapkali dipandang ringan dan acapkali dipengaruhi oleh kepentingan politik dan diketepikan dengan pelbagai alasan. Akibatnya, kita perhatikan hutan-hutan diratakan tanpa rasa tanggungjawab, sungai-sungai dicemari dengan bahan kimia, kotoran dan sisa industri, udara dicemari oleh kilang-kilang dan kenderaan yang melepaskan asap hitam dan bermacam lagi pencemaran yang merosakkan persekitaran. Menurut Ketua Pengarah JAS, punca utama pencemaran-pencemaran ini adalah akibat dari kegiatan industri pembuatan, industri berasaskan pertanian, seperti minyak sawit mentah dan getah, ternakan haiwan, dan kumbahan. Berdasarkan kaji selidik jabatan itu pada tahun 1998, pencemaran air yang berpunca daripada kumbahan penduduk adalah sebanyak 42.3 peratus, manakala dari industri pembuatan 37.5 peratus, ternakan khinzir 16.7 peratus, dan pertanian 3.5 peratus. Bagi pencemaran udara pula, setiap tahun dua juta tan karbon monoksida, 236,000 tan oksida nitrogen, 111,3000 tan hidrokarbon, 38,200 tan sulfur dioksida, dan 17,300 tan habuk halus telah dilepaskan ke udara.

Kesemua ini tidak seharusnya berlaku kerana memang terdapat teknologi yang membolehkan bahan-bahan pencemaran air dan udara ini diproses sebelum dilepaskan ke persekitaran. Namun begitu, kerana faktor kos dan keuntungan dijadikan tolok ukur, sungai-sungai dan udara terus dicemari. Dengan meletakkan keuntungan dan manfaat sebagai faktor utama dalam menyelesaikan masalah manusia, pejuang-pejuang kapitalisme telah menetapkan bahawa hawa nafsu dalam memenuhi naluri mereka sebebas-bebasnya adalah lebih penting dari segala-galanya. Akibat dari ketamakan dan pentingkan manfaat inilah kita lihat Amerika Syarikat enggan menandatangani Protokol Kyoto, menolak komitmen untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida dan lima jenis gas kesan rumah hijau yang lain.

Pencemaran – pandangan Islam secara umum

Islam mengharamkan semua jenis ancaman dan gangguan terhadap individu, masyarakat mahupun umat. Gangguan ini boleh difahami dalam konteks pencemaran alam sekitar dan hukum yang diambil adalah sama dengan gangguan-gangguan dalam bentuk yang lain. Rasulullah Salallahu ‘alayhi wasallam pernah bersabda yang bermaksud:

‘Suatu perbuatan itu tidaklah boleh mengganggu atau merugikan orang lain dan tidak boleh dirugikan oleh orang lain’ [HR Ibnu Majjah]

‘Siapa sahaja yang mengganggu orang lain, maka Allah Subhanahu waTaala akan menimpakan padanya dengan perkara yang sama. Dan siapa saja yang membuat kesulitan terhadap orang lain, maka Allah akan menimpakan kesulitan ke atasnya’ [HR Ibnu Majjah]

Sekiranya sesebuah negara itu prihatin dengan penerapan hukum Allah, maka kejadian jerebu ini pasti boleh dielakkan. Pembakaran terbuka sudah pasti akan menyusahkan dan mengganggu pihak lain dan ini sudah tentu diharamkan. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, sebagai contoh di Indonesia atau di mana sahaja, sesebuah negara sewajarnya memastikan penggunaan cara alternatif dalam melapangkan hutan untuk penanaman. Sekiranya berlaku juga kebakaran, negara sewajarnya mengambil tindakan pantas dalam menghapuskan punca jerebu ini. Semuanya akan dilakukan atas dasar penerapan hukum syara’ yang diwajibkan keatas negara untuk menjalankannya. Namun apa yang kita perhatikan dalam kejadian jerebu kali ini, realitinya adalah jauh panggang dari api.

Begitu juga dengan pencemaran lain seperti pencemaran sungai, udara dan kejadian tanah runtuh yang begitu berleluasa di negara ini, ia seharusnya ditangani atas dasar penerapan hukum syara’ yang mewajibkan gangguan-gangguan ini dihilangkan. Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:

‘Hendaklah seseorang itu tidak buang air kecil di dalam kolam air yang tidak mengalir, lalu mandi di dalamnya’ [HR As-Syeikhan, Abu Daud, An-Nasa’i dari Abu Hurairah]

Konteks hadis ini boleh dikiaskan kepada apa sahaja yang boleh mencemari persekitaran seperti bahan buangan industri dan lain-lain lagi.

Selain dari itu, penerapan hukum ini juga hendaklah dijalankan didalam bentuk pencegahan. Pendidikan massa dalam aspek gangguan pencemaran ini perlu ditekankan agar rakyat, secara individu dan masyarakat akan turut sama memastikan bahawa gangguan-gangguan seperti pencemaran dan yang lainnya tidak akan dilakukan.

Khatimah

Masalah jerebu yang melanda negara memanglah sesuatu yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila kejadian ini membawa pelbagai implikasi terutamanya masalah kesihatan yang secara langsung memberi kesan kepada kita. Kebimbangan ini begitu merasuk diri kita sehingga kita lupa tentang hakikat jerebu yang lebih merbahaya yang wujud di dalam aqidah dan pemikiran umat hari ini.

Terdapat hadis dari Aisyah RadiAllahu’anha dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud

‘Seorang muslim yang tertusuk duri atau yang lebih dari itu, maka Allah pasti akan menebus dosanya kerana musibah itu dan menggugurkan satu kesalahan darinya’

Sekiranya kita sakit akibat dari jerebu, sekurang-kurangnya kita boleh merasa tenang dengan implikasi hadis ini. Namun begitu, jerebu yang wujud di dalam pemikiran umat Islam boleh sahaja menjerumuskan kita ke neraka! Nauzubillahu min dzalik!

Jerebu pemikiran yang dimaksudkan adalah hilangnya pertimbangan di dalam diri umat hari ini bahawa penyelesaian permasalahan kehidupan ini seharusnya dikembalikan kepada hukum Allah. Tompok-tompok hitam sekularisme Barat, dengan bantuan tiupan angin monsun kapitalisme yang menghembus sepanjang tahun telah mengelabui pandangan umat hari ini tentang realiti sebenar kehidupan yang fana’ ini. Kita begitu mabuk dengan pemikiran Barat yang rosak sehingga lupa bahawa hanya kepada Allahlah akan kembali segala urusan…

Inilah pandangan Islam secara umum dalam menangani masalah pencemaran. Bukan sekadar mengwar-warkan ke sana-sini petikan kata-kata Karam Singh Walia, ‘hutan terbakar nampak berasap, hati terbakar siapa tahu’, sebaliknya, amat penting bagi umat Islam menyedari bahawasanya keuntungan dan manfaat bukanlah rujukan dalam penerapan syariat Islam untuk menyelesaikan masalah seperti ini. Keredhaan Allah merupakan tujuan utama penerapan hukum syara’ yang pasti akan membawa maslahah kepada seluruh umat manusia. Akan tetapi, penerapan hukum syara’ yang kaffah, merangkumi seluruh aspek kehidupan, termasuklah dalam menangani masalah pencemaran, hanya boleh direalisasikan dengan berdirinya Daulah Khilafah Islamiyyah sebagai suatu kewajiban dan janji Allah yang pasti! Wallahua’lam