SN054 – SKUAD RELAWAN MAIWP – MENCEGAH ATAU MENGINTIP?

PDF

SN Keluaran 2006

logo SN


Muqaddimah

[SN054] Baru-baru ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melancarkan skuad sukarelawan untuk menangani gejala sosial yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Penubuhan skuad ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai dan media. Tetapi yang menyedihkan, reaksi daripada media-media tempatan lebih menjurus kepada melemparkan kritikan-kritikan membinasa daripada memberikan kritikan-kritikan membina. Bahkan, ada yang malah menghina kerana mendakwa usaha ini memanifestasikan sekatan ke atas hak asasi manusia.

Kabinet pada dasarnya tidak bersetuju dengan penubuhan skuad sukarelawan tersebut. Sepertimana tahun lepas, Kabinet telah membatalkan penubuhan Pasukan Gerak Khas 4B atau Unit Khas Mat Skodeng di Melaka. Ini adalah kerana terdapat kekhuatiran bahawa skuad tersebut akan menyimpang daripada tujuan asalnya atau ada pihak yang akan mengambil kesempatan ke atasnya. Terdapat laporan bahawa ada pihak yang menggunakan nama skuad tersebut untuk menghendap pasangan yang sedang melakukan maksiat dan merakamnya ke dalam video atau telefon bimbit berkamera. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan memeras ugut dengan upah tertentu bagi menutup perbuatan pasangan yang diintip. Terdapat suatu kes pada Oktober 2001 apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terpaksa menyiasat aduan sekumpulan lelaki menyamar sebagai pegawai penguatkuasa dan memeras ugut pasangan yang berdua-duaan di Shah Alam bagi mengelak mereka ditangkap khalwat. Dua aduan diterima membabitkan kumpulan tersebut yang meminta wang sogokan RM1,900 daripada pasangan jika tidak mahu dibawa ke balai polis.

Mencegah maksiat

Tujuan sebenar penubuhan pasukan penyiasat pada dasarnya adalah untuk mencegah kegiatan maksiat daripada berleluasa. Perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan di taman-taman bunga dan tempat-tempat tersembunyi telah kerap-kali dilaporkan oleh media cetak dan elektronik. Memang tidak dapat dinafikan bahawa masalah sosial yang melibatkan hubungan bebas di antara lelaki dan perempuan khususnya di kalangan remaja Islam sedang berada di tahap yang kritikal. Aktiviti maksiat yang begitu berleluasa ini menyebabkan MAIWP tidak ada mekanisma lain selain daripada menubuhkan pasukan-pasukan yang seumpamanya. Walaupun terdapat Pelan Tindakan Bersepadu untuk menangani penyakit masyarakat sepertimana yang telah dilancarkan tidak lama dahulu, ia masih gagal untuk mengurangkan peningkatan statistik gejala sosial masakini. Antara yang menjadi sebahagian daripada agenda pelan tersebut termasuklah Rakan Muda, Kempen Solat dan Kempen Memudahkan Perkahwinan.

Kajian yang telah dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan remaja adalah amat memeranjatkan; didapati 24 peratus dari kalangan remaja berusia 13 19 tahun mengaku pernah melakukan hubungan seks manakala 80 peratus daripada remaja berusia 13 18 telah terdedah kepada bahan bahan lucah. Ini termasuk lebih kurang 50 peratus dari remaja 13 15 tahun mengaku pernah membaca buku lucah dan 44 peratus pernah melihat bahan lucah melalui majalah dan video. [Utusan Malaysia, 3/10/96]

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula melaporkan terdapat 70,430 pendaftaran anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003. Daripada jumlah tersebut berdasarkan statistik mengikut agama, anak luar nikah orang Islam adalah yang paling ramai didaftarkan iaitu 30,978 orang. Berdasarkan statistik pendaftaran anak luar nikah mengikut bangsa pula, kaum Melayu dan Bumiputera Sabah/Sarawak mencatat bilangan tertinggi iaitu sebanyak 20,949 orang.

JPN turut mengemukakan statistik lengkap mengenai pendaftaran anak luar nikah mengikut negeri bagi tempoh lima tahun dengan Selangor mencatat bilangan tertinggi iaitu 12,836 pendaftaran manakala Terengganu mencatat bilangan paling kecil iaitu 574 orang dalam tempoh lima tahun berkenaan. Statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah ini, mengikut negeri, bagi tahun 1999 hingga 2003 mencatatkan bilangan sebanyak 70,430 orang dengan Selangor seramai 12,836 orang diikuti Perak (9,788), Kuala Lumpur (9,439), Johor (8,920), Sabah (8,435), Negeri Sembilan (4,108), Pahang (3,677), Kedah (3,496), Pulau Pinang (3,412) Melaka (2,707), Kelantan (1,730), Perlis (691), Sarawak (617) dan Terengganu 574 orang.

Mencegah atau mengintip (Tajassus)?

Usaha-usaha yang dilakukan oleh agensi tertentu untuk mencegah perbuatan-perbuatan maksiat haruslah dipuji dan bukannya dikeji. Cuma yang menjadi persoalannya ialah, cara ia dilaksanakan. Sekiranya penubuhan skuad tersebut adalah sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan seperti melarang pasangan muda-mudi daripada memasuki perkarangan Taman Bunga di waktu malam, ianya dibolehkan namun jika fungsinya adalah untuk melakukan pengintipan (tajassus), maka ini adalah haram di sisi Islam.

Tajassus berasal daripada kata dasar jasus yang bermaksud menyiasat sesuatu berita dengan tujuan untuk mengorek sesuatu rahsia. Hukum tajassus di dalam Islam bergantung kepada situasi. Di dalam kebanyakan kes, ianya diharamkan tetapi adakalanya ia dibenarkan. Sebagai contoh, tajassus hanya dibenarkan ke atas pihak kuffar yang menentang kaum muslimin (kafir harbi). Manakala berkenaan keharamannya, ia telah pun dijelaskan di dalam Al-Quran yang melarang dengan tegas aktiviti tajassus yang ditujukan kepada kaum muslimin. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain( tajassus)”
[TMQ al-Hujurat(49):12]

Imam Qurthubiy menjelaskan firman Allah di atas dengan:

“Ambillah hal-hal yang nampak, dan janganlah kalian membuka aurat (keaiban) kaum muslim, iaitu, janganlah seorang dari kalian meneliti aurat saudaranya, sehingga ia mengetahui aurat-nya, setelah Allah Subhanahu wa Ta’ala menutupnya. [Imam Qurthubiy, Tafsir Qurthubiy].

Imam At-Thabari pula memberi penjelasan berhubung ayat di atas dengan mengatakan bahawa: “Janganlah sebahagian kalian menyelidiki aurat sebahagian yang lain dan janganlah mencari-cari rahsianya yang ia harap dengannya akan nampak aibnya akan tetapi cukuplah dengan apa yang nampak bagi kalian di antara perkaranya dan dengan itu pujilah atau celalah dan jangan pada apa yang tidak engkau ketahui di antara rahsianya. Beliau mengutip perkataan Mujahid yang berkata: ambillah apa yang nampak bagi kalian dan tinggalkanlah apa yang tersembunyi dari kalian” [ Jami’ al-Bayan ‘An Taa’wil Ayaat al-Qur’an, Juz 26 hal 134]

Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Janganlah kalian saling menyelidik( tahassasu) dan janganlah kalian saling intip-mengintip (tajasasu), janganlah kalian saling berlebih-lebihan dalam sesuatu, janganlah kalian saling berdengki, janganlah kalian saling benci dan janganlah kalian saling bermusuhan dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara” [ HR Muslim dari Abu Hurairah]

Al-Akhfashy menyatakan bahawa tahassasu bermakna al bahtsu ‘amma yaktumu’ ‘anka [membahas/meneliti apa-apa yang tersembunyi bagi kamu]. Ada pula yang memberi maksud bahawa tahassasu adalah apa yang boleh dijangkau oleh sebahagian indera manusia. Sedangkan tajassus adalah menyiasat dan melakukan pengintipan ke atas sesuatu. Ada pula yang menyatakan bahawa tajassus itu dilakukan oleh orang lain, atau dengan utusan, sedangkan tahassus dilakukan oleh dirinya sendiri [Tafsir Qurthubiy, surah 49 :12].

Rasululullah juga bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya, seorang amir ( pemimpin) jika ia mencari kecurigaan pada manusia bererti ia merusak manusia” [HR Abu Dawud dari Abu Umamah]

Diriwayatkan juga dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang ertinya:

Dirahmati kiranya orang yang begitu sibuk dengan kesalahan dirinya sendiri sehingga ia tidak peduli dengan kesalahan orang lain.” [HR al-Bazaar, dari Anas]

Islam juga sangat mencela seseorang, yang suka campuri urusan orang lain yang tidak ada sangkut pautnya dengannya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, ertinya:

“Diantara kebaikan keIslaman seseorang adalah ia meninggalkan apa-apa yang tidak memiliki sangkut paut dengan dirinya.” [HR Tirmizi]

Ibnu ‘Abbas juga meriwayatkan dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:

“Orang yang mengintip pembicaraan orang lain dan mendengarkan apa yang mereka tidak akan suka, bila ia telah mendengarnya, kedua telinganya akan dituang dengan cecair kuningan di hari Kiamat”
[HR Thabraniy dalam Mu’jam al-Kabir]

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda dengan maksudnya:

Orang yang biasa mencuri-curi dengar tidak akan masuk syurga” [HR Bukhari]

Hadis-hadis di atas menjelaskan bahawa terdapat larangan yang tegas terhadap aktiviti-aktiviti pengintipan, mencuri dengar perbicaraan orang lain dan mengorek rahsia, di mana aktiviti-aktiviti ini merupakan sebahagian daripada perbuatan tajassus.

Asas kepada Permasalahan

Usaha-usaha mencegah gejala sosial bukanlah perkara baru. Mungkin kita masih mengingati hal yang menimpa bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, yang telah ditamatkan kontraknya setelah berkhidmat selama 12 tahun akibat dari penentangan beliau terhadap penyertaan gadis-gadis melayu di dalam pertandingan ratu cantik. Beliau telah seolah-olah dianggap menentang kemajuan umat Islam. Kita juga tentu tidak lupa kes penghinaan JAWI oleh penyanyi terkenal tanahair, Jeslina Hashim dan beberapa rakannya yang ditangkap oleh JAWI kerana dituduh berkelakuan tidak senonoh di Kelab Malam Zouk, Ampang pada 13 Januari 2005 yang lalu. Penghinaan itu telah mendapat sokongan kuat daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Puteri UMNO, Noraini Ahmad dan Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar serta Marina Mahathir. Hasil daripada sokongan tersebut, semua dakwaan ke atas Jeslina Hashim telah ditarik balik oleh JAWI. Nampaknya Jabatan Agama Negeri sebagai agensi penguatkuasa syariah, sentiasa menghadapi dilemma di dalam menjalankan tugas mereka. Setiap tindakan drastik yang diambil akan dilabel sebagai tindakan mencabul hak asasi manusia. Namun begitu, perlulah disedari bahawa dilemma ini, pada hakikatnya hanyalah sebahagian daripada kedurjanaan prinsip kebebasan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat kapitalis.

Manusia diciptakan oleh Allah dengan qadar (sifat) tertentu – beberapa naluri (instincts) dan keperluan organik seperti makanan, minuman dan udara, yang tanpanya, manusia tidak akan dapat hidup. Naluri manusia juga perlu dipenuhi, sekiranya tidak manusia akan menjadi resah gelisah (frustrated). Namun begitu, di dalam ideologi kapitalisme yang menjanjikan kebebasan kepada manusia, naluri manusia dipenuhi dengan cara yang tidak fitri, tanpa batasan dan kawalan yang tertentu. Yang menjadi penentu samada pemenuhan naluri tersebut adalah baik atau buruk adalah akal manusia semata-mata. Manusia yang sememangnya mengakui bahawa ia adalah makhluk yang serba kekurangan, lemah dan memerlukan telah dengan angkuh meletakkan dirinya sebagai pencipta sistem kehidupannya sendiri. Di dalam kehidupan yang bertuhankan sistem akal manusia ini, naluri manusia sentiasa dirangsang dalam nuansa kebebasan tanpa batasan dan ini sudah tentu akan mempengaruhi tingkah laku dan seterusnya mendatangkan kerosakan ke atas dirinya sendiri. Idea kebebasan yang begitu dimuliakan di dalam kehidupan sekular inilah yang bertanggungjawab dalam memprovokasi naluri manusia sehingga akhirnya membawa kepada pelbagai kebinasaan.

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia…”
[TMQ. Ar-Ruum: 41]

Inilah asas kepada permasalahan yang wujud hari ini. Dengan berteraskan idea-idea rosak seperti kebebasan, manusia angkuh mengenepikan hukum Allah, malah menghinanya dengan pelbagai cara. Hukum Allah dianggap sempit dan jumud. Hukum akal manusia pula dianggap moden dan maju. Inilah kebimbangan yang disuarakan oleh para malaikat ketika Allah mengatakan bahawa Dia akan menciptakan manusia di muka bumi. Sesungguhnya, bila manusia dibiarkan mencipta hukum mereka sendiri sudah pasti akan berlaku kehancuran dan kebinasaan.

Islam Sebagai Penyelesaian

Manusia, secara hakiki, bergerak atas dorongan naluri (gharizah) dan keperluan organik. Naluri mengekalkan keturunan (gharizatun nau’) menurut Muhammad Muhammad Ismail, seorang pensyarah di Universiti Al-Azhar di dalam bukunya “Al-Fikrul Islami” mengatakan bahawa nafsu seksual yang lahir dari naluri ini tidak muncul begitu sahaja tanpa adanya rangsangan. Memang selayaknya Islam amat ketat di dalam mengawal perkara “rangsangan”. Daulah Islam akan sentiasa memastikan bahawa segala sumber-sumbar maklumat seperti media cetak, elektronik dan suasana yang negatif menurut pandangan syariat Islam di benteras sama sekali. Maklumat atau perlakuan negatif jika dicanangkan atau dibenarkan berlaku di hadapan masyarakat terutama generasi muda yang sedang ghairah dan tidak matang akan menyebabkan mereka ingin mencuba apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Di dalam suasana ketaqwaan ini kita tidak akan dapat melihat lelaki dan perempuan yang tiada hubungan pernikahan bergaul bebas seperti suami isteri. Dalam suasana keimanan ini juga kita tidak akan dapat menyaksikan suara-suara sumbang mengenepikan hukum-hukum Allah semata-mata atas alasan kebebasan atau hak asasi manusia.

Islam tidak menafikan naluri manusia dan tidak pula mengekangnya, kerana naluri adalah suatu qadar yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada manusia. Islam sebagai mu’alajah lil masyakil insan, sebagai penyelesaian kepada masalah insan, telahpun menyediakan tatacara yang datang sebagai hukum Allah bagi mengawal pemenuhan keperluan naluri manusia. Manusia tidak dilepaskan begitu sahaja memenuhi nalurinya dan tidak pula dikekang sehingga nalurinya tidak mendapat pemenuhan yang sepatutnya. Penyelesaian Islam juga tidak seperti penyelesaian sesetengah pemikiran asing yang menjadikan manusia hidup bertapa sepanjang hayat di gua atau tempat terpencil supaya boleh berubah menjadi manusia yang sempurna.

Islam mempunyai suatu sistem yang datangnya dari Pencipta manusia sendiri, Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tahu apa yang baik dan apa yang buruk bagi manusia. Syari’ah adalah undang-undang Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk mengatur naluri manusia dalam kehidupannya ke arah suatu landasan yang akan mendatangkan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Dan sesiapa yang tidak mengadili menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir/fasiq/zalim” [TMQ AL-Maaidah: 44/45/47]

Islam melarang manusia mengikuti nalurinya tanpa kawalan dari Islam dan ini tertera dari firman Allah yang bermaksud:

“Tetapi orang-orang yang zalim (pelaku kesalahan) mengikut hawa nafsu mereka sendiri tanpa apa-apa pengetahuan. Maka siapakah yang akan memberikan petunjuk kepada mereka yang disesatkan oleh Allah? Kepada mereka tidak akan diperoleh apa apa pertolongan” [TMQ Ar-Ruum: 29]

Idea kebebasan yang manusia ciptakan untuk dirinya sendiri telah terlalu banyak membawa kerosakan dan kebinasaan kepada makhluk Allah di muka bumi ini. Ia mestilah dihapuskan dan digantikan dengan pemikiran Islam yang bersumberkan Quran dan Sunnah yang pasti akan membawa rahmat bagi seluruh alam.

“(Dan) tidaklah kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam”
[TMQ. Al-Anbiya’ 107]

Islam sebagai cara hidup yang telah dibawa dan dipraktikkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam kepada masyarakat manusia telah menangani masalah sosial dengan cara yang menyeluruh. Ia dapat direalisasikan dengan berdirinya masyarakat seperti yang diasaskan oleh beliau di Madinah iaitu sebuah masyarakat yang adil dan makmur di bawah naungan Ridha Allah. Seseorang yang berada dalam masyarakat Islam akan terhalang dari melakukan kemungkaran bermula dengan keyakinan terhadap fikrah-fikrah Islam yang dibawanya, pandangan-pandangan dan perasaan-perasaan umum masyarakat terhadap hidup dan pegangannya terhadap hukum Islam.

Setiap individu di dalam masyarakat Islam (kelompok muslim dan bukan muslim dimana Islamlah yang mengatur urusan kehidupan mereka) akan diberikan pendidikan yang berasaskan aqidah Islam. Tujuan pendidikan ini adalah untuk membekalkan aqal dengan pemikiran dan idea-idea yang jernih, semada mengenai aqaid (cabang-cabang aqidah), mahupun hukum. Pendidikan Islam akan melahirkan individu yang mempunyai syakhsiyyah Islam yang menjadikan aqidah Islam sebagai asas berfikir yang kemudiannya menerbitkan mafhum yang menghasilkan tingkah laku yang Islami dalam semua urusan kehidupan.

Bagi individu yang tidak dapat dikawal oleh pemikiran dan perasaan umum tersebut, Islam telah bersedia dengan mekanisme praktik atau tariqah dalam bentuk tindakan-tindakan fizikal bagi setiap perlanggaran hukum. Pesalah-pesalah zina yang belum berkahwin, sebagai contoh akan dikenakan hukuman sebat 100 kali dan bagi yang telah berkahwin, akan dihukum rejam jika sabit kesalahan. Islam bukanlah suatu deen yang hanya mengandungi nasihat dan bimbingan namun ia mencakup penyelesaian dalam seluruh masalah kehidupan hidup serta mempunyai mekanisme praktik dalam penerapan hukum-hukumnya.

Kesimpulan

Penubuhan skuad sukarelawan untuk menentang gejala sosial yang sedang hebat melanda masyarakat kita wajar disokong oleh semua pihak. Lebih-lebih lagi apabila masalah ini melibatkan umat Islam dan penubuhan skuad ini bertujuan untuk menghentikan gejala sosial di kalangan remaja Islam. Namun begitu, aspek hukum tajassus perlulah diambil kira agar skuad ini tetap wujud di dalam had-had syara’ yang telah ditetapkan. Walaupun demikian, kita perlu faham bahawa pada hakikatnya, usaha-usaha sebegini tetap tidak akan dapat menghapuskan gejal sosial secara sepenuhnya. Ini adalah kerana permasalahan ini mempunyai hubungkait yang rapat dengan ideologi yang diterapkan ditengah-tengah masyarakat. Selagi ideologi yang diterapkan ditengah-tengah masyarakat adalah ideologi yang bukan terbit dari aqidah Islam, kerosakan dan kebinasaan akan tetap terserlah, walau apa jua usaha ikhlas cuba dijalankan. Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Bila riba dan zina telah berkembang nyata di suatu negeri, maka (bererti, mereka-penduduk negeri itu) telah menghalalkan untuk diri mereka azab Allah.” [HR Hakim]

Perlulah kita mengambil iktibar dari surah Al-Anfal ayat 25, bahawa azab Allah tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja, namun semua warga masyarakat akan terkena, tanpa mengira samada mereka itu beragama Islam atau kafir.

Dan takutlah (kamu sekelian)akan fitnah (bencana, kerusakan, azab) yang tidak hanya menimpa pada orang yang zalim (orang yang suka membuat kerosakan) saja di antara kamu” [TMQ Al-Anfal:25]

Hanya dengan mengembalikan masyarakat kepada Ideologi Islam (mabda’ Islam) sahajalah, umat akan kembali menikmati ketenteraman dan kebahagiaan yang hakiki. Suasa seperti ini hanya dapat dikecapi apabila Sistem Pemerintahan Khilafah Islamiyyah berjaya ditegakkan. Dengan tertegaknya Daulah Islam ini, susuk masyarakat Islam akan termanifestasi. Hanya hukum Allahlah yang diterapkan dan hanya pemikiran Islamlah yang dominan di dalamnya.

Oleh itu, wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah, janganlah kita terus menuding jari kepada semua pihak apabila ribuan bayi yang tidak berdosa dan isteri-isteri yang setia kini tidak lepas dari bahaya jangkitan penyakit maut AIDS. Janganlah kita menyalahkan sesiapa apabila anak-anak remaja kita berbadan dua tanpa ikatan nikah yang sah; apabila anak-anak remaja kita menjadi pengunjung tetap disko-disko dan tempat maksiat serta menagih najis dadah – nauzubillahi min dzalik. Tudinglah jari kearah diri kita sendiri. Adakah kita masih tetap menyayangi payung ‘baru’ yang bocor dan koyak sehingga tubuh kita tetap saja basah kuyup ketika hujan melanda? – Payung hadiah Barat ini, yang tidak sampai seabad digunakan telah mengorbankan ribuan nyawa, kehormatan, pemikiran, perasaan dan kemulian umat ini. Tanyalah kepada diri kita sendiri. Apakah ini yang kita inginkan? Atau kita rindukan payung rahmat Allah yang sempurna yang hanya dapat kita kecapi dengan penerapan syariatNya secara kaffah dalam kehidupan…