SN057 – Siapa Bercakap Untuk Islam? Siapa Bercakap Untuk Barat?

PDF

SN Keluaran 2006

SN057 - Siapa Bercakap Untuk Islam? Siapa Bercakap Untuk Barat?

[SN057] “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Kristian menjadi pemimpin-pemimpinmu, sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu yang mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ Al-Maidah: 51]

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, namun Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir benci”  [TMQ ash-Shaff : 8]

Persidangan antarabangsa yang bertema ‘Siapa bercakap bagi pihak Islam? Siapa bercakap bagi pihak Barat?’ yang diadakan di Kuala Lumpur pada 10 – 11 Februari 2006, anjuran Institut Diplomatik dan Hubungan Luar Malaysia dan Universiti New York, dikatakan bertujuan mengurangkan salah faham antara dunia Islam dan Barat serta membincangkan kesan globalisasi terhadap dunia Islam. Dalam persidangan itu Perdana Menteri Malaysia berkata, perang salib, penjajahan Barat, tekanan “Israel” ke atas dunia Arab, hegemoni pasca penjajahan dan keinginan Barat untuk menguasai sumber minyak dan gas, khususnya daripada negara Islam, menyumbang kepada wujudnya jurang yang besar di antara Barat dan Islam [Berita Harian, 11/2/06]. Di antara penceramah yang hadir dalam persidangan ini adalah para intelektual kafir Barat seperti sejarawan Universiti Oxford, Timothy Garton Ash, Presiden Yayasan Rockefeller, Stephen Heintz dan Pengarah Pusat Makmal Kebangsaan Amerika Lawrence Livermore untuk Penyelidikan Keselamatan Global, Ronald Lehman. Ia menghimpunkan 50 tokoh dunia daripada 7 negara Barat dan 10 negara majoriti Muslim. Persidangan itu mendapat sokongan kerajaan Malaysia, United Kingdom, Perancis, MacArthur Foundation, dan Rockefeller Brothers Fund. MacArthur Foundation dilaporkan memberi AS$100,000 untuk menaja persidangan ini. Di akhir persidangan itu, telah diadakan sesi yang membahaskan persoalan : Apakah kerangka masa hadapan bagi hubungan Muslim dan Barat?

Sudah banyak persidangan dan dialog diadakan yang dikatakan akan merapatkan hubungan antara dunia Islam dan Barat tetapi apakah hasilnya dan siapakah yang sebenarnya mendapat manafaat darinya? Siapakah, pada hakikatnya yang sering memulakan permusuhan? Siapakah yang tidak putus-putus mengeksploitasi umat Islam ? Siapakah yang menjajah dan membunuh jutaan nyawa umat Islam? Mengapakah Perancis begitu beria-ia menaja persidangan seperti ini sedangkan mereka sudah banyak kali menimbulkan ketegangan dengan umat Islam yang antaranya melibatkan pengharaman pemakaian hijab di sekolah-sekolah mereka? Kenapa Britain turut menaja persidangan itu sedangkan kerajaannya berniat untuk mengharamkan gerakan Islam yang cuma bersuara, tanpa menimbulkan keganasan, menentang penjajahan Britain di Iraq ? Sudah terlalu banyak permintaan dan desakan negara-negara Barat yang dipenuhi oleh umat Islam namun kedudukan umat Islam sebagai umat yang sering dipersalahkan dan diperlecehkan oleh negara-negara Barat sebagai punca segala permasalahan di dunia masih tetap tidak berubah. Persidangan seumpama itu menelan banyak belanja dan hasilnya tidak lebih dari retorik (propaganda) yang tidak akan mengubah keadaan umat Islam dari terus ditindas oleh Barat.

Persidangan seperti ini juga adalah cara untuk memperalatkan umat Islam supaya membantu Barat meredakan perasaan umat Islam yang ditindas oleh Barat. Ini jelas terserlah kerana dialog ini diadakan ketika perasaan umat Islam terbakar akibat penghinaan ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang digambarkan dalam kartun sebagai pengganas yang membawa bom di kepala oleh sebuah akhbar Denmark. Barat membohongi umat Islam dengan janji dan harapan kosong yang membuatkan umat Islam terus berkhayal bahawa Barat suatu hari nanti akan bersimpati dengan umat Islam. Negara-negara Barat yang sentiasa menyeru dialog dengan umat Islam dan sekaligus memimpin berbagai persidangan pada hakikatnya sentiasa memandang Islam dengan pandangan permusuhan. Pandangan inilah yang sekaligus menjadi motif bagi dialog serta dijadikan dasar untuk mengawal dan mengatur dialog tersebut.

Pertubuhan seperti MacArthur Foundation dan Pusat Makmal Kebangsaan Amerika Lawrence Livermore yang menaja persidangan ini adalah antara pertubuhan yang banyak membantu pemerintah Amerika merangka strategi untuk memerangi umat Islam atas alasan memerangi keganasan. Keluarga Rockefeller yang merupakan tulang belakang Rockefeller Brothers Fund adalah keluarga Yahudi yang banyak berperanan memerangi umat Islam. Dapat juga kita perhatikan, melalui persidangan dan dialog seperti ini, Barat berpura-pura mahu berbaik dengan umat Islam dan kononnya tidak berniat jahat. Sedangkan hakikatnya, mereka sentiasa mencari jalan untuk menekan umat Islam – lihat sahaja penjajahan Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq, tekanan ke atas Iran supaya tidak memiliki senjata nuklear dan tipu muslihat mereka ke atas umat Islam di Palestin yang dipaksa menerima penjajahan Yahudi. Ini jelas dari komen salah seorang pengawai kanan tentera Amerika, Brigadier Jeneral Mark Kimmitt baru-baru ini. Beliau mengatakan bahawa kehadiran 300,000 askar asing di Timur Tengah yang kebanyakannya askar Amerika adalah faktor utama yang menyumbangkan kepada ketidakstabilan di rantau itu.

Hakikatnya, matlamat utama yang hendak diwujudkan oleh orang-orang Barat kapitalis dari dialog antara peradaban ini adalah untuk menghalangi kembalinya Islam ke dalam realiti kehidupan sebagai suatu sistem hidup yang menyeluruh. Tambahan pula sudah ramai umat Islam yang sedar bahawa selagi tidak ada negara Khilafah untuk melindungi umat Islam dari kezaliman dan penghinaan seperti penghinaan ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam, maka selama itulah umat Islam akan diperlecehkan dan dizalimi. Musuh-musuh Islam melihat peradaban Islam, yang akan hanya dapat dilaksanakan secara menyeluruh melalui Khilafah, sebagai ancaman bagi cara hidup dan peradaban Barat kapitalis serta dapat memusnahkan segala kepentingan dan pengaruh mereka di dunia.

Dari persidangan dan dialog seperti ini juga musuh-musuh Islam cuba mencapai beberapa matlamat sampingan. Antara lain mereka berusaha mencorak dunia dengan corak peradaban Kapitalisme terutama di wilayah-wilayah yang menjadi tempat hidup umat Islam. Corak peradaban kapitalisme sama sekali menolak Islam dijadikan sebagai rujukan dalam permasalahan kehidupan. Barat mahu mengenepikan Islam dari benak umat Islam. Sasaran ini diusahakan dengan cara menggoncang kepercayaan umat Islam terhadap Islam dari aspek sumber dan asas-asas Islam. Misalnya, Islam memerintahkan umatnya mempertahankan maruah Islam dari dicemari, tetapi Barat sebaliknya memaksa umat Islam menerima penghinaan ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai kebebasan yang mesti dihormati Mereka menuduh umat Islam keterlaluan dan berfikiran sempit. Islam menegaskan bahawa jihad di medan perang seperti di Afghanistan dan Iraq adalah suatu kewajiban yang mulia sebaliknya Barat memaparkan jihad sebagai keganasan. Pencerobohan Amerika dipaparkan sebagai usaha untuk membolehkan umat Islam menikmati kebebasan dan demokrasi. Jika umat Islam tunduk kepada kehendak Barat, maka mudahlah Barat untuk terus memperhambakan umat Islam.

Musuh Islam juga mahu sifat Islam sebagai ideologi politik (aqidah siyasiyyah) dihapuskan sedangkan itulah ciri terpenting Islam yang membezakannya dengan cara hidup yang lain. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat berhadapan dengan permusuhan dari orang-orang kafir dalam usaha untuk mendirikan Negara Islam kerana mereka memahami Islam sebagai sebuah ideologi politik. Semakin ramai umat Islam hari ini yang mula sedar tentang perkara ini dan mula melibatkan diri dalam usaha untuk menegakkan semula Khilafah, sebuah negara Islam universal yang mengatur urusan rakyat sesuai dengan peraturan Islam dan mengembang risalah Islam kepada seluruh manusia. Barat berusaha memesongkan umat Islam agar terus berpegang kepada ideologi kapitalisme dan meracuni umat Islam serta menghalang sebarang usaha untuk mendirikan Khilafah.

Matlamat musuh Islam juga adalah membentuk keperibadian Muslim yang tidak akan merasa bersalah jika meninggalkan kewajiban dan mengerjakan yang haram. Mereka juga berusaha merosak perasaan Islam pada diri seorang Muslim dan membunuh semangat Islam di dalam jiwanya. Dengan cara ini, seseorang Muslim itu tidak akan mampu lagi membenci kekufuran, tidak merasa perlu untuk melaksanakan Islam dan tidak merasa terpanggil untuk mencegah kemungkaran.

Sasaran lain musuh Islam dari usaha dialog ini adalah melenyapkan perisai budaya (hadharah) Islam dalam tubuh umat Islam. Perisai ini yang berfungsi menangkis pemikiran kufur dianggap mengancam kewujudan peradaban kapitalisme di dunia. Melalui persidangan/dialog antara Islam dan Barat, orang-orang kafir berharap agar ia dapat memperbanyakkan agen-agen mereka dan memperkukuhkan sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) di kalangan umat Islam.

Adalah merupakan suatu hakikat bahawa tidak wujud sebarang titik pertemuan di antara Islam dan sekularisme. ‘Jambatan’ antara Islam dan Barat yang diserukan di dalam dialog ini sebenarnya adalah sebuah mimpi yang tidak pernah wujud sejak berdirinya Islam di muka bumi ini. Malah, idea ‘membina jambatan antara Islam dan Barat’ pada hakikatnya adalah merupakan topeng kejahatan Barat agar kaum Muslimin menolak pandangan Islam dalam hal-hal kehidupan dan menggantikannya dengan pandangan Barat kapitalis. Barat sendiri sedar bahawa adalah mustahil untuk mengkompromikan Islam dan Kapitalisme. Oleh itu, pada hakikatnya, mereka juga sedar bahawa dialog antara Islam dan Barat untuk mencari titik pertemuan serta mencipta perabadan manusia yang baru hanyalah suatu khayalan semata-mata. Namun mereka sedar bahawa dialog seumpama ini boleh dijadikan sebagai senjata untuk memusnahkan peradaban Islam, melemahkannya dan menjumudkannya. Amerika dan sekutunya menggalakkan malah membiayai dialog seperti ini bukanlah untuk tujuan berdamai dengan orang Islam, atau secara ikhlas cuba mencari titik pertemuan antara Islam dan Barat; namun tujuan sebenar mereka adalah untuk memperbaiki imej Barat di hadapan umat Islam, mencegah umat Islam dari terus membongkar tipu daya Barat dan meredakan ujaan pemikiran kaum Muslimin yang mula mendakap ideologi Islam.

Pertarungan antara kebaikan (Islam) dan kejahatan (peradaban Barat dan sebagainya) adalah salah satu sunnatullah dalam kehidupan. Allah sendiri dengan hikmahNya ingin menjadikan pertarungan seperti itu untuk menampakkan yang benar dan yang baik serta menghancurkan yang batil dan yang jahat. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dengan maksud:

“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dari sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini.” [TMQ al-Baqarah: 251]

Sejarah permusuhan orang-orang kafir terhadap orang-orang Islam bukanlah satu perkara baru. Pastinya ia tidak akan dapat diakhiri melalui persidangan/dialog yang didalangi oleh orang-orang kafir. Kafir Barat telah melancarkan Perang Salib ke atas umat Islam sepanjang abad 10 – 11 sehingga mereka berjaya menawan Baitul Maqdis. Tentera Islam di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi berjaya memperoleh kembali Baitul Maqdis. Dendam Barat tidak kunjung padam. Napoleon dari Perancis kemudian memimpin serangan ke atas Mesir (1796) dan Sham (1799) dan beliau cuba memperdayakan umat Islam dengan mengatakan beliau menghormati Islam. Lord Allenby pula merampas Baitul Maqdis pada Perang Dunia 1 yang membolehkan Yahudi bermaharajalela di Palestin dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Yahudi pada tahun 1948. Barat juga mendalangi Mustafa Kamal untuk menghancurkan Khilafah pada 3 Mac 1924 dan berjaya memecahbelahkan umat Islam kepada lebih daripada 50 buah negara. Sampai bila-bila pun, orang-orang kafir akan terus mempersalahkan umat Islam sebagai punca permusuhan. Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan bahawa selagi umat Islam berpegang teguh kepada Islam, selagi itulah orang-orang kafir tidak akan berpuas hati sebagaimana firmanNya dengan maksud:

“Tidak akan pernah redha kepada engkau kaum Yahudi dan Nasrani hingga engkau mengikuti cara hidup (millah) mereka. Katakanlah: ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk.”
[TMQ al-Baqarah : 120]

Dalam persidangan itu ditegaskan permusuhan dalam hubungan peradaban Islam dan Barat mesti dihapuskan dan digantikan dengan rasa saling menghormati bagi menghentikan permusuhan yang berlarutan. Kenyataan ini bercanggah dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

Mereka tidak akan berhenti memerangi kalian sampai mereka dapat mengembalikan kalian dari agama kalian (kepada kekafiran) seandainya mereka mampu.”  [TMQ al-Baqarah : 217]

Sikap berkompromi (bertolak ansur) atau mengambil jalan tengah antara Islam dan kufur (seperti pemikiran Barat) adalah pemikiran yang sangat asing dalam pandangan Islam. Pemikiran ini dimasukkan ke dalam umat Islam oleh orang-orang Barat dan agennya dari kalangan umat Islam. Mereka mempopularkan idea itu kepada umat Islam dengan bertopengkan slogan keadilan dan toleransi. Tujuannya adalah untuk menyesatkan umat Islam dari berbagai hukum Islam yang telah jelas batas-batasnya. Mereka berbohong apabila mereka mengatakan bahawa sikap kompromi tidak bertentangan dengan Islam sedangkan hakikatnya adalah Islam dikorbankan kerana ingin memuaskan kehendak orang-orang kafir.

Kita haruslah mengambil pengajaran dari sikap Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam kepada bapa saudaranya Abu Talib yang mengemukakan tawaran Quraish kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berupa harta, pangkat, wanita, dan kehormatan agar beliau meninggalkan Islam. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bertegas dalam hal ini ketika beliau berkata:

“Demi Allah, wahai bapa saudaraku, andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan perkara ini (Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan perkara itu atau aku hancur kerananya!”

Dialog antara Islam dan Barat adalah dialog yang hanya menguntungkan Barat. Dialog ini didalangi oleh musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk menghancurkan Islam kerana kebencian mereka terhadap peradaban Islam dan kaum Muslimin. Janganlah kita lekas tertipu dengan rencana-rencana Barat ini. Berwaspadalah dengan alasan-alasan yang diberikan sebagai justifikasi dialog-dialog seperti ini diadakan. ‘Jambatan’ yang kononya akan dapat dibina sekiranya dialog seperti ini berjaya hanyalah merupakan sebuah mimpi dan kalaupun ‘jambatan’ ini dapat dibina, ia bukanlah ‘jambatan’ yang akan disandarkan kepada Islam dan akan dapat mengembalikan kemuliaan umat Islam. Pastinya, ‘jambatan’ kufur ini akan menjadi racun yang malah akan menambahkan lagi penghinaan dan kezaliman ke atas umat Islam.

Wahai Kaum Muslimin!

Jika kita beriman kepada hari akhirat dan merindukan syurga marilah kita sama-sama berusaha segenap tenaga tanpa menggunakan kekerasan untuk mendirikan Daulah Khilafah yang akan melindungi Islam, umatnya dan maruahnya yang sudah terlalu banyak tercemar. Negara Khilafah apabila ia berdiri dalam masa yang terdekat ini insyaAllah, akan terus terjun ke medan jihad dan pertarungan pemikiran, mendahului segenap peradaban dalam semua aspek kehidupan. Semua usaha bertujuan untuk menyebarkan peradaban Islam yang haq dan mulia sekaligus memusnahkan peradaban kapitalisme yang hina, palsu dan rosak. Berwaspadalah terhadap usaha musuh-musuh Islam untuk memalingkan kaum Muslimin dari hidayah Allah sebagaimana firmanNya agar kita tidak ditimpa yang berlipat ganda di dunia dan di akhirat.

“Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan jika sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia. Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati) mu nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Jika terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.”  [TMQ al-Isra’ : 73 – 75]

Wallahu’alam