SN262 – KEJAHATAN OBAMA: BILA UMAT ISLAM AKAN SEDAR?
SN Keluaran 27 Mei 2011
KEJAHATAN OBAMA: BILA UMAT ISLAM AKAN SEDAR?
Begitulah kelancangan dan keangkuhan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin kuffar ini kepada dunia secara amnya dan kepada umat Islam secara khususnya. Kejahatan Israel dalam menjajah Palestin dan membunuh umat Islam diketahui oleh setiap manusia yang buta sekalipun. Kejahatan Israel ini tidak kurang dengan kejahatan yang dilakukan oleh Obama ke atas umat Islam. Namun Obama yang licik cuba menunjukkan kepada dunia bahawa dia adalah seorang yang baik dan salah satu ‘kebaikan’nya adalah rancangan damainya di Palestin! Kini, presiden kulit hitam pertama AS ini, di dalam ucapannya dengan lantang menginginkan agar Israel dan Palestin kembali kepada sempadan tahun 1967. Siapakah Obama yang berhak menentukan sempadan negara umat Islam??? Umat Islam mestilah sedar dan tidak terpukau apatah lagi bersetuju dengan cadangan dari pemimpin kejahatan ini. Sesungguhnya tidak ada dan tidak boleh ada negara yang bergelar Israel. Negara haram ini wujud hasil usaha British dan PBB lebih 50 tahun yang lalu dengan dibantu oleh para pemimpin umat Islam yang khianat. Selepas itu, negara ini terus dipelihara kewujudannya oleh Amerika dengan dokongan demi dokongan dari semakin ramai pemimpin umat Islam yang khianat. Kesudahannya kini, negara Palestin sudah tidak ada di dalam peta dunia dan diganti dengan negara Israel. Akhirnya (rakyat) Palestin yang sebaliknya berjuang untuk mendapat ‘pengiktirafan’ sebagai sebuah negara di atas tanah Israel!!!
Bagi memastikan Israel terus wujud, Amerika bertindak sebagai hero dalam menetapkan sebarang perjanjian, usaha damai dan persempadanan, dengan menumpahkan banyak darah rakyat Palestin! Sungguh keji apa yang dilakukan oleh AS dan lebih keji lagi para pemimpin Islam yang menyokong AS di dalam isu Palestin. Di dalam Islam, telah jelas bagi kita bahawa pelbagai perjanjian mahupun gencatan senjata mestilah dibatasi dengan batas waktu tertentu, tidak boleh bersifat mutlak (selamanya). Ini kerana, memutlakkan waktu perjanjian akan membawa kepada kelalaian atau pemberhentian jihad, dan ini adalah haram menurut syarak. Apabila gencatan senjata dengan orang-orang kafir yang tidak menduduki sejengkal pun tanah kita sahaja sudah tidak diperbolehkan, kecuali dengan menentukan batas waktu tertentu, apatah lagi (min bab al-aula) membuat perjanjian dengan orang-orang kafir yang telah menduduki tanah-tanah kita. Ini adalah kemungkaran yang paling besar.
Haramnya perjanjian yang bersifat abadi dengan Israel sudah jelas sehingga tidak memerlukan perbahasan lagi. Perjanjian dengan Israel sekali-kali tidak boleh disamakan dengan Perjanjian Hudaibiyah kerana perbezaannya amat ketara dalam segenap sudut. Perjanjian Hudaibiyah bukanlah perjanjian yang menyerahkan tanah Islam kepada kuffar sebagaimana perjanjian Palestin-Israel!!! Adalah termasuk perkara yang ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (tidak boleh uzur untuk tidak diketahui di dalam Islam) bahawa ketika orang kafir menduduki negeri kaum Muslimin, walaupun sejengkal, maka jihad menjadi fardhu ‘ain atas setiap Muslim sehinggalah tanah yang telah dirampas itu kembali ke tangan kaum Muslimin. Tidak boleh bagi kaum Muslimin melepaskan sejengkal pun tanah atau bahkan kurang dari itu kepada orang-orang kafir. Inilah yang dituntut oleh Islam dan yang diketahui oleh setiap Muslim. Hal ini juga diketahui oleh setiap kelompok manusia yang menolak kehinaan, kerendahan dan menjual negerinya. Umat mana pun akan terus berperang dan tidak akan mengakui atau tunduk pasrah begitu sahaja apabila negerinya diduduki oleh pihak musuh. Apatah lagi umat Islam yang agamanya mengharamkan kehinaan, kerendahan dan penguasaan orang-orang kafir ke atas kita.
Perjanjian dengan Israel yang diharamkan mencakup banyak bentuk seperti persetujuan dengan Israel tentang perbatasan negara seperti yang ada sekarang ini, atau bersepakat dengannya untuk mengundurkan tentera di sebahagian wilayah agar tetap seperti pada posisi/batas yang telah ditetapkan pada tahun 1948 atau batas tahun 1967. Perjanjian damai yang diharamkan juga mencakup kesepakatan dengan Israel untuk mendirikan apa yang dinamakan sebagai negara Palestin di salah satu sudut tanah/wilayah yang dirampas oleh Israel, baik negaranya itu kecil atau besar. Sesungguhnya penyelesaian atau pendirian dua-negara (two-state solution) ini sama sahaja dengan menyetujui pembahagian wilayah sekaligus menerima pendudukan Yahudi di atas tanah Islam! Dengan kata lain perjanjian apa pun yang bertujuan mempertahankan keberadaan Yahudi sebagai sebuah negara, adalah termasuk perjanjian yang diharamkan. Satu-satunya perjanjian damai yang dibolehkan adalah perjanjian kembalinya Yahudi menjadi ahlu dzimmah seperti dahulu, di mana mereka membayar jizyah dengan segala ketundukan kepada Islam.
[Berikut adalah artikel yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir Pusat sebagai respons terhadap ucapan Obama, yang disebarkan ke seluruh dunia]
Di akhir ucapannya, Obama mengesahkan bahawa Amerika menyokong penyelesaian dua-negara (two-state solution) di Palestin; sebuah negara Yahudi yang aman dan selamat di bawah penjagaan Amerika; dan sebuah negara Palestin yang lumpuh dan dilucut senjata! Obama lupa atau pura-pura lupa bahawa Palestin adalah tanah Islam, dari laut hinggalah ke sungai-sungainya dan ia akan kembali ke tuanpunya yang asal dengan izin Allah dengan tersungkurnya musuh-musuh Islam.
Siapa sahaja yang mengkaji ucapan Obama akan mendapati banyak fakta yang diputarbelitkan. Setiap orang yang mempunyai penglihatan akan dapat melihat dan mengetahui sepenuhnya bahawa pemerintah yang jahat dan zalim di negeri-negeri umat Islam adalah asuhan Barat, khususnya Amerika. Apakah ada orang yang akan menafikan hubungan rapat antara Amerika dan Mubarak, bahkan dikatakan bahawa Mubarak adalah lebih Amerika dari Amerika? Dan apakah tidak ada orang yang melihat kenyataan-kenyataan dusta yang dikeluarkan oleh Amerika semasa revolusi di Dataran Tahrir di Mesir? Ketika itu Amerika menyokong sikap Mubarak dan membisikkan kepada Mubarak apa yang patut dilakukannya sementara Amerika hanya memberikan selintas sahaja perhatian kepada Dataran Tahrir. Amerika amat sedar akan kebrutalan Mubarak yang membunuh ratusan rakyatnya sendiri dan mencederakan ribuan yang lain. Namun Amerika langsung tidak membantah atau bersuara sehinggalah mereka yakin yang Mubarak sudah tidak lagi berkuasa untuk terus melakukan pembunuhan, dan rakyat yang bangkit sudah hampir mencekik tengkuk Mubarak tanpa sedikitpun rasa takut! Pada saat itu, Amerika mula mengubah arah dan nadanya untuk mencampak Mubarak dan bergegas mencari muka lama mahupun baru yang boleh menggantikan posisi Mubarak sebagai penjaga kepentingan Amerika.
Kini, Amerika mengulangi langkah yang sama di Syria. Kelembutan suaranya kepada rejim Syria telah lama diketahui, malah oleh ahli politik Amerika sendiri dan juga oleh dunia seluruhnya. Rejim Syria melakukan pembunuhan besar-besaran ke atas rakyatnya, mencederakan, memusnahkan rumah-rumah mereka dan masjid-masjid selama dua bulan berturut-turut, tetapi Amerika tetap menutup mata dengan semua ini. Namun apabila kekuatan perjuangan rakyat Syria untuk menumbangkan rejim semakin meningkat meskipun dengan pertumpahan darah, lalu Amerika muncul dengan kenyataan yang sangat memualkan dengan berkata, “Basyar can either lead the political transition or get out of the way!” (Basyar harus memimpin transisi politik atau berundur!). Dengan kata lain, Amerika ingin meletakkan si pelaku penindasan dan pembunuhan itu sendiri sebagai orang yang mengendalikan (in-charge of) kebangkitan rakyat Syria menentang orang yang menindas dan membunuh!!! Amerika kini melakukan perkara yang sama terhadap Basyar sebagaimana yang dilakukannya terhadap Mubarak. Amerika akan memberikan masa kepadanya untuk terus membunuh dan menzalimi rakyatnya, kemudian setelah si pembunuh tadi sudah tidak lagi mampu membunuh dan kemusnahannya di tangan rakyat yang bangkit sudah semakin dekat, maka Amerika akan muncul dengan kenyataan-kenyataan manis terhadap rakyat dan melepaskan tangannya dari sang pembunuh.
Sesungguhnya Amerika adalah kepala kekufuran dan penjajahan. Pembohongan Obama tidak akan sekali-kali dapat memperbaiki imejnya, sebagaimana minyak wangi tidak akan dapat menutup kebusukan. Amerika hanya melihat kepada kepentingannya sahaja walaupun ia terpaksa berbohong secara terang-terangan. Inilah Amerika, dalam persaingannya dengan Kesatuan Eropah (selaku sekutu dalam mengeksploitasi umat Islam) dalam menjajah negara umat Islam, sepertimana kita lihat mereka sekarang ini sedang bersaing di Libya, Yemen, Bahrain dan kawasan sensitif lainnya di tanah umat Islam. Negara-negara kuffar ini sesungguhnya sangat benci dengan Islam dan kaum Muslimin, dan ‘nilai-nilai’ yang didendangkan oleh Obama hakikatnya mempunyai rentak kebencian yang sama dengan negara Barat lainnya, sebagaimana yang mereka manifestasikan di Iraq, Afghanistan dan Guantanamo. Apakah nilai-nilai Amerika? Nilai Amerika adalah dengan mengebom secara berterusan kaum Muslimin di Pakistan menggunakan pesawat-pesawat mereka. Nilai Amerika adalah pembunuhan bacul ke atas para syuhada’ yang tidak bersenjata di rumah-rumah mereka, dan bukannya di medan perang. Nilai Amerika adalah dengan dominasi dan jerat kewangan ke atas negeri-negeri umat Islam melalui Bank Dunia, IMF melalui hutang, projek yang tidak produktif, riba yang keterlaluan dan kawalan import-eksport, sehingga sebahagian besar negara umat Islam yang kaya-raya dengan pelbagai sumber, menderita dengan bebanan hutang dan riba yang besar. Nilai Amerika adalah memberikan sokongan yang berterusan terhadap entiti Israel yang menjajah Palestin, yang melakukan kejahatan ke atas umat Islam siang dan malam. Inilah nilai-nilai Amerika dan ini semua merupakan nilai yang amat ketara!
Wahai kaum Muslimin! Ucapan Obama ini bukanlah suatu yang baru berbanding dengan ucapan-ucapannya sebelum ini. Ia hanya merupakan hal lama yang diperbaharui. Dia menyebut di dalam ucapannya sebagaimana yang telah disebutnya sebelum-sebelum ini khususnya semasa dia berucap di Cairo dua tahun lalu. Apa yang baru kali ini hanyalah titik fokusnya sahaja, ketinggian suaranya dan penekanannya terhadap sokongan ke atas Israel di dalam menjaga keamanannya, sehingga kebimbangannya melampaui kebimbangan orang Yahudi itu sendiri! Dia mengenepikan pembahasan tentang isu Baitul Maqdis dan pengembalian para pelariannya dan langsung tidak menjadikannya sebagai isu utama. Dia mencampur-adukkan isu sempadan 1967 dan pertukaran kawasan di dalam bentuk ucapan yang jelas memanifestasikan niatnya untuk memasukkan pemukiman Yahudi sebagai sebahagian dari kawasan Israel agar pemukiman tersebut tidak terletak dalam kawasan/negara kecil Palestin yang tidak bersenjata dan lemah.
Wahai kaum Muslimin! Sungguh, ucapan Obama bukanlah suatu yang baru. Ia adalah ucapan yang biasa dan sememangnya dijangkakan dari Obama dan lain-lain presiden Amerika sejak awal bermulanya isu Palestin lagi. Cuma, apa yang sangat menyakitkan di dalam ucapan Obama ini adalah apabila dia menyebut di dalamnya tanah itu dan tanah ini, kemudian beralih lagi ke tanah itu dan tanah ini (tanah kaum Muslimin) dengan menyatakan, “ini (tanah yang) dibenarkan”, “itu (tanah yang) tidak dibenarkan” seolah-olah tanah kaum Muslimin adalah sebahagian dari tanah Amerika!
Tanah-tanah kaum Muslimin, yang suatu ketika dulu pernah menjadi pusat dunia semasa kewujudan Khilafah, sebuah Daulah Islam yang dihormati kawan dan digeruni lawan serta yang menyebarkan kebaikan ke seluruh penjuru dunia. Kini tanah-tanah ini, dengan ketiadaan Khilafah, telah menjadi pentas, tempat di mana Obama berpindah-pindah dari satu podium ke podium yang lainnya. Apa yang tambah menyakitkan dengan semua ini adalah hakikat bahawa Presiden Amerika Syarikat berjaya menguasai dan mengumpulkan para pemerintah kaum Muslimin di bawah telunjuk mereka. Para penguasa ini datang kepada Amerika dengan menunduk-nundukkan kepala, mereka menyangka bahawa mereka mendapat kemuliaan dan perlindungan dari Amerika, walhal sangkaan mereka itu sebenarnya membawa kehancuran kepada mereka. Mereka ini tidak pernah mahu mengambil pengajaran dari firman Allah SWT,
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kemuliaan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kemuliaan adalah milik Allah” [TMQ an-Nisa’ (4):138-139].
Para penguasa ini juga tidak pernah mahu mengambil pengajaran dari kejadian-kejadian yang berlaku yang mereka saksikan sendiri di mana Amerika akan menghumban penguasa seperti mereka setelah peranan para penguasa ini selesai.
Wahai kamu Muslimin! Hizbut Tahrir menyeru kalian, belum tibakah masanya untuk kalian sedar bahawa (menegakkan) Khilafah adalah kewajipan dari Rabb kalian, perintah dari Rasul kalian, jalan menuju kemuliaan kalian dan merupakan jalan kebangkitan kalian? Belum tibakah masa untuk kalian bersegera berjuang bersama barisan pejuang Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah dan merealisasikan janji Rabb kalian,
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa” [TMQ an-Nur (24):55].
Dan mewujudkan berita gembira Nabi kalian,
“Kemudian akan kembali Khilafah yang berjalan di atas manhaj kenabian” [HR Ahmad].
Sehingga bumi akan disinari kembali oleh cahaya Khilafah dan Amerika serta Barat akan berundur ke negeri mereka sendiri, itupun jika mereka masih memiliki negeri!
Belum tibakah saatnya bagi kalian untuk menghadap Allah SWT dengan bersegera bertaubat kepadaNya sebelum ajal menjemput kalian lalu kalian menyesal, namun saat itu segala kesalan sudah terlambat untuk kalian?
“Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu” [TMQ az-Zariyat (51):50].
Hizbut Tahrir
17 Jumadi al-Akhirah 1432H
20 Mei 2011