SN402 – OKTOBERFEST : SYIAR KEKUFURAN PERANAKAN DEMOKRASI

 
SN keluaran 17 Oktober 2014

 

Bismillahirrahmanirrahim

OKTOBERFEST : SYIAR KEKUFURAN PERANAKAN DEMOKRASI


[SN402] Penganjuran pesta arak Oktoberfest yang berlangsung pada 24 September sehingga 12 Oktober lalu di beberapa tempat di negara ini telah mencetuskan kontroversi lantaran kedegilan pihak penganjur membatalkannya meskipun telah mendapat bantahan daripada umat Islam. Polemik bermula apabila ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad menyatakan bahawa Oktoberfest tidak boleh dihalang atas alasan Malaysia bermasyarakat majmuk. Lebih menambahkan polemik apabila beberapa orang pemimpin tertinggi DAP dan juga PKR yang non-Muslim turut menghadiri pesta yang berasal dari German itu, malah sengaja memuatnaik gambar-gambar mereka ke laman sosial bagi menzahirkan sokongan mereka terhadap pesta maksiat tersebut. Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh menegaskan bahawa alasan negara majmuk tidak boleh digunapakai untuk terus membenarkan pesta arak seperti Oktoberfest dianjurkan di negara ini, Sekalipun pengharaman arak hanya kepada orang Islam, tetapi orang bukan Islam tidak boleh menganjurkan pesta arak, tambah beliau. Nampaknya parti Islam yang bertahaluf dengan kedua-dua parti tersebut yang selama ini bangga bahawa mereka telah berjaya mendakwahkan Islam kepada sekutu mereka itu, boleh dipersoalkan, apabila rakan-rakan mereka itu langsung tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam, malah langsung tidak mempedulikan bantahan dari rakan tahaluf mereka sendiri.


Mengulas perkembangan yang sama, Menteri Besar Selangor yang baru, Azmin Ali berkata bahawa Oktoberfest tidak mendapat permit. Namun malangnya, beliau tetap membiarkan pesta maksiat itu berjalan tanpa apa-apa sekatan. Manakala Datuk Seri Noh Omar pula melahirkan rasa terkilannya dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang meluluskan pemasangan papan iklan pesta arak Oktoberfest ini, yang mana hal ini dinafikan oleh Khalid Samad. Sungguh malang apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu hanya melahirkan rasa terkilan terhadap kewujudan “papan iklan” Oktoberfest sahaja dan bukannya terhadap pesta arak itu sendiri. Apa pun, hal ini boleh difahami dengan mudah kerana kewujudan kilang arak, kedai arak, pub yang menyediakan arak dan sebagainya, termasuklah segala jenis pesta maksiat di Malaysia selama ini memang tidak boleh lepas daripada “kebenaran” yang diberikan oleh UMNO juga, yang merupakan parti pemerintah. Inilah fenomena biasa yang wujud dalam sebuah sistem pemerintahan yang undang-undangnya dibuat oleh manusia di mana apa sahaja yang haram boleh dilakukan atas kehendak dan kemahuan pemerintah. Soal permit hanyalah “formaliti” untuk menghalalkan suatu yang haram. Inilah namanya demokrasi!

Kerosakan Dan Keharaman Arak

Sesungguhnya pengambilan arak banyak mendatangkan kemudaratan terhadap individu, institusi kekeluargaan, masyarakat dan juga negara. Saban tahun, bilangan kematian dan penyakit yang berpunca daripada pengambilan minuman beralkohol itu semakin meningkat pada kadar yang menakutkan. Menurut laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan alkohol telah mengakibatkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang. Dalam sebuah jurnal yang dikeluarkan oleh Persatuan Perubatan Amerika Syarikat, pada tahun 2004 sahaja sejumlah hampir 85 ribu kematian berpunca daripada pengambilan arak telah dilaporkan di negara Uncle Sam itu. Dalam pada itu, pengambilan minuman syaitan itu juga sering mengakibatkan tingkah laku ganas dan jenayah di samping menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya serta keretakan rumah tangga yang sangat tinggi serta banyak lagi keburukan lainnya yang terhasil dari arak yang tidak dapat diungkapkan di sini.

Benarlah sabda Rasulullah SAW bahawasanya

Arak adalah ibu segala maksiat dan ianya adalah maksiat paling mengaibkan” [HR Ibnu Majah].

Hukum haramnya arak adalah sangat jelas dan termasuk dalam perkara ma’lum min al-din bi al-dharurah. Firman Allah SWT,

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan” [TMQ al-Maidah (5):90].

Rasulullah SAW bersabda,

Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram…” [HR Muslim].

Selain keharaman arak itu sendiri, Islam juga mengharamkan kewujudan sebarang kilang atau industri arak. Dari Anas bin Malik,

Rasulullah SAW melaknat dalam hal khamr sepuluh pihak: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membeli dan yang dibelikan untuknya” [HR Tirmizi dan Ibnu Majah].

Dari hadis ini diambil kaedah syarak

as-sina’atu ta’khuzu hukma ma tuntijuhu” (status hukum kilang/industri adalah mengikut produk yang dihasilkannya).

Kilang pemerahan (jus buah) asal hukumnya adalah mubah (harus), baik berupa kilang pemerahan anggur, epal, oren dan sebagainya. Namun, Rasulullah SAW datang dan mengharamkan industri pemerahan (produksi) arak/khamr. Keharamannya adalah kerana pemprosesannya yang menghasilkan suatu yang haram. Proses pemerahan itu menjadi haram kerana status hukumnya adalah mengikuti ‘hasil’nya. Ini bermakna, status hukum kilang/industri adalah bergantung kepada hasil yang dikeluarkannya. Perlu difahami bahawa hal ini tidak hanya khusus untuk arak sahaja, tetapi meliputi setiap yang haram seperti ganja, heroin, judi dan seumpamanya.

Dalam Islam, siapa sahaja yang terbukti meminum khamr tidak kira sedikit atau pun banyak, maka ia wajib dikenakan hukuman sebat sebanyak 40 atau 80 kali. Anas menuturkan,

Nabi SAW memukul orang yang minum khamr dengan pelepah kurma dan terompah sebanyak 40 kali” [HR Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Abu Daud].

Ali bin Abi Thalib juga menuturkan,

Rasulullah mencambuk (peminum khamr) 40 kali, Abu Bakar mencambuk 40 kali, Umar mencambuk 80 kali. Masing-masing adalah sunnah. Dan ini adalah yang lebih aku sukai” [HR Muslim].

Manakala untuk selain peminum khamr, hukumannya adalah ta’zir yang mana bentuk dan kadarnya itu diserahkan kepada Khalifah/Qadhi, sesuai ketentuan syariah.

Pengaturan Arak Di Bawah Negara Islam

Terdapat pihak, baik Muslim mahupun non-Muslim yang cuba menjustifikasi penganjuran Oktoberfest dengan hujah bahawa Malaysia merupakan negara majmuk dan kita sewajarnya menghormati hak orang bukan Islam yang dihalalkan meminum arak menurut ajaran agama mereka. Ada juga yang berhujah bahawa ini adalah pesta orang bukan Islam dan tidak ada kena mengena dengan Islam dan orang Islam tidak berhak masuk campur urusan penganut agama lain. Hal ini adalah termasuk kebebasan beragama dan di Malaysia ia dibenarkan di bawah Perlembagaan. Ada pula yang berpendapat bahawa Islam tidak pernah menekan non-Muslim sehingga memaksa mereka mengikut kehendak orang Islam. Malah ada yang membolehkan Oktoberfest ini atas alasan adanya ulamak yang membolehkan penggunaan hasil cukai arak, asalkan hasilnya tidak digunakan untuk manfaat orang-orang Islam serta banyak lagi hujah lainnya.

Walaupun niat adalah baik dan hujah sang Muslim adalah untuk mempertahankan Islam, namun terdapat kekeliruan dan kesalahan di dalamnya. Memang benar bahawa “hak-hak” orang kafir dijaga oleh Islam, tetapi penjagaan itu adalah menurut syarak dan bukannya menurut akal, nafsu atau kepentingan mana-mana pihak. Orang kafir (zimmi) hanya dibenar mempraktikkan ajaran agama mereka sebatas yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Tidak kiralah mereka setuju atau tidak, suka atau tidak, mereka wajib tunduk kepada syarak. Masyarakat majmuk tidak memberi implikasi bahawa orang-orang kafir boleh melakukan apa sahaja seperti menganjurkan pesta arak, pesta gay, pesta lesbian, pesta seks dan lain-lain secara besar-besaran walaupun di tempat majoriti mereka tinggal. Rasulullah SAW tidak pernah berkompromi, apatah lagi tunduk kepada kaum kafir dalam soal hukum syarak meskipun penduduk Madinah pada zaman baginda terdiri dari masyarakat majmuk. Ya, benar orang-orang kafir mempunyai hak dalam beberapa perkara tertentu tetapi semuanya perlu tunduk kepada Islam dan mereka tidak dibenarkan menzahirkan syiar kekufuran sedikit pun.

Orang-orang kafir dibenar mengamalkan ajaran tertentu menurut kepercayaan mereka seperti dalam hal akidah, makan-minum, pakaian dan perkahwinan tetapi kebenaran ini adalah tertakluk kepada Islam. Dalam hal akidah, mereka tidak dipaksa memeluk agama Islam dan boleh mengamalkan apa jua kepercayaan mereka, namun demikian mereka tidak dibenar menzahirkan syiar kesyirikan mereka di tempat umum. Dalam hal pakaian, mereka dibenarkan memakai pakaian mereka dalam kehidupan khusus (di rumah) manakala dalam kehidupan am (di luar rumah), mereka tetap diwajibkan menutup aurat sebagaimana Muslim dan tidak dibenarkan berbogel atau membuka aurat sesuka hati di khalayak ramai, biarpun agama mereka membenarkannya. Dalam hal makan-minum, orang-orang kafir dibenarkan memakan dan meminum sesuai ajaran agama mereka, tetapi mereka tidak dibenarkan meminum arak di tempat awam dan tidak dibenar mengadakan pesta arak. Begitu juga dengan segala hal yang boleh merosakkan masyarakat dan akhlak atau kelakuan tidak sopan juga diharamkan di dalam Negara Islam.

Di sinilah perlu dibezakan di antara perbuatan meminum arak dengan mengadakan pesta arak. Islam membenarkan yang pertama tetapi tidak yang kedua kerana yang kedua bermaksud menzahirkan syiar kekufuran dan menzahirkan syiar kekufuran adalah diharamkan oleh Islam. Tatkala Rasulullah SAW membuka Makkah, baginda terus menghancurkan berhala yang ada di dalam dan di sekeliling Kaabah. Begitu juga apabila Tsaqif dibuka, Rasulullah memerintahkan agar berhala Latta dihancurkan kerana berada di tempat umum yang menjadi syiar kekufuran. Justeru, perlu dibezakan di sini antara kebenaran Islam terhadap amalan orang kafir dengan penzahiran syiar kekufuran oleh orang-orang kafir di mana Islam membenarkan yang pertama tetapi tidak yang kedua.

Selain dari kebenaran bersyarat yang diberikan oleh Islam dalam perkara-perkara di atas, orang kafir adalah tertakluk kepada syariat Islam sepenuhnya dalam hal lain baik dalam hal pemerintahan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, uqubat (hukuman) dan sebagainya kerana syariat Islam merupakan undang-undang bagi negara. Orang kafir contohnya tidak dibenarkan memegang jawatan pemerintahan kerana ia dilarang oleh syariat. Seperti mana orang Islam, orang kafir juga tidak dibenarkan mengambil riba, membunuh, berzina, meliwat, mencuri, memfitnah, menghina orang lain, menghina Islam dan lain-lain. Sekiranya mereka melakukan kesemua perkara yang dilarang tersebut, mereka wajib dikenakan hukuman menurut Islam dan bukannya hukuman menurut ajaran agama mereka!

Islam tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan kekufuran sedikit pun kerana Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan kesemua agama lain adalah sesat dan salah. Islam adalah agama yang tinggi dan tidak ada satu pun yang lebih tinggi daripadanya. Sebagai agama yang syumul, Islam turut mengatur hubungan antara Muslim dengan penganut agama lain dengan aturan yang adil dan penuh hikmah. Islam mengandungi hukum- hakam yang adil dan komprehensif terhadap kafir zimmi, kafir mu’ahid dan juga kafir harbi. Dengan keadilan dan keindahan hukum yang datangnya dari Pencipta manusia inilah, maka kita menyaksikan di sepanjang sejarah Islam, orang kafir memasuki agama Allah ini secara berduyun-duyun. Namun semua ini terjadi pada zaman wujudnya Daulah Islam di mana hukum Islam diterapkan secara seratus peratus oleh para Khalifah dalam kehidupan dan pemerintahan negara. Kini, keadilan dan keindahan ini cuma tinggal dalam bentuk teori sahaja kerana pemerintah telah mencampakkan hukum Allah dari pemerintahan dan para politikus yang ada sering berkompromi dan tunduk kepada orang kafir dalam rangka mengambil hati orang kafir dan demi meraih manfaat peribadi dan juga undi.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sudah terlalu banyak kali agama Islam “dicabar” dengan kekufuran dan kemaksiatan seperti pesta arak Oktoberfest ini dan lain-lain pesta yang amat menjengkelkan. Penganjuran pesta sebegini bahkan semakin subur dari masa ke semasa. Ketahuilah bahawa berleluasanya syiar kekufuran dan kemaksiatan ini tidak dapat dipisahkan dari dua perkara iaitu pemimpin yang buruk dan sistem yang buruk. Beginilah natijahnya apabila umat Islam dipimpin oleh pemimpin sekular yang memisahkan agama dari kehidupan dan bersistemkan sistem demokrasi buatan manusia yang penuh dengan kekufuran dan kebobrokan. Di bawah pemimpin dan sistem yang buruk ini, halal dan haram tidak lagi menjadi pegangan, tetapi yang dipegang ialah hawa nafsu dan manfaat. Sesungguhnya menularnya budaya kufur dan liar di negara ini tidak lepas daripada simptom kerosakan sistemik lantaran penerapan sistem demokrasi. Sistem demokrasi yang rosak ini sudah barang pasti akan terus memperanakkan kerosakan demi kerosakan dan salah satu darinya adalah Oktoberfest ini. Justeru, tidak ada jalan keluar lain daripada masalah ini kecuali kita mencampakkan sistem kufur ini dan berjuang untuk meninggikan agama Allah dengan menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah yang tatkala ia berdiri nanti, akan hinalah kekufuran serta penganutnya dan akan mulialah Islam serta penganutnya. Wallahu a’lam.