SN414 – Rotan: Kenapa CRC, Bukan Sunnah, Yang Dijadikan Pegangan?

PDF

SN keluaran 30 Januari 2015

[SN414] Terpampang tajuk yang mengejutkan di Utusan Malaysia pada 24 Januari 2015 “Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah” yang seterusnya mengundang kritikan hangat di laman-laman sosial di samping ramai yang mengecam secara sinis. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, rang undang-undang baharu kanak-kanaksedang digubal bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 dan kini berada di peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara. Menurut Rohani, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC).

Setelah dikecam hebat, KPWKMkemudian menjelaskan bahawa undang-undang itu bukanlah bermaksud setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah. Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengeluarkan kenyataan menyarankan agar kerajaan tidak terburu-buru melaksanakan obligasi CRC. Turut memberikan respons adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk ZainulRijal Abu Bakar yang cuba mengharmonikan CRC dengan hak merotan yang telah menjadi budaya masyarakat di Malaysia dan Pengerusi SukaGuam Malaysia, Khairul Anwar Rahmat yang mempertahankan hak merotan dengan mendedahkan kesan-kesan buruk jika hukuman rotan dilarang.

Sekilas Mengenai CRC

Berdasarkan kamus Cambridge, “konvensyen” (dalam politik) bermaksud sebuah perjanjian (treaty) di antara beberapa pihak sama ada pemimpin negara, ahli politik atau negara dan perjanjian yang dilakukan adalah berkaitan perkara yang melibatkan semua pihak tersebut. Sebagai sebuah negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia telah menerima pakai Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights, UDHR) sebagai satu nilai yang dapat dijadikan ukuran bersama secara universal. Bertitik tolak daripada itu, Malaysia telah memberi perhatian terhadap perjanjian yang telah dibuat atas fahaman hak asasi manusia sejagat ini dan telah menjadi negara ahli kepada beberapa perjanjian tersebut dan salah satunya adalah Konvensyen Hak-Hak Kanak-kanak (CRC) yang merupakan perjanjian antarabangsa untuk mengenalpasti hak-hak kemanusiaan asas bagi semua kanak-kanak yang mengandungi 54 artikel dan dua protokol pilihan. [http://www.unicef.org/malaysia]

CRC telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995 dan hanya enam tahun kemudian (2001) barulah Malaysia menggubal Akta Kanak-Kanak sebagai tanda komitmen terhadap konvensyen tersebut. Ratifikasi yang dilakukan Malaysia ketika itu masih bersyarat iaitu untuk tidak mematuhi beberapa Perkara dalam konvensyen tersebut iaitu Perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28(1) (a) dan 37. Alasan untuk tidak mematuhi perkara-perkara tersebut ialah keranaia bertentangan dengan undang-undang negara dan undang-undang syariah yang dipraktikkan di Malaysia [http://www.unicef.org/malaysia/children_crc-in-malaysia.html]. Namun pada tahun 2007, Jawatankuasa CRC telah melawat Malaysia untuk memerhatikan perkembangan semasa di Malaysia lalu menyenaraikan beberapa cadangan, antaranya ialah agar hak Malaysia untuk tidak mematuhi beberapa Perkara dihapuskan. Jawatankuasa tersebut juga menyatakan bahawa sistem dua perundangan (sivil dan syariah) adalah penghalang kepada CRC di Malaysia dan akhir sekali mereka mencadangkan agar Malaysia menandatangani dua protocol pilihan dan undang-undang antarabangsa yang lain.

Kedatangan Jawatankuasa CRC tersebut nampaknya untuk menekan Malaysia supaya bersetuju dan menerima sepenuhnya perkara yang terdapat dalam CRC. Persoalannya, kenapa mereka berminat dengan Malaysia, sedangkan Amerika Syarikatyang tidak meratifikasi CRC hingga kini, sepatutnya lebih aula(utama) untuk ditekan oleh Jawatankuasa terbabit. Daripada seluruh negara anggota PBB, hanya AS dan Somalia sahaja yang tidak meratifikasi konvensyen tersebut. Kita faham yang Somalia tidak berbuat demikian kerana pergolakan yang tidak berkesudahan dalam negaranya, tetapi AS yang kononnya penjaga dan pejuang hak asasi manusia, apakah alasannya untuk tidak meratifikasi konvensyen tersebut? Inilah kemunafikan AS dan bukti bahawa PBB hanyalah alatnya untuk menekan dan menundukkan negara yang lemah, apatah lagi negara umat Islam seperti Malaysia.

Sesungguhnya tidak ada siapa yang boleh memaksa mana-mana negara untuk menandatangani apa jua konvensyen atau treaty di peringkat antarabangsa. Ratifikasi atau penandatanganan perjanjian hanyalah merupakan satu pilihan, bukan paksaan. Malah, walau setelah diratifikasi sekalipun yang kononnya menjadikan sesebuah negara itu “terikat”, semua itu hanyalah satu “khayalan” belaka. Ini kerana, sesungguhnya tidak wujud apa yang dinamakan sebagai undang-undang antarabangsa. Tidak ada mana-mana negara atau pihak yang boleh menggubal undang-undang yang memberi kesan “mengikat” kepada negara-negara lain, kecuali atas persetujuan bersama seperti halnya perjanjian dua hala. Apatah lagi jika kita berbincang mengenai penguatkuasaannya (enforcement) di peringkat antarabangsa.

Begitu juga tidak ada negara yang boleh menjadi badan penguat kuasa undang-undang antarabangsa, kecuali Amerika Syarikat yang sentiasa berlagak menjadi polis dunia dan menghukum orang lain melalui kekerasan, pembunuhan dan penjajahannya seperti yang dilakukannya ke atas Iraq dan Afghanistan. Jika ada pelanggaran undang-undang di peringkat antarabangsa sekalipun, tidak ada negara yang boleh membawa kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, kecuali dipersetujui oleh negara-negara yang bersengketa sahaja. Kerana itulah, jenayah yang dilakukan oleh AS tidak pernah boleh di bawa ke mahkamah antarabangsa, termasuklah ratusan ribu kanak-kanak yang mereka bunuh di Iraq, Afghanistan dan lain-lain. Hanya Malaysia yang “berani” mengambil tindakan lucu untuk membicarakan AS di mahkamah Malaysia dan seterusnya memutuskan yang AS bersalah!

Kemunafikan undang-undang antarabangsa ini juga boleh dilihat apabila 9 peguam daripada Delegasi Peguam-Peguam British yang telah melawat Israel dan Tebing Barat pada 10 hingga 17 September 2011 untuk melihat kesan penerapan Israel Military Law (IML). Menurut laporan Children In Military Custody yang ditulis oleh delegasi tersebut, IML telah dilaksanakan oleh Israel di kawasan Tebing Barat sebagai undang-undang untuk hal-hal jenayah dan hal-hal berkaitan urusan rakyat Palestin di situ. Hasil laporan tersebut menyatakan bahawa Israel telah pun melanggar Perkara 2, Perkara 3, Perkara 37(b) – (e) dan beberapa Perkara lain yang telah termaktub di dalam CRC. Namun sehingga hari ini kita lihat tiada satu tindakan pun yang dikenakan ke atas Israel. Itu belum mengambil kira penjajahan dan pembunuhan kejam oleh Israel ke atas Palestin sejak puluhan tahun yang lalu.

Kerana itulah pada hakikatnya tidak wujud apa yang dinamakan undang-undang antarabangsa! Apa yang ada hanyalah komitmen politik (political commitment) dan obligasi moral (moral obligation) sesebuah negara dalam mematuhi sesebuah ketetapan. Oleh sebab komitmen politik dan obligasi moral ini langsung tidak bersifat mengikat, maka atas alasan apakah Menteri KPWKM memberi hujah seolah-olah Malaysia langsung tidak boleh lari dan wajib terikat dengan CRC? Padahal sejak Malaysia meratifikasi CRC pada 17/02/1995 hinggalah tahun 2001 di mana Akta Kanak-Kanak digubal dan sehingga kini, konvensyen tersebut tetap tidak dipatuhi oleh Malaysia secara menyeluruh, tanpa ada apa-apa tindakan pun yang diambil ke atas Malaysia. Oleh yang demikian, alasan yang diberi oleh menteri itu sebenarnya merupakan salah satu bukti betapa rosaknya cara berfikir para pemimpin yang suka menjadikan undang-undang Barat sebagai pegangan, sehingga sanggup mencampakkan undang-undang Islam. Inilah punca kepada segala masalah yang wujud yakni cara berfikir sekular (memisahkan agama dari kehidupan) yang ada pada para pemimpin! Mereka sepatutnya memimpin berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, tetapi Barat dan akal jualah yang menjadi pilihan mereka!

Umat Islam Tidak Perlukan CRC

Dari segi sejarah, CRC ternyata lahir daripada tindak balas terhadap budaya masyarakat Barat sendiri yang suatu ketika dahulu menafikan hak kanak-kanak dan sering menzalimi mereka.CRCtidak lebih daripada peraturan yang dicipta untuk menyelesaikan masalah kehidupan di Barat yang tidak manusiawi, yang kemudiannya dieksport ke seluruh dunia atas nama undang-undang antarabangsa dan mengatasnamakanhak asasi manusia serta hak asasi kanak-kanak, yang kononnya dijaga oleh Barat.Malangnya, oleh sebab umat Islam dipimpin oleh pemimpin yang berkiblatkan Barat, maka CRC dipandang sebagai suatu yang baik, lalu dijadikan sebagai panduan dan memaksa diri untukterikat dengannya!

Hakikatnya,ajaran Islam mengenai kanak-kanak sudah lengkap dan menyeluruh, malah bertepatan dengan fitrah manusia kerana ia dicipta oleh Pencipta manusia yang Maha Adil lagi Bijaksana. Di saat Barat masih dalam kegelapan yang pekat, Islam telah lama datang dan memberikan hak pada manusia, malah sebelum manusia itu lahir lagi (masih dalam kandungan) sudah pun diberikan haknya oleh Allah SWT. Islam melarang pengguguran kandungan dan menganggapnya satu pembunuhan dan diyatakan dikenakan bagi setiap pembunuhan janin. Islam malah membenarkan ibu yang mengandung untuk tidak berpuasa jika dibimbangi puasa boleh memudaratkan kandungannya. Islam juga memberikan hak pewarisan [dan hak ke atas pemilikan umum  (al-mulkiyyah al-ammah)] semenjak anak masih berada dalam kandungan dan akan mendapat hak tersebut setelah lahir. Sedangkan Barat sehingga kini masih tidak bertamadun dan tidak manusiawi kerana membenarkan pengguguran janin, apatah lagi untuk memberikan hak pewarisan kepada janin.

Walaupun banyak peruntukan dalam CRC dilihat sebagai baik dan menjaga kanak-kanak dari banyak aspek, namun tidak ada satu pun daripada peruntukan tersebut yang tidak ada dalam hukum-hakam Islam,baik yang bersifat rinci mahupun umum. Contohnya, Perkara 6 CRC memperuntukkan hak kanak-kanak seperti hak untuk hidup dengan sihat, sedangkan Islam telah lama memastikan anak-anak membesar dengan sihat dengan menekankan aspek penyusuan badan (susu ibu) sejak lahir dan tanggungjawab ibu bapa serta negara untuk menyediakan makanan yang baik lagi halal kepada keluarga dan warganegara. Islam malah mewajibkan ketua keluarga mencari nafkah bagi memastikan anak-anak (dan isteri) mendapat makanan, pakaian dan tempat tinggal yang makruf. Manakala negara pula wajib memastikan tiga keperluan asas warganya dipenuhi iaitu makanan, pakaian dan tempat perlindungan.

CRC dilihat baik dengan memberikan hak kanak-kanak berkaitan kebersamaan keluarga walau merentas sempadan (Perkara 9-11 & 22) walhal hakikatnya Baratlah yang telah mencipta sempadan negara umat Islam dan memastikan umat Islam tidak kembali bergabung di bawah satu negara. Islam tidak pernah mengenal sempadan negara untuk umatnya kerana sesungguhnya Negara Islam (Khilafah) itu ialah negara yang satu.Begitu juga dengan Perkara 18-20 di mana CRC memperuntukkan hak kanak-kanak untuk dijaga dan dididik oleh ibu bapa atau penjaga manakala Perkara 22-27 dan 32 bercakap mengenai keperluan asas, pendidikan, kesihatan, keselamatan kanak-kanak dan lain-lain.Islam telah lama memperincikan hal ini, malah Islam turut merincikan persoalan nafkah dan jagaan anak walaupun setelah berlaku perceraian ibu bapa. Di samping itu, Islam juga merincikan hak-hak anak yatim dan hukum-hakam ke atas harta dan penjaganya.

Dari segi jenayah, CRC memperuntukkan perlindungan pada kanak-kanak apabila melakukan jenayah. Padahal Islam telah lebih awal membicarakan hal ini dengan mengangkat apa jua taklif (bebanan) hukum selagi kanak-kanak itu belum mencapai umur baligh (maksimum 15 tahun). Namun, itu tidak bermaksud Islam membiarkan kanak-kanak melakukan jenayah atau kesalahan. Di sinilah rincinya hukum Islam ke atas kanak-kanak apabila adanya proses ta’dib (mendidik) oleh ibu bapa sebelum kanak-kanak mencapai baligh lagi. Sejak kecil, anak-anak telah dididik untuk mengerjakan kebaikan dan kewajipan dan bila mencapai umur 10 tahun, boleh (bukan wajib) dipukul, termasuk di rotan jika tidak mengerjakan solat. Sabda Rasulullah SAW,

“Perintahlah anak-anakmu untuk melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Pukullah mereka jika sampai berusia sepuluh tahun mereka tetap enggan mengerjakannya” [HR Abu Daud& al-Hakim].

Perlu difahami bahawa pukulan di sini bermaksud pukulan mendidik, bukannya pukulan mendera atau mencederakan.

Dalam pada itu, CRC memberi hak kebebasan (freedom) kepada kanak-kanak dalam banyak aspek, sebagaimana kebebasan yang dinikmati oleh orang dewasa. Ini diperuntukkan dalam Perkara 13-15 yang termasuk antara lain ialah kebebasan berfikir, beragama, bersuara, berhimpun, berpersatuan dan lain-lain. Perkara 13-15 adalah antara Perkara yang dipilih oleh Malaysia untuk tidak dipatuhi. Selain itu, Malaysia juga memilih untuk tidak mematuhi Perkara 28 (1) yang memberikan hak pendidikan percuma kepada kanak-kanak. Begitu juga dengan Perkara 7 yang memberi hak kewarganegaraan dan mendaftarkan anak yang lahir dalam negara. Apa yang jelas di sini ialah Malaysia sebenarnya boleh memilih untuk mematuhi atau tidak mematuhi konvensyen ini, seperti mana juga undang-undang antarabangsa yang lain, walaupun pilihan yang dibuat Malaysia bukanlah berasaskan kepada Islam. Cuma persoalannya, kenapa memilih untuk tunduk kepada ketetapan yang dibuat oleh kuffar Barat? Kenapa tidak kembali sahaja kepada ajaran Islam yang syumul (sempurna) dan melepaskan diri dari ketetapan Barat yang haram lagi sia-sia?

Khatimah

Sesungguhnya CRC, seperti mana undang-undang antarabangsa lainnya yang diluluskan oleh PBB, tidak lain adalah usaha Barat dalam bentuk penjajahan baru (neo-colonialism) mereka bagi meneruskan cengkamannya ke atas umat dan negeri Islam. Ia juga tak lepas dari dakyah kebebasan dan hak asasi manusia di bawah demokrasi yang ingin mereka jadikan sebagai ‘agama’ baru ke atas kaum Muslimin sehingga menjadikan miqyas (tolok ukur) kaum Muslimin bukan lagi bersandarkan kepada halal dan haram dalam Islam, tetapi kepada kebebasan dan hak asasi manusia di bawah demokrasi. Demokrasi dipegang manakala Islam dibuang, inilah yang Barat mahukan. Isu rotan hanyalah secebis bukti ketundukan pemimpin Malaysia kepada Barat kerana banyak lagi ketetapan PBB dan Barat yang dipatuhi oleh Malaysia sejak dulu hingga kini. Kerana itulah, kita perlu menggantikan pemimpin ini kepada Khalifah yang bertakwa lagi berani, yang akan berhukum dengan hukum Allah sepenuhnya dan akan mencampakkan segala hukum kufur, malah dengan kekuasaannya, ia akan menyebarkan Islam melalui jalan dakwah dan jihad dan akan menundukkan Barat kepada Islam, Insya Allah, Amin ya Rabbal Alamin.