SN417 – Ayuh Kembali Kepada Keadilan Yang Sebenar
SN keluaran 20 Februari 2015
[SN417] Selepas lebih kurang enam tahun berjuang dalam kes Liwat II ke atasnya, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan atas tuduhan meliwat SaifulBukhari. Panel lima orang hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan penjara 5 tahun ke atas ketua pembangkang itu. Ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut menyifatkan keputusan itu sebagai sejarah hitam negara. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak suka dengan Anwar, keputusan Mahkamah Persekutuan itu disambut baik. Apa pun, di mata banyak pihak, imej mahkamah di Malaysia terus tercemar dengan keputusan terbaru ke atas Anwar Ibrahim ini.
Keputusan ini bukan sahaja mengundang kritikan keras dari dalam negara, malah mengundang ‘kegusaran’ White House terhadap perkembangan terbaru di Malaysia ini. Jurucakap Majlis Keselamatan Nasional Amerika Syarikat, Bernadette Meehan, berkata, “Amerika teramat kecewa dengan sabitan ke atas Anwar rentetan rayuan oleh kerajaan Malaysia yang pada asalnya Anwar diputuskan tidak bersalah. Keputusan untuk mendakwa Anwar dan perjalanan perbicaraannya telah menimbulkan beberapa kebimbangan yang serius tentang kedaulatan undang-undang dan keadilan sistem kehakiman di Malaysia”. Switzerland pula mengesahkan yang mereka akan membangkitkan kes pemenjaraan Anwar dalam mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva yang akan datang.
Inilah antara kesan yang kita semua perlu resahkan dalam kes ini yang telah mengundang simpati dan sokongan antarabangsa kepada Anwar dan bakal mengundang campur tangan asing dalam pelbagai bentuk. Sesungguhnya campur tangan negara kuffar (apatah lagi AS) ke dalam negara bukanlah sesuatu yang baik!
Musibah Sistem Kehakiman
Malaysia sebelum ini telah dilanda dengan beberapa krisis kehakiman yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap perjalanan proses keadilan dalam negara. Antara krisis yang serius ialah pemecatan Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan yang lain ekoran kemelut politik Mahathir-Ku Li, yang membawa kepada pengharaman UMNO pada tahun 1988. Institusi kehakiman tercalar teruk pada waktu itu. Lebih kurang 10 tahun kemudian negara digemparkan pula dengan kes liwat Anwar Ibrahim (yang pertama), juga ekoran kemelut politik, kali ini antara Mahathir-Anwar yang berhujung dengan kemarahan rakyat kepada mahkamah yang dikatakan dipergunakan untuk menghukum Anwar. Lebih kurang 10 tahun kemudian, pendedahan video klip VK Lingam yang juga dikaitkan dengan badan kehakiman, sekali lagi memalitkan lumpur ke badan kehakiman akibat campur tangan politik. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memulihkan imej sistem kehakiman negara, namun dengan begitu banyak kes yang dinodai oleh politik, apatah lagi dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat kedua Anwar Ibrahim ini, tahap kepercayaan rakyat terhadap pengadilan negara terus menjunam.
Sesungguhnya krisis dalam proses kehakiman merupakan rantaian musibah dari sekian banyak musibah yang menimpa negara. Musibah utama adalah sistem pemerintahan itu sendiri yang berupa sistem taghut yang diwarisi dari British yang seterusnya menghasilkan undang-undang negara yang bertentangan dengan Islam. Semua tahu yang Malaysia mengamalkan dualisme perundangan (adanya mahkamah sivil dan syariah). Jika mahkamah sivil sudah jelas tidak berhukum dengan hukum Allah, mahkamah syariah juga sebenarnya tidak terkecuali. ‘Undang-undang syariah’ yang diamalkan tetaplah undang-undang yang digubal oleh manusia, yang hakikatnya bertentangan dengan Islam!
Inilah sistem demokrasi yang meletakkan kedaulatan di tangan rakyat (bukannya di tangan syarak) di mana undang-undang itu dibuat oleh manusia melalui suara majoriti. Dengan kata lain, manusia telah mengambil hak Allah dengan membuat hukum, sedangkan Allah SWT berfirman,
“Dia (Allah) tidak mengambil seorang pun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan hukum [TMQ al-Kahfi (18):26].
Mengamalkan sistem warisan penjajah kafir ini sama sahaja ertinya dengan melanjutkan penjajahan di negeri ini, yang sekali gus mencerminkan pemikiran pemimpin yang masih terjajah. Benarlah hadis Rasulullah SAW,
“Sungguh ikatan Islam akan terurai simpul demi simpul. Setiap kali satu simpul terurai maka manusia akan berpegang kepada simpul berikutnya. Simpul yang pertama terurai adalah pemerintahan dan yang terakhir adalah solat” [HR Ahmad].
Oleh sebab sistem pemerintahan Islam (Khilafah) sudah terurai, maka kita melihat bagaimana sistem-sistem yang lain turut terurai satu per satu.
Tiada Keadilan Tanpa Islam
Kesalahan liwat termasuk dalam kategori hudud yakni satu bentuk kesalahan yang hukumannya telah ditetapkan oleh Allah SWT, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Hukuman bagi pelaku liwat (orang yang diliwat dan orang yang meliwat) adalah hukuman bunuh, tidak ada yang lain. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW,
“Barang siapa yang kamu dapati ia melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya” [HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tarmizi].
Banyak lagi hadis yang serupa yang memerintahkan pelaku liwat dibunuh walaupun dengan cara yang berbeza-beza.
Dalam kes yang penuh kontroversi ini, semua orang tahu yang SaifulBukhari telah mengaku diliwat. Berdasarkan ahkam al-bayyinat (hukum-hukum pembuktian) dalam Islam, “pengakuan” melakukan kesalahan dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan, akan mensabitkan seseorang secara langsung terhadap kesalahan tersebut. Oleh sebab Saiful telah mengaku diliwat, maka satu-satunya bukti yang boleh melepaskan dia dari hukuman bunuh ialah sekiranya dia membangkitkan elemenikrah al-mulji’ (paksaan yang bersangatan) yang dikenakan ke atasnya. Namun, ternyata berdasarkan fakta kes, dia bukan sahaja tidak melawan, malah tidak wujud elemen ikrah al-mulji’ tersebut. Maka, jika dia dibicarakan menurut hukum Allah, hukuman mati mandatori wajib dikenakan ke atasnya.
Manakala Anwar tidak mengaku, malah menafikan wujudnya perbuatan tersebut. Anwar menegaskan bahawa ini adalah konspirasi politik terhadapnya. Dalam keadaan tidak ada pengakuan seperti ini, maka pihak yang mendakwa wajib mendatangkan dua orang saksi yang adil yang menyaksikan kejadian, bagi membolehkan sabitan. Jika tidak ada saksi yang adil, maka Anwar kena dibebaskan. Adapun kesan DNA, ia tidak boleh diterima sebagai pembuktian dalam Islam. Inilah hukum pembuktian dalam Islam secara ringkasnya [sila rujuk SN253 – Bolehkah DNA Menjadi Bukti? dan SN207 – Kisah Anwar, Saiful Dan…]. Namun, oleh sebab Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah sivil yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka Saiful bebas (walaupun telah mengaku diliwat) manakala Anwar Ibrahim disabitkan dan dihukum pula dengan hukuman yang tidak syarie yakni dipenjara. Apa pun, apabila mahkamah tidak berhukum dengan hukum Islam, maka sudah pasti keadilan tidak akan wujud, kerana satu-satunya hukum yang adil adalah hukum yang datangnya dari Dzat Yang Maha Adil.
Mekanisme Kawalan Kehakiman
Dalam Islam, terdapat tiga jenis mahkamah iaitu Mahkamah Madzalim, Mahkamah Khusumat dan Mahkamah Hisbah. Syarat minimum untuk seseorang menjadi hakim/qadhi mestilah seorang yang faqih dalam hukum-hakam Islam. Bagi QadhiMadzalim, ia hendaklah seorang mujtahid. Jadi, dalam sebuah Negara Islam, tidak akan wujud hakim sekular yang akan berhukum dengan hukum sekular (buatan manusia) yang penuh dengan keharaman dan ketidakadilan.
Segala sistem dalam Islam, termasuklah al-Qadha’ (Lembaga Pengadilan) adalah dibina dari akidah Islam yang bersumber dari wahyu, bukan sebagaimana sistem demokrasi yang bersumber dari akal. Namun demikian, kita tidak menolak berlakunya sedikit sebanyak kepincangan dari segi pelaksanaan kerana yang mengurus dan mengendalikan sistem tersebut, termasuklah para hakim di mahkamah, semuanya adalah manusia dan bukan malaikat. Apa yang penting ialah setiap kerosakan pelaksanaannya diperbaiki sesuai dengan tuntutan wahyu, yang Insya Allah akan menjadikan sistem itu sentiasa terjaga dan diberkati.
Jika wujud campur tangan pemerintah atau kecurangan dalam perjalanan proses kehakiman, maka yang berhak menangani masalah ini adalah Mahkamah Madzalim, iaitu mahkamah yang khusus membicarakan persengketaan antara rakyat dan pemerintah, termasuklah Khalifah itu sendiri, Mu’awin (pembantu)nya, wali, para hakim dan lain-lain kakitangan negara. Masyarakat boleh mengadu apa jua kesalahan atau kecurangan yang dilakukan oleh hakim atau kakitangan negara kepada Mahkamah Madzalim disertai dengan bukti dan saksi. Selain menjadi ‘pengawas’ kepada penjawat awam, Mahkamah Madzalim akan mendengar dan mengadili setiap kes yang diadukan kepadanya yang melibatkan pemerintah dan orang-orang bawahannya dan Mahkamah Madzalim berhak menjatuhkan uqubat (hukuman) yang sesuai dengan syarak ke atas kakitangan negara (termasuk Khalifah) jika didapati bersalah.
Selain, itu, dalam Negara Islam (Khilafah), mekanisme kawalan ke atas kakitangan negara dijalankan melalui tiga saluran. Pertama, melalui Majlis Umat yang memang mempunyai solahiyyah (autoriti) mengawasi perjalanan pemerintahan oleh Khalifah dan kakitangannya, termasuk para hakim. Majlis Umat, yang diwakili oleh ahlu halli wa al-aqdi (orang-orang yang dipercayai di kalangan umat) dapat memuhasabah secara langsung atau mengadakan sidang dengan menghadirkan Khalifah atau QadhiQudhat (Ketua Hakim) bagi menyelesaikan masalah. Kedua, melalui parti-parti politik yang wujud dalam negara yang wajib menyampaikan kritik atau muhasabah kepada pemerintah, baik melalui perjumpaan secara langsung mahupun melalui media massa. Ketiga, melalui individu-individu secara langsung yang melihat kepincangan dan ada bukti mengenainya. Kesemua mekanisme ini boleh berjalan serentak yang akan memastikan hukum Allah sentiasa dipatuhi dan keadilan sentiasa wujud dalam negara.
Tugas Dan Tanggungjawab Hakim
Tugas dan tanggungjawab hakim ialah untuk memutuskan hukum berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Tidak ada tugas lain lagi selain dari tugas ini, kerana inilah sebab mengapa para hakim dilantik yakni untuk mengadili manusia dengan hukum Allah. Firman Allah SWT,
“Maka hukumilah mereka itu dengan apa yang diturunkan oleh Allah [TMQ al-Maidah (5):48].
Tatkala melantik dan mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman sebagai qadhi, Rasulullah SAW bersabda,
“Dengan apakah engkau akan memutuskan hukum?’ Muaz menjawab, ‘Aku akan memutuskan hukum dengan apa yang ada dalam Kitabullah’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak dapatinya dalam Kitabullah?’. Muaz menjawab, ‘Dengan sunnah Rasulullah SAW’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak dapatinya dalam sunnah?’. Muaz menjawab, ‘Aku akan berijtihad sesuai pendapatku’. Rasul bersabda, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah dengan apa yang diredhai oleh Rasulullah.”
Inilah perintah Allah dan RasulNya kepada orang yang dilantik sebagai hakim yakni untuk menghukumi segala perkara berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Maka, amat salah dan rugilah hakim yang tidak memutuskan hukum berdasarkan apa yang diturunkan oleh Allah. Hakim yang memutuskan berdasarkan undang-undang yang dicipta dalam sistem demokrasi, walau sebesar mana sekalipun ganjaran dunia yang mereka dapat, namun semua itu tidak bermakna dan dia bukan hanya dilaknat oleh manusia di dunia tetapi azab yang pedih menantinya di akhirat. Rasulullah SAW dengan tegas mengingatkan,
“Qadhi/Hakim itu terbahagi kepada tiga golongan, dua golongan berada dalam neraka dan satu golongan lagi berada dalam syurga. Adapun (golongan) yang masuk syurga adalah (qadhi) yang mengetahui akan haq/kebenaran dan memutuskan dengannya (haq). Adapun (qadhi) yang mengetahui akan haq tetapi tidak menghukum dengannya, malah bertindak zalim dalam memutuskan hukum, maka dia ke neraka. Dan (qadhi) yang tidak mengetahui akan haq dan memutuskan hukum di antara manusia berdasarkan kejahilan, maka dia (juga) ke neraka” [HR Abu Daud].
Khatimah
Sesungguhnya masalah yang wujud dalam sistem kehakiman pada hari ini tidaklah berdiri sendiri, tetapi berpunca dari kitaran kerosakan yang sistemik yang lahir dari sistem yang rosak. Kerana adanya undang-undang dan mahkamah yang sekular, maka wujudlah hakim yang sekular (yang tidak berhukum dengan hukum Islam). Justeru, selagi sistem demokrasi ini tidak diubah kepada sistem Islam, maka selagi itulah akan wujud dualisme perundangan dan undang-undang kufur yang diharamkan oleh Islam dan selagi itulah keadilan tidak akan dapat dicapai. Satu-satunya jalan untuk mendapatkan keadilan adalah dengan kembali menegakkan negara Khilafah yang akan berhukum dengan al-Quran dan al-Sunnah. Sungguh, sistem demokrasi ini telah banyak membawa ketidakadilan dan malapetaka, maka amat rugilah mereka yang berjuang dalam sistem demokrasi ini kerana tidak ada apa yang dijanjikan oleh demokrasi kecuali kezaliman dan kerosakan. Inilah antara musibah yang menimpa umat Islam apabila urusan tidak disandang oleh orang yang sepatutnya. Benarlah sabda Nabi SAW,
“Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya” [HR Bukhari].
Semoga Allah SWT memberi kesedaran kepada mereka yang ingin sedar.
Wallahua’lam.