SN419 – Unity Government: Muhasabah Untuk Parti Islam

PDF

SN keluaran 6 Mac 2015

[SN419] Sejak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (Pas) meninggal duniapada 12 Februari lalu, senario politik Malaysia dihangatkan kembali dengan isu yang agak lama terpendam iaitu Unity Government (kerajaan perpaduan) atau boleh disifatkan juga sebagai kerajaan campuran. Diakui atau tidak, idea ini sebenarnya telah menyebabkan wujudnya dua kem besar dalam Pas yang kebelakangan ini dilihat semakin meretak dan hilang punca dalam perjuangan. Idea Unity Government pernah dilontarkan oleh Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 2009 dalam satu wawancara bertajuk “Negara Tanpa Pembangkang” dengan beliau mengambil Indonesia sebagai contoh. Menurutnya, kerajaan perpaduan ini akan melibatkan semua parti politik menjadi sebahagian daripada kerajaan dan bukan hanya melibatkan Umno dan Pas sahaja. Idea ini kemudiannya diangkat lagi oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharudin Mat Isa, yang ketika itu ditentang oleh Allahyarham Nik Aziz yang mahukan Pas kekal bersama Pakatan Rakyat, sehingga menimbulkan konflik serius dalam parti Islam itu. Idea kerajaan campuran boleh dikatakan diterokai sejak 1970-an oleh bekas Yang Dipertua PAS, Dato’ Mohd Asri Muda, yang membawa Pas menyertai BN pada 1973 dan sejak itu hingga kini, idea Unity Government ini terus tenggelam timbul-tenggelam timbul.

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa konsep Unity Government ini pernah dilaksanakan oleh Israel seawal 1967 dan entiti haram Yahudi itu telah membentuk National Unity Government sekurang-kurangnya lima kali dalam sejarah pemerintahannya. Hamas dan Fatah juga pernah terikut rentak yang sama dengan membentuk Unity Government di Palestin pada tahun lalu, namun hanya mampu bertahan selama 6 bulan sahaja.

UG: Percaturan Politik Yang Tersasar Dari Kebenaran

Idea Unity Government ini sebenarnya terkait rapat dengan tahalufsiyasi (kesepakatan politik) yang dijalankan oleh pelbagai parti  dalam demokrasi yang bertujuan menumbangkan musuh politik mereka dalam usaha meraih kekuasaan. Parti Islam merasakan perlu bertahalufdengan parti-parti lain kerana berdasarkan pengalaman pahit setiap kali pilihan raya, mereka tahu yang perjuangan mereka secara sendirian tidak akan menghantarkan mereka ke tampuk kekuasaan yang diidamkan. Jadi, satu-satunya peluang untuk meraih  pemerintahan ialah dengan mengadakan tahaluf tanpa mengira dengan parti sekular atau parti kufur, asalkan tujuannya tercapai. Ternyata tahaluf membuahkan hasil apabila beberapa negeri berjaya ditawan, walaupun hasilnya tidaklah sebagaimana diharapkan kerana sasarannya ialah menawan kerajaan pusat, yang jauh lebih penting.

Dengan kegagalan tahaluf mencapai objektifnya setelah beberapa percubaan, maka parti Islam merasakan bahawa tidak ada cara lain untuk meraih pemerintahan di peringkat pusat kecuali bergabung bersama parti pemerintah untuk membentuk kerajaan campuran. Sama ada disedari atau tidak, tindakan tahalufsiyasi yang pada awalnya bekerjasama untuk mendapatkan kekuasaan, akhirnya bertukar menjadi musyarakah fi al-hukm (bersekutu dalam pemerintahan). Inilah idea Unity Government atau dengan kata lain bersekutu dengan parti pemerintah yang sekali gus menjadi jalan singkat kepada parti Islam untuk berada di tampuk kekuasaan. Sekali imbas, tidak ada apa yang salah dengan idea ini kerana jika sebelum ini parti Islam sudah sanggup bersama dengan parti sekular dan parti kufur dalam tahalufsiyasi, maka apa bezanya untuk bersama parti sekular dan parti kufur (yang lain pula) dalam kerajaan campuran? Malah pilihan kedua ini jauh lebih menguntungkan kerana parti Islam dapat berkuasa di peringkat pusat, walaupun secara berkongsi.

Hakikatnya, kita telah menyaksikan sejauh ini bahawa dengan tahalufsiyasi, parti Islam yang berjustifikasi untuk cuba “mengIslamkan” sekutunya, ternyata sebaliknya berjaya “disekularkan” oleh sekutunya. Buktinya banyak sekali yang tidak perlu disebutkan di sini. Jika gabungan di peringkat tahalufsiyasi, parti Islam sudah tunduk dan kalah kepada kehendak parti sekutunya, maka apatah lagi gabungan di peringkat pemerintahan, yang secara nyata didominasi oleh parti sekular. Maka secara congak sahaja kita dapat katakan bahawa bukannya parti pemerintah dapat diwarnakan dengan warna Islam tetapi parti Islam dapat diwarnakan dengan warna sekular! Keadaan semacam ini tentu akan menjerumuskan parti Islam ke dalam musyarakah pragmatis yang kosong dari ideologi Islam.

Virus Machiavelli memang tak dapat dipisahkan daripada parti politik Islam yang terlibat dalam demokrasi. Matlamat selalunya menghalalkan cara dan 1001 dalih akan diberikan demi menjustifikasi sesuatu perbuatan. Hukum syarak yang sepatutnya dijadikan landasan dan tolok ukur dalam tindakan, hanya ditakwil untuk membenarkan tindakan mereka yang jelas-jelas haram. Sebahagian parti Islam meyakini bahawa tahaluf mahupun musyarakah dengan parti sekular dalam pemerintah kufur bukanlah tindakan yang melanggar syarak. Antaranya mereka berhujah dengan penglibatan Nabi Yusuf AS dalam pemerintahan kufur dan juga perjanjian Hudaibiyyah, selain menggunakan kaedah ahwan al-syarrain (memilih bahaya/keburukan yang lebih ringan antara dua bahaya/keburukan) dan masolih al-mursalah serta hujah lain yang hakikatnya tidak berhubungan sama sekali dengan persoalan tahaluf dan musyarakah. Malah hujah tersebut sering digunakan dalam keadaan out of context.

Sesungguhnya Nabi Yusuf tidak pernah terlibat dalam pemerintahan kufur. Baginda hanya meminta kepada Raja agar memberikannya solahiyah (autoriti) dalam hal penjagaan dan pembahagian makanan, yang tidak ada kena mengena langsung dengan soal bersekutu dalam pemerintahan. Manakala Perjanjian Hudaibiyyah pula, konteksnya adalah perjanjian internasional antara dua negara (Negara Islam dan negara kufur) dan sama sekali tidak berkaitan dengan kerjasama antara parti Islam dengan parti sekular mahu pun pemerintahan kufur. Kaedah ahwan al-syarrain juga mereka gunakan tidak pada konteks sebenarnya, malah disempitkan. Ini kerana masih ada jalan halal lain untuk melakukan perubahan di negeri ini, selain dua pilihan yang mereka nyatakan. Jalan pilihan raya, parlimen, tahaluf dan musyarakah fi al-hukm bukanlah satu-satunya pilihan bagi parti Islam untuk berkuasa dan menerapkan Islam, kerana ternyata ada jalan lain lagi yakni thalab al-nusrah (meminta pertolongan) dari ahlu al-quwwah (pemilik kekuatan) sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, malah inilah satu-satunya jalan yang syar’ie menuju kekuasaan.

TahalufSiyasi dan musyarakah fi al-hukm ternyata merupakan percaturan politik yang jauh tersasar dari kebenaran. Bagaimana mungkin parti Islam boleh bersekutu dan mendukung parti sekular, yang menjadi musuh mereka, dalam sebuah pemerintahan yang tidak Islami yang mereka tentang selama ini? Parti Islam bukan sekadar hilang maruah, malah seolah-olah telah melupakan urusan akhiratnya, sehingga percaturan politiknya tidak lagi didasarkan pada hukum Islam, tetapi didasarkan kepada kepentingan pragmatis! Bagaimana mereka boleh berhujah bahawa musyarakah dengan parti sekular merupakan strategi ampuh untuk mewarnai pemerintahan dengan Islam, sedangkan sejak awal lagi mereka telah mencampakkan ideologi dan syariah Islam demi mengejar jatah kekuasaan? Jika dulu mereka marah dan lawan parti pemerintah kerana tidak menerapkan Islam, kini mereka memilih untuk duduk memerintah bersama parti sekular dengan sama-sama tidak menerapkan Islam. Apa yang mereka lakukan ini sebenarnya telah membuatkan ahli mereka sendiri dan juga umat Islam tidak lagi nampak perbezaan antara parti Islam dengan parti sekular!

Keharaman Musyarakah Fi al-Hukm

Mana-mana pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka sudah barang pasti termasuk orang-orang yang zalim dan fasik dan akan menjadi kafir jika i’tiqadnya salah. Firman Allah SWT,

“Barangsiapa tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

Allah SWT dengan tegas melarang setiap Muslim untuk cenderung kepada orang-orang yang zalim, apatah lagi untuk bekerjasama dan memerintah bersama dengan mereka. FirmanNya,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113].

Atas dasar itu, sesebuah parti Islam tidak sepatutnya menggadai perjuangan Islam dengan bersekutu dalam sistem kufur. Malah, jika diajak dan dijanjikan dengan pelbagai jawatan dan harta sekalipun, sesebuah parti Islam itu wajib menolak bergabung dengan sistem pemerintahan kufur, sebab hal ini bererti bergabung dengan pemerintahan yang diharamkan oleh Allah SWT. Parti Islam juga wajib menolak membantu mereka untuk melakukan islah (perbaikan) terhadap sistem yang sedia ada, baik di bidang ekonomi, pendidikan, sosial-kemasyarakatan, kehakiman dan lain-lain, kerana, sistem kufur yang sedia ada ini wajib diganti (taghyir), bukannya diperbaiki (islah). Membantu pemerintah sekular dalam apa keadaan pun bererti membantu orang-orang zalim dan akan memperkuat kedudukan mereka serta melestarikan sistem kufur yang mereka terapkan yang penuh dengan kerosakan dan keharaman.

Lebih dari itu, parti Islam juga tidak sepatutnya memberikan kesetiaan kepada pemerintah yang menerapkan hukum kufur, begitu juga dengan perlembagaan dan undang-undang yang ada, atas alasan apa pun, walau hal itu akan membantu kelancaran dakwah sekali pun. Ini kerana syarak memang tidak membolehkan mengambil sarana yang haram untuk memenuhi suatu kewajipan. Sebaliknya, sesebuah parti Islam itu wajib memuhasabah dan mengkritik pemerintah dengan tegas. Ini kerana peraturan yang mereka terapkan adalah peraturan kufur, sehingga wajib dibuang dan diganti dengan peraturan Islam. Pemerintah yang menerapkan hukum selain dari apa yang diturunkan oleh Allah adalah fasik dan zalim, yang wajib dimuhasabah dan diganti, bukannya dibantu atau dijadikan sekutu dalam pemerintahan!

Dalam Islam, bantu-membantu, kerjasama dan kesepakatan wajib didasarkan pada akidah dan syariah semata-mata serta dilakukan untuk tujuan yang selari dengan kemaslahatan kaum Muslimin. Al-Quran telah menggariskan bahawa sebarang bentuk kerjasama hendaklah dalam kebaikan dan takwa dan tidak boleh (haram) bekerjasama dalam perkara yang bertentangan dengan akidah dan hukum syarak. Dalam keadaan pemerintah menjalankan undang-undang kufur dan mencampakkan akidah Islam sebagai asas bermasyarakat dan bernegara, seseorang Muslim dan sesebuah parti Islam justeru wajib memisahkan diri daripada mereka dan berjuang untuk mengubah keadaan tersebut. Rasulullah SAW bersabda,

“Akan datang para penguasa, lalu kalian akan mengetahui kemakrufan dan kemungkarannya. Siapa saja yang membenci (kemungkaran yang dilakukan)nya akan bebas (dari dosa). Siapa saja yang mengingkari (kemungkaran tersebut) akan selamat (dari dosa). Siapa saja yang rela dan mengikutinya (akan celaka)”. Para sahabat bertanya, ‘Tidakkah kita perangi saja mereka?’ Baginda bersabda, ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam)” [HR Muslim].

Bergabung membentuk kerajaan perpaduan juga bermakna bersetuju dan sekali gus memberikan kekuasaan kepada orang kafir yang terdapat dalam gabungan. Sedangkan Allah SWT berfirman, “Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan jalan orang kafir menguasai orang yang beriman” [TMQ an-Nisa’ (4):141] yang bermaksud haram untuk orang Islam menjadikan orang kafir berkuasa ke atas mereka.

Sesungguhnya tidak ada satu nas pun yang menerangkan tentang pemerintahan Unity Government. Konsep ini hanya ada dalam sistem demokrasi kerana demokrasi membenarkan akal membentuk apa jua konsep pemerintahan walaupun bertentangan dengan wahyu, asalkan majoriti menyokong. Parti Islam khususnya dan kaum Muslimin amnya harus sedar bahawa satu-satunya bentuk negara dalam Islam ialah Khilafah, tidak ada yang lain. Inilah bentuk negara yang diwariskan dan diwajibkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Sabda baginda,

“Dahulu Bani Israel dipimpin (diperintah) oleh Nabi-nabi. Apabila setiap seorang Nabi wafat, maka digantikan (oleh Allah) dengan Nabi yang lain. Akan tetapi tidak ada lagi Nabi sesudahku dan akan ada Khalifah-khalifah dan jumlah mereka ramai” [HR Muslim].

Negara Khilafah yang difardhukan ke atas umat Islam merupakan sebuah pemerintahan yang sama sekali berbeza dengan Unity Government. Setiap Muslim dan setiap parti politik Islam wajib berjuang untuk menegakkan Khilafah, bukannya bersekutu dengan parti sekular dan parti kufur untuk membentuk pemerintahan dalam sistem demokrasi!

Khatimah

Parti politik Islam perlu sedar bahawa tugas dan peranannya dalam sesebuah negara, selain kewajipan berusaha menegakkan Negara Khilafah, adalah untuk melakukan amar makruf nahi mungkar sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (kelompok) yang mengajak pada kebajikan (Islam), memerintahkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan” [TMQ Ali Imran (3):104].

Melakukan tahalufsiyasi mahupun musyarakah fi al-hukmbersama parti sekular dan parti kufur merupakan suatu tindakan yang jelas mungkar dan mesti dijauhi oleh parti Islam. Parti Islam yang berjuang mencari redha Allah sudah pasti tidak akan melakukan kemungkaran seperti ini. Para anggota parti Islam wajib ingat bahawa berjuang dalam parti Islam bukanlah soal mengejar kekuasaan semata-mata, apatah lagi jika jalan menuju kekuasaan itu bercanggah dengan Islam. Sesebuah parti politik sememangnya boleh menjadi wadah untuk menghantar anggotanya ke kerusi pemerintahan dan apabila itu berlaku, pemerintahan yang wajib dilaksanakan itu ialah pemerintahan Khilafah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah dan bukannya pemerintahan Unity Government, Negara Berkebajikan atau lain-lain jenama ciptaan demokrasi. Semoga Allah SWT sentiasa menjaga parti politik Islam yang istiqamah berjuang di atas kebenaran.

Wallahua’lam.