SN479 – Siapakah Yang Dikatakan Ahlu Sunnah Wal Jamaah?

PDF

SN Keluaran 22 September 2016

[SN479] Kebelakangan ini kita menyaksikan perselisihan dan persengketaan yang semakin menjadi-jadi di antara sesama Muslim dan juga gerakan Islam. Jika perselisihan yang berlaku itu adalah dalam perkara pokok agama (usuluddin) dalam rangka mencari kebenaran dan keredhaan Allah SWT, maka tidak mengapa. Malangnya, persengketaan yang berlaku itu adalah dalam masalah cabang (furu’) agama, dalam rangka menegakkan ego masing-masing. Lebih malang, apabila perselisihan dan persengketaan yang terjadi melibatkan mereka yang dilihat alim dalam agama. Lebih buruk apabila perbalahan yang terjadi sudah sampai ke tahap tuduhan ekstremis sesama Muslim, sesat-menyesatkan dan kafir-mengkafirkan pihak lain yang berbeza pendapat. Campur tangan pihak berkuasa agama dalam hal ini menambah parahkan lagi keadaan. Dalam persengketaan yang sudah sampai ke tahap kronik ini, ramai individu dan kelompok mendakwa (claim) bahawa diri mereka adalah Ahlu Sunnah Wal Jamaah dan orang/kelompok selain mereka bukan Ahlu Sunnah, sehingga tidak hairanlah kenapa mereka sanggup menyesatkan atau mengkafirkan orang lain. Ini kerana, bagi mereka, kebenaran dan ahli syurga itu hanya milik Ahlu Sunnah Wal Jamaah, sementara yang lain adalah penghuni neraka. Na’uzubillah.

Hakikatnya, berapa ramai daripada umat Islam, termasuklah mereka yang mengaku sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah sendiri, sedangkan tidak pernah mengkaji dan tidak pernah mengetahui apakah maksud sebenar Ahlu Sunnah Wal Jamaah, bilakah munculnya istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah, apakah kefahaman atau ajaran yang dibawa oleh Ahlu Sunnah Wal Jamaah, siapakah tokoh-tokoh mereka, bagaimana boleh wujudnya perpecahan dalam mazhab-mazhab akidah, apakah perbalahan-perbalahan mereka dan banyak lagi. Ringkasnya, berapa ramai daripada umat Islam yang mengaku sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah tetapi tidak mengetahui makna Ahlu Sunnah Wal Jamaah itu sendiri. Jadi, dalam rangka memberi sedikit pencerahan, Sautun Nahdhah kali ini akan menyentuh secara ringkas siapakah sebenarnya yang dikatakan Ahlu Sunnah Wal Jamaah? Apakah mazhab atau kelompok tertentu dan bagaimana ciri-cirinya?

Kemunculan Ahlu Sunnah Wal Jamaah

Istilah Ahlu Sunnah wal Jamaah sebenarnya merupakan istilah baru. Pada zaman Nabi SAW, istilah ini, untuk merujuk kepada kelompok kaum Muslimin atau kelompok tertentu daripada kaum Muslimin, belum pernah dikenal. Demikian juga pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, Khilafah Umayyah dan permulaan zaman Khilafah ‘Abbasiyyah. Pada zaman-zaman itu, siapa sahaja yang mengucap syahadah, walaupun hanya baru sahaja melafazkan kalimah tauhid itu yakni baru masuk Islam, maka semua mereka digelar “Muslimun”. Tidak ada yang digelar Muslim Sunni, Muslim Syi’i, Muslim Mutawasith (moderat) dan sebagainya.

Istilah Ahlu Sunnah wal Jamaah baru digunakan dan berkembang pada pertengahan zaman Khilafah ‘Abbasiyah, untuk membezakannya dengan kelompok Syiah,  yang mula digunakan setelah terbunuhnya Saidina ‘Ali bin Abi Thalib di tangan kaum Khawarij. Istilah Syiah mulai digunakan, khususnya setelah peristiwa tersebut dan setelah ‘Am al-Jama’ah (Tahun Rekonsiliasi) yang terjadi pada masa Khalifah al-Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib dengan Muawiyah bin Abi Sufyan. Dari situ, istilah ini terus berkembang, walaupun ada pasang surutnya, dan menjadi rebutan kelompok-kelompok tertentu sehingga ke hari ini kerana berebut untuk menyatakan bahawa kelompoknyalah yang paling benar, bahkan merasakan yang hanya kelompoknya sahajalah yang akan masuk syurga.

Walaupun ada sedikit sebanyak perbezaan pendapat tentang sejarah kemunculan istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah, namun apa yang jelas dan pasti ialah, ia muncul di zaman Mutakallimin, zaman di mana para ahli kalam melalui ranjau perdebatan yang cukup dalam dan parah dalam masalah akidah dan cabang-cabangnya, yang meninggalkan sejarah hitam kepada umat Islam. Ahlu Sunnah Wal Jamaah muncul sebagai reaksi (tindak balas) kepada pendapat-pendapat yang diketengahkan oleh kelompok Mu’tazilah dan Jabariah mengenai persoalan qadha’ dan qadar yakni persoalan mengenai kehendak dan perbuatan manusia dan beberapa persoalan lainnya.

Salah seorang tokoh terkemuka dalam aliran yang menggelar diri mereka sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah ialah Abu Hassan al-Asy’ari (w. 324 H / 936 M). Beliau mendirikan aliran yang dikenali sebagai al-Asy’ariyyah di mana beliau dahulunya adalah pengikut aliran Mu’tazilah. Gurunya, sekaligus orang yang mempengaruhinya hingga masuk ke Mu’tazilah ialah al-Juba’iy. Namun, setelah perdebatannya dengan gurunya, beliau keluar dari aliran Mu’tazilah dan mula mengetengahkan pendapat-pendapat yang menentang kedua-dua aliran yang wujud sebelumnya iaitu Mu’tazilah dan Jabariah. Abu Hassan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah dan meninggal di Baghdad. Buku-buku yang pernah ditulisnya antaranya ialah al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah, Maqalat al-Islamiyyin dan al-Luma’. Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah Abu Ishaq al-Isyfiraini, Abu Bakar al-Qafal, al-Jurjani, Muhammad al-Tabarani al-Iraqi dan lain-lain.

Ada pendapat yang menyatakan bahawa orang yang pertama kali menggunakan istilah Ahlu Sunnah wal Jamaah ialah Muhammad bin Sirin (w. 110 H), sebagaimana yang dituturkan oleh Muslim dalam Muqaddimah kitab Sahih-nya dengan sanad dari Ibn Sirin, bahawa dia berkata, “Dahulu mereka tidak mempertanyakan tentang isnad, namun setelah terjadi fitnah, mereka mengatakan, ‘Sebutkanlah tokoh-tokoh (perawi) kalian kepada kami.’ Kemudian ditunjukkanlah Ahlu Sunnah, lalu hadis mereka pun diambil. Ditunjukkan pula ahli bid’ah, lalu hadis mereka pun ditolak.”

Begitulah secara ringkasnya sejarah kemunculan istilah dan kelompok Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Apa yang nyata ialah mereka bukannya muncul di zaman Rasulullah SAW, bukan juga di zaman para sahabat, tetapi pada zaman berkembangnya ilmu kalam 200-300 tahun setelah zaman Rasulullah SAW. Apa yang nyata juga ialah, umat Islam tidak pernah terperangkap dengan perbalahan akidah yang cukup parah sehinggalah munculnya kelompok-kelompok Mutakallimin yang memperdebatkan perkara-perkara yang tidak pernah didebatkan di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Pengertian, Penyempitan Dan Pemesongan Makna Ahlu Sunnah Wal Jamaah

Lafaz Ahlu Sunnah Wal Jamaah, secara harfiah bererti orang yang berpegang teguh dan mengikuti tuntunan dan kelompok Rasulullah SAW. Sebab, secara harfiah, sunnah bererti thariqah (tuntunan), maslak (jalan yang dilalui) dan mawrid (sumber air); juga bermakna thariqah mahmudah mustaqimah (tuntunan yang terpuji dan lurus). Kerana itu, si fulan disebut Ahlu Sunnah, maksudnya adalah orang yang menjadi pengikut tuntunan yang terpuji dan lurus [Ibn Manzhur, Lisan al-’Arab, Dar al-Fikr, Beirut, XIII/226]. Mereka inilah yang juga disebut ahl al-haq (pengikut kebenaran) sebagai lawan daripada ahl al-ahwa’ (pengikut hawa nafsu) [Al-Jurjani, At-Ta‘rifat, Dar al-Bayan li al-Turats, ed. Ibrahim al-Abyari, 57-58].  Ahlu Sunnah juga bermaksud orang yang mengikuti sunnah Nabi SAW, lawan dari ahl al-bid‘ah. Jadi, ringkasnya Ahlu Sunnah bermaksud orang yang berpegang teguh dengan Sunnah Nabi SAW. Sedangkan yang dimaksudkan dengan Sunnah itu sendiri adalah meliputi segala aspek akidah dan juga syariat yang berasal dari perkataan, perbuatan dan taqrir (diam) Rasulullah SAW yang diwajibkan ke atas umatnya untuk diikuti.

Manakala Jamaah, menurut banyak hadis, ia adalah merujuk kepada kaum Muslimin yang tinggal di bawah kepimpinan seorang Khilafah. Sabda Rasulullah SAW,

“Siapa sahaja yang mendatangi kalian dalam keadaan kalian telah berkumpul/bersatu atas (kepimpinan) seorang lelaki (Khalifah), kemudian dia ingin memecahkan persatuan kalian atau ingin memecah belah jamaah kalian, maka perangilah/bunuhlah orang tersebut” [HR Muslim].

Sabda baginda yang lain,

“Siapa sahaja yang melepaskan diri dari ketaatan (kepada Imam/Khalifah), maka dia pasti menghadap Allah pada hari kiamat tanpa hujah. Siapa sahaja yang mati, sementara di lehernya tidak ada baiat (kepada Imam/Khalifah), maka dia mati dalam keadaan mati Jahiliah [HR Muslim] dan banyak lagi hadis-hadis lain yang senada dengannya yang menunjukkan bahawa lafaz Jamaah adalah merujuk kepada umat Islam yang tinggal di bawah naungan Khilafah.

Justeru, secara ringkasnya, Ahlu Sunnah Wal Jamaah bermaksud orang  yang mengikuti sunnah Nabi SAW dan menjaga kesatuan jamaah (kaum Muslimin yang berada di bawah Khilafah). Orang yang berada di atas Sunnah Nabi SAW dan Sunnah Khulafa’ al-Rasyidin, iaitu orang yang mengikuti, berpegang teguh, mengamalkan, menjaga, memperjuangkan dan menyebar luaskannya – inilah yang disebut sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Manakala dalam keadaan tidak ada jamaah atau kesatuan umat Islam di bawah pimpinan seorang Khalifah, maka setiap Muslim wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkannya, barulah seseorang itu akan terlepas daripada dosa.

Inilah makna sebenar Ahlu Sunnah Wal Jamaah, yang bererti manhaj (jalan/tuntunan), bukan bererti atau merujuk kepada mana-mana kelompok atau mazhab tertentu, sebagaimana yang kemudian digunakan oleh Mutakallimin, dengan konotasi Asy’ariyyah, Maturidiyyah atau Thahawiyyah. Perpecahan dahsyat mula melanda umat Islam apabila penggunaan istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah disempitkan maknanya oleh Ahli Kalam dan pentaksub mereka, untuk merujuk kepada tiga kelompok yang menjadi pengikut Asy’ari, Maturidi dan Thahawi sahaja, yang pada zaman kemudiannya ditambah pula dengan kelompok Salafi (pengikut Ibn Taimiyah).

Dengan kata lain, istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah telah mengalami transmisi dari istilah umum untuk semua orang (termasuk mana-mana mazhab) yang mengikuti tuntunan Nabi SAW dan para Sahabat, menjadi istilah khas yang disempitkan dan dibataskan untuk mazhab tertentu dalam akidah, fikih dan siyasah. Lebih memburukkan keadaan, istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah ini kemudian dijadikan sebagai doktrin organisasi, yang kemudian disebut Doktrin ASWAJA dalam rangka untuk mendakwa dan menjadi “pemilik” kepada gelaran Ahlu Sunnah Wal Jamaah, walaupun hakikatnya tindakan mereka banyak yang bertentangan dengan sunnah seperti suka menabur fitnah, berbohong, suka menyesatkan dan mengkafirkan orang lain.

Istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang telah didoktrinkan ini bukan sahaja disempitkan dalam masalah akidah sebagai “kepunyaan” pengikut Asy’ariyyah, Maturidiyyah dan Thahawiyyah sahaja, malah dicambahkan ke bidang fikih sebagai merujuk kepada empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) sahaja; ke bidang tasawuf sebagai merujuk kepada Junaid al-Baghdadi (w. 297 H) atau Abu Hamid al-Ghazali (w. 505 H) sahaja. Di luar semua itu, maka tidak dianggap sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Inilah kesan daripada “penyempitan” makna atau konotasi terhadap istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang timbul sejak dari zaman Mutakallimin dan diteruskan pula oleh golongan yang suka mencari-cari kesalahan orang lain dan suka melihat umat Islam ini terpecah-belah.

Lebih parah lagi, doktrin ASWAJA ini juga digunakan untuk mendukung penguasa yang menerapkan fahaman dan sistem sekular. Doktrin yang sama juga digunakan untuk mempertahankan rejim yang berkuasa, mempertahankan sistem kufur demokrasi dan negara-bangsa yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam. Pemerintah yang jelas lagi nyata tidak menerapkan hukum Allah SWT, korup, kaki rasuah, menipu rakyat, merampas hak rakyat, menindas dan menzalimi rakyat, mengenakan pelbagai cukai yang diharamkan oleh Islam, melaksanakan sistem perbankan ribawi, membenarkan dan memberi lesen kepada pusat perjudian, pusat hiburan, meninggalkan hukum jihad, berbaik dengan negara kafir harbi yang jelas membunuh umat Islam dan banyak lagi kejahatan lainnya, pemerintah dan pemerintahan seperti ini dikatakan menepati ajaran Ahlu Sunnah Wal Jamaah!

Dari sudut lain yang tidak kurang parahnya, Doktrin ASWAJA ini digunakan habis-habisan oleh pihak tertentu dan pihak yang memegang kuasa agama, untuk memfitnah dan menyesatkan kelompok yang berbeza pandangan dengan mereka, malah mereka tanpa segan silu dan rasa bersalah, menyerang perjuangan menerapkan syariah Islam secara kaffah dan perjuangan menegakkan Khilafah di bumi Allah ini, oleh kumpulan yang mereka tidak sukai. Kerana itu umat Islam hendaklah peka dan mewaspadai penyesatan pendapat (tadhlil fikri) yang dilakukan oleh orang atau organisasi tertentu, yang memakai baju intelektual mahupun baju ulama walhal merekalah yang menjadi penongkat kepada rejim sekular yang tidak berhukum dengan hukum Allah, serta merekalah yang menghalangi dan memusuhi perjuangan untuk mengembalikan Khilafah ala minhaj nubuwwah. Inilah sifat orang yang berdusta atas nama Ahlu Sunnah Wal Jamaah!

Khatimah

Sesungguhnya istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah memiliki cakupan yang luas, meliputi siapa sahaja yang mengikuti sunnah Nabi SAW dan menjaga jamaah (kesatuan umat Islam di bawah Khilafah) dan ia sama sekali tidak merujuk kepada organisasi, kelompok atau mazhab tertentu. Istilah ini hendaklah dibiarkan “longgar dan terbuka” dan tidak boleh “disempitkan” oleh sesiapa pun atau kepada sesiapa pun. Untuk mengenali siapakah Ahlu Sunnah Wal Jamaah, perlu dilihat pada “isi”nya, bukan pada “nama”nya. Kaum Muslimin tidak seharusnya mengambil persoalan akidah daripada perbincangan falsafah dan ilmu kalam. Untuk mempelajari dan memahami persoalan akidah, kaum Muslimin wajib kembali ke zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, dan melihat bagaimana Rasulullah dan para sahabat berakidah, bukannya kembali ke zaman Mutakallimin atau melihat kepada akidah al-Sya’ari, Maturudi, Syiah, Khawarij dan sebagainya. Dengan kembali melihat kepada akidah Rasulullah dan berjalan di atasnya serta mencontohi keadaan kaum Muslimin yang bersatu di bawah Rasulullah dan Khulafa’ al-Rasyidin, maka barulah seseorang itu dikatakan berjalan di atas landasan Ahlu Sunnah Wal Jamaah, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW,

“Kaum Yahudi telah terpecah menjadi 71 golongan; kaum Nasrani telah terpecah menjadi 72 golongan; dan umatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semuanya masuk neraka kecuali 1 golongan. Sahabat bertanya, ‘Siapakah mereka wahai Rasulullah?’ Nabi SAW bersabda ‘Orang yang berada di atas apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya” [HR al-Tirmizi]