SN512 – Kepimpinan Adalah Amanah Yang Amat Berat

PDF

SN Keluaran 7 Safar 1439H/27 Oktober 2017

SN512 - Kepimpinan Adalah Amanah Yang Amat Berat

[SN512] Keadaan politik di Malaysia kini sudah semakin parah. Dalam keadaan parti pemerintah yang sudah haru biru dan hilang arah tuju, dan parti-parti pembangkang sedang berusaha keras untuk melaksanakan agenda masing-masing, terbaru kita dikejutkan pula dengan berita “9 dragon” yang dikatakan mengawal negara sejak sekian lama. Kewujudan 9 naga ini yang didedahkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) diakui sendiri oleh Kementerian Dalam Negeri yang tahu kegiatan-kegiatan haram yang dijalankan oleh mereka selama ini. Namun kementerian yang paling berkuasa dalam negara itu tidak melakukan apa-apa hingga kini! Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pun mengakui hal yang sama. Kredibiliti pihak polis dan juga ahli-ahli politik tertentu terus dipertikaikan apabila semakin banyak pendedahan yang mengaitkan PDRM dan ahli politik dengan rangkaian penjenayah besar dalam negara yang didakwa dilindungi oleh mereka. Inilah realiti yang kita sedang berhadapan sekarang. Walaupun kejahatan-kejahatan seperti ini telah lama kedengaran dan diketahui umum, namun ramai yang terpaksa mendiamkan diri kerana tidak ada bukti ataupun takut untuk mendedahkannya. Pendedahan terbaru ini tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja oleh umat Islam, kerana semua ini menunjukkan kerosakan yang sudah melampau oleh pemerintah, pihak berkuasa dan pihak-pihak yang berkaitan dan kerosakan sistematik ini wajib diubah!

Amanah Besar Manusia

Kita telah menyaksikan kerosakan demi kerosakan yang berlaku dalam negara. Ini kerana pemerintah bukan lagi menjaga negara dan rakyat, tetapi hanya menjaga kepentingan sendiri dan orang-orang di sekelilingnya sahaja. Sesungguhnya kerosakan ini bermula apabila urusan pemerintahan diserahkan kepada bukan ahlinya. Orang yang bukan ahli dalam sesuatu urusan bukan sahaja tidak boleh mengurus urusan yang diserahkan kepadanya, malah ia akan mengurus ke arah kebinasaan. Hal ini sesuai dengan peringatan yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kita,

“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya’. Salah seorang bertanya, ‘Bagaimana bentuk menyia-nyiakan amanah itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Apabila urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya” [HR Bukhari].

Sungguh benarlah ucapan Rasulullah SAW ini dan kita telah dan sedang menyaksikan di depan mata kita sendiri kehancuran demi kehancuran dalam apa jua perkara apabila amanah telah disia-siakan oleh orang yang memikulnya.

Amanah yang pertama dan paling utama bagi manusia ialah ketaatan kepada Allah SWT, Rabb yang menciptakan manusia, kehidupan dan alam semesta. Sejak manusia hadir ke dunia ini, ia telah diamanahkan oleh Allah SWT sebagai Khalifah yang akan berkuasa di muka bumi dengan mentaati segala perintah dan laranganNya. Malah, Dia telah menjelaskan bahawa tujuan penciptaan manusia itu sendiri adalah untuk beribadah dan menghambakan diri kepadaNya, dengan mematuhi segala perintah dan laranganNya selama ia hidup di dunia. Sesungguhnya amanah ketaatan kepada Allah ini telah dipilih oleh manusia sendiri untuk dipikul, setelah Allah memberikannya pilihan. Hal ini merupakan seberat-berat amanah yang telah sanggup dipikul oleh manusia. FirmanNya,

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh” [TMQ al-Ahzab (33):72-73].

Dalam ayat lain Allah SWT menerangkan,

“Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir” [TMQ al-Hasyr (59):21].

Demikianlah sifat sebuah amanah, yang sememangnya berat. Amanah ketaatan (pematuhan) kepada perintah dan larangan Allah SWT ini sedemikian beratnya sehingga makhluk-makhluk Allah yang jauh lebih besar dan kuat daripada manusia, seperti langit, bumi dan gunung-ganang pun takut untuk memikulnya kerana khuatir tidak dapat menunaikannya. Maka, beratnya amanah itu sewajarnya menjadikan manusia yang memikulnya sebagai seorang yang ‘tunduk’ dan ‘takut’ kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketundukan dan ketakutan.

Ketika Allah SWT menawarkan amanah kepada manusia, lalu manusia menerima (untuk memikul) amanah tersebut dengan mengetahui konsekuensi jika tidak menunaikannya, sehingga dengan ‘pedas’ Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” Sungguh benarlah firman Allah. Manusia pada umumnya amat zalim dan amat bodoh, kerana tidak sedikit manusia yang, baik secara tersembunyi mahupun terang-terangan. mengkhianati amanah yang telah diserahkan kepadanya, sedangkan ia telah terlebih dahulu mengetahui tentang azab yang akan menimpanya di akhirat kelak hasil pengkhianatannya itu.

Amanah mencakup seluruh aspek kehidupan seorang Muslim. Ini kerana seluruh perintah Allah itu merupakan amanah yang wajib ditunaikan. Firman Allah,

“Sungguh Allah menyuruh kalian untuk menunaikan amanah kepada ahlinya” [TMQ al-Nisa’ (4):58].

Fakhruddin ar-Razi, dalam al-Tafsir al-Kabir, ketika menafsir ayat ini menjelaskan bahawa, tunduk kepada syariah merupakan penunaian kepada amanah, manakala melanggar syariah adalah sebuah pengkhianatan. Jenis amanah yang wajib ditunaikan itu menyangkut seluruh interaksi manusia, baik interaksi manusia dengan Tuhannya, sesama hamba, mahupun dengan dirinya sendiri. Menunaikan amanah Allah SWT adalah dengan cara mengerjakan semua perintahNya dan meninggalkan semua laranganNya.

Beliau meneruskan bahawa amanah dalam bab ini amat luas. Ibnu Mas’ud berkata, ‘Amanah itu wajib dalam segala sesuatu, dalam wudhu’, janabah, solat, zakat, puasa, dan haji.’ Amanah lidah adalah dengan tidak menggunakannya untuk berdusta, ghibah (mengumpat), namimah (mengadu domba), kufur, bid‘ah, berkata keji dan sebagainya. Amanah mata adalah dengan tidak menggunakannya untuk memandang yang haram. Amanah pendengaran adalah dengan tidak menggunakannya untuk mendengarkan suara yang dilarang, keji, dusta dan sebagainya. Demikian pula dengan seluruh anggota badan yang lainnya. Adapun amanah kepada sesama manusia meliputi semua hak orang lain yang wajib ditunaikan, termasuk di dalamnya mengembalikan barang titipan, tidak mengurangi timbangan dan takaran, dan tidak menyebarkan aib orang lain; tercakup pula keadilan umara’ terhadap rakyatnya; juga keadilan ulama terhadap orang awam, yakni dengan tidak membuat mereka terjerat ta’sub yang batil, namun menjelaskan kepada mereka keyakinan dan amal yang bermanfaat bagi mereka, baik di dunia mahupun di akhirat

Dalam pada menekankan tentang kewajipan menunaikan amanah, Allah SWT juga menegaskan tentang keharaman mengkhianati amanah. FirmanNya,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kalian mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kalian, sedang kalian mengetahui” [TMQ al-Anfal (8):27].

Allah SWT menegaskan,

“Sungguh Allah tidak menyukai para pengkhianat” [TMQ al-Anfal (8):58].

Khianat bahkan menjadi salah satu tanda kemunafikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Tanda orang munafik itu ada tiga; jika berkata, ia berdusta; jika berjanji, ia ingkar; jika diberi amanah, ia berkhianat” [HR Bukhari, Muslim & Tirmizi].

Kepimpinan Adalah Amanah, Bukan Kemuliaan

Dalam konteks bernegara, pemerintahan atau kepimpinan merupakan satu amanah dan ia adalah amanah yang cukup besar dan berat. Setiap pemimpin yang telah dilantik merupakan seorang pemegang amanah (yakni amanah) untuk mengatur dan mengurus rakyatnya dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Rasulullah SAW bersabda,

“Pemimpin adalah pemelihara dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari].

Betapa beratnya amanah kepimpinan sehingga jika seseorang pemimpin itu mati dalam keadaan hanya menipu rakyatnya, maka neraka adalah tempat kembalinya. Sabda Rasulullah SAW,

“Tidaklah mati seorang hamba yang Allah minta untuk mengurus rakyatnya, sementara dia dalam keadaan menipu (mengkhianati) rakyatnya, kecuali Allah mengharamkan syurga baginya” [HR Bukhari & Muslim].

Na’uzubillah min zalik.

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Abu Dzar yang meminta jawatan (kekuasaan) daripada baginda,

“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah. Sungguh jawatan itu adalah amanah dan sungguh ia menjadi kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambil amanah itu dengan benar dan menunaikan kewajipan di dalamnya” [HR Muslim].

Jika orang yang lemah sahaja sudah tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pemimpin, maka apatah lagi orang yang terkenal jahat, kaki penipu, kaki rasuah, sombong, riya’, suka bermewah-mewah dan membazir, khianat dan bukan ahlinya!

Bayangkan pula pemimpin yang ada pada hari ini, yang tidak menerapkan hukum Allah, yang merampas harta rakyat seperti minyak, gas asli, emas dan lain-lain galian, yang merompak duit rakyat dengan pelbagai cukai, yang menzalimi dan menindas rakyat dengan pelbagai undang-undang, yang menangkap rakyat kerana memuhasabah mereka, yang menjadi penjenayah dan melindungi penjenayah, yang menjual negara kepada orang-orang kafir, yang menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan! Bayangkan azab di akhirat yang sedang menanti para pemimpin seperti ini!

Dalam hadis-hadis di atas, Rasulullah SAW mengingatkan kepada umatnya secara umum dan kepada para pemimpin secara khusus, bahawa kekuasaan yang ada pada mereka itu tidak lain kecuali suatu amanah yang sangat berat yang wajib ditunaikan oleh mereka. Jika mereka tidak menunaikannya, maka kita semua akan menanggung akibat di dunia berupa pelbagai bencana dalam aspek kehidupan. Manakala di akhirat kelak, para pemimpin tersebut akan menanggung azab yang tidak terperi, bergantung kepada tahap pengkhianatannya. Sabda baginda SAW,

“(Di akhirat kelak) setiap pengkhianat akan mendapat bendera di belakangnya. Panjang dan pendek bendera tersebut bergantung kepada kadar pengkhianatannya. Ketahuilah bahawa pengkhianatan yang paling besar adalah pengkhianatan seorang pemimpin terhadap rakyatnya” [HR Bukhari].

Kerana menyedari betapa besar dan beratnya amanah kepimpinanlah, maka para sahabat dahulu tidak sanggup untuk memikulnya, malah berusaha untuk menolaknya sungguh-sungguh. Namun apabila mereka telah terpilih sebagai pemimpin, maka mereka berusaha menunaikan amanah kepimpinan itu dengan sungguh-sungguh. Mereka benar-benar tunduk patuh dan takut kepada Allah di sepanjang kepimpinan mereka. Mereka juga menjadi seorang yang lebih berhati-hati, lebih bertakwa dan lebih zuhud berbanding sebelumnya. Mereka malah menjadi orang yang semakin dekat dengan Allah kerana takutnya mereka akan azab Allah jika gagal menunaikan amanah tersebut.

Para sahabat dahulu amat memahami bahawa jawatan itu bukanlah suatu kemuliaan, kebanggaan atau kemegahan, sebaliknya suatu amanah atau beban yang amat berat. Justeru, kerana tunduk patuh dan takut kepada Allah, mereka menjadi sebaik-baik penjaga amanah dan sekali gus menjadi contoh terbaik untuk generasi sesudahnya sehingga nama-nama mereka harum di sisi penduduk langit mahupun bumi sehingga kini. Sesungguhnya kemuliaan menjadi milik mereka bukan kerana jawatan yang mereka sandang, tetapi kerana amanah berat yang mereka tunaikan. Maka beruntunglah mereka dan beruntunglah orang-orang yang menunaikan amanah kerana tempat kembali mereka ialah syurga Allah SWT.

Bagaimana pun, jawatan pemerintahan atau kepimpinan itu bukanlah suatu yang tidak boleh diperebutkan di dalam Islam. Cumanya, siapa sahaja yang ingin menjadi pemimpin, maka dia perlu sedar bahawa jawatan itu hanyalah suatu amanah dan bukannya suatu kemuliaan. Sebaliknya jawatan itu boleh menjadi suatu kehinaan dan boleh mendatangkan azab yang pedih kepadanya, apabila dia tidak menunaikan amanah kepimpinan tersebut. Amanah Allah kepada pemerintah ialah untuk menerapkan hukum-hukumNya secara kaffah di muka bumi ini, tanpa apa-apa alasan. Manakala amanah Allah kepada orang-orang yang ingin memilih pemerintah ialah agar memilih ahlinya. Apabila kekuasaan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka di situlah bermulanya kehancuran kepada umat dan dunia ini.

Sesungguhnya keamanahan dan keahlian merupakan hal yang terkait rapat. Apa jua amanah, hendaklah diserahkan kepada ahlinya, apatah lagi amanah kepimpinan yang amat penting, besar dan berat dalam Islam. Apabila kita mengamanahkan sesuatu kepada seseorang yang bodoh (bukan ahlinya), maka sudah tentu akan menatijahkan kerosakan dan kehancuran, sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW. Inilah situasi yang kita sedang saksikan dalam negara ini dan juga negeri-negeri umat Islam lainnya yang kini sedang dibelenggu oleh kerosakan dalam segenap aspek. Kepincangan yang berlaku dalam bidang pemerintahan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, media dan lain-lain, sudah tidak terbendung dan semakin parah dari hari ke hari, kerana pemegang amanahnya bukan ahlinya! 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Amanah kepimpinan adalah amanah yang amat berat. Mana-mana negara, masyarakat, pertubuhan, organisasi, badan atau syarikat apa pun akan hancur apabila dipimpin oleh orang yang tidak amanah dan bukan ahlinya. Selain melihat kepada pemimpin yang bukan ahlinya, persoalan penting yang juga mesti dilihat ialah, siapakah yang bertanggungjawab menyerahkan kepimpinan ini kepada selain ahlinya? Maka siapa sahaja yang dengan sengaja melantik orang yang bukan ahlinya sebagai pemimpin, sesungguhnya ia turut menanggung dosa yang besar kerana dia juga dikira telah mengkhianati amanah yang Allah letakkan padanya. Sabda Rasulullah SAW,

“Siapa sahaja yang mengangkat seorang lelaki terhadap suatu kelompok, sementara di tengah-tengah mereka ada orang yang lebih diredhai Allah daripada lelaki itu, maka sungguh dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan kaum Mukmin” [HR Ahmad dan al-Hakim].

Justeru, kita hendaklah mengenali dan berhati-hati di dalam memilih pemimpin, apatah lagi yang akan memimpin umat ini, agar kita terhindar daripada dosa dan terselamat di dunia dan akhirat. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita pemimpin yang merupakan ahlinya, yang amanah dan diredhaiNya. Amin ya Rabbal alamin.