SN528 – Politik Tugas Mulia

Bil: SN528 – 28 JAMADIL AKHIR 1439 / 16 MAC 2018

SN528 - Politik Tugas Mulia

Secara lughah (bahasa), siyasah (politik) berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan yang bererti ‘mengurus kepentingan seseorang’. Perkataan siyasatan menurut pengertian bahasa adalah ‘pemeliharaan/pengurusan’. Dalam kamus Al-Muhit dikatakan – sustu ar-ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’naha bi al-awamir wa an-nawahi (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau aku memerintah dan melarangnya, atau aku menguruskan urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Ini dari segi bahasa. Adapun maksud siyasah menurut istilah/syarak adalah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Pengertian ini diambil daripada beberapa hadis di mana Rasulullah SAW menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat, antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Dahulu, segala urusan Bani Israel diatur oleh para nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada Khulafa’ dan jumlahnya banyak. Para sahabat bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda, ‘Penuhilah ba’iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus/pelihara.

Berkenaan lafaz tasusuhum al-anbiya’, Ibn Hajar al-‘Ashqalani berkata, “Dalam hal ini terdapat isyarat bahawa harus ada bagi rakyat, orang yang mengatur urusan mereka, membimbing mereka ke jalan yang baik, dan memberikan keadilan kepada orang yang dizalimi dari orang yang zalim[Fath al-Bari, VI/497]. Menurut Imam As-Suyuthi pula, tasusuhum bermaksud “yang menjalankan urusan mereka[As-Suyuthi, ad-Dibaj, IV/456]. Dengan kata lain, makna politik ialah ri’ayah syu’un al-ummah (pengaturan dan pemeliharaan urusan-urusan umat). Inilah pengertian politik menurut Islam, yang mana berdasarkan hadis ini, semua nabi, termasuk Nabi Muhammad SAW menjalankan peranan politik mereka sebagai pengurus, pengatur, dan pemelihara urusan umat.

Rasulullah Berpolitik

Keterlibatan Rasulullah SAW dalam urusan politik dapat dilihat pada sirah Baginda baik ketika di Mekah mahupun di Madinah. Ketika berada di Mekah, dakwah Rasullullah SAW tidak hanya terbatas dalam aspek kerohanian semata-mata. Jika tidak, masakan dakwah baginda mendapat tentangan yang hebat daripada pembesar-pembesar Quraisy yang tidak terjadi ke atas pendeta agama lain seperti Yahudi dan Nasrani. Sebaliknya, setelah diangkat menjadi Rasul, Rasulullah SAW membentuk sebuah kutlah (jemaah) dakwah daripada kalangan sahabat yang berperanan sebagai aktivis politik yang gigih menyeru kepada Islam, dan meningkatkan kesedaran umum (public opinion) di kalangan masyarakat. Hal ini tercatat dalam banyak ayat-ayat al-Quran yang diturunkan ketika fasa dakwah di Mekah di mana dakwah Baginda menyentuh aktiviti-aktiviti sosial masyarakat ketika itu. Baginda mengecam praktik sosial yang keji seperti menanam anak perempuan hidup-hidup (surah At-Takwir ayat 8-9); menyerang kelakuan buruk beberapa tokoh masyarakat jahiliyah seperti Abu Lahab (surah Al-Masad ayat 1-3); mencela sistem ekonomi yang zalim (surah Ar-Rum ayat 39); dan turut memerhatikan perkembangan kedudukan geopolitik antarabangsa (surah Ar-Rum ayat 2-4).

Rasulullah SAW juga melakukan dakwah kepada golongan pembesar masyarakat dan pemerintah dalam usaha mendapatkan dukungan politik untuk meraih kekuasaan. Ibnu Saad dalam kitabnya at-Thabaqat menyebutkan 15 kabilah yang didatangi Rasulullah SAW dalam rangka ini, di antaranya kabilah Kindah, Hanifah, Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah, Kalb, Bakar bin Wail, Hamdan dan lain-lain sehingga menyaksikan kabilah Aus dan Khazraj memberikan pertolongan dan mandat pemerintahan kepada Rasulullah untuk menegakkan agama Allah (M. Abdullah al-Mas’ari, al-Mana’ah wa Thalab an-Nusrah). Kesungguhan Rasulullah SAW dalam melakukan aktiviti politik untuk meraih kekuasaan terjawab dengan nukilan Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Al-Iqtishad fi al-I’tiqad yang menjelaskan kepentingan kekuasaan dan agama yang diibaratkan sebagai dua saudara kembar.

Ketika di Madinah, Rasulullah SAW menjadi seorang ketua negara, memimpin masyarakat yang berbilang agama dan bangsa di samping peranannya sebagai Rasul untuk menyampaikan wahyu. Begitu banyak kitab sirah yang telah merakamkan perjalanan aktiviti politik Baginda yang begitu cemerlang apabila mampu menyatukan rakyat pimpinannya, menangani pelbagai ancaman musuh dari dalam dan luar negara, menguruskan urusan ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan rakyatnya dan lain-lain.

Kewajipan dan Kemuliaan Berpolitik

Melibatkan diri dalam politik merupakan suatu kewajipan bagi para pemerintah mahupun masyarakat khususnya umat Islam untuk memastikan syariat Islam diterapkan dengan sempurna. Kewajipan berpolitik bagi pemerintah adalah dalam konteks mengurus dan me­melihara umat dengan Islam sebagaimana sabda Nabi SAW, “Seorang pemimpin adalah pemelihara dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas pemeliharaan (rakyat)nya[HR Bukhari]. Manakala kewajipan ber­politik bagi umat Islam pula adalah untuk muhasabah li al-hukkam (memuhasabah pemerintah) dalam setiap penyimpangannya daripada Islam, kerana seseorang pemerintah itu diangkat untuk menerapkan  syariat  Islam yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Rasulullah SAW menyifatkan muhasabah kepada pemerintah yang merupakan sebahagian daripada aktiviti politik sebagai jihad yang paling baik dan diangkat darjatnya. Dari Abi Umamah, ia berkata, “Ada seseorang yang datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya, ‘Jihad apakah yang paling baik?’…Rasulullah SAW kemudian bersabda, ‘Kata-kata yang hak (benar), yang diucapkan di hadapan seorang penguasa yang zalim’[HR Ibnu Majah]. Sehingga Rasulullah SAW menjanjikan kemuliaan dan ganjaran menjadi penghulu syuhada’ seperti mana sabda Baginda SAW, “Penghulu syuhada’ ialah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim lalu menasihatinya, kemudian ia dibunuh[HR al-Hakim]. Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 104 dengan jelas meletakkan kewajipan kepada umat Islam untuk membentuk kutlah (jemaah/parti) yang bertanggungjawab untuk menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar.

Malangnya politik yang diamalkan hari ini telah dicemari dengan doktrin sekularisme yang melahirkan politikus dan masyarakat yang tersasar jauh daripada ruh perjuangan Islam yang sebenar. Persepsi yang wujud terhadap politik saat ini adalah sebagai perkara yang melalaikan, penuh tipu daya dan perlu dipisahkan daripada Islam. Sesungguhnya terdapat begitu banyak dalil yang menjelaskan kewajipan dan kemuliaan berpolitik bagi umat Islam, baik dalam bentuk umum mahupun khusus, seperti sebahagian dalil yang telah dinukilkan. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam untuk kembali berada di atas landasan politik yang sejajar dengan Islam, sehingga politik tidak lagi dianggap sebagai suatu yang negatif namun merupakan sebuah tanggungjawab yang agung dan mulia. Allau’alam.


KOLUM SEJARAH ISLAM

SULAIMAN AL-QANUNI

Masjid Süleymaniye di Turki pada tahun 1903 (Sumber: Arkib Muzium Brooklyn)

Sulaiman I atau dikenali sebagai Sulaiman al-Qanuni dilahirkan pada tahun 900 H dan telah dilantik menjadi Khalifah ketika berusia 26 tahun setelah ayahnya wafat pada tahun 926 H. Beliau adalah Khalifah yang ke sepuluh dalam Kekhilafahan Uthmaniyah. Era kepimpinannya menyaksikan Khilafah Uthmaniyah mencapai puncak kekuasaan dan Islam juga tersebar luas hasil kejayaan dan kesungguhannya membebaskan dan membuka banyak wilayah dari tanah Balkan di benua Eropah yang meliputi Hungaria, Beograd, dan Austria hingga utara benua Afrika dan kawasan Teluk Parsi. Wilayah Khilafah Uthmaniyah juga turut menguasai sebahagian besar kawasan laut meliputi lautan Hindi, Laut Arab, Laut Merah, Laut Mediteranian, dan Laut Hitam hasil usaha gigih Khalifah Sulaiman dan panglima tentera laut beliau yang terkenal iaitu Khairuddin Barbarosa, yang sengaja di coreng dengan imej buruk sebagai lanun dalam filem-filem Barat.

Dalam usaha menerapkan syariat Islam dalam wilayah yang semakin luas, kebijaksanaannya terserlah apabila beliau menyusun Undang-undang Negara Khilafah Uthmaniyah atau dikenali sebagai “Qanun Namuhu Sulthan Sulaiman”. Undang-undang tersebut disusun dengan teliti agar tetap bertepatan dengan syariat Islam dan diterapkan secara konsisten dan meluas sehingga dengan jasa tersebut beliau diberi gelaran al-Qanuni manakala di Barat pula beliau digelar sebagai “Suleiman The Magnificent”.

Tempoh kekuasaan beliau adalah yang paling lama dalam sejarah Kekhilafahan Uthmaniyah iaitu lebih 40 tahun. Beliau wafat pada usia 71 tahun ketika berada di Szigetvar, Hangaria, selang  beberapa waktu setelah wilayah tersebut berjaya ditawan.  Jasadnya dibawa pulang oleh anaknya dan dimakamkan di Masjid Sulaiman yang berada di kota Istanbul, Turki.

Download PDF