SN541 – Industri Arak dan Hak Non-Muslim Dalam Negara Islam
Bil: SN541 – 25 Muharram 1440 / 05 Oktober 2018
Kes keracunan metanol kembali mengundang polemik berkaitan isu arak dalam masyarakat. Terbaru, jumlah kematian akibat kes keracunan metanol baru-baru ini yang direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, dan Negeri Sembilan telah meningkat kepada 40 kes [Utusan Malaysia, 27/9/2018]. Tragedi ini juga menggerakkan pihak-pihak yang berkesedaran untuk mendesak agar penjualan arak secara terbuka di kedai-kedai serbaneka diharamkan, manakala kilang-kilang penghasilannya ditutup. Dalam masa yang sama, timbul pula pihak yang membangkitkan soal hak individu bukan Islam untuk meminum arak kerana tiada larangan dalam ajaran agama mereka. Bagaimana Islam menangani isu ini?
Kedudukan Arak Dalam Negara Islam
Keharaman arak bagi umat Islam merupakan suatu perkara yang termasuk kategori al-ma’lum minad-din bi adh-dharurah (yang sudah diketahui dari agama dengan pasti). Islam juga telah menggariskan bentuk hukuman yang dikenakan bagi peminum arak sekiranya disabitkan kesalahan, iaitu dikenakan sebatan sebanyak 40 atau 80 kali. Hal ini selari dengan athar daripada Ali bin Abi Thalib RA, “Rasulullah menyebat (peminum khamar) 40 kali, Abu Bakar menyebat 40 kali, Umar menyebat 80 kali. Masing-masing adalah sunnah. Dan ini adalah yang lebih aku sukai” [HR Muslim]. Manakala bagi orang bukan Islam dalam sebuah negara Islam pula, mereka diizinkan untuk meminum arak sekiranya tidak dilarang oleh agama mereka. Sebagaimana urusan-urusan lain seperti pernikahan, cerai, peribadatan, makan, dan minum, golongan bukan Islam dibenarkan untuk melaksanakannya mengikut kepercayaan mereka. Kesemua ini dibenarkan dan tidak boleh dihalang selama tidak mengganggu undang-undang awam (nizamul‘am). Namun, keizinan tersebut hanyalah terhad dalam kehidupan khusus atau peribadi (private sphere) semata-mata, tetapi bukan dalam kehidupan umum iaitu di kawasan umat Islam ada bersama mereka, misalnya seperti di pasar umum dan lainnya [An-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Mereka dibenarkan sama ada untuk menghasilkan sendiri arak, atau mengimport dari negara luar bagi kegunaan peribadi secara terhad. Negara pula memantau dan memastikan arak tersebut tidak dijual kepada Muslim, tidak dipamerkan secara terbuka untuk dijual, apatah lagi diminum dalam pesta arak dalam kehidupan umum.
Sesungguhnya dalam kehidupan umum, warganegara bukan Islam mendapat layanan dan hak yang sama seperti warganegara Muslim. Mereka juga tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang sama berdasarkan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, sesuai dengan status mereka sebagai orang bukan Islam dalam negara Islam. Orang-orang bukan Islam yang didapati bersalah meminum arak secara terbuka di tempat umum turut dikenakan hukuman di bawah takzir menurut majoriti mazhab. Dalam mazhab Syafie, Imam Nawawi rahimahullah berpendapat orang kafir tidak dikenakan hukuman kerana minum khamar (arak) melainkan jika ada larangan agama mereka untuk minum khamar. Namun jika mereka menzahirkan hal tersebut maka hendaklah dihukum takzir kerana mereka telah menzahirkan kemungkaran dalam negara Islam [Muhazzab II:256]. Manakala Malik berkata “Jika Ahli Kitab dijumpai minum arak atau melakukan zina, mereka dibiarkan (tanpa hukuman), kecuali mereka menzahirkannya maka mereka akan dihukum” [Al-Mudawanatul Kubra 4:256]. Sebahagian daripada ulama mazhab Hambali berpendapat bahawa had tidak dikenakan ke atas ahlu zimmah kerana meminum arak, sebaliknya dikenakan sekiranya mabuk. “Tidak dikenakan (had) zimmi kerana minum arak, namun jika mabuk dikenakan hudud” [Maharrar II : 163].
Hadirnya Islam ke dunia ini bertujuan untuk membawa rahmat ke sekalian alam dengan mewujudkan kemaslahatan (jalb al-mashalih) dan mencegah kerosakan (dar’u al-mafasid) dalam masyarakat. Hanya melalui penerapan hukum syarak yang menyeluruh oleh negara, barulah kesejahteraan dan rahmah dapat tercapai. Keberadaan masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama bukanlah hujah untuk tidak menerapkan syariah, apatah lagi untuk menjadi justifikasi bagi melaksanakan hukum-hukum sekular. Kemajmukan masyarakat juga bukan dalil bagi membenarkan penghasilan arak pada skala industri, pengilangan, penjualan dan penganjuran pesta mabuk secara terbuka. Malangnya, atas nama kebebasan bertingkah laku dalam sistem demokrasi-sekular hari ini, kita menyaksikan pesta-pesta arak dianjurkan secara terbuka dan arak turut dijual secara terbuka di kedai-kedai serbaneka. Sedangkan kesan daripada pengambilan arak telah diketahui umum bukan sahaja memudaratkan kesihatan peminumnya semata-mata, bahkan turut mendatangkan kerosakan dalam institusi kekeluargaan, sosio-ekonomi, dan kemasyarakatan. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kematian yang berpunca daripada pengambilan alkohol saban tahun mencecah lebih daripada tiga juta orang setahun di seluruh dunia, termasuklah kematian akibat kemalangan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan kes bunuh diri. Dengan kata lain, jumlah kematian yang berpunca daripada pengambilan alkohol tersebut mewakili satu daripada 20 kematian di seluruh dunia [The Guardian,21/9/2018].
Pengharaman arak ke atas umat Islam melalui penguatkuasaan hukum syarak oleh negara, dan kawalan ke atas pengambilannya oleh orang bukan Islam dalam negara Islam mampu menghalang daripada berleluasanya kemafsadatan akibat pengambilan arak. Dalam pada itu, pelaksanaan hukum syarak ini sekali gus mampu mencapai objektif-objektif syariah (maqasid syar’iyyah) terutamanya dalam menjaga jiwa (hifz al-nafs), akal (hifz al-aqal), keturunan (hifz al-nasl), kehormatan (hifz al-karamah), dan keamanan (hifz al-amn) – yang kesemuanya boleh terancam akibat pengambilan arak dalam masyarakat. Demikianlah antara gambaran bagaimana keindahan Islam yang bersifat rahmatan lil ‘alamin akan dapat tercapai apabila aturannya diterapkan secara sistemik dan menyeluruh. Malangnya, umat Islam pada hari ini tidak lagi hidup di bawah kepimpinan yang menerapkan sistem Islam secara kaffah (menyeluruh), sebaliknya dicengkam dalam sistem demokrasi-sekular-kapitalis yang mengagungkan prinsip-prinsip kebebasan yang berasal dari Barat. Soal halal dan haram menurut sudut pandang syarak tidak lagi dijadikan sandaran, sebaliknya diukur berdasarkan manfaat dan kepuasan yang bersifat materialistik semata-mata. Bahkan dalam sistem demokrasi, ‘halal’ dan ‘haram’-nya arak itu bergantung sama ada ia berlesen ataupun tidak. Inilah realiti apabila hukum syarak tidak lagi diterapkan, sebaliknya undang-undang digubal mengikut akal dan hawa nafsu.
Apa Bezanya Jika Sistem Yang Diterapkan Masih Sama
Meskipun terdapat peraturan yang melarang penjualan kepada individu Muslim, namun sejauhmana penguatkuasaan dilaksanakan bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi? Dalam pada itu pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Syariah turut mengundang bantahan dan kritikan oleh golongan-golongan sekular dan liberal, meskipun hukuman tersebut bukanlah hukuman had yang sepatutnya dikenakan bagi kesalahan meminum arak. Hakikat ini dapat dilihat pada respon yang diberikan sewaktu Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5000 dan enam kali sebatan ke atas seorang wanita pada 2009 atas kesalahan meminum arak di khalayak umum. Perkara yang sama turut dapat dilihat apabila dua wanita dikenakan hukuman sebat di Terengganu baru-baru ini atas kesalahan musahaqah (lesbianisme) yang digambarkan sebagai zalim dan menghina pesalah tersebut. Demikianlah bagaimana idea-idea rosak Barat telah berjaya meracuni sebahagian umat Islam sehingga mereka secara terang-terangan membantah hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah meskipun hukuman tersebut tidak menepati ketetapan syarak. Dari sudut yang lain pula, kita juga dapat menyaksikan bagaimana sistem perundangan di negara ini didominasi oleh hukum-hukum sekular yang diletakkan lebih tinggi berbanding hukum syarak. Beralihnya tampuk pemerintahan dalam era ‘Malaysia Baharu’ pasca PRU14 ini ternyata tidak banyak berbeza dengan ‘Malaysia Dahulu’. Bahkan, suara-suara sekular dan liberal ini semakin mendapat tempat dalam masyarakat.
Justeru, umat Islam yang ikhlas sewajarnya mengambil langkah proaktif dalam memerangi penularan idea-idea liberal sebegini. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan melawan propaganda mereka melalui kempen kesedaran ke arah membentuk kefahaman yang jernih mengenai Islam. Di samping itu, kita juga sewajarnya bangkit membawa aspirasi Islam melalui perjuangan intelektual tanpa kekerasan ke arah mengembalikan semula kehidupan Islam di dalam bingkai Khilafah Rasyidah. Dalam pada itu, kita juga sewajarnya bertegas dalam mendesak pemerintah untuk menangani isu berleluasanya arak ini mengikut ketetapan Islam. Sampai bila pemerintah ingin menuai dosa kerana tidak menerapkan hukum Islam?
KOLUM TSAQAFAH
10 GOLONGAN YANG DILAKNAT KERANA ARAK
Islam telah menjelaskan permasalahan mengenai arak dengan jelas bermula daripada hukum zat arak, golongan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dan hukuman bagi mereka yang terlibat dengannya. Berkenaan dengan golongan yang terlibat dengan arak, ia telah dijelaskan melalui sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud:
”Rasulullahmelaknat dalam hal khamar sepuluh pihak: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membeli dan yang dibelikan untuknya”[HR Tirmizi dan Ibnu Majah].
Daripada hadis di atas, selain daripada peminum arak itu sendiri yang dilaknat, Islam juga telah melaknat dan mengharamkan arak bermula daripada peringkat awal pemprosesan untuk dijadikan arak. Sheikh Atiyah al-Saqr ketika ditanya tentang orang yang bekerja di sektor yang membantu penghasilan arak beliau menjawab:
“Dan orang yang memberi minum arak kepada orang lain mendapat dosa yang sama sepertimana yang telah diberitahu oleh nas hadis. Sama ada dia redha dengan perbuatan tersebut dan orang yang redha dengan maksiat maka akan dihukum dengan hukuman yang sama orang yang melakukannya. Ataupun dia hanya membantu dalam perkara maksiat. Orang yang membantu dalam perkara maksiat maka dia turut serta mendapat dosa disebabkan maksiat tersebut:” [Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa wa al-Ahkam(3/186)]
Semua pekerjaan tersebut adalah haram kerana ia membantu dalam pembuatan arak. Kaedah fiqh juga menyebut :
كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام
Maksudnya: ”Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”
Berdasarkan kaedah ini maka membantu dalam perkara yang diharamkan oleh Allah adalah dikira sebagai berdosa. Ia ditegaskan lagi dengan firman Allah yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” [TMQ al-Maidah (5):2].
Seorang Muslim yang sejati tidak akan redha dengan kemaksiatan dan kemungkaran yang terjadi sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman”[HR Muslim].