SN580 – Penjarakan Saf Dan Keberanian Pemerintah

SN580

17 Disember 2021 M / 13 Jamadil Awal 1443 H

 

Sudah lebih setahun setengah solat berjemaah di masjid tidak dibenar merapatkan saf, satu keadaan yang tidak pernah kita saksikan selama hidup, dan satu keadaan yang tidak pernah wujud dalam sejarah Islam. Walaupun bantahan demi bantahan telah dilakukan oleh umat Islam, termasuk oleh beberapa orang ulama yang prihatin, namun pemerintah tetap tidak berganjak dengan keputusan mereka. Lebih buruk daripada itu, berapa banyak kes mereka yang solat dengan merapatkan saf didenda, satu keadaan yang kita tidak pernah terbayang sebelum ini – menunaikan kewajipan dengan menuruti Sunnah, tetapi dianggap jenayah dan dikenakan hukuman oleh pemerintah! La haula wa la quwwata illa billah. Dalam masa yang sama, di luar masjid atau lebih tepat di luar waktu solat berjemaah, seperti di restoran-restoran, di pusat membeli belah, di dalam kenderaan awam, yang kesemua jangka masanya jauh lebih lama berbanding solat, orang ramai dibenarkan berada dalam keadaan rapat. Terbaru, ketika perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 20,000 penonton berada dalam keadaan sesak dan cukup rapat, sama sesaknya sebagaimana keadaan orang ramai yang datang pada sambutan Hari Aspirasi Keluarga Malaysia. Walaupun penganjur didenda, tetapi cukup rendah, dan mereka yang hadir tidak diambil apa-apa tindakan pun oleh kerajaan, tidak sebagaimana pelanggaran SOP di masjid yang terus diambil tindakan. Apa yang lebih menyedihkan, orang yang sama, jika datang ke masjid untuk bersolat jemaah, akan pasti menjarakkan saf.

Isu penjarakan saf ini tidak seharusnya dipandang ringan oleh setiap Muslim, apatah lagi pemerintah. Ini kerana ia melibatkan persoalan hukum syarak dan kaifiyat (tatacara) solat yang boleh membawa kepada dosa dan pahala yang bukannya kecil. Sesungguhnya pemerintah telah menanggung dosa besar dengan menetapkan penjarakan saf dan menghadkan bilangan jemaah atau pun menutup masjid. Lebih buruk daripada itu, apa yang dilakukan oleh pemerintah dengan memaksa penjarakan saf sejauh satu atau dua meter, jelas merupakan satu bidaah kerana telah merubah kaifiyat solat berjemaah yang mana saf wajib dirapatkan. Tindakan pemerintah ini bahkan sudah berada di luar batas kewarasan akal apabila saf tetap tidak dibenarkan rapat sedangkan sudah terbukti sesebuah qariah itu bebas daripada wabak, sudah lebih 90 peratus rakyat divaksin, semua orang memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, melakukan sanitasi dan mengimbas suhu, namun tetap sahaja saf dijarakkan! Apabila “diserang”, pemerintah menyatakan bahawa persoalan ini berada di bawah bidang kuasa negeri, manakala negeri pula menyatakan yang mereka terikat dengan ketetapan oleh kerajaan pusat melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Rakyat menyaksikan episod “bangau oh bangau” ini sejak dua tahun lepas.

Kewajipan Merapatkan Saf

Sejak dari awal tercetusnya pandemik Covid-19 apabila masjid-masjid ditutup, kemudian dibuka dengan bilangan jemaah yang tidak masuk akal, dan saf solat berjemaah dijarakkan, Hizbut Tahrir telah secara konsisten memuhasabah dan menyeru pemerintah agar membuka masjid, membenarkan setiap Muslim bersolat di dalamnya dengan merapatkan saf, kerana ini semua adalah kewajipan, dan pemerintah yang tidak berbuat demikian menanggung dosa besar di sisi Allah (swt).

Bukan sekadar itu, Hizbut Tahrir melalui Amirnya, Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah, telah mengemukakan nas-nas yang sarih (jelas) mengenai kewajipan membuka masjid dan merapatkan saf seraya menerangkan kebatilan hujah pemerintah yang menutup masjid dan menjarakkan saf. Kesemua jawapan Amir Hizbut Tahrir ini boleh diakses dengan mudah di laman sesawang Hizbut Tahrir, dan kami mengutip sebahagian daripadanya di sini.

Rasulullah (saw) telah mengajar dan memerintahkan umatnya agar mengerjakan solat sebagaimana cara baginda solat. Sabda baginda,

“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat” [HR Bukhari].

Hadis ini sekali gus melarang manusia bersolat dengan kaifiyat yang tidak ditunjukkan oleh baginda.

Berhubung dengan saf solat berjemaah, tidak ada satu hadis pun yang membenarkan saf dijarakkan. Malah dalam kesemua hadis, Rasulullah (saw) dengan tegas memerintahkan kaum Muslimin supaya merapatkan saf. Imam al-Bukhari telah mengeluarkan dalam Sahihnya dari Anas bin Malik (ra), ia berkata:

“Dibacakan Iqamah, kemudian Rasulullah (saw) menghadap kepada kami lalu bersabda, “Luruskan saf kalian dan rapatkanlah, kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku.”

Imam Muslim telah mengeluarkan dalam Sahihnya, dari an-Nu’man bin Basyir (ra), ia berkata, Rasulullah (saw) memerintahkan kami meluruskan saf seperti anak-anak panah. Baginda terus menekankannya hingga kami memahami (akan kepentingannya). Suatu hari baginda datang ke masjid dan berdiri (untuk solat). Ketika hampir bertakbir, baginda melihat seorang lelaki yang dadanya tertonjol keluar daripada saf, maka baginda bersabda:

“Wahai hamba-hamba Allah, hendaklah kalian meluruskan saf kalian atau sungguh Allah akan memalingkan wajah-wajah kalian.”

Imam Muslim juga telah mengeluarkan dalam Sahihnya dari Jabir bin Samrah, ia berkata:

“Rasulullah (saw) bersabda, “Mengapa kalian tidak berbaris sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana para malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?” Baginda menjawab, “Mereka melengkapi saf pertama dan rapat dalam saf.”

Al-Hakim telah mengeluarkan, dan ia berkata hadis ini sahih menurut syarat Muslim, dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah (saw) bersabda,

“Siapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya, dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.”

Imam Ahmad telah mengeluarkan dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah (saw) bersabda,

“Luruskanlah saf, tidak lain kalian (hendaklah) berbaris dengan safnya para malaikat, luruskan antara bahu-bahu, tutuplah celah yang kosong, lenturkan pada tangan saudara kalian dan jangan biarkan ada celah untuk syaitan. Siapa yang menyambungkan saf, maka Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutusnya.”

Rasulullah (saw) bukan sahaja memerintahkan kaum Muslimin untuk merapatkan saf, malah menegur orang yang tidak merapatkannya. Para Sahabat mematuhinya, bahkan mereka turut memerintahkan kaum Muslimin untuk melakukan hal yang sama. Imam Malik telah meriwayatkan dalam al-Muwatha’ dan al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra:

“Bahawa Umar bin al-Khattab (ra) memerintahkan untuk meluruskan saf-saf. Apabila mereka datang kepadanya dan memberitahunya bahawa saf-saf telah lurus, (maka) Umar bertakbir (untuk solat).”

Dengan sebegitu jelas dan banyaknya dalil yang mewajibkan saf dirapatkan, maka amat jelas pula bahawa pemerintah atau siapa sahaja yang memaksa kaum Muslimin untuk menjarakkan saf sesungguhnya telah melakukan dosa besar kerana telah melakukan bidaah, kerana ia hakikatnya telah merubah dan menyimpang daripada kaifiyat solat yang diajar dan diperintahkan oleh Rasulullah (saw).

Apa pun alasan yang diberikan untuk menjarakkan saf, ia tidak boleh diterima kerana hukum merapatkan saf adalah wajib dan ia termasuk dalam kaifiyat solat. Sebuah kewajipan mahupun kaifiyat dalam ibadah tidak boleh diubah, kecuali jika terdapat nas yang membenarkannya, dan dalam soal penjarakan saf, tidak ada satu nas pun yang membenarkan saf solat berjemaah dijarakkan. Ada pun bagi mereka yang berhujah dengan pendapat ulama, sesungguhnya pendapat ulama tidak ada nilainya jika bertentangan dengan hadis Rasulullah (saw).

Bidaah: Siapa Yang Menanggung Dosa?

Bidaah adalah menyalahi perintah asy-Syari’ (Allah) yang dinyatakan kaifiyat (tatacara) penunaiannya. Bidaah secara bahasa seperti dinyatakan dalam Lisan al-Arab:

”المبتدع الّذي يأتي أمراً على شبهٍ لم يكن…، وأبدعت الشّيء: اخترعته لا على مثالٍ“

(orang yang melakukan bidaah adalah orang yang melakukan suatu perkara menurut kemiripan yang belum ada…, anda melakukan bidaah: anda melakukan suatu yang baru, yang tidak menurut contoh).

Manakala maksud bidaah secara istilah juga demikian, yakni di situ ada contoh yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) dan seseorang Muslim itu melakukannya dengan menyalahi contoh tersebut. Jadi, bidaah bererti menyalahi kaifiyat syarie yang telah dijelaskan oleh syarak untuk menunaikan perintah menurut syarak. Makna ini ditunjukkan oleh hadis,

“Siapa sahaja yang melakukan perbuatan yang tidak ada ketentuan kami atasnya, maka ia adalah tertolak” [HR al-Bukhari dan Muslim, dan ini adalah lafaz al-Bukhari].

Contohnya, siapa sahaja yang sujud tiga kali dalam solatnya dan bukannya dua kali, maka dia telah melakukan bidaah, kerana dia menyalahi perbuatan Rasulullah (saw). Siapa sahaja yang melontar jamrah di Mina sebanyak lapan kali lontaran, bukannya tujuh kali, maka dia telah melakukan bidaah, kerana dia telah menyalahi perbuatan Rasulullah (saw). Siapa sahaja yang menambah lafaz azan atau menguranginya, maka dia telah melakukan bidaah, kerana dia telah menyalahi azan yang ditetapkan oleh Rasulullah (saw).

Bagaimanapun, jika seseorang menyalahi perintah asy-Syari’ yang tidak dinyatakan kaifiyatnya, maka itu termasuk dalam bab hukum-hakam syarak. Ia akan dikatakan haram, makruh dan sebagainya, jika ia termasuk dalam Khithab Taklifi, atau dikatakan batil, fasad dan sebagainya, jika ia termasuk dalam Khithab Wadh’i, tergantung kepada Qarinah (indikasi) yang menyertai perintah tersebut.

Contohnya, dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, dari Ubadah bin as-Samit (ra), ia berkata,

“Baginda melarang menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam, kecuali sama, barangnya dengan barangnya, maka siapa yang menambah atau meminta tambah, sungguh ia telah melakukan riba.”

Seandainya seseorang Muslim menyalahi hadis ini, lalu ia menjual emas dengan emas, dan menambah satu dengan lain, dan tidak sama timbangannya, maka ia tidak dikatakan melakukan bidaah, melainkan dikatakan bahawa ia telah melakukan keharaman yakni riba.

Oleh yang demikian, jika seseorang Muslim mampu melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf, maka dia wajib menunaikannya sedemikian, sebab menjarakkan saf adalah bidaah. Adapun jika dia tidak mampu melakukannya kerana tindakan penguasa yang memaksanya (melalui peraturan), maka ketika itu dia hendaklah melaksanakan solat sesuai kemampuannya, tanpa ia redha dengan penjarakan tersebut. Siapa pun yang redha dengan kemungkaran, maka ia akan berdosa.

Ada pun bagi mereka yang mengikuti kemungkaran pemerintah dengan redha, dengan anggapan bahawa ia tidak berdosa tetapi pemerintahlah yang menanggung dosa, maka ia hendaklah ingat akan firman Allah (swt),

“..dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri, dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain..” [TMQ al-An’am (6): 164].

Sabda Nabi (saw),

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia merubahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka hendaklah (merubahnya) dengan lisannya, jika ia tidak mampu maka hendaklah (merubahnya) dengan hatinya. Yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemah iman” [HR Muslim].

Justeru, siapa pun yang telah bertindak menyalahi hukum syarak, maka ia akan berdosa, dan orang lain tidak akan memikul dosa untuknya. Setiap Muslim wajib mengingkari dan merubah kemungkaran, dan wajib memuhasabah pelakunya, bukannya mengikuti kemungkaran tersebut. Penjarakan saf jelas merupakan satu penyimpangan terhadap kaifiyat solat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw).

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sudah lebih setahun setengah kaifiyat solat berjemaah diubah oleh pemerintah. Mereka menyatakan bahawa hal ini dibolehkan dan tidak menyalahi Sunnah. Sunnah apakah yang mereka ikuti? Wujudkah Sunnah di mana Rasulullah dan para Sahabat solat dengan jarak satu atau dua meter selama bertahun-tahun tanpa henti? Wujudkah Sunnah atau pendapat ulama yang membolehkan saf solat dijarakkan selama bertahun-tahun atas alasan khuatir penularan penyakit? Wujudkah Sunnah seumpama ini? Sesungguhnya pemerintah pada hari ini telah menetapkan sesuatu yang jelas bertentangan dengan Sunnah. Betapa beraninya mereka melawan Sunnah, tetapi mendakwa mengikuti Sunnah!

 

Download PDF