SN585 – Taklif Hukuman Menurut Islam

SN585

21 Januari 2022 M / 18 Jamadil Akhir 1443 H

 

Kecoh seluruh Malaysia mengenai seorang remaja yang ditangkap mencuri tabung masjid, lalu dimandikan seperti jenazah oleh Imam dan Ahli Jawatankuasa masjid yang berkenaan. Remaja berkenaan mendakwa bahawa dia mencuri untuk mendapatkan wang bagi membantu rawatan datuknya yang sakit. Perbincangan hangat berlaku kerana sebahagian pihak menyokong tindakan sekumpulan pegawai masjid tersebut sebagai tindakan yang boleh menyedarkan si pencuri. Manakala sebahagian lagi mempersoalkan tindakan tersebut kerana telah membuka aib remaja berkenaan, khuatir Islam dilihat sebagai zalim, dan pihak masjid dikatakan telah bertindak menjatuhkan “hukuman” sendiri ke atas remaja tersebut. Akhirnya datuk kepada remaja berkenaan tampil memberi penjelasan bahawa cucunya merupakan seorang yang liar dan bermasalah. Remaja berkenaan kemudiannya telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan dihukum penjara 10 hari serta denda RM4000, tetapi kemudiannya diketepikan oleh Mahkamah Tinggi dan diganti dengan melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan. Manakala Imam masjid berkenaan dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ternyata kes ini telah banyak membangkitkan ruhiyah umat Islam kerana beberapa faktor seperti kecurian yang berlaku di masjid, kemudian dimandikan seperti jenazah, isu membuka aib orang, isu peletakan jawatan Imam, kisah kehidupan remaja tersebut yang dipelihara datuknya disebabkan perceraian ibu bapanya sejak dia kecil, termasuk isu pengakuan datuknya yang sudah tidak sanggup menjaganya lagi. Di sebalik kes yang tidak baik ini, sungguh “indah” apabila kesemua isunya telah dibincangkan oleh kaum Muslimin daripada perspektif Islam, yang menunjukkan ruhiyah Islam masih hidup dalam sanubari umat ini. Namun sayangnya dalam masa yang sama masih ramai yang tidak nampak bahawa mahkamah yang sepatutnya membicarakan kes remaja tersebut ialah mahkamah yang memutuskan dengan Islam, bukannya mahkamah sivil, dan hukuman yang sepatutnya dijatuhkan ke atas remaja berkenaan ialah hukuman Islam, bukannya hukuman sivil. Ramai yang masih belum nampak bahawa kesalahan mencuri adalah “kesalahan syariah” bukannya “kesalahan sivil”, malah kesalahan dan hukuman mencuri termaktub dengan jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Umat Islam seharusnya sedar hakikat ini dan wajib berusaha merubahnya, agar kehidupan kita dinaungi oleh hukum Islam sepenuhnya.

Taklif Pelaksanaan Hukuman Atas Siapa?

Antara persoalan yang seharusnya difahami dalam kes ini ialah, bolehkah mana-mana individu atau kumpulan “mengerjakan” pesalah atas alasan ingin mendidik atau menjatuhkan hukuman sendiri, sebelum membawa pesalah kepada pihak yang berkuasa, atau tanpa membawanya kepada pihak yang berkuasa?

Sesungguhnya terdapat banyak ayat Al-Quran yang mana Allah (swt) memerintahkan manusia untuk menghukum orang-orang yang melakukan kesalahan seperti perintah sebat terhadap penzina perempuan dan lelaki [An-Nur (24): 2], sebat terhadap penuduh perempuan suci berzina tanpa mendatangkan saksi [An-Nur (24): 4] potong tangan terhadap pencuri [Al-Maidah (5): 38] dan sebagainya. Begitu juga terdapat banyak perintah dalam hadis untuk menghukum pesalah seperti membunuh orang yang murtad, merejam penzina muhsan, menyebat peminum arak dan sebagainya.

Dalil-dalil dalam hal ini adalah bersifat mujmal (lebih dari satu makna) yang mewajibkan pelaksanaan uqubat (hukuman) ke atas pesalah, tanpa menjelaskan siapakah pihak yang ditaklifkan untuk melaksanakan uqubat tersebut. Justeru, berdasarkan kaedah usul, dalil-dalil mujmal ini memerlukan dalil-dalil mubayyan (penjelasan) agar dapat difahami dan diterapkan dengan benar.

Melalui hadis-hadis dan juga Ijma’ as-Sahabat, kita akan dapati banyak penjelasan mengenai sifat mujmal ini, yang menunjukkan dengan jelas bahawa uqubat itu dilaksanakan oleh pemerintah dengan kaifiyat (tatacara) hukuman yang bersesuaian dengan setiap kesalahan. Dengan kata lain, pelaksana uqubat itu bukannya mana-mana individu atau kumpulan atau jemaah, tetapi merupakan pemerintah. Di antara nas-nas yang menjelaskan (mubayyan) nas-nas yang mujmal ini ialah firman Allah (swt);

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka” [TMQ al-Ma’idah (5): 49].

Ayat ini dan banyak lagi ayat lainnya yang telah memberikan mafhum dalam topik ini, yang menjelaskan (mubayyan) bahawa Rasulullah (saw) adalah orang yang ditaklif (dibebani) dengan penerapan dan pelaksanaan hukum-hukum. Seruan Allah (swt) kepada Rasulullah (saw) dalam memutuskan perkara (hukum) merupakan seruan/perintah Allah ke atas baginda atas kapasiti sebagai ketua negara (pemerintah) yang sekali gus bertindak sebagai Qadhi (hakim). Dengan kata lain, ia juga merupakan seruan kepada setiap pemerintah yang datang sesudah baginda, untuk memutuskan segala perkara menurut hukum Allah (swt).

Hal ini berdasarkan kaedah usul yang menyatakan bahawa خطاب الرسول خطاب لامته ما لم يرد دليل يخصص به (“Seruan kepada Rasul adalah juga seruan kepada umatnya selama tidak ada dalil yang mengkhususkannya”) dan ia berjalan sesuai dengan ketentuannya. Jika seruan kepada Rasul tersebut adalah dalam masalah pemerintahan, maka seruan itu juga adalah termasuk untuk para Khalifah setelah baginda dalam masalah pemerintahan, selama tidak ada dalil yang mengkhususkan untuk baginda.

Dalam hal penerapan dan pelaksanaan hukuman ini ternyata tidak ada dalil yang mengkhususkan seruan tersebut hanya kepada Rasulullah (saw). Oleh yang demikian, pihak yang diseru (diperintahkan) dan ditaklif untuk menerap dan melaksanakan hukum-hukum Islam adalah para pemerintah, yang sewajibnya memerintah dengan Islam, sebagaimana Rasulullah (saw) memerintah dengan Islam.

Dalil-dalil Mubayyan

Terdapat banyak hadis di mana para pesalah telah dibawa ke hadapan Nabi (saw) dan para Khalifah (selaku ketua negara) untuk dibicarakan dan dihukum. Muslim telah mengeluarkan dari Anas bin Malik;

“Didatangkan kepada Nabi (saw) seorang lelaki yang telah meminum khamr, lalu baginda menyebatnya dengan dua batang tongkat sebanyak 40 kali”. Anas bin Malik berkata, ‘Hal yang sama dilakukan oleh Abu Bakar (ketika menjadi Khalifah). Manakala ketika Umar (menjadi Khalifah), beliau meminta masukan daripada orang ramai, Abdurrahman berkata, ‘Had (untuk peminum khamr) yang paling ringan ialah 80 kali’, lalu Umar memerintahkannya.”

Al-Baihaqi telah mengeluarkan dari Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid;

“Seorang lelaki memberitakan kepada Nabi (saw) bahawa anaknya telah berzina dengan isteri seseorang. Maka Rasulullah (saw) bersabda, ‘Sungguh aku akan putuskan di antara kalian berdua dengan Kitabullah.’ Maka baginda menyebat anak kepada lelaki tersebut seratus kali dan mengasingkannya selama satu tahun. Baginda kemudiannya memerintahkan Unais agar menemui wanita tersebut, jika dia mengaku, maka agar Unais merejamnya, lalu wanita itu mengakuinya dan Unais pun merejamnya.”

Abu Daud telah mengeluarkan dalam Sunannya, dari Safwan bin Umayyah, ia berkata;

“Aku tidur di masjid, aku memiliki baju berharga tiga puluh dirham, lalu datang seorang lelaki dan ia mencurinya dariku. Lelaki itu ditangkap dan dibawa kepada Rasulullah (saw), lalu baginda memerintahkan agar dipotong tangannya…”

Terdapat banyak kes pada masa Khulafa’ ar-Rasyidin di mana pesalah hanya dijatuhkan hukuman setelah dibawa ke hadapan Khalifah (atau wakilnya) merangkap sebagai Qadhi. Abu Daud ath-Thayalisi telah mengeluarkan di dalam Musnadnya dari Hudhayn Abi Sasan ar-Raqasyi, ia berkata;

“Aku mendatangi Utsman bin Affan (sewaktu beliau menjadi Khalifah) dan kepadanya didatangkan al-Walid bin ‘Uqbah yang telah meminum khamr dan disaksikan oleh Humran bin Aban dan seorang lelaki lain. Maka Utsman berkata kepada Ali, ‘laksanakan had ke atasnya…’”

Abu Bakar mengambil keputusan untuk membunuh orang-orang murtad ketika mereka mengingkari pembayaran zakat. Ibn Hibban telah mengeluarkan di dalam kitab Sahihnya, dari Abu Hurairah, ia berkata;

“Ketika Rasulullah (saw) wafat dan Abu Bakar diangkat menggantikan baginda (sebagai ketua negara), kemudian ramai orang daripada kalangan Arab telah kafir (kerana mengingkari zakat), lalu Abu Bakar memerangi mereka. Abu Bakar berkata; ‘Demi Allah aku akan perangi orang yang membezakan antara solat dan zakat. Zakat adalah hak harta. Demi Allah seandainya mereka enggan memberiku apa yang dahulunya mereka berikan kepada Rasulullah (yakni zakat), pasti aku perangi mereka atas keengganan mereka itu.”

Demikianlah sesuai dengan kaedah usul, sebagaimana dalil khusus itu menjadi pemutus atas dalil umum, dan dalil muqayad menjadi pemutus atas dalil mutlak, begitulah juga dengan dalil mubayyan menjadi pemutus atas dalil mujmal. Amat jelas bahawa pihak yang ditaklifkan untuk melaksanakan uqubat (baik qisas, hudud, ta’zir atau mukhalafat) adalah pemerintah yang memerintah dengan hukum Islam, yakni seorang Khalifah. Ini merupakan ketetapan berdasarkan perkataan mahupun perbuatan Rasulullah dan apa yang dijalani oleh Khulafa’ ar-Rasyidin, sebagaimana yang terdapat dalam nas-nas di atas. Sesungguhnya hal ini (pelaksanaan uqubat oleh pemerintah dan bukan selainnya) sudah amat masyhur di sepanjang era pemerintahan Khilafah Islamiyyah.

Tidak pernah ditemukan riwayat, baik di zaman Rasulullah mahupun di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin bahawa terdapat mana-mana orang atau kumpulan yang melaksanakan hukuman ke atas pesalah tanpa dibawa ke hadapan ketua negara (atau Qadhi) terlebih dahulu. Juga tidak pernah ditemukan riwayat bahawa terdapat pesalah yang “dikerjakan” terlebih dahulu oleh para Sahabat sebelum dibawa ke hadapan Rasulullah atas alasan “ingin mendidik”. Para Sahabat memahami bahawa taklif (bebanan) hukum dari segi pelaksanaan uqubat terletak di bahu pemerintah, atau wakilnya, atau Qadhi yang dilantik oleh pemerintah.

Kesimpulannya, pelaksanaan uqubat itu adalah bergantung pada keputusan pengadilan setelah terbukti dengan pembuktian yang syarie. Maksud pengadilan adalah pemberitahuan keputusan hukum yang bersifat mengikat. Sifat mengikat ini bererti adanya satu ‘kekuasaan’ yang mengikat orang yang bersengketa atau pesalah, dengan suatu keputusan. ‘Kekuasaan’ ini bermaksud pemerintah, yakni pemerintah yang menegakkan hukum Allah dan yang mewajibkan kaum Muslimin yang berada di bawah pemerintahannya untuk terikat dengan hukum Allah. Atas dasar itu, uqubat itu tidak dilaksanakan kecuali oleh pemerintah yang menegakkan syariat Allah.

Selain itu, perlu difahami bahawa fungsi uqubat dalam Islam ialah sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus dosa). Fungsi zawajir akan menjadikan pesalah tersebut serik dan orang lain yang ingin melakukan kesalahan yang sama akan merasa takut untuk melakukannya, manakala fungsi jawabir akan menjadikan pesalah tersebut bebas dari dosa di hari kiamat apabila uqubat ke atasnya telah dilaksanakan di dunia.

Ada pun hukuman sivil sebagaimana yang diamalkan di Malaysia mahupun di negara kaum Muslimin lainnya saat ini, yang seratus peratus bercanggah dengan uqubat Islam, maka fungsi jawabir tidak terwujud sama sekali, meskipun ada kemungkinan wujudnya sedikit fungsi zawajir. Dengan kata lain, pesalah yang dihukum dengan hukuman sivil tidak akan terampuni dosanya di akhirat kelak, selain dosa besar yang ditanggung oleh pemerintah dan hakim yang berhukum dengan selain hukum-Nya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Inilah peri pentingnya untuk umat Islam berhukum dengan segala hukum Allah dan dengan uqubat Islam, yang bukan sahaja akan mendatangkan pahala kepada siapa sahaja yang berhukum dengannya, malah akan menjadi penebus dosa di akhirat kepada mereka yang telah dihukum atas kesalahan yang mereka lakukan di dunia. Dalam keadaan tidak ada Khilafah, dan tidak ada hukum Islam yang diterapkan pada hari ini, sedangkan berhukum dengan syariah Allah itu adalah wajib, maka menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk berjuang, dengan perjuangan yang benar, serius dan bersungguh-sungguh, untuk menegakkan kembali Khilafah agar kita semua dapat hidup di bawah naungan syariat Allah dan kesemua pesalah dapat dihukum dengan hukum-Nya yang penuh dengan keadilan dan keberkatan.

Wallahu a’lam

 

Download PDF