SN611 – Adakah Malaysia Sebuah Negara Islam?

SN611

05 Ogos 2022 M / 07 Muharam 1444 H

 

Hijrah Rasulullah (saw) dari Mekah ke Madinah dengan makna hakiki dan syarienya iaitu keluar dari Dar al-Kufur (Negara Kufur) menuju Dar al-Islam (Negara Islam), tidak sewajarnya dibincangkan jika tidak dikaitkan dengan situasi dan realiti hari ini dari sudut ada atau tidak Negara Islam. Hijrah Rasulullah (saw) bukanlah perkara main-main, sebaliknya merupakan sebuah perkara besar yang mengandungi pelbagai hukum yang wajib diteladani oleh umat Islam sampai kiamat. Antara pembahasan hukum yang sangat penting daripada peristiwa hijrah ialah pembentukan sebuah Negara Islam. Pembahasan mengenai Negara Islam ini tidak pernah lekang daripada bibir para ulama sejak dulu hingga kini, yang sekali gus menggambarkan kepentingannya.

Justeru, setiap Muslim seharusnya peka, malah wajib terlibat dalam pembahasan dan penentuan sesebuah negara yang wujud pada hari ini, sama ada merupakan negara Islam atau bukan. Setiap Muslim seharusnya mengkaji dan meletakkan satu pendirian sama ada negara yang mereka diami saat ini tergolong dalam Negara Islam atau tidak. Mereka tidak seharusnya menelan bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh orang lain, sebaliknya wajib mengkaji berdasarkan ukuran atau piawai yang benar mengenai status sesebuah negara sama ada termasuk Negara Islam atau tidak. Apa lagi piawai yang benar jika bukan dalil? Apa lagi piawai yang benar jika tidak merujuk kepada Rasulullah sebagai teladan yang mendirikan dan meletak dasar sebuah Negara Islam?

Asal Kemunculan Dan Makna Sekularisme

Untuk memahami status negara Malaysia, fakta yang cukup mudah untuk difahami ialah Malaysia dijajah oleh British dan British merupakan salah sebuah negara Eropah yang mengamalkan sistem sekular. Bangsa Eropah telah melalui sejarah panjang berada dalam zaman kegelapan (dark ages) tatkala mereka diperintah oleh golongan bangsawan di mana segala peraturan hidup ditentukan oleh gereja.

Tidak ada siapa dibenarkan melawan gereja kerana keputusan gereja dikatakan sebagai keputusan Tuhan. Siapa sahaja yang melawan atau mempunyai pendapat yang berbeza dengan gereja akan dihukum, malah ada yang dibunuh. Atas dasar itu bangkitlah golongan cendekiawan yang tidak berpuas hati dengan gereja dan dalam masa yang sama berusaha melawan penindasan oleh golongan bangsawan. Hasil daripada perjuangan selama ratusan tahun, golongan cendekiawan memenangi perlawanan dengan gereja hingga akhirnya mereka mencapai kata sepakat (kompromi) untuk memisahkan agama daripada kehidupan.

Bermula daripada sinilah, bangsa Eropah tidak lagi memakai hukum-hukum agama (yang ditentukan oleh gereja) dalam kehidupan mereka. Dengan kata lain mereka telah memisahkan agama daripada kehidupan. Inilah asal-muasal lahirnya pemisahan agama daripada kehidupan (sekularisme), yang merupakan akidah kepada ideologi kapitalisme ciptaan Barat. Inilah makna sebenar sekular iaitu faslu deen anil hayah (pemisahan agama daripada kehidupan). Bangsa Eropah tidak menolak agama, tetapi ruang lingkup agama hanya disempitkan di gereja dan dalam ranah individu sahaja. Agama tiada tempatnya dalam kehidupan bermasyarakat apatah lagi bernegara.

Setelah mereka menolak gereja (hukum-hukum agama) daripada mengatur kehidupan, maka sekarang mereka terpaksa membuat peraturan sendiri, menentukan apa yang baik dan buruk, menentukan perbuatan yang terpuji dan tercela, dan apa sahaja hukuman bagi para pesalah, berdasarkan akal mereka sendiri. Oleh kerana mustahil untuk semua orang terlibat, mahu pun akal mereka untuk sepakat membuat peraturan yang sama, maka mereka memutuskan untuk mengambil suara majoriti sebagai penentu kepada segala peraturan. Dari sinilah lahirnya sistem demokrasi, sebuah sistem yang memberikan hak kepada manusia untuk membuat peraturan, sekali gus menafikan peranan agama dalam pemerintahan.

Apabila bangsa Eropah menjajah dunia Islam, maka sistem inilah yang mereka bawa dan paksakan ke atas kaum Muslimin. Mereka memaksakan sistem pemerintahan yang memisahkan agama daripada kehidupan, di setiap tanah jajahan mereka. Islam diletakkan di masjid-masjid, sebagaimana mereka meletakkan agama Kristian mereka di gereja-gereja, dan Islam tidak boleh masuk campur dalam urusan pemerintahan. Inilah yang mereka ajarkan kepada kaum Muslimin di negara jajahan mereka. Hasilnya terbentuklah sebuah negara sekular yang mengikut acuan Barat. Malaysia sebagai sebuah tanah jajahan British tidak terkecuali menjadi sebuah negara sekular.

Malaysia: Negara Islam Atau Sekular?

Tidak dinafikan bahawa berlakunya perbezaan pandangan sama ada Malaysia termasuk Negara Islam atau tidak, adalah disebabkan definisi atau kriteria yang digunakan. Banyak pihak memberikan definisi yang longgar tanpa bersandar kepada nas bahawa sekiranya pemimpin dan majoriti penduduk sesebuah negara adalah Muslim, maka negara tersebut adalah Negara Islam. Ada juga yang hanya bersandar kepada kewujudan banyak masjid dan institusi keIslaman seperti Baitul Mal, Pusat Zakat, Bank Islam, Universiti Islam, Mahkamah Syariah dan sebagainya, yang menjadikan sesebuah negara itu Negara Islam.

Golongan cendekiawan pula sering merujuk kepada Perkara 3 Perlembagaan, yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, lalu dengan mudah menafsirkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Manakala cendekiawan lain yang kelihatan lebih bijak berpandangan bahawa Malaysia bukanlah Negara Islam dan bukan juga negara sekular, kerana status negara tidak pernah dinyatakan dalam Perlembagaan. Ada sebahagian lain pula menyifatkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang sekular. Demikianlah perbezaan pendapat yang wujud mengenai status Malaysia.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perlembagaan memainkan peranan penting dalam menentukan status sesebuah negara. Malah, proses pembentukan perlembagaan itu sendiri sebenarnya dapat menggambarkan negara yang bakal lahir itu seperti apa. Fakta bahawa perlembagaan Malaysia dibuat oleh penjajah, itu sendiri sebenarnya telah memustahilkan hakikat Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Mana mungkin penjajah yang kafir dan anti Islam itu boleh membuat satu perlembagaan untuk mewujudkan sebuah Negara Islam di tanah jajahannya?

Perlembagaan Malaysia dihasilkan oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid (Hakim terkenal United Kingdom), Sir Ivor Jenning (Profesor Undang-undang Perlembagaan Britain), Sir William McKell (Gabenor Jeneral Australia), Mr. B. Malik (Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Allahabad India), Mr. Justice Abdul Hamid (Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan), yang kesemuanya merupakan pakar dalam perlembagaan sekular. Walaupun terdapat dua orang Muslim dalam Suruhanjaya tersebut, tetapi ia tidak memberi apa-apa makna kerana kedua-duanya berpendidikan British.

Sejarah pembentukan perlembagaan Malaysia menyaksikan sebuah memorandum bersama dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid oleh Parti Perikatan, yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman, yang terhasil daripada rundingan antara UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1956. Memorandum tersebut menggariskan prinsip-prinsip umum persetujuan antara pemimpin kaum di Malaysia, yang sekali gus mewakili visi, harapan dan aspirasi pemimpin Perikatan dalam pembentukan sebuah negara baru yang “merdeka”.

Cadangan-cadangan yang dinyatakan dalam memorandum Perikatan setebal 20 muka surat itu telah dibahaskan secara mendalam dan tertutup antara pemimpin UMNO, MCA dan MIC selama 5 bulan, yang mana daripada kesepakatan itulah terbentuk apa yang dikenali sebagai “kontrak sosial” antara kaum di Malaysia. Berhubung isu agama, memorandum tersebut telah mencadangkan terma berikut kepada Suruhanjaya Reid:

“Agama Malaysia ialah Islam. Pematuhan kepada prinsip ini tidak boleh menjejaskan warganegara bukan Islam yang menganut dan mengamalkan agama mereka, dan tidak akan membawa implikasi bahawa negara ini tidak sekular.” [Political Testament of the Alliance:  Memorandum by Tunku Abdul Rahman for the Reid Commission” 25th September 1956 Co 889/6, ff219-239, A. J. Stockwell (HMSO), 1995 ms 307 & 316].

Dengan kata lain, pemimpin UMNO, MCA dan MIC telah sepakat untuk menjadikan negara ini sebagai negara sekular. Konferens London pada 13-21 Mei 1957 menjadi peringkat seterusnya dalam perkembangan pembentukan perlembagaan untuk Tanah Melayu. Raja-raja Melayu dan Perikatan sekali lagi menghantar 4 orang wakil, yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman. Sejurus selepas konferens tersebut, kerajaan British mengeluarkan Kertas Putih pada bulan Jun 1957 yang mengandungi “Cadangan Perlembagaan Untuk Kemerdekaan Malaya”. Perenggan 57 memperuntukkan mengenai agama Persekutuan yang berbunyi:

“Telah dimasukkan pengisytiharan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Ini sama sekali tidak akan menjejaskan kedudukan Persekutuan sekarang sebagai sebuah negara sekular, dan setiap orang akan mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya sendiri, dan hak untuk menyebarkan agamanya, walaupun hak terakhir ini tertakluk kepada sebarang sekatan yang dikenakan oleh undang-undang negeri yang berkaitan dengan penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.”

Sungguh banyak lagi bukti sejarah lainnya dalam pembentukan perlembagaan yang meletakkan dengan jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Manakala dari segi perundangan, kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55, merupakan sebuah kes yang relevan untuk dijadikan rujukan. Walaupun terdapat cerdik pandai undang-undang yang cuba menafsirkan kes ini sebagai tidak mutlak dalam menggambarkan kedudukan Islam dalam perlembagaan, hakikatnya kes ini tidak pernah dicabar untuk disemak semula. Jadi keputusan dan penghakiman Tun Salleh Abas dalam kes ini masih tetap kekal.

Dalam menafsirkan Perkara 3 (1) perlembagaan, Tun Salleh Abas menyatakan: “Untuk tujuan ini, adalah perlu untuk melihat kembali sejarah Islam di negara ini selepas campur tangan British ke atas hal-ehwal negeri-negeri Melayu di akhir abad yang lepas.” Selepas menceritakan bagaimana British memisahkan Islam daripada pemerintahan negara dan menjadikan negara ini sekular, Salleh Abbas kemudian menyatakan:

“Oleh itu, dapat disaksikan bahawa semasa era penjajahan British, melalui sistem pemerintahannya secara tak langsung dan melalui penubuhan sebuah institusi sekular, undang-undang Islam telah dipisahkan dan disempitkan kepada undang-undang perkahwinan, perceraian dan harta pusaka sahaja….Pada pandangan kami, dalam suasana kontra inilah, para penggubal rangka Perlembagaan memahami maksud ‘Islam’ dalam konteks Perkara 3 (1). Jika tidak demikian, sudah tentu ada peruntukan lain di dalam Perlembagaan yang membawa kesan bahawa mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan hukum Islam akan terbatal. Jauh dari membuat peruntukan sebegini, Perkara 162 malah dengan sengaja menjaga kelangsungan undang-undang sekular yang wujud sebelum Perlembagaan lagi, di mana undang-undang Islam akan terbatal jika bertentangan dengan undang-undang sekular.”

Penghakiman sebulat suara oleh 5 orang hakim dalam kes tersebut amat jelas dan tanpa ragu menyatakan bahawa sejarah pembentukan perlembagaan dan negara ini adalah atas asas sekular, dan kekal sekular hingga kini, yang mana kedudukan Islam hanyalah sebagai agama ritual semata-mata dan berada lebih rendah berbanding undang-undang sekular.

Khatimah

Berdasarkan nas, bukti sejarah dan bukti empirik, Malaysia bukanlah Negara Islam. Walaupun ada pihak yang cuba menafikan, namun ia tetap tidak akan merubah hakikat bahawa negara ini telah dibina atas asas sekularisme, dan masih kekal sekular. Perlu difahami bahawa kita bukanlah mengungkapkan fakta yang menyedihkan ini dengan niat buruk, namun kita ingin merubah fakta ini. Kita ingin mencampakkan keseluruhan sistem dan undang-undang sekular yang berasal dari Barat yang telah sekian lama mencengkam negara ini, dan seterusnya menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Islam (Khilafah) – sebuah negara yang menerapkan Al-Quran dan As-Sunnah secara kaffah, yang sesungguhnya menjadi kewajipan atas kita untuk mendirikannya.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF