SN629 – Eidul Fitri 1444 H: Penyatuan 1 Syawal Hanya Dengan Khilafah

Bil: SN629 (PDF) – 26 Ramadhan 1444 / 17 April 2023

Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan jatuh pada hari Jumaat atau Sabtu? Inilah antara polemik di kalangan rakyat Malaysia ketika ini – takut kalau ‘Raya Terkejut’ seperti tahun  lepas berlaku lagi di mana ramai tidak sempat membuat persediaan raya. Malah di rantau yang sama pada tahun lepas, Singapura berhari raya lewat sehari walaupun jarak antara Malaysia dengan Singapura lebih kurang 2 km sahaja.  Persoalan mengenai isu ini turut ditujukan kepada para ulama – Jabatan Mufti Selangor menjangkakan puasa tahun ini adalah 30 hari dan ini nampaknya berbeza dengan keputusan JAKIM yang akan menentukan tarikh Hari Raya hanya melalui rukyah dan imkanur rukyah. Dalam keadaan sebegini, bagaimana seharusnya kita menentukan 1 Syawal menurut kehendak syarak?

        Hakikatnya, masalah ini muncul kerana masing-masing negara kaum Muslimin menerapkan kaedah berbeza-beza dalam menentukan tarikh puasa dan Aidilfitri. Sekiranya ada yang menggunakan kaedah rukyah, ada pula negara kaum Muslimin yang lain enggan menerima atau mengakui berita rukyah dari negara lain. Umat Islam di Malaysia sudah berkali-kali dinasihatkan untuk mentaati keputusan kerajaan tidak kira apa jua keputusan rukyah negara lain walaupun jarak negara tersebut tidak sampai pun satu hari perjalanan. Sehingga hari ini, setiap negara umat Islam tetap berpegang dengan keputusan masing-masing dalam penetapan hari raya oleh pemerintah negara tersebut.

        Sedangkan di masa lalu, semasa umat Islam masih berada di bawah naungan Khilafah, mereka bersatu dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri walaupun berbagai wilayah terpisah dengan jarak yang amat jauh. Semasa di bawah naungan Khilafah Uthmaniyyah, umat Islam di Istanbul, Kaherah, Mekah dan Baghdad menyambut Aidilfitri secara serentak [rujuk al-Darr al-Mukhtar wa Radd al Muhtar, jilid 2, ms 131-132].

        Setelah runtuhnya Daulah Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924 yang lalu, umat Islam telah terpecah kepada lebih 50 buah negara dengan kedaulatan masing-masing. Sejak itu, pelbagai hujah digunakan untuk mempertahankan “sempadan assabiyyah dan wataniyyah” yang dibentuk oleh imperialis kafir sehingga masing-masing mengambil kaedah sendiri dan enggan menerima bukti rukyah dari yang lain dalam menetapkan Ramadhan atau Syawal.

        Antara hujah yang kerap diketengahkan adalah berdasarkan “perbezaan matla’”. Namun hakikatnya, dengan kemajuan sistem pengangkutan dan telekomunikasi hari ini, hujah perbezaan matla’ (perbezaan wilayah dalam melihat anak bulan) sudah agak tidak relevan lagi. Berita mengenai pencerapan hilal di mana-mana lokasi boleh disampaikan ke seluruh dunia dengan sekelip mata! Sebenarnya, dalil penetapan puasa dan Hari Raya bersandar kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Berpuasalah kalian apabila melihat hilal (anak bulan), dan berbukalah (Aidilfitri) kalian apabila melihat hilal. Dan jika hilal itu tertutup dari (penglihatan) kalian, maka sempurnakanlah (genapkanlah) bilangan bulan Sya’ban itu 30 hari.” [HR Bukhari dari Abu Hurairah]

        Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa penentuan Ramadhan (dan Syawal) bergantung kepada samada hilal kelihatan atau tidak. Sekiranya hilal tidak kelihatan, maka digenapkan bulan Sya’ban (atau Ramadhan) kepada 30 hari. Pengiraan astronomi dalam menentukan kedudukan hilal tidak boleh dijadikan sebagai dalil untuk menentukan tarikh mula berpuasa atau permulaan Aidilfitri. Meskipun pengiraan kedudukan hilal boleh membantu pencerapannya, namun ia tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai sandaran untuk menegakkan hukum syarak. Penentuan mula Ramadhan dan Syawal wajib disandarkan kepada rukyah hilal secara pasti dan bukannya pengiraan astronomi.

        Berdasarkan kejelasan dalam memahami dalil ini dan kecanggihan sistem komunikasi zaman moden, penentuan Ramadhan dan Syawal secara global (rukyah global) bukanlah suatu yang rumit. Namun demikian, apakah sebenarnya yang menghalang para pemerintah kaum Muslimin hari ini untuk bersetuju dalam menyambut Ramadhan dan Syawal pada hari yang sama? Hakikatnya, bukanlah masalah rukyah mahupun teknologi komunikasi yang menjadi pokok permasalahan.

        Permasalahan utama kepada polemik menyambut puasa dan Hari Raya yang berbeza-beza di seluruh dunia Islam adalah disebabkan sandaran setiap negara kepada kedaulatan negara bangsa masing-masing serta sempadan assabiyyah dan wataniyyah yang memecah-belahkan kaum Muslimin. Keterikatan aqidah antara sesama kaum Muslimin di negara manapun mereka berada tidak lagi menjadi asas penyatuan. Amat menyedihkan melihat setiap negara menganggap mereka benar dalam keputusan mereka – atas dasar assabiyyah – meskipun mereka mengatakan setiap Muslim itu bersaudara. Sempadan negara bangsa ciptaan kuffar kolonialis telah benar-benar menancap di dalam jiwa umat Islam hatta dalam isu mudah seperti penentuan puasa dan Hari Raya.

        Namun begitu, memang telah ada usaha dan kerjasama antara negara kaum Muslimin di Asia Tenggara dalam menyelesaikan masalah penentuan puasa dan Hari Raya. MABIMS (singkatan kepada Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura) telah diusahakan namun sehingga hari ini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan. Kegagalan MABIMS hakikatnya, adalah disebabkan oleh usaha yang tidak berpijak pada kesatuan umat Islam sebenar. MABIMS masih bersandar kepada konsep negara bangsa yang merupakan bingkai asas permasalahan yang cuba diselesaikan!

        Nampaknya dalam suasana ini, kaum Muslimin di Malaysia masih menunggu samada Hari Raya yang akan tiba selang beberapa hari lagi adalah ‘raya terkejut’ seperti tahun lepas.  Apapun, selama mana kaum Muslimin dipisahkan oleh sempadan negara bangsa, selama itulah masalah sekecil penentuan puasa dan Aidilfitri akan terus wujud – apatah lagi masalah besar seperti penyatuan hakiki umat Islam!

        Hakikatnya, segenap permasalahan umat Islam hanya akan dapat diselesaikan secara tuntas dengan tertegaknya Daulah Khilafah. Dengan menyatukan umat Islam di bawah payung kekhilafahan, segala keresahan dan perbezaan mengenai urusan kaum Muslimin akan dapat diselesaikan. Kaedah syarak menyatakan bahawa ‘amrul Imaam yarfaul khilaf’ (perintah  seorang Imam/Khalifah akan menghilangkan perbezaan/perselisihan).

        Oleh itu, dengan tegaknya Khilafah, masalah seperti penentuan permulaan Syawal untuk seluruh umat Islam, termasuk di Malaysia akan dapat diselesaikan dengan mudah. Satu hilal, di mana sahaja ia dilihat, sudah cukup untuk menyelaraskan Aidilfitri di seluruh dunia. Umat Islam adalah umat yang satu –  satu tubuh, satu kitab, satu aqidah, satu kiblat dan beriman kepada Allah SWT Yang Maha Esa – sewajarnya kita menyambut 1 Syawal pada masa yang sama!! Semoga Allah SWT menyegerakan berdirinya Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah!


KOLUM SIYASAH

Al-Aqsa Dalam Kepungan – Bila Pembebas dan Pelindung Yang Berani Akan Tiba?

        Keganasan terbaru yang dilakukan oleh tentera zionis terhadap penduduk awam di Palestin yang sedang menjalani ibadah di bulan Ramadhan merupakan episod berulang yang berlaku saban tahun dan telah mengakibatkan kecederaan, kematian dan kemusnahan. Sekalipun diasak, ini langsung tidak menggentarkan hati penduduk Palestin untuk terus keluar memprotes dan mempertahankan hak mereka dengan kemampuan yang ada. Di mana para pelindung manusia? Di manakah keghairahan orang beriman? Bukankah sudah tiba masanya laungan takbir di Masjid Al-Aqsa menggegarkan hati tentera Islam? Bukankah sudah tiba masanya jeritan dan tangisan kaum wanita dan anak-anak di tanah yang berkati ini menggoncang tiang-tiang pengkalan tentera di seluruh dunia Islam?

        Jawablah persoalan ini wahai kaum Muslimin! Demi Allah (swt), bilakah kalian akan bangun dan bergerak? Bilakah semangat untuk Islam dan melindungi orang-orang Mukmin akan meletus dalam diri kalian? Jika Al-Masjid Al-Aqsa tidak membangkitkan kalian, maka apakah lagi yang boleh membangkitkan semangat kalian?

  • Wahai tentera Mesir! Tidakkah ada di antara kalian seorang perwira seperti al-Zahir Rukn al-Din Baybars atau Salahuddin, yang telah menempa sejarah sebagai para mujahid yang membebaskan Baitul Maqdis?
  • Wahai skuadron elit tentera Jordan! Apakah tidak muncul dalam jiwa kalian keghairahan yang bisa menggerakkan kalian untuk melindungi kaum wanita dan anak-anak di halaman Masjid Al-Aqsa?
  • Apakah yang menghalang kalian wahai tentera Turki daripada membebaskan Masjid Al-Aqsa, sedangkan kalian bebas melakukan operasi ketenteraan di Syria?
  • Apakah yang membelenggu kalian wahai tentera Pakistan daripada menyelamatkan bumi Isra’ Rasulullah (saw), sedangkan kalian bebas terlibat membantu operasi ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat memerangi umat Islam sendiri?
  • Apa masalah yang membelenggu kalian wahai tentera wilayah Hijaz daripada melindungi kiblat pertama umat Islam sedangkan kalian bebas mengganyang orang-orang Islam di Yaman?
  • Wahai tentera kaum Muslimin! Umat ini merintih mengharapkan bantuan kalian sejak sekian lama dan tidak akan meminta bantuan dari pihak lain.

        Lantas, mengapa kalian tidak menyahut tangisannya dan menyahut seruan Allah (swt) sepertimana firmanNya:

“…Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya…” [Al-Anfaal 8:72]

        Inilah antara seruan rakyat Palestin yang bergema di Al-Aqsa. Namun, para pemimpin dunia Islam terus beretorik dengan kecaman dan sidang kemuncak tanpa iltizam politik yang murni dan bersungguh-sungguh untuk membebaskan Palestin. Malah sebahagian pemimpin dunia Islam tanpa segan silu terus melakukan normalisasi hubungan diplomatik dan merancakkan perdagangan dengan negara haram Israel.

        Sungguh malang apabila  ramai pemimpin dunia Islam yang menyokong penyelesaian dua-negara (two-state solution) yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) dengan sokongan PBB. Adakah mereka buta dan pekak dengan kejahatan AS dan pengkhianatan PBB? Merekalah pada hakikatnya yang terus mengekalkan keberadaan entiti haram Yahudi ini serta memecah belahkan umat Islam dan menghalang kesatuannya. Cukuplah umat Islam dipermainkan oleh para pemimpin yang meletakkan kepentingan dunia melebihi tuntutan Yang Maha Pencipta.

        Kaum Muslimin harus sedar bahawa bumi Palestin yang diberkati merupakan milik umat Islam yang telah dirampas dan sedang dijajah oleh musuh Islam. Umat Islam seharusnya secara ikhlas dan bersungguh-sungguh melihat permasalahan Palestin dari perspektif Islam. Umat Islam harus sedar bahawa penyelesaian kepada masalah ini harus di lihat dari puncanya –  tanah suci Palestin telah dirampas dan dijajah oleh rejim zionis dengan bantuan kaum kuffar.

        Kita harus sedar bahawa hanya dengan jihad sahajalah tanah suci Palestin akan dapat dibebaskan dari penjajahan dan kekejaman rejim zionis Yahudi. Itulah cara yang telah dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi ketika membebaskan tanah suci Palestin. Hakikatnya, bagi mencapai tujuan tersebut kita memerlukan Daulah Khilafah Islamiyyah yang diperintah oleh seorang Khalifah berdasarkan hukum-hakam Islam secara keseluruhan. Dengan adanya Daulah Khilafah, jihad akan dilancarkan untuk membebaskan tanah suci Palestin.

“Sesungguhnyanya al-Imam (khalifah) itu perisai, dimana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.” [HR. Al-Bukhari]