SN643 – Halatuju 2024: Hanya Ekonomi Islam Memenuhi Harapan

Bil: SN643 (PDF/Print) – 19 Jamadilakhir 1445 / 3 Januari 2024

Tahun 2024 membuka tirai dengan laungan tekad kerajaan yang komited untuk terus meningkatkan tahap ekonomi negara. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX) bertekad untuk menumpukan segenap usahanya ke arah meningkatkan ekonomi agar dapat memberikan kehidupan sejahtera kepada rakyat sambil menjadikan Malaysia negara yang berdaya saing. Ini dapat difahami daripada kenyataan beliau di dalam program Sesi Dialog Perdana Menteri Bersama Ketua Pengarang Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian pada 23 Disember 2023 yang lepas [Sinar Harian 23/12/23]. PMX berazam untuk memberi fokus kepada usaha membawa masuk lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara. Perkara yang akan diberi perhatian juga adalah aspek kestabilan politik dalam negara bagi memastikan segala perancangan pembangunan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik pada tahun ini dapat berjalan lancar. Pendek kata, agenda paling utama bagi kerajaan pada tahun 2024 adalah memajukan ekonomi negara.

          Bagi rakyat, laungan tekad seperti ini sudah menjadi kebiasaan dan bukanlah suatu yang luar biasa. Ini kerana mereka telah melihat berbagai janji yang hampir sama dilaungkan semasa pemerintahan beberapa Perdana Menteri sebelum ini. Hakikatnya, apa yang penting bagi rakyat adalah pendapatan yang cukup untuk terus bertahan di dalam desakan hidup yang segalanya memerlukan wang. Bagi sebahagian rakyat yang masih menyimpan harapan terhadap kerajaan yang ada, hasrat mereka tidak pernah pudar menantikan perubahan yang dijanjikan. Bahkan mereka amat yakin kerajaan berada di landasan yang tepat untuk membenteras rasuah, ketirisan dan penyelewengan dana awam serta meningkatkan usaha memudahkan pengurusan proses kemasukan pelaburan luar yang diharap akan meningkatkan ekonomi negara.

          Sudah tentu segala usaha positif ke arah membenteras sebarang penyelewengan di dalam jentera pentadbiran kerajaan, tidak kira apa pun bentuknya akan meningkatkan imej negara dan justeru akan melahirkan minat pelabur luar untuk datang melabur ke Malaysia. Persoalannya adalah: Adakah dengan kemasukan pelaburan asing ini tahap ekonomi rakyat akan  meningkat atau apakah ia akan hanya meningkatkan ekonomi negara secara kasar dan hanya menambah kekayaan golongan tertentu sahaja?

          Tidak kira banyak mana pun pelaburan dari luar yang dibawa masuk, golongan yang akan mendapat kesan secara langsung adalah golongan kapitalis atasan yang berpeluang bekerjasama dengan para pelabur. Setiap pelabur asing yang masuk ke negara ini sudah tentulah hendak mendapatkan keuntungan berlipat ganda berbanding melabur di tempat lain. Mereka akan menawarkan pelbagai manfaat kepada kerajaan sebagai balasan mahukan penjimatkan kos operasi, terutamanya keistimewaan dari segi sumber guna kuasa dan tenaga.

          Melihat kepada peraturan dan undang-undang yang digunakan untuk mengurus sektor ekonomi negara, masih belum terjamin bahawa kekayaan yang terhasil daripada kemasukan pelabur luar serta penambahbaikan tata kelola aktiviti ekonomi akan memberikan kehidupan yang lebih baik dan kesejahteraan menyeluruh kepada golongan bawahan. Kesan langsung yang ada adalah penghasilan lebih banyak peluang pekerjaaan dengan gaji yang biasa-biasa sahaja kecuali bagi mereka yang berkemahiran tinggi.  Hanya golongan yang memiliki kepintaran dan kesempatan sahaja akan berpeluang untuk mendapatkan gaji yang lebih lumayan. Bagaimana pula dengan golongan yang serba kekurangan, lemah fikiran, tidak berkeupayaan dan mereka yang memerlukan?  Walapun dengan tata kelola yang hebat dan dijaga rapi, sekiranya kerangka undang-undang dan sistem lama masih dikekalkan, rakyat akan hanya dapat melihat kekayaan dikecapi oleh golongan tertentu sahaja.

Jaminan di Dalam Sistem Ekonomi Islam

          Islam tidak menghalang sesiapapun samada Muslim atau non-muslim untuk memperoleh kekayaan sesuai dengan kemampuan dan kemahuan setiap individu. Bahkan Islam memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada mana-mana invididu yang hendak berjaya melalui aturan dan sistem yang telah tetapkan di dalam Islam. Selagi syara’ membenarkan, tiada had atau sekatan dikenakan kepada jumlah kekayaan yang mereka sanggup usahakan. Bagi mereka yang mempunyai kelebihan dan keinginan, sudah tentulah mereka mempunyai peluang lebih tinggi untuk berjaya untuk mendapatkan kekayaan. Apa lagi apabila sudah menjadi kaya-raya, sudah tentu mereka mempunyai kelebihan berlipat-kali ganda untuk mendapatkan lebih banyak kekayaan.

          Walabagaimanapun, Islam menetapkan jenis kekayaan yang boleh dimiliki dan diusahakan oleh para individu. Kekayaan seperti bahan galian, sumber air, tanah, hasil hutan dan lain-lain, dalam kuantiti yang sangat besar, hanya boleh dimiliki oleh rakyat dan diuruskan oleh negara.  Para pengusaha atau pelabur persendirian boleh diberikan kontrak oleh negara dalam pengurusan kekayaan seperti ini namun mereka tidak boleh memilikinya. Negara sebagai pengurus umum kekayaan tersebut wajib memastikan pengagihan hasil kekayaan tersebut dengan cara yang sesuai, cekap dan berkualiti kepada rakyat, sebagai pemilik sebenar kekayaan ini. Konsep ini dapat difahami dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Kaum Muslimin itu berkongsi di dalam tiga perkara iaitu padang rumput, air dan api.”

[HR Abu Daud]

          Hadis ini membawa maksud bahawa semua kekayaan yang dijana daripada ketiga-tiga unsur tersebut harus diagihkan kepada semua rakyat dengan nilai dan jumlah yang sepatutnya. Allah SWT juga berfirman:

“Apa sahaja harta rampasan (fai) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota, maka ianya adalah untuk Allah, untuk rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya”

[Al Hasyr: 7].

          Walaupun permulaan ayat ini menyentuh perihal harta fai’, ia juga mengandungi hukum umum dalam aspek hal-ehwal pengagihan kekayaan bagi masyarakat. Ayat ini tidak menghalang orang-orang kaya mendapatkan kekayaan yang lebih. Namun, ayat ini juga menerangkan bagaimana Islam memastikan bahawa golongan bawahan juga mendapat limpahan daripada kekayaan di dalam negara samada di dalam bentuk bantuan tunai, subsidi, aset, perkhidmatan dan lain-lain. Inilah kaedah bagaimana Islam menjamin keadilan di dalam ekonomi. Keadilan ekonomi yang dimaksudkan di sini bukanlah bermaksud pembahagian kekayaan sama rata berdasarkan kiraan matematik, tetapi keadilan ekonomi yang dimaksudkan adalah sistem ekonomi yang dapat membebaskan rakyat dari tekanan hidup yang  terhasil dari sistem kehidupan buatan manusia.

Kesimpulan

          Punca sebenar kepada pelbagai kesengsaraan manusia pada hari ini adalah kerana mereka tidak menjadikan Islam sebagai landasan kehidupan. Apabila manusia dibiarkan mencipta dan menerapkan sistem kehidupan berdasarkan pemikirannya yang lemah dan sempit, ketidak-adilan akan mendominasi sistem tersebut. Akibatnya, pelbagai masalah dan kekusutan akan timbul dan manusia akan terus menambal sulam permasalahan tanpa penyelesaian yang tuntas. Hanya dengan kembali kepada sistem yang datang dari Allah SWT, masalah ini akan dapat diselesaikan secara pasti. Namun, sistem ekonomi Islam tidak mungkin akan dapat dilaksanakan secara total tanpa adanya Daulah Khilafah atas jalan kenabian.


PEDULI PALESTIN

Palestin:
Rakyat Saudi Lebih Mendukung Palestin dari Pemerintahnya Sendiri

          Seperti yang kita ketahui, Arab Saudi dapat dianggap sebagai sekutu yang kuat dalam mendukung pembentukan entiti haram Yahudi berdasarkan tindakannya terhadap konflik yang berlaku di Gaza. Hal ini semakin diperkuat dengan pernyataan dari pemerintahnya yang akan melanjutkan upaya normalisasi dengan entiti haram Yahudi tersebut setelah konflik ini berakhir. Namun, hasil tinjauan yang dilakukan di kalangan rakyat Arab Saudi oleh Institut Washington menunjukkan pandangan yang berbeza dengan pemerintah. Hasil tinjauan menunjukkan 91% percaya bahawa meskipun Gaza mengalami kerosakan parah, Palestin, negara-negara Arab dan umat Islam secara umumnya akan berjaya dalam konflik ini. Sebanyak 96% juga percaya bahawa negara-negara Arab seharusnya mengakhiri hubungan dengan Israel sebagai bentuk protes. 87% responden juga percaya bahawa entiti haram Yahudi ini bukanlah negara yang kuat dan dapat dikalahkan suatu hari nanti. Ada banyak hasil tinjauan lainnya yang mendukung Palestin dalam konflik tersebut.

          Entiti haram Yahudi ini sering dipropagandakan oleh media sebagai entiti yang kuat, termasuk dalam hal kemajuan teknologi dari berbagai aspek. Dengan dukungan dari sekutu seperti British dan Amerika Syarikat, entiti haram ini tampaknya kebal dari ancaman dan ‘mustahil’ untuk dikalahkan dalam era perang moden. Tank Merkava sering digambarkan sebagai yang terkuat dan selalu ditingkatkan dari siri 1 hingga 4 dengan harapan ia dapat memberikan ancaman yang menakutkan bagi musuhnya di medan perang. Namun, kenyataannya, konflik ini membuka mata dunia bahawa pasukan entiti haram ini adalah lemah sehingga memerlukan bantuan negara lain di medan perang. Teknologi canggih mereka hanya kuat untuk menghadapi warga sivil yang terdiri dari anak-anak, orang tua dan wanita. Selain itu, jumlah tentera yang banyak dengan peralatan lengkap juga tidak mampu mengalahkan sekelompok kecil mujahidin yang hanya berbekalkan seluar trek, senapang dan meriam anti-kereta kebal.

          Hakikat ini telah dirakam di dalam Al-Quran, Surah Al-Hashr, ayat 14 yang menyebutkan betapa pengecutnya mereka untuk berperang kecuali di balik tembok yang kuat (teknologi canggih). Jangan kita berfikir bahawa mereka bersatu, padahal mereka juga bertengkar di kalangan mereka saat ini. Juga dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 249 bahawa kelompok yang sedikit dapat mengalahkan yang banyak dengan izin Allah swt. Kesimpulannya, kemenangan umat Islam adalah sesuatu yang tidak mustahil dicapai, jika seluruh umat Islam bersatu dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup ini.