SOP Untuk Solat Jumaat: Apa Lagi Alasan? (Siri 2)

Sejak pemerintah mengisytiharkan penutupan masjid atas alasan membendung penularan Covid-19, maka muncullah beberapa pihak, termasuk daripada kalangan individu rakyat yang cuba menjustifikasi tindakan pemerintah tersebut. Dari sudut pendapat umum (public opinion) kelihatannya pandangan yang menyokong kerajaan lebih mendominasi berbanding pandangan yang menentang. Walaupun besar kemungkinan sebenarnya umat Islam yang tidak menyokong itu lebih ramai, namun mereka hanya berdiam diri sehingga membentuk ‘silent majority’. Oleh itu dunia maya dikuasai oleh ‘loud minority’ sehingga pandangan yang mendukung kerajaan dilihat lebih ramai.

Sebagaimana telah disebut sebelum ini, tindakan menyokong pemerintah dalam isu penutupan masjid ini berlaku kerana beberapa sebab, yang insya Allah akan dibincangkan sedikit sebanyak dalam penulisan ini, dan diharap dapat memberikan pencerahan kepada mereka yang mencari kebenaran. Secara kategorinya, antara hujah atau alasan yang diberikan ialah:

  • Alasan intelektual, logik akal dan emosi;
  • Alasan berdasarkan sejarah Khilafah;
  • Alasan yang memetik pandangan Ulama;
  • Alasan berdasarkan keumuman dalil dan kaedah fiqh;
  • Alasan berdasarkan nas (Al-Quran dan al-Hadis).

Insya Allah kita akan cuba membincangkan satu per satu hujah atau alasan ini:

(1) Alasan intelektual, logik akal dan emosi

Kita hendaklah faham bahawa setiap perbuatan manusia adalah terkait dengan hukum, dan ini termasuklah setiap tindakan kerajaan yang tidak satu pun terlepas daripada hukum. Jadi, apabila kerajaan menutup masjid daripada ditunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah, persoalan yang perlu dijawab ialah, apakah hukumnya di sisi Islam? Boleh atau tidak? Wajib, sunat, haram, makruh atau mubah? Inilah yang perlu dijawab. Maka siapa sahaja yang ingin membenarkan atau menyalahkan tindakan kerajaan dalam isu ini hendaklah mengemukakan nas dari segi hukum (boleh atau tidak) menutup masjid semasa wabak?

Atas dasar ini, segala hujah yang tidak menggunakan nas atau dengan kata lain hanya menggunakan kecerdasan akal (intelektual), logik akal dan emosi, secara automatik akan tertolak, tidak kiralah seintelektual mana, selogik mana dan sehebat mana sekalipun hujah tersebut. Hukum Islam tidak berpijak atas dasar keintelektualan, logik mahupun emosi. Tetapi hukum Islam itu berdasarkan nas, dan wajib diikuti berdasarkan nas, walaupun pada sisi manusia hukum itu tidak intelektual dan tidak logik.

Bagaimana pun, kita tetap akan membincangkan alasan ini sebagai menjawab kepada hujah yang lemah ini. Di antara sebahagian alasan intelektual, logik akal dan emosi yang berlegar di internet ialah:

  • Kalau semua masjid dibuka dan solat Jumaat dibenarkan, maka kita semua orang akan terkena Covid-19 dan kita semua akan mati;
  • Tidak logik untuk mengenakan SOP di masjid-masjid di seluruh Malaysia, seperti saringan kesihatan atas setiap jemaah, sebab ia akan memakan masa yang lama kerana bilangan masjid yang begitu banyak serta bilangan jemaah yang terlalu ramai, selain tidak cukup frontliner dan sangat menyusahkan frontliner yang sudah sedia terbeban;
  • Tidak ada guna buat saringan kesihatan sebab orang yang sihat boleh sahaja terlepas saringan sedangkan mereka mungkin pembawa virus;
  • Kita tidak cukup peralatan untuk buat saringan seperti alat pengesan suhu dan juga kelengkapan perlindungan diri (PPE);
  • Jika ditugaskan pasukan kesihatan di masjid-masjid, siapa yang akan bertugas di hospital-hospital?;
  • Orang ramai yang solat Jumaat tidak akan patuhi SOP.

Banyak lagi alasan lain yang seumpamanya yang tidak perlu disenaraikan di sini kesemuanya. Pokoknya ia kelihatan intelektual, logik dan berdasarkan emosi. Sedangkan apabila diperhalusi, kesemua alasan tersebut sebenarnya sangat lemah dan ada yang tersasar dari fakta.

Untuk menyatakan semua orang akan terkena Covid-19 dan semua orang akan mati, hujah ini batil dan tertolak dengan sendirinya, kerana tidak mungkin kesemua jemaah akan terkena jangkitan, apatah lagi jika SOP dilakukan. Selain itu, berdasarkan fakta, bilangan pesakit Covid-19 yang sembuh jauh lebih ramai berbanding bilangan yang meninggal. Kita bukanlah meremehkan isu jangkitan atau keselamatan, kita cuma ingin katakan bahawa hujah yang kesemua orang akan terkena Covid-19 dan kesemua akan mati, hujah ini hanyalah didasarkan kepada emosi semata-mata.

Begitu juga dengan hujah yang kelihatan intelektual apabila menyatakan bahawa mustahil untuk melakukan saringan di semua masjid di seluruh Malaysia dan ke atas semua jemaah. Ia akan memakan masa lama sehingga habis waktu Jumaat, selain kakitangan kesihatan yang sangat tidak mencukupi untuk ditugaskan di kesemua masjid. Sekali lagi alasan ini tercampur dengan emosi sehingga hilang faktor rasionalitinya. Kita perlu rasional kerana realitinya tidak semua tempat di seluruh negara yang terkena jangkitan, dan kita bukannya meminta semua frontliner agar bertugas di masjid sehingga meninggalkan tugas-tugas mereka di hospital. Kita juga bukan meminta frontliner melakukan ujian kesihatan secara lengkap di masjid-masjid sebagaimana yang dilakukan di hospital sehingga setiap orang kena menunggu keluarnya keputusan untuk memastikan mereka betul-betul sihat untuk solat. Bukan ini SOP yang kita minta.

Bagi mana-mana masjid yang termasuk kawasan hijau, maka di sini tidak perlu dilakukan saringan pun, walaupun sangat baik jika dilakukan. Saringan perlu dilakukan di kawasan-kawasan yang berpotensi sahaja, yang jika dijumlahkan kesemuanya tidaklah sebanyak mana. Petugas kesihatan yang perlu berada di sini juga bukanlah setiap hari dan bukannya sehari suntuk pun. Solat Jumaat hanya seminggu sekali, dan petugas kesihatan (yang lelaki) turut wajib untuk menunaikan solat Jumaat. Maka hal ini seharusnya tidak menjadi isu. Mereka cuma perlu melakukan saringan bagi memastikan jemaah yang ingin menunaikan solat itu sihat. Siapa yang tidak melepasi saringan (tidak sihat) maka hendaklah diminta balik ke rumah, kerana solat Jumaat tidak wajib untuk mereka yang sakit, selain sebagai langkah pencegahan. Selesai solat Jumaat, selesailah tugas petugas kesihatan.

Adapun jika ada dalam kalangan jemaah yang sihat dan menjadi pembawa, tetapi terlepas saringan, maka hal ini sudah di luar wilayah kekuasaan kita. Ini ialah wilayah kekuasaan Allah (swt). Dengan kata lain, ini adalah qadha’ Allah (swt). Kita cuma menjalankan hukum sababiyyah (sebab-akibat). Apabila seseorang itu sihat, maka wajib baginya untuk menunaikan solat Jumaat. Inilah hukumnya. Persoalan sama ada dia adalah pembawa atau tidak, maka kita serahkan kepada Allah (swt), kerana Dialah yang menentukan sama ada akan berlaku jangkitan atau tidak. Penyakit itu datang dari-Nya dan Dialah yang menjadikan orang itu sakit dan Dialah yang menyembuhkan. Tidak akan berlaku jangkitan jika tidak diizinkan oleh Allah (swt), walaupun kita terdedah kepada pembawa sekalipun, dan jangkitan akan tetap berlaku dengan izin Allah (swt), walaupun kita tidak terdedah kepada pembawa. Kita tunaikan perintah Allah (swt) dengan melakukan segala hukum sababiyyah, yang selebihnya kita serahkan kepada-Nya.

Mengenai persoalan mestikah saringan dilakukan oleh frontliner, jawapannya ialah saringan tidak semestinya dilakukan oleh frontliner, apatah lagi jika tidak mencukupi. Negara wajib menyediakan petugas yang mencukupi dalam keadaan ini, bukan membiarkan keadaan tidak cukup itu terus berlarutan. Tambahan lagi, untuk melakukan saringan bukanlah suatu perkara yang sukar yang seseorang itu memerlukan Phd, ijazah atau pengalaman berpuluh-puluh tahun. Sebagai contoh, para AJK masjid sendiri boleh sahaja dipanggil dan diberi kursus untuk melakukan saringan bagi mengurangkan beban frontliner, dan bagi mengatasi masalah tidak cukup kakitangan. Negara juga boleh membuka peluang kepada sukarelawan untuk urusan ini, dengan diberi kursus ringkas dan segera. Berapa banyak pekerja pasaraya, kedai-kedai biasa, pekerja lapangan terbang dan lain-lain, pun boleh melakukan saringan kesihatan yang cukup mudah ini. Apa yang perlu ialah sedikit usaha dan sedikit kesungguhan dari pihak berwajib, pihak AJK Masjid dan semua pihak, bagi memastikan hal ini dapat dilaksanakan.

Persoalan tidak cukup peralatan seperti PPE atau alat pengesan suhu dan lain-lain, hal ini juga tidak seharusnya berbangkit. Ini kerana, masjid bukanlah hospital, sehingga memerlukan peralatan yang sempurna. PPE tidak perlu dipakai kerana memang tidak sesuai di kawasan masjid, walaupun boleh sahaja jika ingin memakainya. Manakala jika tidak cukup alat pengesan suhu sekalipun, ia sama sekali tidak akan menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Buatlah dengan peralatan yang seadanya, dan jika tiada sekalipun, solat wajib diteruskan. Buatlah sebanyak mana SOP yang mampu dibuat bagi mencegah penularan, dan jika sudah tidak mampu, maka kaedah fiqh terpakai di sini iaitu

ماَ لاَ يُدْرَكُ كُلُّهُ لاَ يُتْرَكُ جَلُّهُ

“Apa yang tidak dapat dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya”.

Dalam masa yang sama, tanggungjawab negara untuk mengusahakan dengan bersungguh-sungguh bagi membeli dan menyediakan segala peralatan tersebut dengan secepatnya.

Begitu juga dengan alasan para jemaah yang tidak akan mematuhi SOP. Selain alasan ini hanyalah andaian, jika benar ada sekalipun, maka hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk terus menutup masjid. Pelanggaran SOP berlaku di mana-mana, bukan sahaja di masjid. Ia berlaku di pasaraya, di lapangan terbang, malah di pejabat-pejabat kerajaan sekalipun, namun kesemuanya terus beroperasi seperti biasa dan tidak ditutup atas alasan ada orang yang melanggar SOP. Justeru, kenapa dengan andaian akan berlakunya jemaah yang akan melanggar SOP, maka masjid mesti ditutup?

Tambahan atas semua itu, Jika kerajaan ingin menutup masjid sekalipun kerana dikhuatiri ada virus, maka kerja-kerja sanitasi (nyahkuman) mestilah dijalankan di masjid tersebut segera, manakala masjid-masjid lain dibenarkan beroperasi seperti biasa. Malah banyak surau yang boleh dibuka untuk solat Jumaat bagi mengurangkan bilangan jemaah di satu-satu masjid. Ala kulli hal, solat Jumaat tidak semestinya di adakan di masjid atau surau sahaja. Solat Jumaat boleh sahaja diadakan di tempat-tempat terbuka yang lebih selamat daripada virus berbanding tempat tertutup. Pendek kata, nak seribu daya, taknak seribu dalih.

Tanpa menafikan kesukaran-kesukaran yang mungkin timbul untuk mengadakan SOP bagi solat Jumaat semasa wabak ini, kesukaran itu wajib diatasi dengan apa cara sekalipun. Di sinilah gunanya akal dan keintelektualan yang ada pada kita, yakni berusaha untuk membuat SOP dan terus membuka masjid bagi memastikan kewajipan solat Jumaat tidak terabai. Janganlah kita menggunakan keintelektualan, logik akal dan emosi yang ada pada kita sehingga kita mengatakan masjid perlu ditutup, padahal hujah itu tidak bernilai pun di sisi syarak. Gunalah keintelektualan dan akal yang ada pada kita untuk kita berusaha bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan, bukannya untuk kita lari atau mencari-cari alasan untuk tidak menunaikan kewajipan. Ingatlah bahawa keintelektualan yang ada pada kita itu datangnya dari Allah (swt), Dialah yang menganugerahkannya kepada kita. Maka gunalah keintelektualan dan akal itu untuk kita memahami nas dan menunaikan segala perintah-Nya.

Ringkasnya, alasan intelektual, logik akal dan emosi sesungguhnya tidak layak dijadikan hujah apabila tidak disandarkan pada nas. Hal ini sahaja sudah cukup untuk menolak hujah ini.

…bersambung