Sukan Komanwel Legasi Simbol Penjajahan British

Baru-baru ini Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah menawarkan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Australia menarik diri atas alasan tidak mampu menanggung kos yang jauh meningkat dari jangkaan awal AUD2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).  Penarikan diri ini bukan kali pertama berlaku kerana pada tahun 2022, Afrika Selatan juga pernah ditarik hak selaku tuan rumah juga atas isu kewangan.  Birmingham tampil menjadi ‘bidan terjun’ selaku pengajur edisi ke-22.  Sekiranya Malaysia menyahut seruan menjadi tuan rumah pada kali ini, kos tambahan dikatakan boleh mencecah di antara RM5 bilion hingga RM10 bilion.

Seperti yang kita maklum, Sukan Komanwel (SUKOM), merupakan acara sukan berprestej melibatkan atlet dari negara-negara Komanwel iaitu negara-negara bekas Empayar British yang telah diberi ‘kemerdekaan’.  Acara tersebut telah diadakan pertama kali pada tahun 1930, dan telah dilangsungkan setiap empat tahun (kecuali tahun 1942 dan 1946 yang dibatalkan kerana Perang Dunia Kedua). Dahulunya Sukan Komanwel dikenali sebagai Sukan Empayar British dari tahun 1930 hingga tahun 1950. Kemudian dikenali sebagai Sukan Komanwel dan Empayar British dari tahun 1954 hingga tahun 1966 dan Sukan Komanwel British dari tahun 1970 hingga tahun 1974.  Bermula 1978, ianya dikenali sebagai Sukan Komanwel sehingga hari ini.

Sebagai umat Islam, kita haruslah sentiasa mengingati sejarah silam yang penuh dengan kekejaman penjajah British ketika ianya menjadi kuasa besar dunia. Ketika penjajahan British di negara ini, mereka bukan sahaja telah merompak hasil kekayaan alamnya tetapi juga telah mengusir malah juga membunuh ‘para penentang’ di kalangan pejuang Islam dengan kejam sekali.  Di Tanah Melayu misalnya, British telah membunuh para ulama dan para pejuang Islam.  Sebahagian nama-nama yang tidak asing lagi seperti Tok Janggut, Hj Abdul Rahman Limbong dan Mat Kilau adalah antara nama yang terpahat indah sebagai penentang penjajahan kuffar British di Tanah Melayu.

British juga telah menggantikan hukum-hukum Islam dengan undang-undang ciptaan British.  Sebelum Tanah Melayu diberi ‘kemerdekaan’, British melalui Suruhanjaya Reid telah merangka Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu.  Begitu seriusnya British merangka dan menggubal undang-undang tersebut sehingga banyaknya pertemuan dilakukan (118 kali) dalam jangka masa singkat di antara Jun hingga Oktober 1956.  Kesannya boleh kita lihat sehingga hari ini iaitu mana-mana undang-undang yang menyalahi Perlembagaan adalah diisytiharkan tidak sah dan terbatal.  Baru-baru ini kes Nik Elin boleh dijadikan iktibar (Rujuk mykhilafah.com: Kes Nik Elin: “Syariah” Manakah Yang Ingin Dipertahankan?). British telah berjaya menanam pemikiran sekular sehinggakan orang Islam membenci agamanya sendiri dan melihat Islam tidak lagi sesuai dengan zaman serba moden kini.

Komanwel juga mengingatkan umat Islam terhadap  peranan jahat empayar British dalam peristiwa pahit runtuhnya Daulah Khilafah lebih 100 tahun yang lalu.  Daulah Islam yang pertama kali dibina oleh Rasulullah (saw) ini berakhir melalui tangan Mustafa Kamal yang berkonspirasi dengan kuffar British. Melalui tindakan dan perjanjian politik yang licik dan kejam mereka, Daulah Khilafah telah dilenyapkan dan mereka menggantikannya dengan sebuah republik sekular Turki. Pada pagi 28 Rajab 1342 H, Sultan Abdul Majid II, Khalifah terakhir kaum Muslimin, diusir keluar dari Turki. Dengan itu, maka berakhirlah sejarah panjang Daulah Islam yang telah menaungi dunia selama 1342 tahun.

Di samping ketidaksukaan kita untuk menjadi penganjur SUKOM yang akan datang kerana kos yang sangat tinggi tanpa membawa keuntungan dan yang pastinya akan menambahkan lagi beban hutang negara, umat Islam di Malaysia khususnya harus menunjukkan menolak apa saja kesan penjajahan British yang selama ini telah memusuhi Islam. Penjajahan British tidak membawa sebarang kebaikan langsung kepada umat Islam, maka sewajarnya Malaysia tidak menyertai Sukan Komanwel ini dan selayaknya sukan itu dihapuskan sahaja.