Tanpa tiga sebab ini, umat Islam akan sambut Ramadan serentak – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Perbezaan tarikh memulakan Ramadan dan Syawal umat Islam boleh dikembalikan kepada tiga sebab utama, demikian tegas Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman dalam program KUPAS minggu lalu (13/02/2026). Jika kita dapat buang tiga sebab ini, maka insya Allah umat Islam seluruh dunia akan menyambut puasa dan raya serentak pada tarikh atau hari yang sama.
Hizbut Tahrir sering menjelaskan mengenai hukum syarak penetapan Ramadan iaitu melalui rukyatul hilal, kerana “sabab” masuknya Ramadan ialah kerana melihat hilal, bukan kerana hisab mahupun imkanur rukyah, jelas beliau. Berdasarkan nas yang cukup jelas dan cukup banyak, rukyah yang terpakai ialah rukyah global, bukan rukyah lokal. Dengan kata lain, jika hilal terlihat di mana-mana negara pun di dunia ini, maka seluruh kaum Muslimin wajib berpuasa, jelas beliau.
Beliau menyimpulkan tiga faktor yang menjadikan umat Islam terpecah dalam penetapan Ramadan dan Syawal iaitu penggunaan kaedah hisab berserta imkanur rukyah, penggunaan rukyah lokal, dan sempadan politik negara-bangsa.
Di antara ketiga-tiga faktor ini, yang paling utama ialah sempadan politik, kata beliau, kerana pemerintah yang ada pada hari ini telah menetapkan puasa dan raya berdasarkan kuasa yang ada pada mereka, bukannya berdasarkan dalil rukyah global yang boleh mempersatukan umat Islam
Ada pun mengenai hisab (astronomi), tegas beliau, ia boleh digunakan untuk membantu menentukan bilakah berlakunya ijtimak, ketinggian bulan, jarak lengkung dan lain-lain, tetapi ia tidak boleh dijadikan “asbab” masuknya Ramadan, kerana satu-satunya “asbab” masuknya Ramadan ialah dengan melihat hilal, bukannya dengan memperkirakan atau menganggap bulan telah lahir pada tarikh dan waktu sekian-sekian.
Begitu juga dengan perbezaan matla’ yang sering dijadikan hujah untuk membolehkan perbezaan Ramadan, seharusnya umat Islam mengambil pandangan yang lebih kuat mengenai kesatuan matla’, bukannya terus berpegang dengan pandangan yang lemah mengenai perbezaan matla’. Hanya dengan cara ini barulah perpecahan dapat dielakkan dan kesatuan dapat dicapai, tegas Ustaz Hakim.
Jurucakap HTM itu menekankan bahawa pandangan Hizbut Tahrir mengenai pemakaian matla’ yang satu untuk seluruh umat Islam serta penggunaan rukyah global, ini semua berdasarkan nas yang kuat di samping hanya dengan cara ini sahajalah puasa dan raya umat Islam dapat disatukan.
Kita terpaksa menjelaskan sebab-sebab perbezaan dan dalam masa menjelaskan pandangan yang kuat yang dipegang oleh Hizbut Tahrir, bukan kerana mahu bergaduh atau merendahkan pihak lain, tetapi dalam rangka mencari dan menyeru penyatuan umat Islam dalam menyambut puasa dan raya, kerana hal ini merupakan ibadat dan syiar Islam yang penting yang mana umat Islam seharusnya bersatu menyambutnya.
Mengakhiri kupasannya, Jurucakap HTM itu menyimpulkan bahawa isu perbezaan Ramadan dan Syawal ini tidak akan menemui jalan noktah selagi punca utama perpecahan iaitu sempadan politik negara bangsa masih utuh berdiri.
“Perbezaan tarikh puasa dan raya ini tidak akan dapat diakhiri selagi keseluruhan sistem yang memecah-belahkan umat ini tidak diruntuhkan. Atas dasar itu, umat Islam memerlukan sebuah institusi politik yang satu di peringkat antarabangsa untuk menyatukan semula kalendar dan kekuatan umat, dan kekuatan tersebut tidak lain tidak bukan ialah Khilafah,” kata beliau.
Beliau menutup bicara dengan mengingatkan bahawa dengan tegaknya Khilafah kelak, hanya akan ada seorang Khalifah yang mengumumkan permulaan Ramadan dan Syawal untuk seluruh dunia Islam, sekali gus mengembalikan kesatuan umat dan syiar Islam sebagaimana yang pernah disaksikan oleh sejarah suatu masa dahulu.