Trump Jadi Presiden Amerika! Masihkah Ada Yang Percaya Kepada Demokrasi?
Akhirnya, pilihan raya presiden Amerika Syarikat telah berakhir dengan Donald Trump dinobatkan sebagai pemenang. Namun, dalam drama sarkas ini, yang jelas, demokrasi telah menjadi bahan jenaka! Keseluruhan proses yang cukup memalukan ini telah mempamerkan kepada dunia tentang keburukan dan bahaya sistem demokrasi. Ia merupakan suatu pilihan raya yang disulami dengan politik yang cukup hina, penuh dengan serangan peribadi antara kedua-dua calon yang bertanding – dan bukannya disertai dengan perdebatan mengenai dasar dan prinsip politik sebenar. Ini tidaklah menghairankan kerana apa yang termanifestasi adalah merupakan ciri asasi politik demokrasi sekular di seluruh dunia. Dan sepertimana di banyak negara demokrasi di sebelah Barat, laungan xenofobia (perasaan sangat takut atau benci kepada orang asing) dan retorik anti-pendatang yang digunakan bagi menarik sikap prejudis perkauman para pengundi adalah juga merupakan ciri utama dalam kempen pilihan raya Trump. Tidak mengejutkan apabila banyak media dan pengulas politik menyifatkan pilihan raya ini sebagai cerminan dari sistem demokrasi Amerika yang rosak. Jacob Parakilas, Timbalan Ketua Program AS dan Amerika di Chatham House, sebuah badan pemikir yang berpengkalan di London, berkata, “Kempen ini menggambarkan hujah tersirat bahawa model demokrasi liberal AS bukanlah seperti mana yang digambarkan” . Dan pengulas politik dalam sebuah rancangan radio UK mengatakan pada hari keputusan pilihan raya, “Ini bukanlah sebuah kejayaan untuk Trump namun ini merupakan gambaran buruk sistem politik Amerika Syarikat.”
Pilihan raya presiden Amerika Syarikat ini merupakan satu pengajaran kepada dunia mengenai sebuah model politik yang rosak dan salah. Jika ini merupakan sebuah rancangan TV realiti, ia mungkin merupakan satu kejayaan, namun hakikatnya, kesan kepada masyarakat amatlah merbahaya. Sarkas politik ini pada realitinya bukanlah merupakan satu bahan jenaka kerana ia benar-benar akan memberi kesan yang negatif kepada kehidupan berjuta-juta manusia. Faktanya adalah, seorang lelaki yang telah menghina separuh daripada penduduk negaranya, menjalankan kempen pilihan raya presiden yang paling banyak menjurus kepada pecah belah, berbangga diri dengan serangan seksual yang dilakukannya terhadap wanita, menyatakan secara terbuka kekagumannya terhadap Putin si pembunuh massal yang zalim dan menghina hampir setiap minoriti di negaranya – golongan Latino, umat Islam, orang kurang upaya, dan pendatang – boleh dipertimbangkan untuk menjadi pemimpin suatu negara, apatah lagi menjadi presiden sebuah kuasa besar utama dunia, maka sudah tentu ini memanifestasikan kegagalan dan bahaya sistem demokrasi. Malah, kredibiliti mana-mana sistem politik yang membenarkan retorik yang provokatif, memecah belah dan penuh sentimen perkauman digunakan sebagai bahan kempen yang sah wajib dipersoalkan! Dan lihatlah hakikat pendapat dan pandangan sebuah negara demokratik paling berkuasa di dunia mengenai wanita, apabila ia sendiri memilih sebagai presidennya seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata yang paling menjijikkan terhadap wanita!! Tambahan pula, Hillary Clinton – seorang yang penuh dengan tuduhan rasuah dan terkenal dengan reputasinya sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai, penipu dan pembohong boleh dipilih sebagai calon yang terbaik untuk bertanding sebagai wakil parti Demokrat merupakan bukti lain bagaimana rosaknya sistem ini!
Ramai yang bertanya bagaimana Donald Trump boleh dipilih sebagai Presiden? Dan bagaimana dua daripada calon yang paling tidak popular, dibenci dan paling tidak dipercayai dalam sejarah Amerika telah dipilih sebagai calon untuk pemimpin AS? Lihat sahaja kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke-45 bahawa sistem ini telah dirancang terlebih dahulu! Ia dirancang agar ia memihak kepada golongan elit dan kaya – mereka yang mampu membelanjakan berbilion dollar pada kempen pilihan raya atau mempunyai hubungan yang rapat dengan konglomerat besar yang menawarkan sokongan politik dan kewangan sebagai gantian untuk keuntungan politik apabila calon pilihan mereka berjaya dipilih! Sebuah kajian pada tahun 2014 yang dipetik oleh Sydney Morning Herald, menyatakan bahawa majoriti rakyat di Amerika Syarikat hakikatnya tidak ‘memerintah’. Ia menyatakan, “Apabila majoriti rakyat tidak bersetuju dengan golongan elit ekonomi atau dengan sesuatu kepentingan yang dirancangkan, mereka pasti akan kalah … impak rakyat biasa dalam menentukan polisi adalah … hampir tiada.”
Tambahan pula, pilihan raya presiden ini telah menampakkan adanya perpecahan yang dahsyat dalam masyarakat Amerika di mana pemilihan Trump mendedahkan sikap perkauman yang telah berakar umbi, anti-pendatang dan Islamofobia yang tersebar luas bukan sahaja di Amerika Syarikat bahkan di banyak masyarakat demokrasi Barat yang lain di mana kumpulan populis xenophobia sayap kanan berkembang pesat. Perkara ini telah memusnahkan topeng demokrasi yang sebelum ini dianggap sebagai sistem yang terbaik untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan toleran di mana semua kaum dan agama sama-sama dihormati dan dilayan secara adil. Hakikat bahawa kenyataan kebencian Trump terhadap pendatang dan umat Islam telah menjadikan beliau lebih disukai di kalangan berjuta-juta rakyat Amerika dan ianya jelas merupakan satu modal, bukannya penghalang kepada kempen pilihan rayanya, ini merupakan bukti yang cukup jelas akan kegagalan demokrasi dalam menangani masalah perkauman dan xenofobia walaupun selepas 8 tahun diterajui oleh presiden berkulit hitam!
Di samping itu, kemenangan Trump adalah merupakan hasil dari undi protes yang mencerminkan tahap kekecewaan rakyat AS terhadap suasana politik di negara mereka yang dilihat sebagai korup dan penuh dengan sikap mementingkan diri sendiri, tanpa mempedulikan keperluan rakyat. Sebuah kajian pada 2013 oleh Public Policy Polling melaporkan bahawa serangga lipas adalah lebih popular dari Kongres AS di kalangan orang awam Amerika! Kajian PEW pada 2013 pula mendapati bahawa hanya satu perempat daripada rakyat Amerika mempercayai bahawa Washington melakukan perkara yang betul. Dalam keadaan terdesak untuk perubahan, ramai rakyat Amerika lebih rela mengundi seorang ahli perniagaan kerana mereka merasakan bahawa Trump boleh melepaskan mereka dari status quo politik yang dibenci, walaupun hakikatnya dia juga mewakili kelas elit kaya yang selama ini telahpun memerintah Amerika Syarikat selama beberapa dekad lamanya. Seorang penulis menyatakan, “Trump adalah simptomnya, manakala Clinton adalah penyakitnya” dengan alasan bahawa selepas bertahun lamanya AS berada di bawah dasar politik dan ekonomi yang penuh kegagalan – daripada Clinton, Obama dan pentadbiran yang sebelum-sebelumnya – suasana seperti ini telah menyemarakkan nuansa yang melahirkan individu populis seperti Trump yang mengeksploitasi kekecewaan ekonomi yang dihadapi oleh golongan pekerja dan kelas pertengahan untuk meraih undi. Hakikatnya, kedua-dua Trump dan Clinton serta nuansa politik Amerika secara keseluruhan adalah merupakan simptom manakala sistem politik demokrasi-lah yang merupakan penyakitnya, kerana ia merupakan sifat semulajadinya yang hanya memberi manfaat kepada golongan yang kaya dan berkuasa berbanding golongan miskin dan orang umum. Ini adalah punca utama wujudnya ketidakseimbangan yang cukup besar dalam kekayaan, faedah cukai yang rata-rata diberikan kepada orang kaya dan sikap double standard dalam menentukan keistimewaan di kalangan politikus elit dan rakyat biasa. Oleh itu, adalah tidak mengejutkan bahawa, “Satu perempat daripada rakyat Amerika yang lahir sejak 1980 percaya bahawa demokrasi adalah bentuk kerajaan yang buruk – dan golongan seperti ini semakin bertambah berbanding 20 tahun yang lalu..” – menurut sebuah artikel (America’s Best Hope) di dalam majalah Economist pada 5 November 2016. Bekas penasihat Kongres Demokratik Tad Daley juga berkata, “Semakin ramai rakyat Amerika yang percaya bahawa kerajaan kita tidak mampu menangani persoalan asas seperti masalah imigresen, senjata api, hak milik, perdagangan, cuaca dan alam sekitar, hak privasi dan keselamatan, bajet persekutuan, ketidakadilan dalam ekuiti, wang dalam politik … atau suasana kecemasan dalam aspek kesihatan seperti virus Zika … adalah tidak lagi salah untuk mengatakan bahawa demokrasi Amerika sudah rosak “.
Oleh itu, selepas semua ini, bagaimana mungkin sesiapapun, lebih-lebih lagi orang Islam, masih percaya bahawa Demokasi layak digunakan sebagai sistem pemerintahan??? Pilihan raya presiden AS ini merupakan pelajaran kelas pertama bagi seluruh dunia bahawa demokrasi adalah sistem yang rosak dan memecahbelahkan manusia dan sudah pastinya tidak sesuai untuk digunakan! Sistem seperti ini memang tidak ada kredibiliti! Sesungguhnya sudah tiba masanya untuk dunia mempertimbangkan sebuah sistem politik alternatif – sistem yang TIDAK dikendalikan oleh golongan politikus elit kaya untuk golongan politikus elit kaya, atau oleh golongan jutawan egois yang hanya ingin memperoleh kekuasaan dan prestij, atau oleh sebuah pemerintahan politik yang keliru tentang bagaimana untuk menyediakan kehidupan yang sejahtera untuk semua dan menyelesaikan pelbagai masalah negara. Dunia hari ini amat memerlukan sistem politik yang benar-benar mengambil berat tentang urusan manusia – Muslim dan non-Muslim, lelaki dan perempuan, hitam mahupun putih – dan menolak sikap perkauman, memelihara kedudukan wanita dan memiliki rekod prestasi yang telah terbukti mampu memberikan penyelesaian di dalam semua aspek kehidupan tidak kira politik, ekonomi mahupun sosial, bukannya sistem yang dibina di atas retorik yang kosong dari sebarang nilai. Sistem itu, tidak lain tidak bukan adalah sistem Islam, yang dilaksanakan oleh negara Khilafah berdasarkan jalan kenabian.
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ
بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
“Dan seandainya kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi, dan semua yang ada di dalamnya. Bahkan Kami telah memberikan peringatan kepada mereka, tetapi mereka berpaling dari peringatan itu” [TMQ al-Mu’minun (23): 71]
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh,
Dr Nazreen Nawaz
Pengarah Bahagian Wanita di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir