Ucapan Amir Hizbut Tahrir, seorang ulama yang dihormati, Atha’ bin Khalil Abu Ar-Rashtah Sempena Memperingati 99 Tahun Kejatuhan Khilafah
(Terjemahan daripada Bahasa Arab)
Segala puji bagi Allah (swt), selawat dan salam (semoga tercurah) ke atas Rasulullah (saw), keluarga dan sahabat-sahabat baginda, serta orang-orang yang mengikuti baginda.
Kepada umat Islam secara umumnya, umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia…dan kepada para Shabab (pemuda) Hizbut Tahrir khususnya, yang dimuliakan oleh Allah (swt) sebagai pemikul Dakwah-Nya dengan penuh keikhlasan dan kejujuran…dan kepada para tetamu laman sesawang ini yang mengunjunginya kerana kecintaan kalian kepada kebaikan dan cahayanya yang telah membawa kalian ke sini:
Assalamu Alaikum Wa Rahmatullah Wa Barakatuh..
Pada hari ini, 99 tahun yang lalu, penjenayah ketika itu, Mustafa Kamal telah menghapuskan Khilafah. Meskipun jenayah ini dilakukan secara terang-terangan di siang hari dan telah didokumentasikan dengan bukti yang kukuh, bukan hanya dengan satu bukti, malah dengan begitu banyak bukti – bahawa apa yang dilakukan itu merupakan satu kekufuran yang nyata kerana hukum-hakam Islam telah dicabut dan pelakunya patut diperangi dengan pedang, sesuai dengan sabda Rasulullah (saw) yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Junada bin Abi Umaiya yang berkata;
“Kami melawat ‘Ubadah bin As-Samit semasa dia sakit. Kami berkata, “Semoga Allah menyihatkan anda…Apakah anda boleh memberitahu kami hadis yang anda dengar daripada Nabi (saw) yang mana dengannya Allah (swt) memberi manfaat kepada anda?” Beliau berkata, “Nabi (saw) memanggil kami dan kami membai’ahnya untuk Islam, dan di antara syarat-syarat baiah tersebut adalah:
«أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْراً بَوَاحاً عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ»
“Kami membaiat Nabi (saw) untuk mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi ataupun kami tidak senangi, dalam keadaan sulit ataupun lapang, serta dalam hal tidak mendahulukan urusan kami, juga agar kami tidak merebut kekuasaan dari seorang pemimpin, kecuali (sabda baginda), ‘Kalau kalian melihat kufran bawaahan (kekufuran yang nyata) yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah.”
Meskipun usaha yang seharusnya dilakukan adalah melawannya dan berkorban tidak kira berapa pun harganya, namun kezaliman itu tidak dihadapi oleh umat dengan apa yang selayaknya diterima oleh penjenayah tersebut – penghapusannya!
Akibatnya, sejarah umat menjadi gelap, umat yang terbaik ini, yang hakikatnya mempunyai sebuah Negara Khilafah yang ditakuti dan disegani serta membawa kebenaran dan keadilan, kini telah menjadi lebih daripada 50 buah negara kecil, yang berpecah belah dan dikuasai oleh mereka yang tidak memiliki belas kasihan dan tidak menghiraukan urusan umat. Bukan setakat itu, malah mereka diperintah oleh para Ruwaybidhah (penguasa bodoh) yang taat dan tunduk kepada puak kuffar, dan berada di bawah kekuasaan penjajah di mana kekayaan mereka menjadi alat yang menggerakkan ekonomi musuh-musuh Allah (swt). Manakala ekonomi negeri-negeri Muslim dan rakyatnya terus tertekan dan dirampas dan mereka langsung tidak mendapat manfaat daripada kekayaan tersebut. Situasi mereka (umat Islam) sekarang sudah cukup untuk menggambarkan keadaan mereka (bagaikan ternakan di padang pasir yang mati akibat dahaga sedangkan bekalan air penuh di belakangnya). Semua ini berlaku di saat para penguasa Ruwaibidhah tersebut melihat dan mendengarnya. Kemiskinan berleluasa dalam kalangan rakyat, kecuali golongan pemerintah dan kroni mereka, yang mendapat hadiah yang dibungkus dengan penuh penghinaan atas khidmat mereka terhadap tuan penjajah mereka. Sesungguhnya ini merupakan pengkhianatan kepada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) dan orang-orang yang beriman dan merupakan penghalang (bagi mereka) menuju kepada Allah Yang Maha Perkasa Lagi Bijaksana.
Wahai kaum Muslimin!
Khilafah adalah isu penting umat Islam, yang dengannya hudud akan dapat dilaksanakan, kehormatan akan terpelihara, tanah-tanah akan dibuka, dan Islam berserta umatnya akan menjadi mulia. Semua ini telah termaktub di dalam Kitab Al-Aziz Al-Hakim, dan Sunnah Rasul-Nya (saw) serta Ijma’ as-Sahabat (ra). Cukuplah bagi seorang Muslim untuk mengkaji tiga perkara berikut untuk menyedari betapa besarnya kewajipan (menegakkan) Khilafah, iaitu:
Pertama: Sabda Rasulullah (saw) yang diriwayatkan oleh At-Tabarani di dalam Al-Ma’jam Al-Kabeer, dari Asim, dari Abu Saleh dan dari Muawiyah, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah (saw) bersabda:
“Barangsiapa mati sedangkan di tengkuknya tidak ada baiah (kepada Khalifah), maka ia mati dalam keadaan mati jahiliyyah”
Ini adalah dalil betapa besarnya dosa seseorang Muslim yang mampu tetapi tidak berusaha untuk menegakkan Khilafah yang mana dengan kewujudannya sahajalah seseorang Muslim itu akan dapat memberikan baiah – dan ini adalah dalil akan kewajipan untuk mewujudkan seorang Khalifah (yakni menegakkan Daulah Khilafah) yang dengan kewujudannya, barulah wujudnya baiah di tengkuk setiap Muslim.
Kedua: Para sahabat menyibukkan diri mereka (berusaha) mendirikan Khilafah dan membaiah seorang Khalifah terlebih dahulu sebelum mereka menyibukkan diri mereka dengan pengebumian jenazah Rasulullah (saw), meskipun mempercepatkan pengebumian jenazah telah ditetapkan oleh syarak. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam Ma’rifat As-Sunan Wal Atsar oleh al-Bayhaqi: “Ash-Shafi’i berkata dalam versi Abi Saed: Adalah lebih afdhal menyibukkan diri untuk mengebumikan orang mati, apabila kematian tersebut telah disahkan.” Hal ini (hukum mempercepatkan pengebumian) berlaku untuk mana-mana orang yang meninggal dunia, apatah lagi jika orang yang wafat itu adalah Rasulullah (saw). Namun demikian, para sahabat ternyata mendahulukan urusan baiah kepada Khalifah berbanding mengebumikan jenazah Rasulullah (saw). Kesibukan (usaha) para Sahabat untuk membaiah seorang Khalifah terlebih dahulu berbanding mengebumikan jenazah Rasulullah (saw), mengesahkan kesepakatan mereka (Ijma’ as-Sahabat) bahawa pelantikan pengganti ketua negara (Khalifah) itu lebih utama untuk dilakukan berbanding pengebumian jenazah Rasulullah (saw).
Ketiga: Saidina Umar (ra) pada hari terakhir sebelum beliau meninggal, telah menetapkan tempoh waktu untuk memilih seorang Khalifah daripada enam orang sahabat yang telah dijanjikan syurga, untuk tidak melebihi tiga hari…Kemudian beliau memerintahkan sekiranya Khalifah masih tidak dipilih (dipersetujui) dalam tempoh tiga hari, siapa yang tidak bersetuju hendaklah dibunuh selepas tiga hari tersebut. Umar mempertanggungjawabkan 50 orang daripada kaum Muslimin untuk melaksanakannya, yakni membunuh orang yang tidak setuju, walaupun mereka (keenam orang tadi) telah dijanjikan syurga, malah merupakan ahli syura dan sahabat besar. Semua ini berlaku dalam keadaan para sahabat lain mendengar dan menyaksikannya, dan tidak ada seorang pun di antara mereka yang menentang atau menolak apa yang diucapkan oleh Umar. Oleh yang demikian, menjadi Ijma as-Sahabat bahawa umat Islam dilarang berada dalam keadaan tanpa Khalifah selama lebih daripada tiga hari dengan malamnya. Malangnya kini, sudah berapa banyak “kumpulan tiga hari” telah berlalu!! La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah! Oleh itu wahai kaum Muslimin, Khilafah adalah isu yang teramat penting bagi umat Islam!
Wahai kaum Muslimin! Walaupun ini adalah keadaannya, kita tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah –
﴿إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ﴾
“Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan orang-orang kafir” [Yusuf: 87].
Lebih-lebih lagi kerana Allah (swt) telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa mereka akan dikurniakan kekuasaan di muka bumi,
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa” [An-Nur: 55].
Rasulullah (saw) juga memberikan khabar gembira akan kembalinya Khilafah di atas jalan kenabian selepas pemerintahan yang menindas yang kini kita hidup di dalamnya –
«ثم تكون خلافة على منهاج النبوة»
“Dan kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian.” [Diriwayatkan oleh Ahmad dari jalur Huzayfah ibn al-Yaman (ra)].
Bagaimanapun, kami ingin menegaskan dan mengulangi apa yang telah kami katakan sebelum ini, bahawa Allah (swt) Yang Maha Kuat Lagi Perkasa akan membantu kita jika kita membantu-Nya, dengan menjadi para pendakwah yang ikhlas dan komited. Adalah Sunnatullah bahawa malaikat tidak akan diturunkan untuk berjuang bagi pihak kita dan mendirikan Khilafah untuk kita, sementara kita hanya duduk bersandar di sofa! Sebaliknya, Allah (swt) akan menurunkan para malaikat dengan izin-Nya, untuk membantu kita apabila kita berjuang, dan dengannya Allah (swt) menjanjikan kemenangan – samada dengan tertegaknya Khilafah melalui usaha yang benar dan sempurna, atau Allah (swt) membuka (wilayah-wilayah) dan mengurniakan kemenangan bagi mereka yang berperang di jalan-Nya.
Kami bersyukur kepada Allah (swt) kerana telah memuliakan umat ini dengan berdirinya Hizbut Tahrir, yang mengabdikan dirinya kepada usaha yang serius dan ikhlas, Insya Allah, demi mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan Khilafah Rashidah. Hizbut Tahrir adalah pemimpin yang tidak membohongi warganya. Ia adalah sebuah parti yang kebaikannya bersinar dengan terang dan mereka yang tidak dapat menanggung kebaikan ini, akan tergugur daripadanya. Inilah yang kami percayai dan kami yakin bahawa semua Shabab (anggota)nya adalah para pendakwah yang berjuang dengan serius, berusaha keras dan setia, insya Allah. Mereka merindui kehidupan akhirat lebih daripada dunia ini, dan mereka berjuang siang dan malam, dengan mendambakan rahmat Allah; bahawa janji-Nya dan khabar gembira daripada Rasul-Nya (saw) akan terealisasi melalui tangan-tangan mereka, dan sesungguhnya hal ini amat mudah bagi Allah (swt).
Kesimpulannya, kewajipan untuk menegakkan Khilafah, wahai kaum Muslimin, bukanlah hanya terletak kepada anggota Hizbut Tahrir, tetapi juga kepada setiap Muslim yang mampu. Oleh itu, dukunglah kami wahai kaum Muslimin, dukunglah kami wahai tentera kaum Muslimin! Rebutlah kembali kemuliaan kaum Ansar ketika mereka mendukung Deen Allah (swt). Allah (swt) telah menjadikan mereka setara dengan kaum Muhajirin, memuji mereka dan redha terhadap mereka (sebagaimana tertulis) di dalam Kitab-Nya yang mulia (Al-Quran). Bagaimanapun, usaha ini hanya (terhad) untuk orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka dengan kebaikan –
وَٱلسَّٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَٰجِرِينَ وَٱلۡأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَٰنٖ رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدٗاۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ
‘Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar” [At-Taubah: 100]
Disebabkan oleh besarnya nilai dan ganjaran serta kemuliaan bagi mereka yang menolong Deen Allah dan menegakkan Khilafah, kerana itulah para malaikat mengusung jenazah Saad bin Muadz selaku Sayyid al-Ansar (ketua kaum Ansar) (ra), seperti mana dinyatakan di dalam Al-Mustadrak ala as-Sahihain oleh Al-Hakim tentang kehebatan tindakan menolong Deen Allah (swt).
Sebagai kesimpulan kepada kesimpulan, sesiapa yang mendukung usaha untuk menegakkan Khilafah sebelum ia berdiri, ganjarannya adalah sangat besar dan lebih besar daripada mendukung Khilafah selepas ia berdiri, –
لَا يَسۡتَوِي مِنكُم مَّنۡ أَنفَقَ مِن قَبۡلِ ٱلۡفَتۡحِ وَقَٰتَلَۚ أُوْلَٰٓئِكَ أَعۡظَمُ دَرَجَةٗ مِّنَ ٱلَّذِينَ أَنفَقُواْ مِنۢ بَعۡدُ وَقَٰتَلُواْۚ وَكُلّٗا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ
“Tidaklah sama orang yang membelanjakan hartanya dan berperang, di antara kalian sebelum terjadinya penaklukan kota Makkah. Mereka itu kedudukannya sangat agung, dibanding dengan orang yang membelanjakannya dan berperang setelahnya. Masing-masing Allah janjikan kebaikan dan Allah Maha Tahu apa yang kalian lakukan” [Al-Hadid: 10].
Dan kami berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah (swt) agar ulang tahun ke-99 ini akan menjadi permulaan kepada kemenangan besar yang akan dikurniakan oleh Allah (swt) sebelum kita kembali mengingati peristiwa kejatuhan Khilafah yang akan datang, di waktu itu Khilafah Rashidah akan kembali menyinari dunia ini sekali lagi.
وَيَوۡمَئِذٖ يَفۡرَحُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ
“Dan pada hari (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman bergembira
بِنَصۡرِ ٱللَّهِۚ يَنصُرُ مَن يَشَآءُۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ
kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa saja yang Dia kehendaki. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengasih” [Ar-Rum: 4-5]
Wassalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Isnin, 28 Rajab 1441 H (23/3/2020 M)
Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu Ar-Rashtah
Amir Hizbut Tahrir