Umat Islam Rohingya Perlu Khilafah
Kekacauan yang berlaku di Myanmar adalah di antara etnik Rohingya yang beragama Islam dengan penduduk Buddha Rakhine sudah terlalu lama berlarutan. Meskipun media antarabangsa cuba untuk menutup pertembungan agama ini dengan menyatakan apa yang berlaku sebenarnya adalah perbalahan etnik semata-mata, namum di dalam perkembangan yang semakin meruncing ini, ia menunjukkan bahawa perbalahan sebenar adalah di antara umat Islam dan para penganut Buddha. Ini adalah kerana, pertempuran besar yang berlaku hanya melibatkan kedua-dua golongan itu. Kemusnahan yang berlaku juga telah membuktikan lagi bahawa ia melibatkan perbalahan agama apabila masjid-masjid di daerah Bauthidung, Maungdaw dan Akyab telah dimusnahkan termasuklah sebuah masjid tertua di Myanmar. Kemusnahan masjid ini menunjukkan wujudnya kebencian penduduk Arakan yang beragama Buddha ke atas agama Islam.
Setakat ini, dilaporkan lebih 80 orang telah terkorban, namun begitu ramai yang menjangkakan jumlahnya jauh lebih ramai (lebih 1000 orang) ini adalah kerana ramai yang cedera parah semasa pertembungan serta ada yang terkorban semasa cuba melarikan diri ke Bangladesh yang sekarang ini sedang menempatkan lebih daripada 300 000 pelarian daripada Myanmar. Pada ketika orang-orang Rakhine yang beragama Buddha mendapat pembelaan daripada pihak berkuasa, hampir keseluruhan umat Islam etnik Rohingya di Arakan terpaksa melarikan diri. Ini menunjukkan bahawa yang untung hanyalah orang-orang Buddha dan yang terpaksa menanggung beban dan kesengsaraan adalah umat Islam etnik Rohingya.
Semasa pemimpin pro-demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi disoal mengenai isu yang berlaku ini, beliau cuba untuk mengelak daripada menyebelahi mana-mana pihak dan hanya menjelaskan isu ini berpunca daripada masalah sempadan di antara Bangladesh dan Myanmar. Ini pastinya seperti yang dijangkakan kerana beliau yang mendapat banyak sokongan daripada negara Barat sudah tentu tidak mahu mengambil risiko dengan menyebelahi mana-mana puak kerana rakyat Myanmar yang rata-ratanya beragama Buddha tidak menyukai kaum muslim Rohingya. Tambahan lagi, pemimpin Myanmar baru-baru ini dengan angkuhnya mengatakan umat Islam etnik Rohingya bukan rakyat Myanmar dan mengarahkan mereka dihantar ke negara lain. Masalahnya negara mana yang sanggup menerima mereka?
Jadi, apakah harapan umat Islam etnik Rohingya selepas ini? Sekiranya kita mengkaji dengan mendalam, apa yang berlaku ini merupakan salah satu daripada episod duka umat Islam di seluruh dunia. Di setiap belahan dunia yang mana penduduk minoritinya adalah Islam, hak serta kebajikan mereka sering ditindas dan dizalimi. Ini merupakan suatu yang nyata telah berlaku sejak sekian lama seperti apa yang berlaku di Xinjiang China, Selatan Thailand, Chechnya, Kashmir dan sebagainya. Malahan perkara ini terus menerus berlaku seolah- olah tiada titik noktah.
Sebagai umat Islam, kita seharusnya memandang apa yang berlaku di Myanmar adalah sebahagian daripada urusan umat Islam seluruh dunia. Sebagai umat Islam, kita seharusnya melakukan suatu tindakan yang tegas bagi menghentikan segala tindakan kejam yang dilakukan ke atas umat Islam di sana. Namun begitu, usaha yang paling ampuh pastinya datang dari kerajaan yang memiliki kekuasaan, setidak-tidaknya mereka perlu mengambil tindakan diplomatik bagi menghentikan pertumpahan darah dari terus berlaku. Namun, ia bukanlah satu penyelesaian muktamad selagimana umat Islam tiada penaung tempat mereka berlindung sebagaimana ketika mereka mempunyai Khalifah untuk mengadu. Ini adalah kerana, tanpa adanya seorang Khalifah, pastinya masalah ini akan terus berlarutan. Kesimpulannya, jika selepas ini khilafah telah tertegak, adakah para pemimpin Myanmar itu berani untuk menzalimi, menghalau dan menghina umat Islam Rohingya? Kita tunggu dan lihat nanti.
Sumber : Utusan Malaysia , 22/06/2012, Utusan Malaysia , 23/06/2012