Undang-undang kufur ingin disamakan dengan Islam?
SEREMBAN 26 April – Kerajaan negeri dan Pusat harus bekerjasama memastikan sistem perundangan syariah di negara ini mendapat pengiktirafan yang setaraf dengan undang-undang sivil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses menyetarafkan sistem berkenaan pula perlu dilaksanakan tanpa mewujudkan syak wasangka kepada orang bukan Islam.
“Saya telah berbincang dengan Datuk Zaid Ibrahim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) kerana kita merasakan sudah sampai masanya melakukan rombakan untuk mengangkat sistem perundangan syariah setaraf dengan perundangan sivil.
“Namun pelaksanaannya memerlukan komitmen yang tinggi daripada kerajaan negeri untuk memberikan persetujuan di Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penyelarasan UndangUndang Syarak dan Sivil Ke-18 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd. Noor; Ketua Hakim Syarie, Datuk Ibrahim Lembut dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Datuk Sheikh Ghazali Abd. Rahman.
Persidangan itu akan membincangkan beberapa perkara yang penting antaranya draf kaedah-kaedah jawatankuasa kariah, kertas cadangan mensyaratkan pemakluman kepada keluarga sebelum memeluk Islam dan meningkatkan had bidang kuasa kesalahan jenayah syariah.
Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan beberapa perkara yang berkaitan perlu mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk pakar-pakar syarak agar tidak berlaku kontroversi kaum.
“Kita perlu mendapatkan pandangan semua pihak kerana dalam meningkatkan kehakiman syariah di negara ini, perkara yang perlu diambil kira ialah sentimen rakyat di negara ini.
“Pada masa yang sama, kita tidak mahu sebarang pergeseran berlaku akibat syak wasangka yang akhirnya boleh menyebabkan timbul rasa kurang senang dan penolakan di kalangan rakyat.
”Maka pandangan pakar-pakar amat penting dalam membawa hala tuju sistem syariah,” katanya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia 27/04/08
Ulasan:
Jika jalan raya di kawasan pedalaman dinaikkan tarafnya, maka ia merupakan suatu usaha yang amat besar faedahnya untuk rakyat kerana jalan raya merupakan kemudahan yang paling penting menghubungkan manusia sesamanya. Maka kita akan setuju dengan hal tersebut biarpun tertera dipapan tanda ‘Satu lagi projek oleh Kerajaan Barisan Nasional’.
Begitu juga kalau jambatan yang sudah lama nak runtuh dan dibiarkan oleh kerajaan Barisan Nasional, kemudian mereka ingin membina jambatan baru dan tertera dengan angkuhnya ‘Satu lagi projek oleh kerajaan Barisan Nasional’, maka kita akan bersetuju dengan projek ini jika dilakukan untuk kemudahan rakyat, walaupun setelah lama kita sakit hati.
Begitu pula mekanisme sistem-sistem jentera pentadbiran negara, terutamanya dalam sektor pengurusan, jika dinaikkan tarafnya hingga menjadi yang paling efisyen di dunia maka faedahnya juga memberi impak yang besar kepada rakyat dan negara. Dan di dalam akhbar atau media massa tertulis, ‘Satu lagi projek oleh Kerajaan Barisan Nasional’ maka kita mungkin setuju kerana hal ini adalah tugas dan tanggungjawab negara.
Tetapi bila timbul ‘projek’ menaiktarafkan perundangan syari’ah agar setaraf dengan undang-undang kufur (sivil), maka kita sama sekali tidak bersetuju dan akan menentang sepenuhnya. Kerana apa? Kerana syari’ah itu memang yang tertinggi dan teratas dari segala undang-undang kufur yang ada. Undang-undang syariah adalah wajib diterapkan sepenuhnya dan undang-undang sivil/kufur wajib dihapuskan sepenuhnya. Keduanya sama sekali tidak boleh digandingkan, apatah lagi ingin di sama tarafkan. Apakah hak manusia atau menteri mana sekalipun ingin menyamatarafkan undang-undang Allah dengan undang-undang kufur buatan manusia? Ia merupakan usaha yang paling hina dalam sejarah peradaban Islam di mana
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2):42].