Undian Al-Jazeera: 88.5% percaya Sistem Ekonomi Islam yang paling baik untuk diterapkan di dunia.

After the outbreak of the global financial crisis, what financial system do you believe it is best for the world to follow? (Setelah krisis kewangan global melanda, sistem kewangan apakah yang anda percaya paling baik untuk diikuti di dunia?)

Begitulah bunyi soalan yang diajukan oleh Al Jazeera. Hasilnya, 88.5% dari 29,486 responden menjawab sistem kewangan Islam. Sedangkan responden yang memilih sistem kewangan Kapitalis hanya 5.0% sahaja dan yang memilih sistem kewangan Komunis sebanyak 6.5%.



Sistem ekonomi Kapitalisme kini sedang karam, setelah sebelumnya sistem ekonomi komunisme berkubur. Kini hanya tinggal Islam sahajalah satu-satunya penyelesaian yang paling ampuh dan bebas dari berbagai krisis. Kapitalisme sekarang benar-benar berada di hujung tanduk dan hanya menunggu masa untuk jatuh tersungkur.

Di saat-saat akhir kejatuhan Daulah Khilafah dahulu, umat Islam terpegun dengan peradaban Barat sehingga mereka telah mengabaikan institusi politik yang telah menaungi mereka berabad lamanya. Kebangkitan Barat yang berideologikan Kapitalisme dilihat sebagai satu kemajuan baru dunia yang diasaskan atas konsep kebebasan. Umat lalu mula meninggalkan Islam dan mengejar kemewahan dunia yang diajar oleh kapitalis dan meninggalkan hukum-hakam Islam serta mengabaikan Khilafah Islam. Setelah kejatuhan Khilafah, peradaban Barat masuk dengan agak drastik ke dalam kehidupan umat Islam dan pandangan hidup umat mula berubah kepada kecintaan kepada dunia. Umat Islam kemudian hilang arah tuju dan mula lupa untuk apakah mereka diciptakan. Kemewahan dunia yang ditawarkan oleh Kapitalis di bawah kebebasan berekonomi membutakan mata mereka kepada akhirat. Lalu, mereka terperosok ke lembah kehinaan kerana telah mengambil Kapitalis sebagai cara hidup dengan meninggalkan Islam.
 
Namun, oleh sebab adanya ulama dan gerakan-gerakan Islam yang tidak putus-putus berjuang untuk menerangkan kebatilan sistem kufur Kapitalis dan mereka berusaha untuk mengembalikan semula kemuliaan umat di bawah naungan Daulah Khilafah, lama-kelamaan kesedaran mula tumbuh di tubuh umat. Kehinaan yang dialami selama ini sedikit demi sedikit telah menimbulkan kesedaran, sehinggakan umat mula nampak kebobrokan Kapitalis dan mula mencari jawapan kepada seribu macam masalah yang mereka hadapi selama ini. Mereka telah melihat sosialisme menuju kehancuran kerana gagal menyelesaikan masalah manusia. Kejahilan umat terhadap Islam kemudian memerangkap mereka untuk menerima Kapitalisme dan untuk jangka masa yang agak lama, mereka hanyut di dalam arus Kapitalis tanpa mereka sedar bahawa arus ini  membawa mereka ke jurang maut.
 
Kini, setelah ramai yang terkorban di bawah Kapitalisme, barulah umat sedar bahawa ada satu sistem lain yang boleh menyelamatkan mereka. Setelah melihat dengan mata dan kepala sendiri sistem Kapitalis sedang menuju ke lembah maut, umat mula memikirkan untuk mencari penyelamat, dan sudah tidak ada lagi yang boleh menyelamatkan mereka kecuali satu sistem yang datangnya dari wahyu. Kini, umat Islam telah mula menyatakan aspirasi mereka untuk kembali kepada sistem yang benar, yang pernah satu ketika dahulu menjadikan mereka umat yang mulia di kalangan semua manusia. Hanya saja, umat ini perlu dididik dan dipandu kepada kebenaran, kerana telah lama mereka berada di dalam kegelapan. Umat kini perlu dididik dengan cara yang benar bagaimana untuk menegakkan kembali sistem Khilafah, yang satu ketika dulu kehidupan ekonomi mereka begitu sejahtera di dalamnya.