Usaha wanita Umno Johor – usaha yang diasaskan kepada kebodohan!
JOHOR BARU: Wanita Umno Johor memandang serius insiden pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dan bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang sudah terlanjur, kata ketuanya Senator Sharifah Azizah Syed Zain. Menurut beliau, pergerakan itu meminta mereka yang sudah terlanjur itu supaya tidak mengambil jalan singkat dengan melakukan pembuangan bayi, sebaliknya menghubungi Wanita Umno Johor bagi bantuan. “Mereka jangan takut-takut untuk menghubungi Wanita Umno Johor bagi membolehkan kami menghulurkan bantuan dan seterusnya menyelesaikan segala permasalahan yang mereka hadapi,” katanya kepada Bernama hari ini. Katanya, Wanita Umno Johor dan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan pelbagai kemudahan dan tempat yang sesuai untuk menempatkan ibu serta bayi bagi menghindari mereka daripada terjebak di dalam kegiatan pembuangan bayi.
Sharifah berkata demikian sebagai mengulas kegiatan pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini termasuk kejadian penemuan mayat bayi lelaki yang sudah terbakar di sebuah tong sampah di Kuala Krai, Kelantan dua hari lepas. Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor semalam membayangkan kemungkinan untuk menwujudkan rangkaian kerjasama pelbagai pihak untuk menangani masalah tersebut. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula mengarahkan semua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)bersedia 24 jam untuk memberikan bantuan bagi mengelak pembuangan bayi. Sharifah Azizah berkata, “Skuad Sayang” Umno Johor bekerjasama dengan JKM negeri itu di dalam usahanya untuk mengesan golongan wanita yang berpendapatan rendah untuk dihulurkan bantuan. “Kita telah pun memulakan usaha tersebut dengan bantuan JKM dan setakat ini respons adalah amat menggalakkan. Tujuan program itu adalah untuk meluaskan rangkaian bantuan terhadap golongan wanita yang memerlukannya,” katanya. Menurut beliau, di bawah program “Jalinan Rakyat” Wanita Umno Johor pula, mereka akan turun padang dan membantu menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh golongan wanita di negeri ini. – BERNAMA
Sumber : mStar Online, 15/02/2010
Usaha wanita Umno Johor – usaha yang diasaskan kepada kebodohan!
Inilah kekeliruan dan kebodohan Wanita Umno Johor yang merasakan seolah-olah usaha mereka untuk membantu golongan wanita terlanjur ini dapat menyelesaikan masalah pembuangan bayi yang berlaku. Mereka merasakan usaha mereka itu adalah sesuatu yang tepat, betul dan baik, namun hakikatnya, sedar mahupun tidak, ia merupakan tindakan yang akan melangsungkan dan memperpanjangkan lagi tempoh hayat sistem kufur Kapitalisme yang sudah lama berakar umbi di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Dalam erti kata lain, tindakan dan langkah di atas adalah tindakan bunuh diri sebenarnya. Sedar ataupun tidak ia merupakan sumbangan yang akan memberikan peluang dan ruang kepada para pelaku maksiat untuk terus berani dan tanpa rasa berdosa terus melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ini adalah kerana bagi para pelaku maksiat ini sudah ada ‘talian hayat’ yang boleh membantu mereka untuk menutup dosa dan kemaksiatan yang mereka lakukan.
Wahai para pendokong UMNO! Sedarlah bahawa sesuatu tindakan yang ingin kita lakukan itu mestilah bersandarkan kepada hukum syarak bukannya menggunakan hawa nafsu semata-mata. Ketahuilah bahawa tindakan yang cuba dilakukan oleh Wanita UMNO Johor itu hanyalah untuk mengubati simptom dan bukannya menyelesaikan punca masalah. Apa yang mereka lakukan ini selama-lamanya tidak akan menyelesaikan masalah dan tidak mustahil Johor khususnya dan Malaysia amnya nanti akan dipenuhi dengan anak-anak luar nikah! Bukankah ini suatu usaha bunuh diri namanya? Bukankah ini suatu tindakan bodoh namanya? Apa yang seharusnya dilakukan oleh Wanita UMNO Johor khususnya dan pemerintah yang berkuasa amnya adalah kembali kepada Islam dan menerapkan hukum Allah secara syumul dalam menangani permasalahan sosial yang sudah begitu teruk hari ini. Islam pasti akan dapat menyelesaikan masalah ini dan menebarkan rahmat ke seluruh alam.
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al Anbiyaa’ (21) : 107].
Wahai umat Islam! Apakah kamu tidak pernah mendengar firman Allah SWT ini?
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaahaa (20) : 124].
Wahai Wanita UMNO Johor! Janganlah terus membelenggu diri kamu dalam kebodohan dan terus menerus melakukan tindakan bodoh mengenepikan solusi Islam yang siap tersedia. Jangan kamu terus hinakan diri kamu dengan melupakan solusi syarak dan menjadikan hawa nafsu sebagai penyelesaian.