Peluang Pekerjaan, Tanggungjawab Negara

altBN kekal sebagai jenama selagi dapat sambutan – Najib

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai satu jenama, Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat sambutan rakyat selagi produk dan perkhidmatannya terus memenuhi kehendak masyarakat.

Perdana Menteri berkata, kejayaan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BNYJF) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini merupakan antara bukti jenama BN masih mendapat sambutan khususnya di kalangan generasi muda.

“Inilah yang dikatakan pengisiannya dan sekiranya kalau ada pihak yang sangsi pada peringkat awalnya, kot-kot BN ini tidak boleh kita pasarkan lagi, maka kesangsian mereka itu tersasar dan meleset kerana BNYJF mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan,” katanya semasa menutup program tiga hari itu hari ini.
Konsep jenama itu, kata Pengerusi BN itu, dapat juga diaplikasikan dalam pilihan raya terutamanya dalam melahirkan “calon boleh menang” yang boleh memastikan kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.
Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, ini termasuklah dalam memastikan calon yang dipilih dapat berkhidmat dengan baik untuk rakyat dan menunaikan janji kepada rakyat. – Bernama

Sumber :  Utusan Online, 20/11/2011
 

Peluang Pekerjaan, Tanggungjawab Negara


Inilah wajah politik kapitalis. Setiap apa yang dilakukan, pasti akan disandarkan kepada manfaat serta kelebihan kepada mereka. Meskipun sudah menjadi kewajiban pihak pemerintah untuk membantu rakyat mendapat pekerjaan, manfaat politik tetap menjadi sandaran bukannya berlumba- lumba untuk mendapat keredhaan Allah. Namun begitu, karnival kerjaya seperti ini nampaknya diutamakan untuk mempromosikan parti sekular BN kepada rakyat. Tajuk program sahaja sudah mendedahkan matlamat yang ingin mereka kecapi.

Dalam Islam, tuntutan bekerja dipertanggungjawabkan atas setiap yang mampu bagi memenuhi keperluan seharian mereka. Pada zaman Rasulullah dahulu, nabi pernah membekalkan kepada seorang sahabat sebilah kapak dan tali untuk sahabat tersebut mencari rezeki yang halal. Pengajaran yang boleh diambil dari perbuatan Rasulullah ini adalah bahawa menyediakan peluang pekerjaan merupakan salah satu tanggungjawab utama negara. Negara seharusnya menyediakan semaksimum mungkin peluang pekerjaan kepada rakyat, bagi membolehkan rakyat mencari rezeki yang halal dan tiada seorangpun terhalang dari mendapatkannya. Tanggungjawab ini seharusnya dipikul atas kesedaran tersebut, dan bukannya berlandaskan manfaat politik kapitalis. Wallahu a’lam.