Fikratul Ummah – Disember 2008

 
Dari Lidah Pengarang
Renungan Akhir Tahun Buat Muslimah
Busana Muslimah: Di manakah Identiti Islamnya?
Pengajaran dari Eidil Adha

 


Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh,
Kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 1429 Hijrah dan 2008 Masihi. Di penghujung tahun ini, sementara menanti fajar 1429H/2009M menyinsing, marilah kita merenungkan kembali peristiwa pahit manis yang berlaku sepanjang tahun. Tujuannya tidak lain adalah untuk memuhasabah diri agar setiap langkah yang kita ambil adalah demi  melakukan perbaikan, juga meneladani bala dan musibah yang telah ditimpakan Allah kepada umat Islam sama ada di dalam dan di luar negara.

Syukur Alhamdulillah, Fikratul Ummah kali ini mengemukakan dua isu iaitu Renungan Akhir Tahun Buat Muslimah dan sebuah artikel yang mengungkap isu malar segar iaitu aurat dengan tajuk Busana Muslimah: Dimana Identiti Islamnya? Artikel tentang tatacara berpakaian atau berbusana ini diharap akan memberi pencerahan apakah busana-busana Muslimah sebagaimana yang difahami sebahagian kaum Muslimah memenuhi syarat-syarat menutup aurat menurut Syarak.

Sebuah artikel terjemahan iaitu Pengajaran dari Eidul Adha turut dimuatkan dengan harapan ia akan mencetuskan dalam diri Muslimah sejauh mana kesanggupan mereka untuk berkorban demi  agama Allah ini.

Semoga sinar tahun baru akan menumbuhkan benih-benih keinsafan dalam diri kita untuk mencetuskan semangat juang yang lebih tinggi, memiliki kesabaran dan kesanggupan berkorban bukan hanya untuk menikmati kesenangan duniawi semata-mata, sebaliknya untuk melaksanakan dakwah, melaksanakan amal makruf nahi mungkar demi menggapai mardhatillah.
Wallahu alam bisshawab.


Renungan Akhir Tahun Buat Muslimah

Tahun 2008 tinggal beberapa hari sahaja lagi bakal menutup tirainya. Sepanjang tahun ini, pelbagai isu berlaku dalam negara. Kematian adik Nurin Jazlin Jazimin yang selamat disemadikan pada tanggal 22 September 2007 masih lagi menghantui rakyat Malaysia memandangkan kes kehilangan adik Sharlinie dan adik Asmawi yang mendapat liputan meluas dari pihak media masih lagi menemui jalan buntu. Kenaikan mendadak harga petrol dari RM1.92 sen seliter kepada RM2.70 seliter pada kadar 78 sen atau 41% dan minyak diesel RM1 atau 63% dari RM1.58 sen seliter kepada RM2.58 seliter pada 5 Jun 2008 telah memberi pukulan hebat kepada kebanyakan rakyat Malaysia. Kuasa membeli rakyat Malaysia yang telah menurun sebanyak 40% telah menimbulkan bantahan dan protes dari kalangan rakyat. Sebahagian mereka beranggapan bahawa barisan kepimpinan sedia ada iaitu Barisan Nasional (BN) hendaklah digantikan dan pihak pembangkang diberi peluang untuk menyelesaikan kemelut yang menyebabkan kenaikan harga barang, utiliti dan perkhidmatan. Impak kenaikan harga minyak juga telah menenggelamkan banyak isu besar seperti gejala sosial dan kes pembuangan bayi yang tidak pernah surut dari dilaporkan oleh pihak media. Negara dikejutkan sekali lagi dengan kejadian tanah runtuhdiBukit Antarabangsa yang mengorbankan 5 nyawa serta merosakkan 14 buah banglo di keheningan pagi 6 Disember 2008. Kejadian tanah runtuh  kali kedua di lokasi sama ini mengimbau kenangan pahit rakyat Malaysia apabila kondominium Highland Tower runtuh dan mengorbankan 48 nyawa 15 tahun silam.

Di sebalik peristiwa pahit di atas, negara terpaksa berdepan dengan kesan limpahan akibat krisis kewangan yang bersifat global kesan isu pinjaman sub-prima Amerika Syarikat. Krisis yang secara purata menyebabkan pasaran saham global merudum sehingga 40% dalam tempoh kurang dari setahun telah mencemaskan banyak pihak termasuk kaum wanita. Cemasnya wanita bukanlah kerana krisis ini akan menyebabkan mereka menghadapi kesulitan untuk melaksanakan kewajipan pada agama, sebaliknya golongan suri rumah dan ibu-ibu bimbang krisis ini menyebabkan mereka terpaksa mengkaji semula belanjawan rumah tangga.

Di sisi lain, penghujung tahun ini menyaksikan media-media cetak, elektronik termasuk Internet memberi pendedahan kisah-kisah perkahwinan dan penceraian golongan artis dan selebriti sehingga menenggelamkan isu-isu penting seperti harga barangan dan perkhidmatan yang tidak turun sungguhpun harga petrol telah menyusut kepada RM1.80 seliter. Bicara tentang kisah pernikahan artis yang digambarkan seperti kisah pari-pari menjadi topik utama. Kegemerlapan dunia seakan  terus membuai keinginan menyemarakkan budaya hedonisme. Maka, lupalah mereka akan nasihat seorang insan mulia bukan Nabi yang namanya tercatat di dalam Kitab Suci iaitu Lukman Hakim yang pernah berpesan kepada anaknya  dengan berkata, “Anak ku, ikutlah engkau pada orang-orang yang sedang mengusung jenazah, jangan kau ikut orang-orang yang hendak pergi ke pesta pernikahan. Kerana jenazah akan mengingatkan engkau pada kehidupan yang akan datang. Sedangkan pesta pernikahan akan membangkitkan nafsu dunia mu.”

Pelbagai musibah dan gejala menimpa manusia. Malangnya, belitan pemikiran assobiyah yang memisahkan umat Islam dengan sempadan geografi menjadikan pemikiran sebahagian umat Islam hanya mengambil tahu kisah-kisah yang berlaku dalam negara sahaja. Selain membaca dengan perasaan ngeri, apakah yang tergambar dalam minda seorang Muslimah apabila membaca nasib seorang Muslimah yang merupakan saudara seagamanya? Nama Dr Afia Siddiqui, seorang pakar saraf warganegara Pakistan lulusan Massachusetts Institute of Technology (MIT) tiba-tiba hebat diperkatakan. Agence France-Presse (AFP) melaporkan pada 5 Ogos 2008 bahawa Dr Siddiqui yang menghilang dari bandar Karachi, Pakistan pada tahun 2003 telah dimasukkan ke dalam senarai suspek pengganas  yang ada hubungkait dengan Al-Qaeda pada 2004. Tuduhan bersekongkol dengan pihak pengganas bukan hanya menyebabkan beliau terpenjara sebaliknya laporan mengatakan bahawa pakar saraf yang juga ibu kepada tiga anak  yang diberi gelaran “Tahanan 650” ini telah diseksa secara fizikal, mental dan seksual di penjara lelaki di Bagram [www.defence.pk/forums/national-political-issues/13057-dr-afia-siddiqui-grey-ghost-lady-bagram.html].

Keadaan beliau juga dilaporkan sangat parah disebabkan oleh luka akibat peluru dan pembedahan membuang salah satu buah pinggangnya [http://alaiwah.wordpress.com/where-is-dr-afia-siddiqui-asks-ahrc/]. Membaca kisah yang menyedihkan ini, dapatkah kita mengatakan bahawa kasih sayang dan mengambil berat sesama Muslim telah sempurna seandainya kesedihan kita hanya diakhiri dengan sebuah keluhan panjang? Adakah insiden seumpama ini boleh dihindari dan nasib beliau dibela? Adakah wujud jaminan hal seperti ini tidak akan menimpa diri kita sendiri atau Muslimah lain?

Memahami Bala, Musibah dan Azab

Secara harfiah, al-bala’ bermakna al-ikhtibar (ujian). Istilah bala’ sendiri digunakan untuk menggambarkan ujian yang baik mahupun yang buruk [Imam ar-Razi, Mukhtâr al-Shihâh, hal. 65]. Dalam kitab al-Tibyân fi Tafsîr Gharîb al-Qur’an dinyatakan, bahawa bala’ itu memiliki tiga bentuk; nikmat (kenikmatan), ikhtibar (cubaan atau ujian), dan makruh (sesuatu yang dibenci) [Syihâb al-Dîn Ahmad, al-Tibyân fi Tafsîr Gharîb al-Qur’an, juz 1, hal. 85].

Di dalam al-Quran, kata bala’ disebutkan di enam tempat, dengan makna yang berbeza-beza; (TQS. al-Baqarah [2]: 49; TQS. al-A’râf [7]: 141; TQS. al-Anfâl [8]: 17; TQS. Ibrahim [14]: 6; TQS. ash-Shafât [37]: 106; TQS. ad-Dukhân [44]: 33). Ada yang bermakna cubaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala’ hasanan). Bala’ dalam konteks ujian yang buruk, misalnya terdapat di dalam firman Allah Subhanahu wa Taala berikut ini: “Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu.” [TMQ al-Baqarah (2): 49].

Ayat ini bercerita tentang Bani Israel yang diselamatkan dari penyembelihan dan kekejaman Fir’aun. Menurut Ali ash-Shabuni, bala’ dalam ayat ini adalah al-mihnah wa al-ikhtibâr (ujian dan cubaan) yang ditimpakan oleh Fir’aun kepada Bani Israil; yakni penyembelihan anak laki-laki [Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 1, hal. 57].

Adapun bala’ dalam konteks ujian yang baik terdapat dalam firman Allah Subhanahu wa Taala: “Maka sebenarnya, bukan kamu yang membunuh mereka. Akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar. Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik (bala’an hasanan). Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [TMQ al-Anfâl (8): 17].

Menurut Imam al-Baidhawi dalam Tafsir al-Baidhawi, perkataan bala’ pada ayat di atas adalah kenikmatan yang diberikan Allah kepada orang-orang beriman, dalam bentuk pertolongan Allah (al-nashr), al-ghanimah (harta rampasan perang), dan al-musyahadah (mati syahid) [Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 3, hal. 97].

Musibah adalah al-baliyyah (ujian) dan semua perkara yang dibenci oleh manusia. Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisân al-‘Arab menyatakan, bahawa musibah adalah al-dahr (kemalangan, musibah dan bencana) [Imam Ibnu Mandzur, Lisân al-‘Arab, juz 1, hal. 535]. Menurut Imam al-Baidhawi, musibah adalah semua kemalangan yang dibenci dan menimpa umat manusia. Ini didasarkan pada sabda Rasulullah Sallallahu alaihi Wa Sallam, “Setiap perkara yang menyakiti manusia adalah musibah.” [Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 1, hal. 431].

Perkataan musibah disebut dalam sepuluh ayat dan semuanya bermakna kemalangan, musibah dan bencana yang dibenci manusia. Namun demikian, Allah Subhanahu wa Taala memerintahkan kaum Muslim untuk meyakini bahawa semua musibah itu datang dari Allah Subhanahu wa Taala, dan atas izinnya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada qalbunya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” [TQS. al-Taghâbun (64): 11].

Azab secara harfiah adalah al-nakâl wa al-‘uqûbah (peringatan bagi yang lain, dan seksaan (hukuman) [Imam Ibnu Mandzur, Lisân al-‘Arab, juz 1, hal. 585]. Al-nakâl adalah peringatan yang berupa seksaan atau hukuman kepada yang lain. Perkataan al-‘azab biasanya digunakan untuk merujuk kepada hukuman atau seksaan di hari akhirat kelak. Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Allah telah mengunci mati qalbu dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” [TMQ al-Baqarah (2): 7].

Sesungguhnya, orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.” [TMQ al-Isrâ’ (17): 10], dan lain sebagainya. Namun demikian, kata ‘azab juga digunakan dalam konteks hukuman di kehidupan dunia.

Allah Subhanahu wa Taala juga berfirman:“Tidak ada suatu negeri pun yang derhaka penduduknya, melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab Lauh al-Mahfuz.” [TMQ al-Isrâ’ (17): 58].

Menurut Ali ash-Shabuni, jika penduduk suatu kota ingkar atau bermaksiat kepada perintah Allah Subhanahu wa Taala, mendustakan Rasul-rasulNya, nescaya Allah akan menghancurkan mereka, sama ada dengan kehancuran secara total (pemusnahan), mahupun ditimpa dengan hukuman yang amat keras [Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 2, hal. 165]. Di ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Sekiranya mereka tidak bercampur baur, tentulah Kami akan mengazab orang-orang kafir di antara mereka dengan azab yang pedih.” [TMQ al-Fath (48): 25].

Tatkala mentafsirkan ayat ini, Ali ash-Shabuni mengatakan, “Seandainya orang-orang kafir itu dipisahkan satu dengan yang lain, kemudian dipisahkan antara yang mukmin dengan yang kafir, tentulah Allah akan mengazab orang-orang kafir dengan azab yang sangat keras, berupa pembunuhan, penawanan, mahupun pengusiran dari negeri-negeri mereka.” [Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 3, hal. 48]. Keterangan ini diperkuat dengan firman Allah Subhanahu wa Taala yang lain, yakni: “Dan jikalau tidaklah kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.” [TMQ al-Hasyr (59): 3].

Ayat ini bercerita tentang pengusiran Bani Nadir, sekali gus mengisahkan, bahawa jikalau Allah Subhanahu wa Taala tidak menetapkan hukuman pengusiran terhadap Bani Nadir, nescaya mereka akan diazab dengan pembunuhan (al-qatl). Hukuman bagi mereka cukup dengan pengusiran, bukan pembunuhan seperti halnya hukuman bagi Yahudi Bani Quraizah. Ayat di atas juga menunjukkan, bahawa ‘azab tidak hanya berasal dari Allah Subhanahu wa Taala saja, akan tetapi juga bersumber dari manusia sendiri, yakni berupa hukuman atau sanksi di kehidupan dunia.


Penyebab Datangnya ‘Azab Allah

Pada dasarnya, penyebab datangnya ‘azab Allah Subhanahu wa Taala adalah kezaliman, kemaksiatan, dan kefasikan. Allah Subhanahu wa Taala telah menyatakan hal ini di beberapa ayat; di antaranya adalah firman Allah Subhanahu wa Taala:

Dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.” [TMQ al-Qashash (28): 59].

Maka tidak dibinasakan kecuali kaum yang fasik.” [TMQ al-Ahqâf (46): 35].

Kami telah membinasakan mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berbuat dosa (al-mujrimun).” [TMQ ad-Dukhân (44): 37].

Ayat-ayat di atas menunjukkan, bahawa ‘azab Allah hanya akan dijatuhkan kepada penduduk negeri yang melakukan kezaliman, kemaksiatan, dan kefasikan. Dengan kata lain, ‘azab Allah hanya akan dijatuhkan, tatkala peringatan-peringatan Allah Subhanahu wa Taala melalui lisan RasulNya telah diabaikan dan didustakan.

Akan tetapi, ada beberapa riwayat yang menunjukkan, bahawa ‘azab Allah boleh menimpa orang-orang Mukmin tatkala mereka enggan mencegah kemungkaran padahal mereka mampu melakukannya. Dari Adi bin Umairah dituturkan, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah bersabda:“Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang-orang secara keseluruhan akibat perbuatan mungkar yang dilakukan oleh seseorang, kecuali mereka melihat kemungkaran itu di depannya, dan mereka sanggup menolaknya, akan tetapi mereka tidak menolaknya. Apabila mereka melakukannya, nescaya Allah akan mengazab orang yang melakukan kemungkaran tadi dan semua orang secara menyeluruh.” [HR. Imam Ahmad].

Muslimah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya dari dalil-dalil yang dikemukakan di atas, kita melihat bahawasanya musibah yang menimpa manusia tidak lain adalah sebagai peringatan dari Allah Subhanahu wa Taala. Pada masa kini kita menyaksikan Islam tidak menjadi ikutan dan panduan hidup kecuali dalam juzuk tertentu seperti ibadah khusus. Dewasa ini kita menyaksikan wanita-wanita Islam bebas membuka aurat mereka di khalayak ramai tanpa dikenakan hukuman. Wanita Islam tidak mengendahkan perintah Allah untuk menutup aurat dan tidak bertabarruj. Wanita-wanita Islam terlibat dalam gejala sosial seperti pelacuran. Hubungan luar nikah hingga memaksa mereka membuang bayi yang dilahirkan atau digugurkan  telah menjadi fenomena biasa. Adakah senario yang menyakitkan ini boleh diubah atau kita hanya mampu berdoa supaya segala bentuk maksiat akan segera lenyap?

Justeru, marilah kita berusaha dengan lebih gigih untuk menggiatkan aktiviti dakwah untuk melanjutkan kehidupan Islam (isti’naf al-hayat al-Islam) sesuai dengan status umat Islam selaku khaira ummah. Telah terbukti di hadapan mata kita bahawasanya musibah melanda manusia disebabkan keengganan mereka mematuhi perintah Allah sedangkan Dia Subhanahu wa Taala telah berfirman dalam surah Thaha ayat 124 :  “Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” Janganlah kita menanti datangnya bala dan musibah untuk kita insaf seterusnya memperjuangkan agama ini kerana dikhuatiri dosa-dosa umat Islam ini akansemakin menghancurkan umat yang mulia ini.

Umar bin Khattab berwasiat ketika melepaskan tenteranya berperang: ”Dosa yang dilakukan tentera (Islam) lebih aku takuti dari musuh mereka. Sesungguhnya umat Islam dimenangkan kerana maksiat musuh mereka kepada Allah. Kalau tidak demikian kita tidak mempunyai kekuatan, kerana jumlah kita tidak sepadan dengan jumlah mereka, kelengkapan kita tidaklah dapat menandingi dengan kelengkapan mereka. Jika kita sama dalam berbuat maksiat, maka mereka lebih memiliki kekuatan. Jika kita tidak dimenangkan dengan keutamaan kita, maka kita tidak dapat mengalahkan mereka dengan kekuatan kita.”
Wallahu a’lam bisshabawab.


Busana Muslimah: Di manakah Identiti Islamnya?

Sejak zaman berzaman, pakaian memiliki pelbagai fungsi dalam sejarah peradaban manusia. Bukan sekadar penutup anggota badan tertentu, tetapi ia juga menjadi penghias tubuh sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala: Wahai anak Adam (manusia), sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada mu pakaian untuk menutupi (aurat) tubuh mu dan untuk perhiasan.” [TMQ Al-A’raf:26]. Secara umumnya, dari tatacara, bentuk dan fesyen,
pakaian dianggap mencerminkan keperibadian seseorang. Sebagai Muslimah, antara perintah Allah yang terbeban ke atas bahu mereka  adalah mengenakan pakaian untuk menutup seluruh aurat yang tidak layak ditunjukkan kepada selain mahram mereka. Dari sini, muncul apa yang disebut sebagai ‘Busana Muslimah’. Umumnya, busana Muslimah adalah pakaian yang  mematuhi hukum syarak dan memakainya mencerminkan seorang Muslimah yang taat atas ajaran agama dalam tatacara berbusana. Bukan sekadar simbol atau lambang sebaliknya mengenakan busana Muslimah bermakna seorang perempuan itu membuat pengisytiharaan kepada makhluk Allah akan keyakinan dan keimanannya, pandangannya terhadap dunia dan jalan hidup yang dia tempuh di mana semua itu berdasarkan kepada keyakinan mendalam terhadap Allah Yang Maha Esa.

Kecenderungan terhadap Islam dan stigma ‘kembali kepada deen yang mulia ini’ sedikit sebanyak meluaskan peranan busana Muslimah dalam kehidupan wanita Islam. Di Barat misalnya, seorang produser filem Kanada bernama Jawad Jafry sebagaimana laporan Arab News pada 29 September 2007 telah menerbitkan satu dokumentari bertajuk “Hijab: An Act of Faith” menerangkan bahawa penggunaan hijab merupakan suatu identiti khas Islam yang mampu menyatukan kaum Muslimin menjadi satu tubuh. “Hijab bukan sahaja sebagai identiti Muslim, tetapi lebih dari itu, sebagai alat penyatu, sebagai pembeza, antara kaum Muslimin dengan yang lainnya,” tambahnya. [http://akar03.multiply.com/journal/item/23/Jawad_Jafry_Lawan_Stigma_Jilbab_di_Barat_dengan_Film]. Di Malaysia, kita mendapati tudung (khimar) yang perintah memakainya termaktub di dalam Surah An-Nur (24):31 “Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” dianggap oleh sebahagian umat Islam sebagai satu-satunya bukti pematuhan seorang Muslimah kepada hukum syarak. Akibatnya, walaupun tiada sehelai rambut kelihatan, akan tetapi sebahagian Muslimah tampil di khalayak ramai dengan pelbagai bentuk, fesyen dan rupa kerana membuat andaian bahawa perintah menutup aurat telah mereka patuhi sekiranya rambut telah ditutup sebahagian atau keseluruhannya. Terbaru, bekas isteri pengacara Akademi Fantasia musim ke enam sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar Harian Metro 19 Disember 2008 telah ditegur oleh hakim kerana memakai baju ‘ala-ala perang’ iaitu memakai baju kemeja putih berjalur hitam dan vest kelabu serta seluar hitam. Teguran hakim adalah kerana ia pakaian yang tidak sesuai untuk menghadiri prosiding di mahkamah, seolah-olah di luar mahkamah, ia adalah pakaian yang sah dan syarie.

Festival Busana Muslim (Islamic Fashion Festival) Kuala Lumpur yang julung-julung kalinya diperkenalkan lima tahun lalu telah berlangsung di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur pada 22 hingga 30 November 2008 yang lalu dengan penyertaan 44 pereka dari lima negara termasuk Malaysia. Festival yang dimeriahkan dengan rekaan ikon-ikon fesyen seperti Bernard Chandran, Tom Abang Saufi, Melinda Looi, Michael Ong, Khoon Hooi and Albert King turut mempamerkan label dan jenama seperti Jendela Batik, ETRO, Aktif Bistari, Khadani dan lain-lain. Selain daripada pereka fesyen tempatan, pereka-pereka dari luar negara juga turut dijemput untuk memeriahkan lagi acara dan menambah warna serta hasil reka cipta.

Perkembangan ini menjadikan fesyen ataupun model pakaian Islam berubah menjadi satu ikon perniagaan yang berjaya. Butik Busana Muslimah tumbuh bak cendawan selepas hujan. Malah Ekin, isteri “Raja SMS” pernah menyatakan akan membuka sebuah butik selepas perkahwinannya nanti. Selain itu, artis-artis yang berbusana Muslim dengan pelbagai fesyen menjadi idola kepada masyarakat setempat yang mana fesyen tersebut menjadi ikutan malah kegilaan segelintir umat yang amat ‘dahagakan’ cara berpakaian Islam yang sebenar.

Malangnya, jika diperhatikan Muslimah yang mengaku Islam ramai yang telah hilang identiti dan jati dirinya sebagai seorang Muslimah sebenar. Kebanyakan dari mereka terus hanyut mengikut arus semasa, sedangkan ada sebahagiannya lagi sesat tanpa disedari. Dengan menutup kepala, berbaju senteng dan berseluar ketat juga dianggap sebagai busana Muslimah. Malah pelbagai fesyen busana Muslimah yang ranggi, nampak “up-to-date” dan glamor juga mudah kita dapati di mana-mana. Tempias kepada aliran fesyen busana Muslim ‘masakini’ juga bukan sedikit, malah sekarang ini kita dapat lihat dimana-mana kaum Muslimah kita ayu berbusana Muslim dengan gaya moden.

Persoalan yang hendak dikemukakan di sini ialah sejauh mana fesyen busana Muslim ini bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan Syariat? Ini kerana sebagai Muslimah yang mengakui ke-Esaan Allah Subhanahu wa Taala  dan mengagumi Muhammad Sallallahu alaihi wa Salam sebagai RasulNya, perlu kita ketahui bahawa segala aturan hidup kita ini telah ditentukan oleh-Nya. ISLAM yang kita anuti bukan sekadar satu agama semata. Akan tetapi Islam itu juga adalah sebuah ideologi (satu pemikiran yang dijadikan sebagai cara hidup). Islam adalah; “Satu agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan orang lain”. Islam adalah satu aqidah yang dijanjikan Allah akan kesempurnaannya. Sama ada disedari atau tidak, aqidah Islam ‘memaksa’ penganutnya untuk terikat dan tunduk kepada ajarannya iaitu perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Taala yang menciptakan manusia , alam dan kehidupan dengan nama lain terikat dengan Hukum Syarak. Sebagai seorang Muslim, hukum syarak hendaklah dijadikan landasan dalam setiap aspek perbuatannya sebagaimana kaedah usul fiqh yang menyatakan:“Asal/dasar bagi setiap perbuatan itu adalah terikat dengan hukum syarak.”

Persoalan yang kemudian mungkin timbul adalah mengapa mesti dengan hukum syarak’? Ini adalah kerana hukum syarak’ merupakan peraturan yang telah dicipta oleh Al-Khaliq, Tuhan yang Maha Esa, yang telah menciptakan manusia, alam dan kehidupan yang diagungkan serta memiliki segala kemuliaan di langit dan di bumi. Inilah Tuhan yang disembah oleh setiap manusia yang mengaku dirinya Muslim. Sebagai Pencipta yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan maka selayaknya Dia menurunkan aturan bagi mengatur makhluk-makhluk Nya dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Ini kerana hanya pencipta yang dapat memahami dan mengetahui segala kehendak dan tabiat makhluk ciptaan-Nya. Manakala sebagai Muslim yang beriman dengan segala kekuasaan-Nya secara fitrah juga sepatutnya dia mengetahui akan kewajipannya untuk terikat dengan segala perintah dan larangan-Nya.

Tulisan ini ingin memberikan satu panduan bagaimanakah yang dinyatakan sebagai seorang wanita yang memenuhi kriteria sebagai wanita Muslimah yang sejati dari aspek pakaian (malbusat).
Seorang Muslimah telah diperintahkan/diwajibkan menutup auratnya, namun demikian apakah syarat-syarat untuk menyatakan bahawa seorang wanita itu telah menutup aurat dengan makna yang sebenar?

Dalil yang berkaitan dengan menutup aurat.
Firman Allah Subhanahu wa Taala : Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31].
Hadis Nabi: “Wahai Asma’ sesungguhnya apabila seorang perempuan itu telah baligh (datang haid), tidak sepatutnya dia menampakkan anggota tubuh badannya kecuali ini dan ini (sambil Rasulullah mengisyaratkan muka dan kedua telapak tangan)

Batasan Aurat
Pelbagai pentafsiran dibuat oleh pelbagai golongan, namun sebagai seorang Muslim yang mengaku Allah adalah yang Maha Esa dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya. Oleh yang demikian sudah pasti kita wajib menerima dan mengambil pakai perintah yang didasari dengan syariat Nabi Muhammad dan bukannya syariat yang dibuat oleh akal manusia.
Dari sini cuba kita fahamkan maksud firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah An-Nur secara teliti; “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31]

Dari ayat di atas kita dapati ianya menjelaskan tentang bahagian anggota badan wanita mana yang boleh dilihat. “illa mazhahara minha” adalah merujuk kepada muka dan kedua belah tapak tangan, kerana hanya dua anggota ini sahaja yang biasa nampak pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam membiarkannya sahaja sedangkan pada masa itulah perintah ini diturunkan. Selain itu juga,
kedua anggota ini sahaja yang biasanya terlihat sewaktu melakukan ibadah, seperti solat dan haji.

Selain dari dalil-dalil yang telah dinyatakan di atas, ada alasan lain yang boleh menyokong penyataan yang menyatakan bahawa seluruh anggota badan wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. Sebagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda: “Wanita adalah Aurat”“Jika seorang wanita telah sampai usia baligh, maka dia tidak boleh menampakkan anggota tubuhnya,kecuali mukanya dan ini. (Rasulullah menggenggam pergelangannya sendiri, lalu membiarkan telapak tangannya saling menggenggam satu sama lain.)”

Bagaimana pula etika pakaian yang dikatakan menutup aurat? Dalil syariat telah menetapkan kewajiban ke atas wanita untuk menutupi kulitnya sehingga tidak diketahui warnanya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Aisyah radiallahu anha. Telah dinyatakan bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah memasuki kawasan Nabi SAW dengan berpakaian nipis (jarang).

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam segera memalingkan mukanya dan bersabda: “Wahai Asma’ sesungguhnya apabila seorang perempuan itu telah baligh (datang haid), tidak sepatutnya dia menampakkan anggota tubuh badannya kecuali ini dan ini (sambil Rasulullah mengisyaratkan muka dan kedua telapak tangan”
Hadis di atas jelas menerangkan bahawa kain yang nipis/jarang tidak memenuhi etika menutup aurat, bahkan ia dianggap telah membuka aurat sekiranya seorang wanita memakai pakaian yang nipis. Ini ditegaskan dengan keadaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam memalingkan mukanya sewaktu Asma’ masuk.

Dalil lain yang mengukuhkan lagi perkara ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari Usamah. Dinyatakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam tentang kain yang nipis (al-qabtiyah) kerana beliau telah memberikan kepada isterinya untuk dipakai. Mendengarkan tentang perkara yang disampaikan itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda:  “Suruhlah isterimu untuk mengenakan
kain nipis (al-ghilalah) lagi di bahagian dalamnya, kerana aku khuatir kalau sampai nampak warna tubuhnya
.”

Frasa kata qabtiyah bermaksud sehelai kain nipis, sebaik sahaja Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam mengetahui Usamah telah memberikan kain nipis kepada isterinya untuk dipakai, baginda segera memerintahkan agar Usamah menyuruh isterinya memakai pakaian lapisan kain yang lain agar tidak kelihatan warna kulitnya di sebalik kain itu.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam memberikan alasan (‘illat) dalam perkara di atas sebagaimana sabdanya: “aku khuatir kalau sampai nampak warna tubuhnya”, sebagaimana kaca yang terlihat apa yang ada di sebaliknya. 

Adalah di harapkan agar penjelasan tentang aurat tadi dapat difahami. Tiada pakaian khas untuk menunjukkan tentang kesempurnaan menutup aurat. Seluar panjang, skirt labuh dan apa jua pakaian yang dapat menutup seluruh anggota, maka ia telah menutup aurat. Namun demikian apakah dengan pakaian menutup aurat sahaja telah mencukupi bagi seorang wanita? Tidak! Ini kerana Islam telah menyediakan satu pakaian yang bercirikan khusus bagi wanita apabila seorang wanita itu keluar dari kawasan khususnya. Ciri-ciri pakaian yang khusus untuk wanita ini adalah dalam rangka Allah Subhanahu wa Taala memelihara martabat dan kehormatan setiap Muslimah. Sebab itulah bab menutup aurat dan pakaian khusus ini tidak boleh di campur-adukkan. Ini kerana setiap bab memiliki dalil dan hujah yang berbeza.

Pakaian khusus untuk wanita di kawasan umum
Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan bahawa ada pakaian yang khusus bagi seorang wanita sewaktu wanita tersebut keluar dari kehidupan peribadi atau kehidupan khususnya (hayat al-khassah); seperti pergi ke pasar, pejabat dan sebagainya. Setiap wanita ini wajib memakai jilbab (satu pakaian yang terus bersambung, tidak terpotong-potong. Pakaian ini lebih mirip dikatakan jubah). Ini merupakan pakaian di bahagian bawah iaitu
pakaian wanita yang menutupi bahagian tubuhnya dari leher hingga menutupi kakinya. Manakala pakaian di bahagian atas pula adalah yang menutupi kepala, leher dan dada. Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan ciri-cirinya; iaitu sehelai kain lain iaitu tudung yang dapat menutupi seluruh kepala leher dan kawasan dadanya (dada depan dan dada belakang) ataupun di sebut sebagai khimar.
Dalil yang menyatakan tentang dua jenis pakaian ini telah diterangkan sebagaimana firman Allah yang berikut:

Pakaian Atas (Khimar)
 “Hendaklah mereka menutupkan tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah dia menampakkan perhiasannya…..” [TMQ An-Nur (24): 31]
Dalam ayat di atas jelas menyatakan tentang bentuk pakaian bahagian atas, yang mana setiap wanita Muslimah wajib memakai kain tudung yang dapat menutup kepala, kawasan leher serta kawasan sekitar dada.

Pakaian Bawah (Jubah@Jilbab)
Wahai Nabi, katakanlah kepada para isterimu, anak-anak perempuan kamu dan para perempuan mukmin hendaklah mereka mengulurkan (melabuhkan/memanjangkan) jilbab mereka.” [TMQ Al-Ahzab (33): 59].
Apa yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah jelas menunjukkan bahawa setiap wanita Muslimah wajib mengulurkan (melabuhkan) pakaian untuk menutup pakaian sehariannya (mihnah/tsaub iaitu pakaian basahan – yang biasa dipakai dalam kawasan khususnya iaitu sewaktu bersama mahramnya) sewaktu dia mahu keluar rumah. Jilbab adalah kain yang panjang (milhafah) atau semacam selimut (mula’ah), yang mirip jubah sebab berdasarkan makna yang telah dinyatakan tadi hanya jubah yang memenuhi kriteria jilbab. Ciri-ciri lain bagi pakaian luar ini ataupun jilbab adalah sebagaimana Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman: “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31]

Tempat perhiasan yang dimaksudkan pada ayat di atas adalah seperti dada, dua lengan dan dengan kata lain mencakupi sebagaimana syarat-syarat menutup aurat. Selain ayat di atas kewajiban memakai jilbab ini telah diperkukuhkan lagi berdasarkan hadis berikut:  Ummu ‘Atiyyah pernah menyatakan: “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah memerintahkan kami (setiap wanita, tiada yang terkecuali sama ada merdeka atau tidak,
berkahwin atau belum) untuk keluar pada hari raya (sama ada Fitri atau Adha)-untuk keluar ke dataran (kawasan lapang). Bagi wanita yang sedang haid diperintahkan menjauhi tempat solat, namun tetap menyaksikan kebaikan dan seruan atas kaum Muslimin. Aku bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam: ‘Wahai Rasulullah salah seorang dari kami tidak memiliki jilbab.’ Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: ‘Hendaklah
saudaranya meminjamkan jilbab kepadanya.’”

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa pemakaian jilbab menjadi kewajiban setiap wanita Muslimat, ini kerana frasa kata “Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbab kepadanya” menunjukkan bahawa perintah memakai jilbab adalah wajib kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam tidak memberikan pilihan lain kepada wanita itu untuk keluar sebagaimana yang diperintahkan. Apa yang jelas penegasan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam itu adalah jika tiada sesiapa yang dapat meminjamkan wanita tersebut jilbab kepadanya, maka wanita itu tidak boleh keluar. Selain daripada itu sehelai jilbab mestilah longgar dan tidak menampakkan bentuk badan sebagai mana apa yang di katakan sebagai kain yang panjang (milhafah) atau semacam selimut (mula’ah). Apabila segala ciri jilbab dipenuhi, Insyaallah, jaminan Allah sebagaimana yang telah dijanjikan iaitu akan terpeliharanya kehormatan dan martabat seorang wanita akan dapat dilihat.

Khatimah

Melihat dari fenomena keragaman budaya berpakaian atau berbusana kepada kaum Muslimah yang ada di dunia ini, ada kalanya wujud pertentangan antara satu budaya dengan yang lain. Maka, sangat perlu  wujud parameter khusus yang menjadi tolok ukur untuk menentukan adakah tatacara berpakaian itu selaras dengan hukum syarak atau tidak. Di sini, tolok ukur adalah ‘standard perbuatan’ (miqyas al-amal) iaitu dalil-dalil yang digali dari sumber wahyu. Apa yang pasti, berbusana hendaklah dilakukan dengan niat untuk menutup aurat, bukan kerana mahu tampil anggun di mata lawan jenis, dipandang hebat, lebih Islamik atau kerana hak asasi, sebaliknya menutup aurat dengan busana muslimah adalah dalam rangka untuk meraih keredaan Illahi.
Wallahu ‘alam bisshawab.



Pengajaran Dari Eidil Adha

10 hari yang pertama dalam bulan Zulhijah hampir berakhir. Allah  Subhanahu wa Taala  telah memberitahu tentang kepentingan hari-hari ini. Kita sewajarnya memanfaatkan sisa-sisa masa ini untuk merenung bukan hanya diri kita tetapi juga umat Muslim keseluruhannya. Eidil Adha ini, kita mengingati saudara – saudara kita yang menderita di seluruh dunia. Semoga Allah Subhanahu wa Taala  menjadikan tahun ini sebagai tahun terakhir
kita hidup tanpa naungan Khilafah.

Kita berada dalam 10 hari terbaik dalam setahun – 10 hari pertama bulan Zulhijah. Ini adalah satu masa yang mana ramai orang  mengerjakan haji dan bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah ini, banyak pula ganjaran yang tersedia bagi amalan-amalan baik yang dilakukan pada masa ini. Kita seharusnya mengambil peluang di hari-hari ini untuk merenungkan kembali ganjaran yang boleh diraih, Insya-Allah, dan akan mendapat pengajaran
untuk diterapkan dalam kehidupan kita.  

10 hari pertama

Allah Subhanahu wa Taala berfirman:

“Demi Fajar; dan malam yang  sepuluh” [TMQ Surah Al-Fajr 89: 1-2]

Di dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Taala  telah bersumpah dengan hari – hari ini dan ini  menunjukkan kepentingan dan kehebatan manfaatnya. Ibn Abbas, Ibn Az-Zubayr, Mujahid dan ulama -ulama yang terdahulu berpendapat bahawa ia merujuk kepada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.

Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersabda: “Tidak ada hari di mana amalan baik yang lebih disukai oleh Allah dari 10 hari ini.” Orang ramai bertanya, “Tidak juga berjihad kerana Allah?  Beliau berkata, “ Tidak juga berjihad kerana Allah, kecuali seseorang yang pergi berjuang, menyerahkan diri dan hartanya untuk tujuan tersebut, dan kemudian kembali tanpa apa-apa.” [HR Al-Bukhari]

Rasulullah  Sallallahu Alaihi wa Sallam juga bersabda, “Tidak ada hari-hari yang lebih hebat pada pandangan Allah dan berbuat kebaikan  amat disukaiNya dalam 10 hari ini, oleh itu pada hari-hari ini perbanyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid.” [HR Ahmad]

Haji : Rukun Islam Yang Ke Lima

Umat Islam dari seluruh pelosok dunia berkumpul di Mekah untuk mengerjakan ibadah Haji.  Semoga Allah Subhanahu wa Taala  menerima dan merahmati haji mereka.  Semoga Allah juga mengabulkan hasrat orang-orang yang tidak dapat mengikuti perjalanan yang dirahmati kali ini pada masa akan datang.   Haji adalah kewajipan dalam Rukun Islam, ganjarannya seperti sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam :
Barang siapa mengerjakan Haji kerana keredaan Allah dan tidak melakukan persetubuhan dengan isterinya, dan tidak melakukan kejahatan dan dosa, dia akan kembali seperti baru dilahirkan.” [HR Bukhari]

Sesungguhnya satu perkara yang menakjubkan mengenai haji malahan bagi yang bukan Muslim adalah manusia dari pelbagai warna kulit, hitam dan putih; manusia dari pelbagai kaum – dari Eropah, Turki, Indonesia, India, Afrika; manusia dari pelbagai lapisan umur – muda dan tua bersatu menyembah Allah Subhanahu wa Taala   dan taraf semuanya sama  di hadapanNya.

Terdapat puluhan ribu jemaah dari seluruh pelosok dunia. Mereka datang dari pelbagai warna, dari bermata biru dan berambut perang sehingga yang berkulit hitam Afrika. Tetapi, kami mengerjakan ritual yang sama, menggambarkan semangat perpaduan dan persaudaraan di mana pengalaman saya di Amerika telah membuatkan saya mempercayai bahawa ini tidak mungkin wujud di antara orang berkulit putih dan orang yang bukan berkulit putih.”  Haji Malik El–Shabazz (Malcom X)

Haji melambangkan konsep Ummatun Wahidah (umat yang satu). Umat Islam dari seluruh pelosok dunia yang berbeza bahasa dan rupa, bersama–sama melakukan semua perkara yang wajib seperti memakai Ihram, tawaf mengelilingi Kaabah, berjalan di antara Safa dan Marwa, berkumpul di Arafah dan melontar jamrah.

Sesungguhnya, konsep perpaduan Satu Umah tanpa perbezaan, tanpa perkauman dan nasionalisme adalah konsep asas dalam Islam. Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman;

Dan berpeganglah kamu semua kepada tali  (agama ) Allah dan janganlah kamu bercerai –berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepada ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh –musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat –ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
[TMQ Surah Ali-Imran 3:103]

Abu Musa menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana setiap bahagian yang berlainan saling mengukuhkan antara satu sama lain.” Rasulullah kemudiannya menggenggam tangannya dengan jari yang berjalin  (ketika bersabda demikian) [HR Bukhari]

Tetapi, malangnya setelah ibadah Haji selesai, umat Islam kembali ke tanah air mereka yang telah dipisah-pisahkan oleh sempadan–sempadan yang palsu dan dikuasai oleh undang–undang ciptaan manusia. Penciptaan sempadan–sempadan yang palsu ini bukanlah satu kebetulan atau satu kejadian yang berlaku secara semula jadi.

Menteri Luar Britain ketika memberi ucapan kepada Perdana Menterinya sejurus sebelum Perang Dunia II berkata, “Kita mesti menghalang sebarang perbuatan yang boleh membawa kepada perpaduan Islam  di antara anak-anak orang Islam. Kita telah berjaya menamatkan Khalifah, maka kita perlu memastikan bahawa tidak akan ada kebangkitan lagi perpaduan di antara umat Islam, sama ada dari segi perpaduan intelektual atau budaya.”

Konsep nasionalisme adalah asing kepada Islam kerana ia berdasarkan kepada keterikatan kepada sesebuah negara  seperti yang dicipta oleh kuasa-kuasa penjajah, sebaliknya, Islam mengikat manusia berdasarkan kepada Aqidah, iaitu keimanan kepada Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya Sallallahu Alaihi wa Sallam. Rasulullah  Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: “Bukan di kalangan kita yang menyeru kepada ‘asobiyyah (nasionalisme) atau berjuang kerana ‘asobiyyah atau mati kerana ‘asobiyyah.”  [HR Abu Dawud]

Di dalam Islam, tanah-tanah Islam yang terpecah–pecah sekarang ini adalah dilarang. Apabila umat Islam pergi mengerjakan Haji, kenapa diperlukan visa? Adakah umat Islam terdahulu memerlukan visa ketika berada di bawah naungan Khilafah yang pernah memerintah lebih dari seribu tahun? Pemerintahan secara Islam hanya boleh dicapai di bawah satu negara, dengan seorang Khalifah  – bukan dengan pecahan-pecahan lebih 50 buah negara seperti yang kita ada sekarang ini. Oleh itu, kita wajib bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memerdekakan bumi Islam dari penindasan pihak Kuffar dengan mengembalikan Khilafah Rashidah di dalam negeri-negeri umat Islam mengikut jalan atau thariqah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Perpaduan akan hanya tercapai apabila umat bersatu di bawah kekuasaan satu Khilafah.

Nabi Ibrahim Alaihi Sallam dan kesetiaannya kepada Syariah

Kita wajar mengambil iktibar dari kisah Nabi Ibrahim Alaihi Sallam dan anaknya Ismail Alaihi Sallam. Kita sering diperingatkan dengan kisah ini kerana Eidil Adha yang melambangkan kemuncak 10 hari pertama dalam bulan Zulhijah. Allah Subhanahu wa Taala   menceritakan kepada kita akan kisahnya di dalam Al-Quran:

Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama –sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu”,sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang –orang yang berbuat baik.”  [TMQ Surah As-Saffat 37: 100–105]

Jika kita  renungkan dengan teliti kisah Nabi Ibrahim Alaihi Sallam, kita mendapati bahawa Allah Subhanahu wa Taala memerintahkan hambanya yang beriman ini menyembelih anak kesayangannya! Kedua beranak dengan sepenuh kerelaan hati mengikut perintah Allah Subhanahu wa Taala tanpa sebarang persoalan. Nabi Ibrahim Alaihi Sallam tidak mencari sebarang alasan untuk mengingkari  perintah Allah Subhanahu wa Taala, begitu juga
Ismail Alaihi Sallam yang mengetahui bahawa dia akan dikorbankan. Malah keduanya sanggup menerima keputusan Allah Subhanahu wa Taala kerana mereka menyedari bahawa Dia adalah Sang Pencipta dan tujuan mereka hanya untuk beribadat kepadaNya. Pengajaran yang boleh kita dapati dari kisah ini adalah kita hendaklah mematuhi perintah-perintah Allah Subhanahu wa Taala sama ada Allah Subhanahu wa Taala memberi kita sebarang alasan untuknya atau pun tidak. Oleh itu, kita tahu bahawa Allah Subhanahu wa Taala memberi pembalasan berdasarkan kepada perbuatan kita seperti pengambilan riba, hubungan tanpa pernikahan dan menyokong parti politik yang tidak berlandaskan Islam. Kita mesti mematuhi hukum-hakam ini dengan rela hati tanpa cuba mempersoalkan alasan–alasan yang berdasarkan kepada rasional sendiri.

Sesungguhnya, Eidil Adha adalah satu perayaan untuk lebih satu bilion umat di dunia.  Walaupun kita melakukan korban, mengerjakan solat Eidil Adha dan bermain bersama anak-anak kita pada hari ini, hati dan perasaan kita tidak akan tenang mengenangkan penderitaan yang ditanggung oleh saudara – saudara kita di seluruh pelusuk dunia.

Makanan yang kita makan pada hari ini sewajarnya mengingatkan kita akan saudara-saudara kita yang hampir mati kebuluran di Gaza, Darfur, Chechnya, Kashmir dan seluruh pelosok dunia. Penyembelihan yang kita lakukan pada perayaan ini sebagai ibadah kepada Allah Subhanahu wa Taala sepatutnya membuat kita terfikir tentang pemerintah- pemerintah yang merupakan agen-agen puak Kuffar di negara–negara kita yang membiarkan kelangsungan penyembelihan umat Islam di Iraq, Afghanistan, Palestin, Pakistan, Somalia, Chechnya malah senarainya sangat panjang. Pada perayaan Eidil Adha ini, ketika kita menghabiskan masa bersama–sama kaum keluarga dan sahabat handai, janganlah kita melupakan masalah umat Islam di dunia hari ini. Marilah kita bekerja dan berusaha untuk keredaan Allah Subhanahu wa Taala supaya kita menjadi orang-orang yang memperbaiki (Muhsinun).

Kerana sesungguhnya berserta kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya berserta kesulitan itu ada kemudahan, Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, Dan hanya kepada Tuhanmu hendaknya kamu berharap.” [TMQ Surah Al-Insyirah 94: 5-8]