Muliakan masjid dengan politik Islam

Berita:

KANGAR – Anggota jawatankuasa kariah perlu profesional dan tidak membawa fahaman politik mereka dalam urusan pentadbiran masjid, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, institusi masjid hendaklah bebas daripada terjerumus ke dalam kancah politik terutamanya menjelang musim pilihan raya dan perlu patuh serta akur terhadap dasar-dasar negeri.

Berita penuh: kosmo.com.my


Komentar:

Tindakan menghalang budaya politik sekarang mencemari kesucian masjid menjelang PRU14 merupakan satu tindakan yang seharusnya disambut baik oleh semua pihak yang bukan sahaja di Perlis malah oleh seluruh rakyat di negara ini. Masyarakat kita hari ini telah dicemari doktrin politik barat yang banyak membawa kerosakan dan perpecahan umat. Politik Barat sememangnya buruk kerana bertunjangkan sekularisme yang mengajarkan manusia untuk bersikap individualistik dan materialistik dalam menghadapi survival politik.

Niccolo Machiavelli dalam pendapat termasyhurnya berjudul The Prince menyebut bahawa falsafah politik ini mewartakan bahwa politik itu bebas nilai. Politik tidak boleh dikaitkan dengan etika atau moraliti. Perkara terpenting daripada politik ialah bagaimana seorang (calon) penguasa mampu mendapatkan dan mempertahankan kekuasaan. Atas dasar ini, politik kotor “diwajibkan” tanpa batas demi kebesaran, kehormatan, kekuatan dan kekuasaan yang seharusnya diraih sebesar-besarnya. Implikasinya, para penguasa atau orang yang ingin menjadi penguasa harus berbuat apa saja asalkan tujuan tercapai. Di sinilah terjadi apa yang disebut Niccolo sebagai hel doel heilight de middeled (tujuan itu menghalalkan/membenarkan semua cara atau usaha). Justeru itu tidak hairan kita akan melihat ramai daripada kita akan cenderung bernada negatif terhadap politik  kerana melihat budaya fitnah-memfitnah, berbohong, memburukkan lawan, rasuah dan perbalahan di antara calon-calon politik yang mencemari pentas politik negara sehingga selayaknya dihalang oleh masyarakat daripada terus merosakkan imej masjid sebagai tempat suci dan mulia.

Fungsi masjid seharusnya dihiasi dengan tugas politik yang mulia sesuai dengan sifatnya sebagai tempat yang suci sebagaimana  Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud :

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (dari Allah Ta’ala)” [TMQ at-Taubah (9): 18].

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah dalam naungan (Arsy)-Nya pada hari yang tidak ada naungan (sama sekali) kecuali naungan-Nya… (di antaranya): Seorang hamba yang hatinya selalu terikat dengan masjid” [HR Bukhari].

Rasulullah SAW memuliakan masjid dengan mengangkat kedudukan masjid sebagai pusat pentadbiran negara. Masjid Madinah (dikenal sebagai Masjid Nabawi) ketika itu bukan sahaja diimarahkan sebagai tempat untuk beribadat, malah ia dijadikan pusat kegiatan politik dan pemerintahan, dan di situlah jantung kota Madinah. Masjid Nabawi menjadi tempat untuk mengurus hal ehwal umat seperti perancangan bandar, menentukan strategi ketenteraan dan untuk mengadakan perjanjian kerjasama di antara negara sekitar bahkan digunakan sebagai tempat tinggal sementara untuk orang-orang fakir miskin.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, fungsi masjid yang diletakkan oleh Baginda SAW sebagai pusat kegiatan politik diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidun sepanjang tahun 632-660. Para Khalifah ketika masa-masa tersebut telah memperluaskan fungsi masjid. Masjid juga telah dijadikan sebagai pusat pertemuan para sahabat dan para pemuka/tokoh masyarakat untuk membincangkan soal kepentingan umat.

Selain itu, masjid juga telah berkembang menjadi pusat dakwah Islam bagi kaum mualaf dan tempat untuk menuntut ilmu. Maka dari sinilah fungsi masjid sebagai pusat pendidikan dan pengembangan peradaban Islam mulai berkembang dan berpengaruh.

Justeru dari satu sisi amat wajar kita menghalang setiap aktiviti yang boleh mencemari kesucian masjid termasuklah aktiviti politik kotor seperti yang dilihat hari ini. Politik kotor yang dimaksudkan ialah politik yang bertunjangkan sekularisme yang jauh daripada ajaran agama Islam serta tujuannya adalah untuk meraih manfaat semata-mata dan menggalakkan permusuhan dan perpecahan umat. Namun dari aspek yang lain, fungsi masjid juga bukanlah tempat yang hanya khas untuk beribadah sahaja. Institusi masjid seharusnya dihidupkan sebagai tempat aktiviti politik Islam dan inilah aktiviti politik yang mulia iaitu mengurus dan menjaga kepentingan umat berdasarkan syariat Islam.

Wan Hisham Wan Salleh

Anggota Lajnah Faaliyat Hizbut Tahrir Malaysia