Sorotan Mingguan (24 Oktober – 3 November 2019)

  • Kerajaan percepat jadikan penagihan dadah bukan jenayah
  • Saingan 6 penjuru PRK Tanjung Piai
  • Sidang Kemuncak ke-35 ASEAN bermula
  • Status negeri Kashmir terhapus mulai hari ini (31 Oktober)

Kerajaan percepat jadikan penagihan dadah bukan jenayah

Kerajaan akan mempercepatkan usaha menyahjenayahkan penagihan dadah dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Ketua Setiausaha Negara. “Cukuplah hidup mereka rosak kerana pengaruh dadah, mereka tidak perlu dipenjara, tidak dapat bekerja dan kembali dalam masyarakat, didiskriminasi dan akhirnya kembali terjerumus dengan masalah dadah,” ujar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq [Sumber: BH Online, 29/10/2019].

Komen:

Sebagai seorang Muslim, termasuklah mereka yang memegang tampuk pemerintahan, kita wajib meletakkan tolok ukur dalam setiap perbuatan kita berdasarkan pertimbangan dosa dan pahala, redha dan murka Allah SWT. Dalam Islam, perbuatan meninggalkan kewajipan atau yang melanggar larangan keharaman merupakan suatu bentuk kesalahan, atau dikenali sebagai ‘jarimah’.

Menurut hukum syarak, penagihan dadah termasuk dalam kategori jarimah, selari dengan sabda Rasulullah SAW, “Tiap-tiap yang memabukkan adalah haram,” [HR Bukhari dan Muslim]. Setiap perbuatan yang dikategorikan sebagai jarimah wajib dihukum.

Alasan kesan pemenjaraan dan stigma ‘bekas banduan’ oleh masyarakat bukanlah hujah yang syarie untuk menghapuskan hukuman ke atas penagihan dadah. Sebaliknya apa yang perlu diubah adalah persepsi negatif masyarakat terhadap pihak yang telah menjalani hukuman, bahawa stigma tersebutlah yang perlu dihapuskan. Bahkan mereka sewajarnya diberikan peluang untuk dipulihkan dan kembali berperanan dalam masyarakat. Perlu diketahui bahawa sistem uqubat (hukuman) dalam Islam bertujuan sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus dosa). Di samping itu, isu yang lebih utama adalah bagaimana hendak mencegah penagihan dadah itu sendiri.


Saingan 6 penjuru PRK Tanjung Piai

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 Disember ini menyaksikan pertembungan enam penjuru. Enam calon terbabit ialah calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu, Karmaine Sardini, 66; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Parti Gerakan Rakyat Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam. Turut bertanding, Presiden Berjasa, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua sebuah pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar [Sumber: MyMetro, 2/11/2019].

PRK Tanjung Piai ini merupakan ‘ujian’ pertama bagi gandingan UMNO dan PAS semenjak kedua-dua buah parti terbesar orang Melayu tersebut menjalin kerjasama melalui Muafakat Nasional. Pastinya banyak pihak yang mengharapkan agar calon Melayu diketengahkan sejajar dengan sentimen yang dimainkan. Namun, terdapat pihak yang kecewa dengan keputusan BN untuk mengemukakan calon daripada MCA. Bahkan parti BERJASA yang membentuk kerjasama dengan PAS dalam Gagasan Sejahtera pula bertindak mencalonkan presidennya. Dalam pada itu, terdapat juga pihak yang cuba menjustifikasi keputusan meletakkan calon MCA oleh BN yang diterajui UMNO.

Namun, apa yang pasti, siapa jua calonnya, baik Muslim ataupun tidak, Melayu atau bukan Melayu, hakikatnya tetap bukan hukum Islam yang diperjuangkan. Bahkan siapa jua yang menang dalam PRK ini akan hanya meneruskan kesinambungan sistem sekular demokrasi kapitalis yang diterapkan pada hari ini.


Sidang Kemuncak ke-35 ASEAN bermula

Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Kemuncak berkaitan secara rasmi bermula hari ini di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT, Bangkok. Sidang Kemuncak tahun ini yang bertemakan “Memajukan Perkongsian untuk Kemapanan” [Sumber: BH Online, 3/11/2019].

Komen:

Faham serantau (regionalism) ASEAN bertitik tolak daripada usahasama negara-negara Asia Tenggara bagi menghadapi pengaruh kuasa besar tatkala Perang Dingin sedang memuncak. Mekanisme tersebut dikukuhkan lagi dengan deklarasi ZOPFAN (Zon Keamanan, Kebebasan, dan Berkecuali) di Kuala Lumpur pada 1971. Selain itu, kerangka hubungan ASEAN juga berteraskan prinsip tidak campur tangan dalam hal-ehwal dalaman negara-negara anggotanya.

Namun deklarasi dan prinsip tersebut dilihat telah membuka ruang kepada rejim-rejim represif di rantau ini untuk bertindak sewenang-wenangnya ke atas warga mereka, seperti yang menimpa Muslim Rohingya di Myanmar dan umat Islam di Selatan Thailand. Dalam pada itu, ‘kejayaan’ yang dicapai melalui prinsip deklarasi ZOPFAN dalam menangani pengaruh kuasa besar pula hanyalah omongan, kerana terlalu banyak fakta menunjukkan bahawa kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, dan Kesatuan Soviet (sebelum keruntuhannya) seringkali mempengaruhi percaturan geopolitik di rantau ini.

Kewujudan ASEAN dan faham serantaunya merupakan manifestasi kerjasama antara ‘negara bangsa’ yang bertentangan dengan Islam, memisahkan kesatuan umatnya, serta mengatasnamakan prinsip berkecuali sehingga menyebabkan kita menanggapi penderitaan umat Islam di negara lain sebagai masalah domestik negara tersebut.


Status negeri Kashmir terhapus mulai hari ini (31 Oktober)

Wilayah majoriti Muslim India, Kashmir dipecahkan secara rasmi pada 31 Oktober lalu, tiga bulan selepas hilang kuasa autonomi apabila kerajaan nasionalis Hindu Modi melucutkan status khas Kashmir dalam perlembagaan dan menahan ribuan penduduk termasuk semua pemimpin politik tempatan selain memutuskan komunikasi [Sumber: BH Online, 31/10/19].

Komen:

Umat Islam di wilayah Kashmir yang dijajah India terus dirundung malang dan semakin tertindas di bawah cengkaman kerajaan nasionalis ekstremis Hindu yang diterajui Modi. Kebencian Modi terhadap Islam dan umatnya jelas dapat dilihat melalui polisi dan ucapan-ucapannya. Bahkan perkara ini berlarutan semenjak Modi menjadi Ketua Menteri Gujarat dahulu, yang menyaksikan tercetusnya insiden rusuhan di negeri tersebut pada tahun 2002.

Idea nasionalisme Hindu ekstremis juga menyemarakkan sentimen kebencian melampau terhadap umat Islam di India sehingga wujud gerombolan “cow vigilante” yang menyerang umat Islam hanya kerana menjual, menyembelih, memakan, atau menjual daging lembu. Di samping itu, para pendakwah Islam seperti Dr. Zakir Naik yang kini berada di Malaysia turut disekat dan difitnah. Malangnya, kerajaan hari ini lebih mengutamakan kepentingan ekonomi melalui eksport kelapa sawit berbanding membela umat Islam yang tertindas dek kezaliman kerajaan Modi.

[10 Perkara mengenai Kashmir]

[Kashmir: 150 tahun dalam kezaliman dan penindasan]

[Infografik Kashmir]