Ubah susunan, berubahkah perjuangan?

Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, sebanyak 13 usul telah dikemukakan oleh perwakilan bagi meminda fasal 3 perlembagaan parti asobiyyah terbesar Melayu tersebut bagi mengubah susunan dengan mendahulukan perkataan Islam. Fasal tersebut berbunyi: “Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara”. UMNO ingin meletakkan Islam (agama) di hadapan kemudian baru disusuli dengan bangsa dan negara.

Sentimen Islam yang dimainkan UMNO bukanlah baru, malah boleh dikatakan setiap kali Perhimpunan Agung parti itu berlangsung, setiap kali itulah kita akan melihat pelbagai retorik serta laungan untuk menggambarkan bahawa merekalah pejuang sejati bangsa Melayu dan agama Islam. UMNO tak habis-habis cuba menonjolkan bahawa merekalah pejuang Islam yang sebenar walhal hakikatnya lebih 60 tahun berkuasa, merekalah yang meminggirkan Islam daripada pemerintahan!

Berbeza sedikit kali ini kerana ia merupakan perhimpunan pertama setelah terwujudnya Muafakat Nasional bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sehingga ada pihak yang beranggapan bahawa ia merupakan kesan positif daripada ta’awun politik yang berlaku antara dua parti tersebut, yang menyaksikan UMNO kini meletakkan “Islam” lebih terkehadapan berbanding perjuangan bangsa dan negara di dalam perlembagaan partinya.

Bagi mereka yang sudah masak dengan perangai UMNO, semua tahu bahawa ini hanyalah retorik politik semata-mata. Ia bukanlah suatu hal yang bakal merubah wajah dan perjuangan UMNO yang kental dengan perkauman selama ini. “Islam” hanya dilaungkan kepada para ahli yang diharap dapat menyelamatkan bahtera parti yang hampir tenggelam dan diharap dapat menghidupkan semula semangat para penumpang yang sudah merasakan azab seksa, setelah sekian lama belayar dengan sombongnya dengan bahtera mewah tersebut.

Perjuangan untuk Islam bukan dengan hanya merubah nama parti atau perlembagaan parti. Perjuangan untuk menegakkan agama Allah (swt) perlu datang dari hati yang bersih, suci dan ikhlas semata-mata kerana Allah (swt) dan tidak ada sedikit pun kepentingan duniawi yang ingin diraih. Semua niat, aktiviti dan keseluruhan perjuangan adalah lillahi Ta’ala, dengan mengikuti thariqah perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) dalam menegakkan Deen Allah (swt).

Perubahan-perubahan kosmetik seperti meminda secebis fasal perlembagaan yang sebenarnya hanya untuk menarik hati rakan ta’awun yang cenderung ke arah itu tidak akan kekal lama dan warna sebenar pasti akan teserlah apabila manfaat sudah tiada mahupun objektif yang diingini sudah tercapai.

Allah (swt) telah pun meletakkan amanah kepada UMNO selama lebih 60 tahun untuk menegakkan agamaNya, tetapi mereka angkuh dan sombong dan mengkhianati amanah tersebut. Jika benar UMNO ingin bertaubat dan kembali kepada Islam, maka pemimpin dan ahlinya mesti berjiwa besar untuk merombak perjuangan UMNO dari akar ke pucuk, bukan dengan hanya meminda secuil nama “Islam” dalam perlembagaan parti.

UMNO juga mesti keluar dari perjuangan demokrasi dan mengambil thariqah Rasulullah (saw) sebagai asas perjuangan dalam menegakkan Negara Islam (Khilafah), kerana parti mana sekalipun yang bergerak dalam demokrasi sudah pasti akan tersasar dari perjuangan Islam kerana sistem tersebut (demokrasi) sendiri bukannya sistem Islam, malah bertentangan dengan sistem Islam.

Kepada mereka yang ikhlas ingin berjuang untuk Islam, tinggalkanlah manfaat duniawi dalam perjuangan dan jadikan perjuangan ini semata-mata untuk Allah, untuk meninggikan agama Allah, untuk menzahirkan agama Allah di atas agama-agama yang lain, untuk mengembalikan zaman kegemilangan dan ketamadunan Islam di bawah Khilafah. Sesungguhnya Islam tidak akan tegak dengan retorik, apatah lagi dengan hipokrasi dalam perjuangan. Allah akan memberi kemenangan kepada mereka yang ikhlas dan bersungguh-sungguh berjuang hanya untukNya.

Wallahu a’lam.

Editor.