Ingin sampaikan mesej Islam, tapi pemikiran masih terbelenggu dengan penjajah

Realiti dan senario politik dunia umat Islam hari ini menunjukkan bahawa Islam dan umatnya sememangnya menjadi sasaran kebencian musuh-musuh Islam. Keadaan ini diperparah dengan sikap para pengkhianat umat Islam iaitu para penguasa yang akur kepada telunjuk kuasa-kuasa kuffar demi menjamin survival politik dan kedudukan mereka.

Dalam pada itu, pelbagai idea, resolusi, persidangan dan sebagainya dicanang dan dianjurkan oleh banyak pihak dalam usaha mencari solusi dan formula bagi menangani masalah umat Islam. Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 18-21 Disember ini antara lain membawa agenda yang sama. Dari satu sudut, keadaan ini menggambarkan usaha pemerintah untuk kebaikan umat Islam.

Namun, jika kita telusuri lebih mendalam, ia tidak ada bezanya dengan usaha-usaha lain yang selama puluhan tahun telah dilakukan oleh pemerintah untuk sekadar mencantikkan imej mereka di mata umat dengan pelbagai persidangan atas nama Islam. Rata-rata pemimpin umat Islam tidak dapat keluar daripada belenggu penjajahan pemikiran yang dibawa oleh kuffar Barat sehingga mereka cuba menyesuai dan mencampur-adukkan idea-idea kufur seperti sekularisme, demokrasi, nasionalisme, liberalisme, pluralisme dan feminisme dengan idea-idea Islam, dalam rangka menyelesaikan masalah umat Islam. Kesudahannya sama sahaja seperti sebelum-sebelum ini, di mana umat Islam tidak pernah dapat keluar daripada masalah.

Percubaan membangkitkan umat Islam dengan pemikiran yang masih terbelenggu dengan penjajahan, apatah lagi dengan mencedok idea Barat, serta dengan sekadar melakukan retorik politik, sudah pasti tidak akan berjaya sampai bila-bila. Sungguh aneh dengan pemimpin umat Islam pada hari ini yang seperti buta untuk meniru dan mencontohi kebangkitan yang dibawa oleh Rasulullah (saw) berserta generasi awal Islam, yang telah berjaya menjadikan umat Islam sebagai umat yang mulia, kuat dan disegani di peringkat antarabangsa. Kehebatan umat Islam di bawah pemerintahan Daulah Islam yang mendominasi dunia lebih 13 abad dan lebih separuh daripada keluasan bumi, tidak pernah dijadikan contoh oleh para pemimpin ini!

Benarlah kata-kata Imam Malik:

لَنْ يُصْلِحَ آخِرَ هَذِهِ الأُمَّةِ إِلاَّ مَا أَصْلَحَ أَوَّلَهَا

“Tidak akan boleh memperbaiki keadaan orang-orang yang datang kemudian dari umat ini kecuali dengan apa yang telah memperbaiki keadaan orang-orang yang awalnya”.

Jika kita soroti sejarah umat Islam, kebangkitan generasi awalnya dimulai dengan pembentukan pemikiran Islam yang mendasar iaitu melalui pemantapan akidah dan syakhsiyyah Islamiyyah. Sesungguhnya landasan kebangkitan yang sebenar terletak pada pemikiran seseorang. Daripada akidah Islam inilah, lahirnya individu-individu dan sebuah masyarakat yang perasaan dan pemikirannya berlandaskan Islam. Seterusnya wujud Negara Islam yang mengatur sistem hidup mereka dengan lengkap dan sempurna secara bermasyarakat dan bernegara.

Mereka menyedari hakikat keterikatan dan hubungan mereka dengan Sang Pencipta (idrak silah billah) serta mempunyai kefahaman yang jernih mengenai tujuan hidup mereka di dunia ini, iaitu semata-mata untuk Allah (swt). Mereka menjadikan halal dan haram, dosa dan pahala, serta redha dan murka Allah (swt) sebagai tolok ukur setiap perbuatan. Mereka tinggalkan seratus peratus segala pemikiran kufur yang ada pada mereka di zaman Jahiliyyah.

Kemudian mereka bergerak bersama-sama dan di bawah kepimpinan Rasulullah (saw) untuk menerapkan agama Allah (swt) secara kaffah sehingga mereka bukan sahaja berjaya mendirikan Daulah Islam di Madinah, tetapi mula membuka (futuhat) wilayah-wilayah baru untuk memasukkan cahaya Allah (swt) ke dalamnya. Daripada Daulah Islam inilah, ia menjadi titik permulaan kepada kaum Muslimin membawa tamadun yang luar biasa untuk manusia, serta masuknya hukum Allah (swt) ke seluruh pelosok dunia. Dengan Daulah Islam, umat Islam seterusnya berjaya menguasai dan membawa kesejahteraan yang luar biasa kepada manusia dan kepada dunia.

Keberhasilan formula kebangkitan ini telah pun terbukti dalam lipatan sejarah. Dengan penerapan sistem Islam berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah secara kaffah dalam Negara Khilafah, barulah mesej sebenar Islam dapat tersebar luas sehingga membawa rahmat ke sekalian alam.

Anehnya para pemimpin hari ini tidak dapat melihat formula ini, sehingga mereka suka dan memilih untuk terus terbelenggu dengan konsep negara-bangsa dan memerintah dengan sistem demokrasi yang bertentangan dengan Islam, yang diberikan oleh penjajah kuffar kepada mereka. Pemikiran mereka masih lagi terjajah dengan begitu kuat sekali, tetapi dalam masa yang sama, mereka ingin membawa mesej Islam dan berbicara tentang kebangkitan Islam!

Editor