Pemisahan Sarawak daripada Malaysia menjadi bahan kempen PRN ke-12!
Menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak yang ke 12 tidak lama lagi, parti- parti politik semakin giat untuk menarik undi di saat-saat akhir. Mana tidak, apa-apa sahaja boleh berlaku dan angin perubahan boleh sahaja bertiup dan berubah arah.
PRN kali ini merupakan yang pertama dihadapi oleh parti pemerintah dalam bentuk gabungan parti-parti komponen yang ada setelah mereka memisahkan diri daripada Barisan Nasional. Tentu sahaja cabaran yang bakal dihadapi bukanlah kecil, malah memperkenalkan logo GPS kepada pengundi pun suatu cabaran yang besar buat mereka.
Kali ini, perlawanan dari pihak pembangkang daripada parti-parti tempatan dilihat semakin kuat berbanding semasa pilihanraya-pilihanraya yang lepas. Sambutan rakyat pula semakin kuat ke arah parti pembangkang berbanding sebelum ini. Namun, di kala setiap parti politik yang bertanding menawarkan manifesto masing-masing, terdapat juga parti politik yang secara terang-terangan menawarkan manifesto untuk memisahkan Sarawak daripada Malaysia sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan negeri.
Suara-suara pemisahan Sarawak yang sebelum ini lantang diperjuangkan oleh gerakan Sarawak for Sarawakian (S4S), kini nampaknya sudah beralih dan berselindung di belakang parti politik. Mereka dibenarkan menubuhkan parti politik, menyertai pilihanraya dan secara terang-terangan menawarkan manifesto “MERDEKA” sekiranya mereka berjaya memerintah.
Persoalannya, mengapa kerajaan yang ada hanya membiarkan perkara ini terjadi? Tidak cukupkah apa yang berlaku dengan Singapura untuk dijadikan teladan untuk bertindak?
Sungguh aneh, gerakan yang ingin memisahkan negeri kaum Muslimin dibiarkan, namun gerakan seperti Hizbut Tahrir yang ingin mempersatukan negeri kaum Muslimin sering disusahkan urusannya, malahan pendaftarannya pun tidak diluluskan atas alasan yang langsung tidak munasabah.
Bagaimana mungkin pendaftaran sebuah parti politik yang jelas ingin mengeluarkan Sarawak daripada Malaysia boleh diluluskan dan segala aktiviti mereka dibiarkan walau pun mereka secara terang-terangan menyerukan pemisahan bumi kenyalang itu daripada Malaysia!?
Inilah hipokrasi pemerintah. Seharusnya gerakan dan segala seruan kepada pemisahan negeri kaum Muslimin itulah yang perlu diambil tindakan dan bukannya seruan kepada penyatuan. Sekiranya pemerintah tidak bertindak tegas dan cepat dalam membendung gerakan pemisahan sebegini, ia akan pasti menjadi barah, bernanah dan kemudian amat sukar untuk diubati. Akhirnya, negeri-negeri umat Islam akan semakin terpecah dan menjadi puing-puing yang semakin kecil.
Ir. Yusuf Muhammad
Miri, Sarawak