Perubahan Iklim : Ketentuan Allah Atau Akibat Perbuatan Manusia Yang Tamak?

 

Oleh : Amani Mohamed

Mutakhir ini, sering kali kita mendengar kebimbangan dan perbincangan mengenai perubahan iklim. Isu ini bukanlah baharu kerana ia telah mula menjadi perhatian sejak tahun 1850 iaitu selepas berlaku Revolusi Perindustrian di Eropah. Perubahan iklim merujuk kepada perubahan jangka panjang dalam suhu dan corak cuaca. Peralihan ini mungkin berlaku secara semula jadi seperti melalui variasi dalam kitaran suria. Malangnya terlalu banyak aktiviti manusia yang telah menjadi penyebab utama dan mempercepatkan perubahan ini. Menurut laman web www.greenly.earth, dua negara kapitalis gergasi yang paling banyak membebaskan gas rumah hijau telah menyumbang sebanyak 46% kepada perubahan iklim dunia iaitu China (28%) dan Amerika (18%).

Perubahan Iklim yang Mendadak

Secara ringkasnya, terdapat empat kesan utama daripada perubahan iklim iaitu perubahan cuaca yang melampau, kenaikan aras air laut, peningkatan kepekatan karbon dioksida dalam udara dan peningkatan suhu bumi. Daripada semua itu, impak yang buruk berlaku terhadap ekosistem bumi, perubahan kualiti air, pencemaran air dan udara serta penurunan kualiti makanan. Semua impak ini akan memberikan kesan terhadap kesihatan manusia dan kualiti alam sekitar yang kita diami. Ini membuktikan kebenaran peringatan Allah SWT dalam Surah ar-Rum ayat ke 41,

 “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [TMQ Ar-Rum (30): 41]

Umum mengetahui bahawa kesan rumah hijau ialah proses semulajadi yang mengekalkan suhu bumi pada tahap yang menyokong kehidupan. Gas rumah hijau di atmosfera kita terdiri terutamanya daripada wap air, karbon dioksida dan metana, sejumlah kecil nitrus oksida, ozon dan gas berfluorina. Gas-gas ini penting untuk memastikan planet kita cukup panas untuk mengekalkan kehidupan.

Walaubagaimanapun, peningkatan kepekatan karbon dioksida akan memerangkap lebih haba dalam sistem iklim bumi. Sejak tiga dekad lalu, laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) juga mendapati sistem iklim bumi adalah tidak seimbang iaitu menerima lebih haba daripada matahari berbanding haba yang keluar daripada sistem berkenaan. Berikut merupakan beberapa aktiviti yang menyumbang kepada perubahan iklim:

  1. Penggunaan bahan api fosil (petroleum) seiring dengan pertambahan penggunaan kenderaan pengangkutan.
  2. Perindustrian yang sarat dengan pelepasan gas-gas pencemar udara termasuklah menipiskan lapisan ozon.
  3. Penebangan hutan secara besar-besaran mengurangkan penyerapan gas karbon dioksida di udara.

Ini semua menunjukkan tabiat penjunjung ideologi kapitalisme yang rakus dalam memanfaatkan kekayaan sumber alam dengan alasan membuahkan pembangunan ekonomi dengan ‘kehebatan’ industrialisasi. Sifat materialistik puak kapitalis ini telah menggelapkan pandangan mereka terhadap realiti bahawa alam kita semakin sakit dan rosak. Negara terpaksa tunduk kepada kepentingan para kapitalis kerana cukai yang dibayar oleh mereka lebih penting buat negara dan poket para pemerintah!

Kelemahan Penyelesaian Kapitalis

Dalam membincangkan masalah perubahan iklim ini, para Kapitalis mencadangkan beberapa penyelesaian, antaranya:

  1. Menganjurkan pelbagai persidangan saintifik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berkaitan perubahan iklim. Setiap pihak dan negara yang menjadi anggota dikehendaki memberikan ikrar resolusi masing-masing. Malaysia contohnya telah menyatakan komitmen pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2021 (COP26) di Glasgow untuk mencapai sifar pelepasan karbon pada tahun 2050. Hakikatnya, yang dibincangkan adalah masalah ‘simptom’, bukannya menyelesaikan punca utama masalah ini berlaku iaitu penerapan ideologi Kapitalisme.
  2. Emission Trading(Perdagangan Pelepasan) iaitu dengan memperdagangkan jumlah pelepasan karbon dioksida oleh beberapa negara. Cap and Trade System (sistem had dan perdagangan) memperuntukkan kepada setiap negara jumlah pelepasan karbon dioksida yang tertentu. Sistem kuota ini membolehkan syarikat-syarikat di negara maju untuk menjual beli kuota masing-masing, sehingga akhirnya menjadikan karbon dioksida sebagai sebuah komoditi di mana keuntungan berpuluh-puluh bilion boleh dikaut darinya.
  3. Clean Development Mechanisme(CDM), Mekanisme Pembangunan Bersih membenarkan negara-negara maju untuk meningkatkan kuota karbon dioksida mereka melalui pembelian kredit karbon dioksida dari negara-negara membangun. Dengan dalih pemahaman pembangunan lestari ini, syarikat-syarikat Barat tidak perlu mengurangkan pencemaran mereka, sebaliknya boleh menggunakan kuota mereka secara maksimum.

Pandangan Islam Tentang Alam Sekitar

Islam tidak pernah menghalang manusia menikmati sumber alam. Islam tidak memandang bahawa hubungan manusia dengan alam sebagai suatu yang terpisah atau bertentangan antara satu sama lain. Allah SWT telah menjadikan alam untuk dimanfaatkan oleh manusia tetapi melarang membuat kerosakan kepada alam dan menganggap orang yang membinasakan alam sekitar sebagai penjenayah. FirmanNya,

“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan”

[TMQ Al-Baqarah (2): 204-205].

Perkara utama yang perlu dilakukan adalah mengubah paradigma pembangunan yang eksploitatif ala kapitalisme kepada paradigma pembangunan yang bertanggungjawab terhadap alam. Allah SWT bahkan menetapkan manusia sebagai khalifah di bumi yang berkewajipan mengelola bumi. Negara Khilafah berperanan sebagai raa’in (pengatur) atas segala aktiviti manusia yang berkaitan dengan pengelolaan alam semula jadi.

Negara tidak boleh hanya berperanan sebagai pembuat dasar ataupun undang-undang tetapi menyerahkan pengelolaannya secara total kepada pihak swasta. Ini bagi memastikan bahawa alam sekitar dapat memberi manfaat ekonomi sekaligus menjadi aset masa depan generasi berikutnya. Visi inilah yang mustahil diwujudkan dalam konteks kapitalisme yang selalu sarat dengan eksploitasi.

Industrialisasi merupakan aktiviti yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Islam memang tidak mengharamkan industrialisasi, bahkan menjadi salah satu sektor ekonomi dalam negara Islam. Namun, industri dalam negara Islam dijalankan secara bertanggungjawab sesuai dengan syariat. Allah SWT mengizinkan umat manusia untuk mengambil manfaat daripada bumi berupa air, tanaman, hasil laut, hasil lombong, hasil hutan dan lain-lain. Namun, pemanfaatan alam tersebut tidak boleh dilakukan sebebas-bebasnya sehingga menyebabkan kerosakan dan bahaya. Rasulullah SAW bersabda,

“Tidak boleh membahayakan diri sendiri mahu pun orang lain.” [HR Ahmad dan Ibn Majah]

Sebagai contoh, kajian telah membuktikan pembakaran bahan api fosil menyebabkan pencemaran udara dan pemanasan suhu bumi. Maka Khalifah wajib komited untuk meminimakan penggunaannya di samping memilih sumber tenaga yang mesra alam sekitar dan boleh diperbaharui (renewable energy). Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) pula dilaksanakan oleh negara dengan penuh kesungguhan dan diperluaskan penggunaannya kepada rakyat jelata. Walaubagaimanapun, perlu diberi perhatian bahawa jalan penyelesaian isu terkait perubahan cuaca bukan sekadar menangani masalah pembebasan karbon semata-mata. Ini adalah kerana tidak ada bukti bahawa sumber tenaga yang boleh diperbaharui berjaya meningkatkan kesejahteraan negara yang melaksanakannya kerana dua negara iaitu Jerman dan Denmark yang memiliki campuran tenaga yang boleh diperbaharui yang tinggi memiliki tarif elekrik termahal di negara Kesatuan Eropah (EU). United Kingdom yang bergantung kepada tenaga angin mengalami krisis tenaga yang parah sehingga menyebabkan ia diluar kemampuan sebahagian penduduk disebabkan kos yang tinggi. Sebaliknya, Perancis yang memanfaatkan tenaga nuklear menikmati tenaga dengan pembebasan karbon yang rendah dan kos tenaga yang mampu dimiliki oleh rakyat. Begitu juga negara lain yang memanfaatkan tenaga nuclear seperti Switzerland, Sweden, Finland dan Ukraine. Ini bermakna, penyelesaian isu perubahan iklim bukan tentang pengurangan kadar pembebasan karbon sebaliknya sumber tenaga yang digunakan tidak hanya mesra alam dan lingkungan, tetapi ia juga mampu dinikmati oleh rakyat disebabkan kos tenaga dengan harga terjangkau.

Khatimah

Wahai Muslimah, kita mempunyai sebuah generasi yang perlu dicorakkan. Kita ada suara untuk melakukan muhasabah terhadap para penguasa. Kita berhak untuk hidup di dalam alam yang dilimpahi berkah dari langit dan bumi. Sedarlah bahawa manusia adalah makhluk yang memiliki keterbatasan tetapi nafsu tidak terbatas. Jadi manusia memerlukan petunjuk dan pemimpin untuk membatasi sifat rakusnya. Kapitalisme mendukung sifat manusia tersebut, sedangkan Islam akan memimpinnya ke jalan yang benar. Semoga Allah SWT segera tegakkan Khilafah ‘Ala Minhaj An-Nubuwwah yang dengannya manusia, haiwan dan alam kembali berfungsi sebagaimana fitrah kejadiannya.

Wallahua’lam

 

Download PDF

 

Sumber rujukan

  • https://www.greenly.earth/blog-en/greenhouse-gases-by-sector-in-2022-who-is-polluting-the-most#toc-0
  • https://mykhilafah.com/sn200-rosaknya-dunia-oleh-tangan-tangan-kapitalis/
  • https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1858901 Menangani isu perubahan iklim melalui gaya hidup lestari
  • https://www.iea.org/news/surging-electricity-demand-is-putting-power-systems-under-strain-around-the-world
  • https://arstechnica.com/tech-policy/2022/02/france-to-cut-carbon-emissions-russian-energy-influence-with-14-nuclear-reactors/