SN619 – Melawan Naratif Jahat, Ke Arah Kestabilan Politik Islam
Bil: SN619 – 6 Jamadilawwal 1444 / 1 Desember 2022
Kita baru sahaja selesai melalui senario politik yang begitu dramatik di negara ini. Kita juga telah dihidangkan dengan berbagai pandangan dan analisis yang dilontarkan oleh pelbagai pihak sehingga ada kalanya menimbulkan kekeliruan. Di sinilah kita sebagai umat Islam perlu bijak menilai sesuatu pandangan atau tindakan dengan tolok-ukur syariat, bukan selainnya. Dalam arena politik, kita kerap didoktrin untuk memilih antara dua aliran, samada bersifat idealisme yang selalu dilabel sebagai utopia dan tidak realisitik, atau aliran bersifat realisme yang sering diwarnai dengan sikap pragmatik sekalipun terpaksa mengorbankan prinsip dan sinonim dengan doktrin matlamat menghalalkan cara. Lihat sahaja reaksi dan keputusan parti-parti politik yang sering berubah-ubah, kita akan dapati bahawa demokrasi tidak pernah mementingkan isu prinsip dan moral, namun yang diperhatikan adalah soal partisipasi dan konsensus ahli politik.
Sejak perjanjian Westphalia (1648) dunia mula dicorak dengan konsep negara-bangsa dan sistem pemerintahan demokrasi mula diterapkan oleh kolonial Barat ke atas negara jajahan mereka. Sejak keruntuhan dunia Islam yang kali terakhir dinaungi oleh kekhilafahan Uthmaniyyah, sistem politik dan perundangan sebahagian besar negara umat Islam termasuk Malaysia dicorak dengan amalan demokrasi ala Westminster, sekalipun setelah merdeka daripada penjajahan British.
Jika selama ini kita sering dihidangkan dengan slogan demokrasi sebagai sistem yang terbaik dan universal, namun setelah kita melalui dan menyaksikan ketidakstabilan politik pasca Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), ramai yang mula menyedari bahawa sistem dan amalan demokrasi tidak seindah seperti yang digambarkan dan penuh dengan kerosakan dan kelemahan. Hakikatnya, ketidakstabilan politik bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia yang telah banyak dilalui sepanjang sejarah negara. Sejak era revolusi teknologi maklumat dan akses pendidikan yang luas, kita mula lebih memahami realiti dan falsafah politik di dalam dan luar negara. Kini, kita dapati ramai ilmuan mula membincangkan kerosakan-kerosakan di sistem demokrasi setelah selesai pilihanraya. Walaubagaimanapun, masih ada pihak yang terus berusaha untuk memberikan harapan kepada masyarakat agar tetap berpegang kepada sistem peninggalan penjajah ini dengan pelbagai justifikasi. Antara justifikasinya adalah, segala ketidakstabilan politik pasca PRU15 itu dikatakan sebagai satu keunikan di dalam amalan demokrasi yang terbuka kepada proses kematangan, bebas dalam penafsirannya, unik dan tersendiri dalam pelaksanaannya dan sifatnya yang tidak rigid.
Keburukan amalan demokrasi ini adalah sesuatu yang pasti kerana asas fahamannya bertunjangkan aqidah sekularisme. Malah hal ini telah lama diperdebatkan sejak zaman peradaban Yunani kuno sehinggalah zaman kontemporari hari ini. Bahkan, demokrasi juga sering dikenali dengan sistem kepimpinan oligarki yang dikuasai oleh elit politik dan golongan pemodal (capital owner). Maka tidak hairanlah jika ideologi kapitalisme menjadi tunjang amalan demokrasi di seluruh dunia.
Disamping itu, ada juga yang berpandangan bahawa apa yang sedang berlaku adalah kemelut pembentukan identiti negara. Dalam pandangan ini, digambarkan bahawa apa yang berlaku adalah pertembungan ideologi – antara kumpulan moderat dan Islami – bukan pertembungan personaliti elit politik semata-mata. Sedar ataupun tidak, terdapat sebahagian pihak yang membina naratif jahat dengan memburukan identiti dan perjuangan Islam di negara ini. Mereka mencipta pilihan antara usaha untuk membina sebuah negara moderat yang meraikan kepelbagaian kaum atau usaha untuk mendirikan sebuah negara Islam yang menindas kaum bukan Islam dan tidak progresif. Apa yang lebih mendukacitakan ialah apabila naratif Islamofobia ini dimainkan juga oleh segelintir umat Islam sendiri. Adakah mereka ingin terus menjadikan dunia Barat yang menjunjung doktrin sekularisme dan liberalism sebagai rujukan? Adakah mereka lupa tentang tanggungjawab untuk menegakkan syariat Sang Pencipta alam semesta di muka bumi ini? Adakah mereka lupa mengenai catatan sejarah Daulah Islam yang melindungi pelbagai kaum dan agama dari kezaliman kuffar selama lebih sepuluh abad?
Allah (swt) berfirman “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai..” [TMQ Ali ’Imran: 103] Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada tali Allah, kita sedar bahawa keimanan menuntut perjuangan ke arah mengembalikan kehidupan di bawah naungan syariat Islam. Kita juga sedar bahawa demokrasi tidak meletakkan kedaulatan di tangan Syariat Islam. Para ilmuan, para ulama dan seluruh umat Islam yang ikhlas haruslah menjawab naratif jahat yang membawa pelbagai persepsi negatif terhadap politik dan konsep kenegaraan dalam Islam. Sesungguhnya dunia memerlukan model negara Islam seperti era kekhilafahan yang mempunyai amalan politik yang jauh lebih adil dan sejahtera serta sistem ekonomi yang mampan dan mampu mengatasi kemelesetan ekonomi yang kini terbukti gagal ditangani oleh sistem kapitalisme.
KEMBALIKAN PERPADUAN DAN PENYATUAN MELALUI ISLAM
Rakyat sudahpun selesai mengundi. Namun yang betul-betul susah untuk selesai adalah proses pemilihan pemimpin yang bakal menerajui tampuk kepimpinan Malaysia. Akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri ke-10. Kabinet yang bakal dibentuk adalah gabungan pelbagai parti yang dahulunya saling mencaci antara satu sama lain. Kerajaan perpaduan, itulah istilah yang digunakan. Tidak ada satu pun parti atau gabungan parti yang memiliki majoriti namun bagi para pengamal demokrasi, mungkin kerajaan inilah yang terbaik.
Demokrasi moden kerap menggambarkan bahawa kerajaan yang tidak memiliki majoriti adalah tidak stabil. Kestabilan sangat penting bagi sesebuah kerajaan untuk menghadapi pelbagai cabaran, terutama cabaran ekonomi. Pelaburan asing adalah antara isu utama yang diperhatikan. Kestabilan politik sesebuah negara akan menarik minat ramai pelabur ke dalam negara. Ini dapat dilihat apabila setelah selasai sahaja pengumuman perlantikan PM dirasmikan, nilai tiba-tiba saham naik dan matawang menunjukkan pengukuhan berbanding dolar Amerika – semua kesan spekulasi dalam sistem ekonomi kapitalisme.
Kembali kepada isu kerajaan perpaduan, persoalan yang timbul adalah, adakah kerajaan ini cukup stabil dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa? Adakah tiang asas kerajaan perpaduan ini benar-benar mampu berhadapan dengan permasalahan kontemporari dunia yang sangat mencabar? Sebagai umat Islam, kita harus kembali merujuk kepada penyelesaian Islam bagi menjawab persoalan ini. Apakah konsep kerajaan perpaduan demokrasi ini wujud dalam Islam? Jawapan mudah, model negara Islam adalah Sistem Khilafah, sedangkan ini negara demokrasi, sudah tentu ia berbeza. Konsep patuh syariahnya sendiri sudah bermasalah. Mana mungkin sama konsepnya. Tambahan lagi, sejauh manakah kerajaan perpaduan ini melambangkan penyatuan hakiki yang kita fahami sebagai umat Islam? Persoalan ini juga mungkin sudah ada jawapan di dalam pemikiran kita.
Umat tidak akan pernah bersatu dalam kebatilan. Wujudnya kebatilan akan menjadikan manusia terbahagi kepada para penyokong yang hak dan para penyokong kebatilan. Di kalangan yang batil akan lebih berpecah lagi. Sedangkan bagi golongan yang berada di jalan kebenaran, selagi mereka berpegang pada yang hak, insya Allah mereka akan terus bersatu, walaupun boleh jadi akan muncul selisih faham atau berbeza pandangan. Dan tentu sekali, ini semua atas dasar perintah Allah, berdasarkan wahyu, bukan atas dasar yang lain.