PRK Kemaman: Apa beza menang atau kalah?
Ada pihak yang nampaknya begitu mendabik dada dengan kemenangan yang diperolehi dalam PRK Kemaman yang baru lepas. Pelbagai kenyataan dikeluarkan seolah-olah dunia sudah menjadi miliknya. Manakala pihak yang satu lagi pula terpaksa mempertahankan maruah dengan menyatakan yang kemenangan tersebut bukanlah sebesar mana pun.
Begitulah politik di Malaysia yang tidak habis-habis dengan “perang propaganda” antara parti-parti yang bertanding setiap kali keputusan pilihan raya diumumkan. Hakikatnya, kedua-dua pihak sangat menginginkan kemenangan, kerana sebuah kerusi adalah tersangat berharga dalam sistem demokrasi.
Dengan kerusi (kekuasaan), segala pangkat, projek, kekayaan alam dan apa jua habuan duniawi sudah pasti akan berada dalam genggaman. Begitulah tabiat sistem demokrasi-sekular di mana “the winner will take all”. Jadi, setiap calon atau parti akan all out untuk memastikan kemenangan walau dengan apa cara sekali pun.
Di sebalik kemenangan calon atau parti mana pun yang bertanding, baik menggunakan slogan Islam atau tidak, realitinya sejak merdeka hingga kini, Al-Quran dan As-Sunnah tidak pernah menjadi undang-undang negara. Apa yang kita saksikan ialah alasan demi alasan oleh pihak yang memegang kekuasaan untuk tidak menerapkan Islam.
Umat Islam sudah cukup lama hidup dalam sistem demokrasi-sekular tinggalan penjajah, sehingga ada yang sudah “selesa” dengannya dan tidak mahu berubah. Namun demikian, golongan yang mahu berubah dan ingin menyaksikan Islam kembali ke persada politik tanah air tidak kurang ramainya.
Atas dasar itu, mereka menyokong perjuangan Islam dan cenderung memilih parti atau calon yang dilihat membawa aspirasi Islam. Malangnya, fakta telah membuktikan bahawa parti mana pun yang menguasai parlimen atau dewan undangan negeri, Al-Quran dan As-Sunnah tetap terketepi, manakala perlembagaan Lord Reid terus disanjung tinggi.
Justeru, bagi mereka yang mempunyai pemikiran yang cemerlang dan jernih, mereka akan nampak bahawa siapa atau parti mana pun yang menang, Islam tetap terpuruk walaupun calon atau parti tersebut kononnya ingin menerapkan Islam. Mereka akan nampak bahawa sejak sekian lama, sudah tidak ada bezanya siapa pun yang menang pilihan raya.
Kenapa Islam tidak pernah “menang”? Semua ini tidak lepas daripada sistem demokrasi, sebuah sistem kufur yang datangnya dari Barat, yang telah membelenggu umat Islam sejak sekian lama. Sistem ini telah di”design” oleh Barat bukannya untuk menerapkan Islam, sebaliknya untuk memastikan Islam tidak akan dapat diterapkan.
Oleh itu, satu-satunya harapan bagi siapa pun yang ingin melihat Islam diterapkan secara kaffah, ialah dengan memilih perjuangan di luar demokrasi, dan hendaklah menempuh perjuangan yang sama sebagaimana yang telah dilalui oleh Rasulullah (saw).
Walaupun jalannya sukar dan penuh liku, malah dituduh khayal oleh sesetengah pihak, namun apa yang penting ialah jalannya syarie dan diredhai Allah. Rasulullah (saw) berjuang hingga tegaknya Daulah Islam di Madinah, dan dengan itu hukum Allah (swt) dapat diterapkan secara kaffah.
Malangnya setelah lebih 1300 tahun Daulah Islam (Khilafah) menguasai dunia, Barat dengan kerjasama Mustafa Kamal pengkhianat telah berjaya meruntuhkan institusi agung itu pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924 M), lalu dunia Islam dibelenggu dengan pemerintahan demokrasi yang datangnya dari Barat.
Maka, untuk memastikan Islam kembali memerintah dunia, kita wajib mengulangi perjuangan Rasulullah (saw) untuk mengembalikan semula Daulah Islam (Khilafah), yang insya Allah bila ia berdiri nanti, Al-Quran dan As-Sunnah sudah pasti akan menjadi undang-undang negara dan menjadi way of life kita semua.
Wallahu a’lam.