Demokrasi Terus Menyuburkan Rasuah
Dalam siaran terbaru Kupas Tuntas, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, menegaskan bahawa gejala rasuah di negara ini tidak berlaku secara kebetulan, atau tersendiri atau berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan semata-mata. Ada beberapa sebab lain, dan ada sebab yang mendominasi, menurut beliau.
Ia sebenarnya tumbuh subur daripada sistem demokrasi, yang berasal dari ideologi kapitalisme yang menjadikan manfaat sebagai asas kepada segala sesuatu. Dalam ideologi yang berasal dari Barat ini, halal-haram tidak ada tempatnya, kerana apa yang penting ialah manfaat.
Beliau menjelaskan bagaimana ideologi kebebasan dan materialisme yang mendasari sistem ini telah melahirkan masyarakat, lebih-lebih pemimpin, yang hanya mengejar manfaat tanpa mempedulikan halal haram, sekali gus menyuburkan rasuah sebagai mekanisme biasa untuk meraih keuntungan dengan memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada di tangan.
Dalam suasana ini, pegawai yang memegang jawatan tidak lagi melihat tanggungjawab sebagai amanah, jauh sekali untuk menerapkan hukum Allah, tetapi peluang untuk memperkaya diri dan kroni. Sementara masyarakat pula semakin menerima amalan rasuah sebagai kelaziman yang dipaksakan oleh suasana kapitalisme yang penuh kebatilan dan persaingan.
Rasuah bukan hanya isu antara pemberi dan penerima, dan bukan hanya isu antara ahli perniagaan dan ahli politik. Ia telah menjadi skandal, dan skandal demi skandal terus berlaku, yang dengan erti kata lain ia lahir, tumbuh dan berkembang-biak kerana ada faktor persekitaran dan sistem yang cukup kondusif untuknya menjadi sedemikian.
Budaya rasuah ini tidak lagi dapat dibendung oleh undang-undang kerana penguatkuasaannya sendiri longgar dan sering berat sebelah – tajam ke bawah dan tumpul ke atas. Birokrasi yang rumit dan melambatkan urusan pula membuka ruang kepada “duit kopi” sebagai jalan pintas untuk mempercepatkan perkhidmatan.
Semua ini membentuk ekosistem rasuah yang tidak pernah surut, bahkan sentiasa subur dengan segala bentuknya yang semakin berkembang, walaupun negara terus menubuhkan pelan integriti, mengumumkan slogan reformasi atau meminda undang-undang saban tahun.
Menurut Ustaz Abdul Hakim, akar permasalahan ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam kerangka sistem demokrasi yang memberi ruang yang cukup luas kepada transaksi kuasa dan kepentingan kelompok. Ia adalah masalah sistemik, dan penyelesaiannya juga hendaklah secara sistemik, iaitu dengan menukar sistem secara keseluruhannya – dari sistem demokrasi kepada sistem Islam, tegas beliau.
Di sepanjang kupasan tersebut, Jurucakap HTM itu memberikan lima keterkaitan utama antara sistem demokrasi dengan penyuburan skandal rasuah, yang beliau ibaratkan sebagai isi dengan kuku.
Beliau seterusnya membentangkan penyelesaian yang hanya akan hadir apabila umat kembali kepada sistem Islam secara menyeluruh di bawah naungan Khilafah, sebuah sistem yang tidak akan membenarkan benih-benih rasuah dari tumbuh.
Beliau mengakhiri kupasan dengan menyeru umat Islam bukan sekadar untuk menolak pemimpin yang kaki rasuah, tetapi lebih dari itu wajib berganding bahu untuk menggantikan sistem demokrasi yang berasal dari Barat ini, yang telah terbukti rosak dan merosakkan, dengan sistem Khilafah yang berasal dari wahyu.